Monday, May 30, 2011

Novelog 2 : Kisah Aku Dan Dia - Ep. 13

Iman memandang abahnya. Kemudian berpaling pada ibunya. Tiba-tiba dia terasa sangat sedih mengenangkan tindakan abahnya yang membuat keputusan tanpa meminta pendapatnya dulu. Namun sebagai anak sudah tentu dia yang terpaksa mengalah.
Hari ini dia akan balik ke Butterworth. Paling menyakitkan hati, Rezal Arifin yang akan menghantarnya ke stesen bas. Abah dengan senang hati saja memberikan kebenaran. Malah abah pula yang menyuruhnya.
Dari apa yang Iman tahu, Rezal adalah anak sahabat abah sewaktu berkhidmat dalam ATM dulu. Dan dengarnya memang abah dan berjanji untuk menjodohkan dia dengan anak sahabatnya itu , yakni Rezal.
Dalam perjalanan ke stesen, Iman hanya diam. Dia tidak ada mood untuk berbual. Fikirannya lebih banyak tertumpu pada Firdaus. Dia kesal kerana tidak dapat bersama-sama menghadapi kedukaan ini.
“Jauh termenung nampak.” Terdengar suara yang menegur. Rezal cuba memecahkan kesunyian yang melanda.
Iman tidak menjawab.
“Kenapa awak setuju untuk bertunang dengan saya?” Dia memberanikan diri. Ingin tahu. Dua bulan lagi dia akan ditunangkan dengan lelaki itu. Jika ada alasan sekurang-kurangnya dia masih ada masa untuk membatalkannya.
“Awak nak tahu?”
Rezal memberhentikan kereta. Tangannya memegang stering. Mencari kekuatan agaknya.
“Sebenarnya ini adalah permintaan mama saya. Dia yang beria-ia mahu melihat saya disatukan dengan awak. Lagipun mama mengidap lemah jantung. Tak sanggup saya menolak permintaannya.”
Ah…alasan memang dah sedia ada.
“Tapi kita yang akan hidup bersama. Awak tak takut ke kita tak bahagia nanti? Kalau hubungan kita tak berpanjangan, apa yang awak akan cakap pada mama awak nanti.”
“Sekurang-kurangnya dia tahu saya telah cuba menunaikan hasratnya.”
Tiba-tiba Rezal berpaling.
“Saya tahu awak ada teman lelaki. Saya tak akan mengongkong awak. Cuma kalaulah ini yang dinamakan pengorbanan seorang anak terhadap ibu bapanya, inilah yang sedang saya lakukan. Kita dah dewasa…dah matang, tahu membuat yang terbaik.”
Ada betulnya apa yang dikatakan oleh lelaki yang berumur 27 tahun itu. Ada kematangan dalam ucapannya. Kalau dia sanggup berkorban, mengapa pula tidak baginya? Memang terlalu banyak yang telah dilakukan oleh ibu dan abah padanya sepanjang hidup ini. Apalah salahnya jika dia membalasnya kini.
Tapi adakah dia perlu menggadai segala kebahagiaannya? Melupakan segala kenangan yang telah terbina sekian lama dengan Firdaus? Meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa remajanya?
Arghh…sukarnya hidup ini!
Memandang gambar konvo yang diambil bersama Firdaus minggu lalu, Iman terasa ingin menangis. Terlalu banyak yang terjadi kebelakangan ini. Sesungguhnya dia benar-benar rindu dengan lelaki itu. Segera dia mencapai telefon disisi dan mendail nombornya.
Alhamdulillah…dapat!
“Hello, abang ya? Iman ni.”
“Iman. Ada apa telefon ni?”
Ada apa? Macam mana Firdaus boleh tanya soalan macam tu padanya?
“Kenapa? Iman dah tak boleh telefon abang lagi ke?” Kecil hatinya.
“Bukanlah macam tu. Cuma abang ralat sebab nanti Iman akan jadi milik orang lain.”
“Walaupun Iman tak rela?”
“Jangan macam tu Iman. Abah Iman tahu apa yang dia lakukan. Dia buat yang terbaik untuk Iman.”
“Abang tak mahu mempertahankan hubungan kita?”
“Abang tak berdaya…tak ada kekuatan. Cuma abang harap Iman akan bahagia selalu. Kebahagiaan Iman adalah kebahagiaan abang juga.”
Iman melepaskan keluhan. Tak guna jika hanya dia yang mahu mempertahankan percintaan mereka sedangkan Firdaus tidak bertindak dulu.
Firdaus merenung gagang telefon yang sudah tidak ada apa-apa bunyi. Sebak hatinya mendengar luahan Iman. Bukannya dia tidak mahu mempertahankan hubungan mereka tapi dia  betul-betul tidak berdaya. Bukannya sekali dua dia menghadapi perkara seperti ini. Namun dia berazam dan berjanji dia akan mendapatkan Iman satu hari nanti, bukan dalam keadaan dia macam ni. Yang pastinya lebih baik, jika itulah yang dipandang oleh bapanya. Dia berjanji…walau apa jua rintangannya akan dia hadapi.

*****

Iman mencapai bungkusan plastik yang dihulurkan oleh Rezal. Hari ini mereka akan balik ke Muar. Sudah lima bulan mereka bertunang, inilah baru kali pertama Iman berkunjung ke rumah bakal mentuanya. Bukannya berpatah arang tapi kesibukan menghalangnya. Ini pun dia dapat balik setalah mengambil cuti tahunannya dan disambung sekali dengan cuti hujung minggu. Lamalah sedikit dia berada di kampung.
“Apa khabar mama? Papa mana?” Iman menyalami Puan Sabrina yang dipanggilnya mama, seperti yang disuruh oleh Rezal.
Dia pun masih dalam proses menerima Rezal. Kecewa dengan Firdaus, terpaksa dia rela kerana lelaki itu tidak mahu mempertahankan cinta mereka. Dia seorang tidak mampu menghalang kehendak abah. Walau seribu alasan diberikan, abah tetap abah.
“Alhamdulillah sihat. Papa belum balik dari pejabat lagi. Ibu dan abah sihat?”
“Sihat. Mereka berkirim salam pada mama. Ni ada sedikit buah tangan dari rumah.” Bungkusan bertukar tangan.
“Buat susah-susah aje. Rezal…telefon papa. Tanya dia pukul berapa nak balik makan tengah hari. Boleh makan sama-sama dengan bakal menantu mama ni.”
Ish Puan Sabrina ni…buat malu aku je…
“Mama ada sesuatu nak cakap dengan Iman. Jom kita pergi ke taman.”
Hal? Hal apa pulak ni?
Iman memaut lengan Puan Sabrina dan bergerak ke kerusi rotan yang terletak di taman mini bersebelahan dengan garaj kereta.
“Mama nak tanya Iman, macam mana layanan Rezal pada Iman. Pernah tak dia menyakiti hati Iman? Mama sebenarnya dah anggap Iman macam anak mama sendiri. Mama tak mahu Iman terasa atau kecil hati dengan dia.”
Iman menarik nafas panjang sebelum menjawabnya.
“Mama, abang Rezal tak pernah menyakiti hati Iman. Dia baik mama.” Dengan jujur dia memberitahu. Memang Rezal baik terhadapnya. Tidak ada sebab untuk wanita menolak lelaki yang sepertinya. Sama seperti Firdaus, mereka seimbang. Penyayang dan prihatin.
“Baguslah kalau macam tu. Nak hidup bersama kita perlu ada kesefahaman dan saling bertolak ansur.”
Iman hanya tersenyum.
“Mama dah lama kenal kamu Iman. Mama tahu kamu boleh jaga dia dengan baik. Kamu akan bahagia dengannya nanti. Ini janji mama pada kamu.”
Sayu hatinya memdengar kata-kata Puan Sabrina. Jika perempuan itu begitu yakin pada dirinya, kenapa dia masih hendak berfikir panjang?
“Iman akan cuba mama. Iman akan cuba membahagiakan semua orang.”
Rezal yang mendengar dari balik pintu tersenyum lebar. Iman sudah mula boleh menerima kehadirannya. Syukur pada tuhan!

Hadirlah mustika
Pujaan hatiku
Ingin ku katakan
Ku cinta padamu

“Papa, mama, jom makan. Iman dah siapkan dah.” Iman memanggil dari dapur.
“Hmm…masak apa? Sedapnya. Wah…asam pedas ni kesukaan Rezal ni. Mana dia?” Encik Roslan memuji.
Kesukaan Rezal…juga kesukaan Firdaus.
Iman tersipu-sipu malu. Ntah sedap entah tidak.
“Menantu saya yang masak, mestilah sedap. Kan Iman.”
“Iman bukannya pandai masak sangat. Kalau tak kena dengan selera mama dan papa, Iman minta maaf. Iman panggilkan abang Rezal dulu ya.”
Mana pulak mamat ni?
 La, layan blues rupanya dia.
Iman memerhatikan Rezal yang sedang bermain gitar di tempat dia berbual dengan Puan Sabrina tadi. Firdaus juga suka bermain gitar. Antara dia dan Rezal tak banyak bezanya. Mempunyai persamaan yang ketara.
Entah mengapa Firdaus tak pernah hilang dari fikirannya. Membuang ingatan itu, dia berlalu ke arah Rezal.
“Abang, jom makan.”
“Iman duduk dulu. Abang ada lagu nak didengarkan pada Iman.” Kata Firdaus perlahan sambil menarik tangan Iman.
Lagu? Lagu apa pulak.
Iman menurut saja. Mendengar Firdaus memainkan lagu Miss You Like Crazy…hatinya benar-benar tersentuh. Lagu itu jugalah yang selalu Firdaus perdengarkan padanya. Kenapa setiap yang ada pada Rezal mengingatkan dia pada Firdaus? Air matanya mengalir tanpa sedar.
“Kenapa ni Iman?” Rezal panik.
Tujuannya untuk menyatakan perasaannya saja. Tak sangka pulak ia menagih air mata Iman. Dia menyapu lembut juraian air mata yang mengalir di pipi mulus itu.
“Iman tak mahu abang mainkan lagu ni lagi. Iman tak mahu dengar,”
“Ok. Maafkan abang! Jom kita masuk.”

Ya Allah Ya Tuhanku,
Engkau hilangkanlah dia dari jiwaku
Peliharalah hati ini dari terus mengingatinya
Berilah aku kekuatan untuk menyayangi Rezal
Berilah kami kebahagiaan abadi…

Rezal berjanji akan membahagiakan Iman dengan sepenuh jiwa dan raganya. Demi Iman yang bertakhta di hatinya. Demi Tuhan!

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]