Showing posts with label Cerpen. Show all posts
Showing posts with label Cerpen. Show all posts

Monday, February 2, 2015

Tuhan, Damaikan Resahku

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 


Surya merenung bintang-bintang yang indah berkelipan di dada langit. Cahaya kemilaunya ada di mana-mana. Bulan pula berselindung di balik awan. Malu barangkali hendak bertemankan bintang berjuta. Memandang bintang-bintang adalah kegemaran Surya sejak remaja. Dan kini walaupun umurnya sudah melewati 25 tahun, dia tidak jemu-jemu meneruskan kegemarannya itu. Damai jiwanya begitu. Walaupun bintang tidak mampu menyapa kesunyian malamnya, tetapi jiwanya bersinar melihatkan bintik-bintik cahaya yang kelihatan bagai permata yang bergantungan di satu hamparan yang luas terbentang.
Dalam keheningan matanya berbicara pada bintang-bintang di langit, terlintas satu bayangan di tubir mata. Ah… lelaki itu datang lagi. Tersenyum kepadanya. Puas di cuba menyingkirkan ingatan itu tetapi makin dicuba makin kerap bayangan itu mengganggunya. Rindukan Surya pada lelaki itu? Kalaulah ada yang mampu menelah hatinya, pasti mereka akan tahu setakat mana ingatan dan kerinduan yang telah tersimpan untuk lelaki yang baru dikenalinya 2 bulan yang lalu.



Sunday, May 4, 2014

Mentari Masih Bercahaya

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Cerpen ni saya tulis semasa di sekolah menengah... tak ingat lepas PMR atau sebelum SPM. Cerpen ni saya hantar untuk salah satu pertandingan di Utusan Malaysia. Bila baca balik... senyum sorang-sorang.




Kokokan ayam jantan sayup-sayup kedengaran di hujung kampung. Filda menggeliat malas. Dia menggigil kesejukan. Ditariknya kain selimut hingga ke paras dada dan memejamkan mata. Namun, bila difikirkan tentang tanggungjawabnya sebagai kakak sulung dalam keluarga, hajat untuk menyambut tidur dilupakan. Kain selimut dilipat dan diletakkan di atas bantal. Setelah selesai mengemaskan tempat tidurnya, dia memandang sekilas kepada adiknya yang masih lena dibuai mimpi.
Jam menunjukkan pukul 5.30 pagi. Filda menyalakan pelita ayan dan di bawa ke bilik emak. Emak tenang dalam perbaringannya. Kemudian dibawa pula pelita ayan itu ke atas meja buruk di tepi tingkap. Dia mengambil sebiji buku nota lalu dibawanya ke dapur. Filda menyalakan api dan menjerang air. Selepas itu dibasuhnya pula pinggan-pinggan yang berselerakan di pelantar. Air yang dijerang sudahpun menggelegak. Filda kemudian mengupas lebihan ubi kayu yang emak buat pengat kelmarin. Ditenggekkan periuk yang berisi ubi itu ke atas tungku. Dia  meniup bara api merah dengan kuat seperti memaksa ubi yang  direbusnya masak cepat.
Filda kemudian duduk bersila menghadap pelita ayan sambil membaca buku notanya yang sejak tadi dibiarkan. Segala apa yang dibaca cuba diingatnya.
Allahuakbarullahuakbar…
Kedengaran suara Bilal Zain dari surau Pak Tua membelah dinihari. Filda menjawab azan dan menutup buku. Ubi yang direbusnya sudahpun masak. Diangkat periuk itu dan dikeluarkan isinya lalu diletakkan dalam pinggan. Dia kemudiannya membancuh kopi pahit. Selesai membancuh kopi, dia meletakkan kopi dan ubi itu di bawah tudung saji.
“Sal, Zam, bangun.” Teriak Filda dari ruang tengah.
Dia turun mengambik wuduk. Air  di perigi sejuk bagaikan salji. Dia cepat-cepat naik. Salzi dan Nizam duduk mencangkung di ruang depan.
“Pergi mandi cepat. Kemudian sarapan.” Filda menyergah adik-adiknya. Salzi dan Nizam turun ke perigi  manakala Filda menunaikan solat Subuh.
Selesai sembahyang, Filda ke bilik emak tapi dilihatnya emak tiada. Filda cemas.
 “Da, marilah makan bersama-sama.” Kedengaran suara emak dari dapur.
“Sekejap mak.”
Jam menunjukkan pukul 6.50 pagi. Filda cepat-cepat keluar dan menuju ke dapur untuk bersarapan.
“Sal, Nizam, makan cepat. Nanti lewat pula ke sekolah.” Filda menyergah adik-adiknya yang kelihatan sangat lambat menghabiskan sisa ubi kayu rebus.
“Pergi dulu mak.” Kata Filda sambil menyalami tangan emak dan diikuti olah Salzi dan Nizam.
“Da…”
“Ya mak.”
“Hari ini kau tak payahlah ke sekolah. Mak kurang sihat. Baju kurung yang ditempah oleh Mak Limah masih belum siap. Mak harap kau dapat menyiapkannya.” Emak memberitahu Filda dengan raut muka yang mengandungi seribu derita. Emak terus batuk dengan kuat sehingga terlihat ada cecair merah keluar dari celah bibirnya yang kelihatan kering. 
“Emak sakit?” Filda bertanya.
Emak tidak menjawab. Mukanya pucat dan badannya sedikit menggeletar.
“Sal dan Nizam pergi dulu ke sekolah nanti kakak ikut dari belakang.”
“Baiklah kak.” Nizam menjawab lantas mereka berdua turun menyusuri lorong ke jalan besar.
Hasrat Filda untuk ke sekolah berbelah bahagi. Dipapahnya emak lalu dibaringkan ke dalam bilik. Nafas emak turun naik seperti ada sesuatu yang berat menghempap dadanya. Setitik air mata jatuh di pipi gebunya bila melihatkan keadaan emak. Dia tidak sampai hati membiarkan emak terus begitu. Mata emak sedikit tertutup. Filda cemas. Dia turun dari rumah dan menuju ke rumah Kak Siah.
“Kak Siah… Kak Siah.” Filda berteriak dari bawah.
“Ada apa Filda?” Kak Siah muncul di muka pintu.
“Tolong Filda Kak Siah. Mak sakit.”
Kak Siah bergegas turun. Filda mengikutnya dari belakang.
“Kau pergilah ke sekolah. Biar Kak Siah jaga emak.
“Tapi…”
“Tak apa. Pergilah.” Filda mengangguk lesu. Jauh di sudut hati, dia merasa terkilan kerana tidak dapat berada di sisi emak namun apakan daya hari ini ada ujian Geografi. Fikirannya berampur aduk.
Apakah emak akan pergi macam ayah juga 2 tahun lalu? Detik Filda dalam hati.
Dia mengeluh. Hanya mampu tabahkan hati menyusuri lorong menuju ke jalan besar.
Filda berjalan cepat-cepat. Sampai di pintu pagar sekolah, pengawas yang bertugas sudah menutup pintu pagar.
“Tunggu dulu.” Jerit Filda.
“Kenapa lambat?”
“Maafkan saya. Ada masalah di rumah.”
“Siapa nama awak?”
“Filda Bt Idris.” Pastinya nama itu akan dicatatkan di dalam rekod.
Pintu pagar dibuka. Filda masuk dan mengatur langkah menuju ke kelas.
“Assalamualaikum cikgu.” Filda memberi salam.
Cikgu Azim menjawab salamnya dan meminta dia duduk.
Filda menuju ke mejanya bersebelahan Mariah. Dikeluarkan buku nota dari beg buruknya namun dia tidak menuliskan apa yang dinyatakan oleh Cikgu Azim. Fikirannya tidak tenteram. Dia teringatkan emak di rumah. Segala apa yang dipelajari tidak dapat diikuti langsung. Filda resah di tempat duduknya.
“Kenapa ni?” Tanya Mariah sebaik sahaja Cikgu Azim keluar.
“Mak aku sakit.”
Mariah diam. Dahinya berkerut.
Seorang demi seorang guru masuk ke kelas namun fikirannya masih kacau. Setitik air mata jatuh ke pipi bila dia terkenangkan ibunya.
“Filda kau tak ke kantin ke?” Pertanyaan Mariah mengejutkannya.
Filda menggeleng lemah. Dia keluar dari kelas dan menuju ke bawah pokok tanjung di tepi bilik stor.
Kring… kring…
Loceng dibunyikan dua kali menandakan tamatnya waktu rehat.
Filda dapat membayangkan bagaimana jika emak meninggal seperti kematian ayah dua tahun lepas kerana mengidap barah. Dia mesti berhenti sekolah untuk menyara adik-adik. Hasratnya untuk ke universiti terpaksa dilupakan dan dia mesti bekerja. Kalau tidak, adik-adiknya hendak makan apa? Tidak sanggup rasanya dia menghadapi situasi itu. Filda menangis teresak-esak. Hatinya sungguh sedih.  Dia sangat menyayangi emak dan adik-adiknya.
“Kau menangis Filda?” Tanya Mariah sebaik sahaja Mariah melabuhkan punggung di sisinya.
“Filda, masalah kau masalah aku juga.” Suara Mariah yang sayu kedengaran mesra di telinganya.
Serentak itu, Filda memeluknya. Air matanya turun bagai hujan yang tidak mahu berhenti. Filda tidak malu lagi. Teman-teman sekelas telah mengerumuninya.
“Assalamualaikum cikgu.” Kedengaran lantang suara Farizan selaku ketua tingkatan.
Filda tidak tahu cikgu manakah yang memasuki kelasnya. Dia masih teresak-esak dalam pelukan Mariah.
“Waalaikumussalam. Sila duduk semua. Buka buku teks muka surat 197. Buat latihan 6 dari nombor 1 hingga 75. Saya ada hal yang perlu diuruskan.”
Filda mendongakkan kepala. Di hadapannya Cikgu Zainab.
“Filda, ikut saya ke pejabat. Mariah, awak pun ikut sama.” Pinta Cikgu Zainab tanpa di rancang. Mariah memapah Filda keluar dari kelas. Hati Filda semakin cemas. Lututnya menggeletar.
Sampai di bilik pengetua, dia lihat Kak Siah dan suaminya berada di situ. Filda sudah dapat mengagak.
“Duduklah Cikgu Zainab, Filda dan Mariah.” Encik Amar selaku pengetua SMK Seri Mersing membuka bicara.
Filda lihat mata Kak Siah merah seperti juga matanya. Serentak dengan itu Filda menangis lagi lantas memeluk Mariah.
“Sabarlah Filda. Emak kamu dah meninggal dua jam selepas kamu ke sekolah pagi tadi.”
Filda tidak memberikan respon. Dia tidak percaya berita itu. Hanya air matanya yang mengalir tanda kesedihannya. Patutlah fikirannya sangat kacau sewaktu rehat tadi.
Hari itu Filda dihantar pulang oleh Cikgu Azli. Cikgu Zainab, Mariah dan dua orang guru lain pergi dengan kereta pengetua. Nizam dan Salzi sudah diberitahu.
Sampai dirumah, Filda lihat ramai orang kampung dan ada juga yang tidak dikenalinya berada di situ. Filda tidak peduli. Diteruskan langkahnya ke bilik emak. Suara orang membacakan Yaasin sayup kedengaran.
“Emak!!!” Jerit Filda di saat melihat sekujur tubuh kaku milik emaknya di atas tikar mengkuang yang pernah dianyamnya satu ketika dulu. Dia terduduk di sisi mayat emaknya. Kak Siah  yang sudah dianggap sebagai kakaknya juga berada di situ. Dia menarik kain batik lepas yang menutupi muka emak. Dulu, kain batik itu jugalah yang digunakan untuk menutup mayat ayah.
Filda mengucup dahi emak dengan penuh kasih seperti yang dilakukan kepada arwah ayah dua tahun lalu. Begitu juga dengan Nizam dan Salzi. Itulah penghormatan yang terakhir kepada bonda yang tercinta. Dia melihat muka emak tidak berubah seperti yang dilihatnya pagi tadi. Air mata Filda jatuh lagi.
Dia kesal kerana tidak dapat bersama-sama emak di saat-saat terakhir penghidupannya. Filda tidak terkata lagi. Dia terkulai di penjuru bilik bersama-sama Nizam dan Salzi. Lebai Zain dan beberapa orang lagi menguruskan mayat emak. Filda sudah berhenti menangis. Sebelum dikapankan, dia dan adik-adik dipanggil untuk melihat wajah emak buat kali terakhir. Menghadapi perpisahan yang abadi ini…
Suasana di dalam rumah diselubungi kesedihan. Mayat emak akhirnya dikapankan dengan bantuan isteri Bilal Zain, Mak Cu Miah. Setelah dikebumikan, orang ramai sudah beransur-ansur pulang. Wang yang disedekahkan semuanya berjumlah RM1000 telah dikumpulkan olah Kak Siah. Pengetua, guru-guru dan rakan-rakannya yang lain masih berada di rumah. Mariah di sisinya. Filda menggenggam erat tangan Mariah. Mereka berdua merupakan sahabat  yang paling akrab di SMKSM ini. Semua guru dan pelajar memperakuinya.
“Sabarlah Filda. Aku akan bersama kau.” Ucap Mariah.
“Filda, ini ada sedikit sumbangan dari pihak sekolah.” Pengetua menghulurkan satu sampul surat berwarna coklat kepada Filda.
Dengan perasaan yang berbaur dia menerima pemberian itu. Dalam hatinya mengucapkan syukur kepada Yang Esa dan terima kasih kepada sesiapa yang telah memberikan sumbangan itu. Doanya  moga mereka semua sentiasa dirahmati.
Kak Siah mengambil keputusan untuk menjaga Filda adik beradik walaupun Jabatan Kebajikan ingin menghantar mereka ke Rumah Anak-anak Yatim. Jika diikutkan, memanglah Kak Siah tidak mempunyai talian persaudaraan dengan mereka sekeluarga namun mereka sudah bagaikan satu keluarga yang saling melengkapi yang lain. Kak Siah bagaikan ibunya yang kedua. Lagipun Kak Siah menegaskan bahawa sebelum ibu Filda menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia telah berpesan supaya anak-anaknya dijaga oleh Kak Siah sementelahan juga perempuan itu tidak mempunyai anak. Itulah kuasa Tuhan, dalam sekelip mata sahaja Kak Siah dikurniakan tiga orang anak sebagai penyeri hidupnya.
Filda, Nizam dan Salzi menerima pemergian ibunya dengan hati yang rela dan redha. Bagi mereka biarlah ibu mereka itu pergi dengan tenang kerana penderitaan yang dihadapinya sudah tidak tertanggung lagi. Dengan perpisahan abadi itu, bukannya perlu ditangisi sebuah kehilangan tetapi kehidupan mereka perlu diteruskan. Dengan pesanan dan nasihat yang selalu arwah ibu berikan, InsyaAllah mereka akan menjadi insan yang berguna. Sekarang, kepada Kak Siah dan suaminya sajalah ditumpahkan segala kasih dan sayang… Kal dulu dulu mereka memanggil Kak Siah dan suaminya dengan panggilan Kak Siah dan Abang Karim, sekarang mereka memanggilnya dengan panggilan mama dan abah.
“Sal, Nizam, sekarang kakak harap kita dapat membalas budi baik mama (Kak Siah) yang telah banyak membantu kita. Kakak tahu adik-adik kakak ni masih ingat apa yang arwah emak selalu pesan. Hanya dengan belajar bersungguh-sungguh dan membantu keluarga sahaja dapat menggembirakan hati semua orang. Kita tidak sempat menunjukkan kepada ibu kejayaan kita. Jadi kita akan bahagiakan mama.”
“Kami faham kakak. Hm… bila kakak mahu pergi mengambil keputusan peperiksaan SPM kakak?” Salzi bertanya.
“Pejabat sekolah buka pukul 10. Nanti kakak akan pergi dengan Kak Mariah. Sekarang Sal dengan Nizam sambung kerja sekolah yang belum siap. Kakak boleh tunjuk ajar.”
Kak Siah dan suaminya memandang dengan senyuman yang terukir di bibir. Mereka bangga dengan sikap dan kepimpinan yang ada pada Filda. Anak itu tidak pernah menyusahkan mereka malah kehidupan menjadi lebih baik dan bahagia dengan kedatangan mereka. Syukur pada Tuhan kerana anugerah yang tidak ternilai itu.
Bila jam sudah menunjukkan angka 10 pagi, Filda ke dapur menemui mamanya dan memberitahu bahawa dia hendak ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan SPMnya bersama Mariah.
“Abah akan hantar kamu. Kita pergi ambil Mariah dulu.”
“Terima kasih abah. Filda pergi dulu mama.” Filda mencium tangan mamanya. Hendak ke mana-mana, dia tidak pernah lupa untuk meminta restu orang tuanya walaupun mereka hanyalah keluarga angkat, tempat dia menumpang kasih.
Sampai di pejabat, tidak ramai yang ada. Barangkali masa masih awal benar. Hanya dia dan Mariah serta beberapa teman sekelasnya dulu berada di situ. Dadanya berdebar-debar. Walaupun begitu dia yakin akan mendapat keputusan cemerlang biarpun dulu emosinya sedikit terganggu dengan pemergian arwah ibunya. Dan dengan kesedihan itu dia bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan SPM yang akan menentukan masa depannya.
“Tahniah Filda. Awak salah seorang pelajar cemerlang sekolah ini.” Ucapan pengetua itu bagaikan tidak kedengaran  di telinganya. Dalam hatinya masih tidak percaya namun setelah slip peperiksaan dilihat, air matanya merembes keluar. Ada perasaan sedih dan gembira di dalam hatinya.
Dia berpelukan dengan Mariah yang juga salah seorang pelajar cemerlang SMKSM.
“Pakcik Karim, Filda menjadi pelajar terbaik sekolah ini.” Mariah mewakilkan diri memberitahu kepada ayah angkat Filda.
“Terima kasih abah kerana memberi galakan kepada Filda.”
“Sama-sama Filda. Abah bangga dengan kamu. Mama tentu tidak sabar mahu tahu keputusan bahagia ini. Mari kita balik memberitahu dia.”
“Abah, sebelum balik boleh tak kita singgah di kubur emak dulu?”
Abah angkatnya menganggukkan kepala. Mereka bertiga menuju ke kereta.
“Assalamualaikum emak. Filda datang lagi. Emak, Filda berjaya menjadi pelajar terbaik sekolah dalam peperiksaan SPM lalu. Terima kasih kepada emak kerana sentiasa memberi kesedaran kepada Filda tentang pentingnya pelajaran. Alangkah baiknya jika emak masih ada dan kita boleh berkongsikan kebahagiaan ini…” Air mata Filda mengalir lagi ketika bibirnya selesai mengucapkan kata-kata itu. Tangannya memegang batu nesan yang dipacakkan di kubur emaknya. Terasa dari situ kasih sayang emaknya mengalir dan memberikan kekuatan padanya.
“InsaAllah dengan kasih sayang emak, mama dan abah, Filda akan menjadi insan yang berguna dan anak yang baik. Filda balik dulu emak.” Surah Al-Fatihah dibaca sebelum kakinya melangkah pergi. Moga doanya dapat memberikan kesejahteraan kepada arwah ibunya ‘di sana’. Hanya itu sajalah yang mampu dilakukan selain dari kasihnya yang berpanjangan.
Filda kembali ke rumah bersama Mariah dan abahnya. Dia juga tidak sabar untuk memberitahu berita itu kepada mama dan adik-adiknya supaya kejayaan itu menjadi perangsang mereka agar berjaya sepertinya. Dalam hatinya berkata, kehilangan ibu sebenarnya telah membuatkan dia berputus asa namun dengan sokongan yang sering arwah ibu katakan serta dengan kasih sayang mama dan abah angkatnya membuatkan dia bangun dari kesedihan itu dan menjadikan ia satu cabaran untuknya berjaya. Sekarang dia telah berjaya. Terima kasih semuanya!!!
 

Sunday, May 15, 2011

CINTA TIADA AKHIRNYA



By Cheque Sue, April 17 2009


<1>
Zubir masih merenung  cincin emas permata satu yang terletak kemas ditempatnya. Secara tiba-tiba juga fikirannya teringatkan arwah Aqilah yang genap 3 tahun kematiannya. Kalaulah kemalangan kereta 3 tahun lalu tidak terjadi, sudah tentulah sekarang ini dia bahagia bersama Aqilah dan mungkin juga anak-anak mereka.
Tetapi, kemalangan itu telah meragut segala-galanya. Pada hari itu, dia masih ingat lagi bagaimana beriya-iya Aqilah ingin memandu kereta Kancil yang baru dibelinya. Walaupun hati gusar dengan kecetekan pengalaman Aqilah di jalan raya, Zubir hanya menurut kata sementelah melihat wajahnya yang begitu teruja untuk mempraktikkan lesen yang baru diperolehinya. Tetapi kuasa Tuhan tiada siapa yang dapat menghindari. Aqilah hanya memandu perlahan tetapi akibat kecuaian pemandu lori di jalan bertentangan, Aqilah menjadi mangsa rempuhan. Matanya masih terbayang jelas wajah Aqilah yang berlumuran darah memandangnya buat kali terakhir. Dan di situlah Tuhan telah memisahkan mereka berdua selamanya…
Zubir menyimpan kembali cincin di tangannya. Memutuskan seketika ingatannya terhadap Aqilah. Tiada yang perlu diratapi. Tetapi kasih sayang dan cintanya masih tetap mekar bagai dulu kerana Aqilah adalah cinta pertama yang singgah di hatinya. Tiada pengganti yang dapat mengambil kedudukan itu. Segera Zubir menghadiahkan Fatihah untuk Aqilah, tanda cinta yang masih membara…
<2>
Restoran baru berdekatan pejabat menjadi pilihan Zubir untuk makan tengahari. Waktu agak lewat kerana dia baru saja selesai bertemu seorang pelanggan yang ingin membuat permohonan pinjaman. Sedang dia menikmati makanannya, matanya tertumpu kepada seorang perempuan tidak jauh dari mejanya. Tiba-tiba hatinya diketuk debar yang hebat. Terdetik sesuatu di jiwanya. Wajahnya persis Aqilah tetapi bertudung. Dia mempunyai tahi lalat di atas bibir. Mmmm…Aqilah bertahi lalat di dagu. Ah, sekali pandang serupa benar dengan Aqilah. Sedang dia dalam keasyikan, tiba-tiba seorang jejaka duduk di sebelah gadis tersebut. Eh, itu kan Wari, jejaka tinggi lampai yang bekerja selang satu pintu dari pejabatnya. Oh…sudah kepunyaan orang rupanya. Rasanya baru minggu lepas dia melihat Wari dengan perempuan lain, kali ini lain pulak. Banyak betul teman wanita si Wari ni. Patut la Jamal, budak penghantar surat pejabatnya menggelarkan Wari playboy.. Tiba-tiba Wari memandangnya. Dia lantas mengangkat tangannya dan memberikan senyuman. Si gadis turut sama tersenyum. Sungguh manis sekali.. Hati Zubir masih berdebar. Ingatannya terus kepada Aqilah!
<3>
Dalam perjalanan balik dari tempat kerja, Zubir singgah sekejap di stesen minyak. Sedang dia mengisi minyak keretanya, sebuah kereta BMW turut singgah berhenti mengisi minyak bersebelahannya. Zubir hanya memandang. Memang cantik la kereta tu tapi baginya, Honda Hybrid yang digunakan sekarang cukup serasi dengannya. Apabila pemandu kereta itu keluar, barulah Zubir tahu bahawa itu adalah kereta Wari.
‘Hai.’ Wari menyapa mesra. Zubir hanya membalas dengan senyuman. Sememangnya Wari seorang yang peramah. Hensem dan kaya pula. Jadi tak hairanlah jika setiap masa pasangannya silih berganti. Ni tak tahulah siapa pula yang diangkutnya.
Tiba-tiba pasangannya keluar. Eh, itu kan gadis di restoran tempoh hari. Hati Zubir berdetik lagi…

<4>
Hari minggu. Usai sembahyang subuh di masjid berdekatan rumahnya, Zubir  bercadang  untuk ke taman tasik. Elok juga kalau pagi-pagi begini berjogging sambil  menghirup udara nyaman dan menikmati kehijauan ciptaan Tuhan.  Kalau dulu dia setia bertemankan Aqilah yang sangat suka ke taman tasik. Sekarang walaupun bersendirian dia masih juga melakukan rutin tu.
Sesampainya di tapak letak kereta taman tasik, pengunjung masih belum ramai lagi. Jam baru saja melepasi angka 7. Zubir menarik nafas dalam-dalam, menyatukan dirinya dengan alam. Dia melakukan pemanasan badan.
Kiri, kanan, kiri, kanan.
Dengan lafaz Bismillah, dia memulakan langkah. Zubir hanya berlari – lari anak. Bermacam-macam ragam manusia dapat dilihat. Dan dari kejauhan itu Zubir dapat melihat seraut wajah yang kini sering singgah di layar matanya. Dia segera menghentikan langkah dan menyapa si gadis di depannya.
‘Hai.’
Si gadis nyata terkejut dengan sapaan itu lantas berhenti berjalan. Dia memandang Zubir dan mengerutkan dahi, mungkin cuba mengingati. Akhirnya dia tersenyum.
‘Hai.’ Balasnya.
‘Sorang je?’
‘Ha ah. Awak?’
‘Saya pun sorang je. Anyway, saya Zubir.’
‘Nabila.’
Mereka lantas bersalaman dan bergandingan jalan berdua.
‘Dah lama ke awak berkawan dengan Wari?’ Tanya Zubir sekadar ingin tahu.
‘Baru je lagi..dalam 3 bulan. Saya kenal dia melalui seorang student saya.’
‘Awak ni cikgu ke?’
‘Mmmm…lebih kurang la tu tapi saya mengajar di kolej.’
‘Kolej mana?’
‘Kolej Sutera.’
Zubir mengangguk. Kolej itu hanya setengah jam perjalanan dari pejabatnya. Dalam tidak sedar, sudah hampir satu keliling mereka berdua berjalan bersama. Jam pun sudah menunjukkan jam 8.30 pagi. Begitu cepatnya masa berlalu. Zubir begitu senang berdamping dengan Nabila yang jelas begitu banyak persamaan dengan Aqilah. Nabila juga nampaknya begitu ceria di samping Zubir.
Dan dalam pertemuan singkat itu barulah Zubir tahu yang Nabila berasal dari Terengganu. Senegeri rupanya mereka. Tetapi sedikit terkilan di hatinya apabila memikirkan Nabila sudahpun dimiliki oleh Wari…

<5>
Nabila masih menunggu Wari datang menjemputnya. Semalam, keretanya rosak tiba-tiba dan sudah dihantar ke bengkel. Pagi tadi dia ke kolej dengan teksi. Sejak setengah jam tadi dia setia menunggu di lobi Kolej Sutera. Ada beberapa rakan yang mengajaknya pulang bersama tapi dia menolak sopan. Wari sudah berjanji untuk menjemputnya. Hampir setengah jam, kelibat Wari masih belum kelihatan. Nabila resah. Hari semakin menginjak ke malam. Segera dia menelefon Wari tetapi malangnya terus ke peti suara. Gelisah dan geram. Risau turut bertandang. Nabila mencuba sekali lagi tetapi panggilannya tidak bersambut. Tidak ingin menunggu lama, Nabila segera bergerak ke hentian teksi, menunggu jika ada teksi yang lalu di situ. Tak guna terus menunggu…
Selesai solat Isyak, Nabila segera ke dapur untuk makan malam. Deringan telefon membantutkan perjalanannya. Wari. Dengan jiwa yang kosong Nabila menyambut panggilan itu.
‘Sayang, sorry la tadi I tak dapat ambil you.’  Wari bersuara di hujung talian.
‘No problem. You kan dah biasa buat I macam tu. Kali ni apa alasan you nak bagi pada I?’ Balas Nabila dengan nada suara yang sengaja dimanjakan.
‘I betul-betul ada hal tadi. Fon I pulak dah low batt. You balik dengan apa tadi?’
‘Tak perlu la you risaukan I. yang pentingnya I dah selamat sampai di rumah. Lain kali kalau you tak boleh datang tak payahlah nak buat I berharap..’ Nabila segera mematikan perbualan mereka. Geram sungguh hatinya dengan perlakuan Wari yang kini penuh dengan alasan…

<6>
Skrin komputer di hadapannya dipandang kosong. Fikirannya melayang. Dia teringatkan Nabila. Pertemuan mereka di taman tasik benar-benar telah memberi kesan mendalam pada Zubir. Dia bagaikan mendapat semula semangatnya yang hilang bersama pemergian Aqilah. Tetapi apa yang menyakitkan hati apabila dia melihat kelibat Wari yang memasuki sebuah hotel bersama seorang gadis genit berskirt pendek. Gelagat mereka yang mesra mendatangkan perasaan tidak enak pada Zubir. Dia memikirkan bahawa Nabila sudah ditipu oleh Wari. Bermakna Wari hanya mempermainkan Nabila! Dia mesti memikirkan bagaimana mahu memberitahu hal sebenar kepada Nabila. Sesungguhnya dia sudah menyukai gadis itu dan tidak mahu Wari melukakannya..

<7>
Zubir menerima panggilan dari emaknya pagi semalam. Adik bongsunya yang berkahwin  hujung tahun lepas telah selamat melahirkan anak kembar lelaki dan perempuan. Jadi,   hajatnya hujung minggu ni dia mahu balik ke Terengganu. Seingatnya sudah lampir 2 bulan dia tidak balik kampong. Bagaimana kalau dia ajak Nabila sekali? Kalau Nabila setuju, tak adalah dia boring sangat memandu sorang-sorang. Segera dia menelefon gadis itu. Alhamdulillah Nabila menyatakan persetujuannya. Entah kenapa perasaannya berbunga-bunga dengan persetujuan itu. Mungkin pada masa itu dia boleh mengenali Nabila dengan lebih rapat dan memberitahu hal sebenar kepadanya.

<8>
Wari masih berada di Hot Club ketika Nabila menelefonnya. Anita yang memeluknya erat sekadar menjeling, memberikan amaran barangkali kapada Wari. Gadis tinggi lampai persis Linda Onn yang dikenali minggu lalu sememangnya memikat jiwa Wari. Cantik, seksi dan manja sememangnya gadis idamannya. Nabila? Sekadar koleksi di dalam hidupnya. Sebenarnya dia sudah jemu dengan Nabila yang padanya sangat kekampungan dan sangat berharap untuk berkahwin dengannya sedangkan dia masih mahu menikmati keindahan duniawi. Kelebihan yang ada padanya tidak akan dibiarkan begitu sahaja. Perempuan seperti Nabila, dengan mudah saja dia mendapatkannya. Tangan Anita diraihnya dan mereka bergerak ke lantai dansa…

<9>
Zubir mengajak Nabila makan malam bersama. Betapa suka hatinya apabila Nabila bersetuju. Dia menjemput gadis itu dan  mereka berdua bersetuju untuk menikmati seafood di Pelabuhan Kelang. Angin malam dan kerlipan bintang-bintang jauh di horizon melengkapkan malam mereka. Sebenarnya Zubir ingin mengenang kembali kenangan bersama Aqilah yang sangat gemar ke Pelabuhan Kelang. Kalaupun tidak menikmati ketam cili kegemaran, sekadar menikmati puputan bayu malam cukup menggembirakan meraka berdua. Dan seperti telahan Zubir, Nabila juga gemarkan lautan.
‘Minggu depan ni saya nak balik kampung, nak ikut tak?’ Tanya Zubir sambil menghirup tomyam udang.
‘Wah, seronok tu. Lagipun dah lama saya tak balik. Boleh jugak.’ Ceria suaranya.
‘Kena Tanya Wari dulu ni, nanti tak pasal-pasal dimarahnya saya sebab melarikan buah hati dia.’ Katanya sekadar menduga.
‘Dia tak kisah pun…’ Jauh hati bunyinya!
Zubir bersorak keriangan. Jauh di sudut hatinya dia gembira dengan kesudian itu tapi dalam masa yang sama dia risau juga dikata mengambil kesempatan. Memang dia tahu sekarang perhubungan Nabila dan Wari bagai telur di hujung tanduk. Tetapi, dia betul-betul sudah membukakan hatinya yang selama ini terkunci rapat setelah pemergian Aqilah. Nabila telah berjaya membuka kembali pintu cinta di hatinya…

<10>
Nabila hanya tersenyum setelah kereta yang dinaikinya bersama Zubir mula melintasi sempadan Pahang-Terengganu. Lima jam dari Kuala Lumpur, Nabila sudah tidak sabar untuk menjejakkan diri ke tanah tumpah darahnya itu. Rindunya pada pasir pantai dan ombak laut tidak dapat ditahan lagi.
‘Sudah-sudahlah senyum tu…kejap lagi kita sampai lah’. Zubir mengusik Nabila yang sejak tadi mengukir senyuman manis.  Tidak terasa penatnya memandu memandang wajah Nabila yang tenang. Perjalanan juga tidak terasa lamanya kerana ada Nabila menemani, setia bersembang itu dan ini dengannya. Bergelak ketawa dan usik mengusik, bahagia terasa seketika..
Dia menghantar  Nabila ke rumah terlebih dahulu sebelum bergerak ke rumahnya. Sempat juga dia bersua muka dengan ayah dan ibu Nabila yang sangat baik hati dan peramah.

<11>
‘Zubir, ayah nak datang ke rumah ni, boleh tak?’ Zubir menerima panggilan telefon dari Nabila.
‘Eh, apa pulak tak bolehnya. Datanglah.’ Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, tersenyum lebar si Zubir mendengar bait-bait perkataan itu.
Selang 15 minit, kereta Datsun putih memasuki halaman rumahnya. Emak yang sedia maklum akan kunjungan itu menanti di pintu, memuliakan tetamu.
‘Assalamualaikum…’ Puan Zubaidah, umi Nabila mengucapkan salam.
‘Waalaikumussalam.’ Mereka dua beranak  saling bersalaman. Zubir pula cepat-cepat menjemput ayah Nabila naik ke rumah.
‘Minta maaf la kami datang ni tidak diundang. Kebetulan tadi datang ke rumah saudara di kampung sebelah. Alang-alang dah ada dekat sini kami singgah la tengok cucu-cucu katanya..’ Encik Naim berkata setalah melabuhkan punggung di sofa. Isterinya dan Nabila sedang melihat anak saudara Zubir.
‘Umi kata nak datang tengok Anas dan Sarah…’ Nabila menyampuk. Dia yang sedang memangku Anas menjeling ke arah Zubir dan memberikan senyuman.
Mereka berbual-bual kosong. Zubir bagaimanapun tak melepas pandangannya terhadap Nabila yang begitu terserlah sifat keibuannya semasa memangku Anas. Dia kelihatan mesra dengan adik dan ibunya.
Kali ini, Zubir akan berusaha mendapatkan Nabila!

<12>
‘Umi nak tanya sikit ni Zubir.’ Mak Som bertanya sambil menyendukkan nasi ke pinggan anak sulungnya.
Zubir mendongak dan memandang ibunya.
‘Apa hubungan Zubir dengan Nabila tu?’
Gosh…terkejut dengan pertanyaan ibunya, Zubir mempamerkan senyum poyonya.
‘Zubir kawan-kawan je dengan dia umi. Kami baru je kenal.’
‘Zubir, kalau kau sukakan Nabila tu, lebih baik cakap terus terang. Umi tak nak nanti kau jadi bujang terlajak pulak. Umi pun berkenan dengan Nabila tu. Dekat pun dekat. Sekarang ni dah sampai masanya kau berumah tangga Zubir…’ Mak Som yang sedia maklum akan kisah duka Zubir dan Aqilah bersuara lembut. Dia tidak mahu anaknya terus hanyut di lautan lara. Dia ingin Zubir bahagia.
Zubir memandang uminya penuh makna… Fikirannya teringat pada Aqilah!

<13>
Nabila meletakkan beg yang telah dikemasnya berhampiran pintu. Zubir telah menelefon dan memberitahu akan sampai setengah jam lagi. Dia menghampiri uminya yang sedang menyapu dihalaman. Segera dia melabuhkan punggung di buahan yang tergantung di dahan rambutan.
‘Nabila rasa macam tak nak balik lagi umi. Belum puas lagi rasanya berada dengan umi dan ayah.’
‘Hish…Nabila kan kerja. Lain kali kalau ada cuti boleh ajak Zubir balik lagi.’
Aikk… kenapa pulak nama lelaki itu yang umi sebut-sebut. Dia hanya menjeling.
‘Umi, kalau dia ajak Nabila ye jugak. Kalau Nabila yang ajak macam tak kene laaa…’
‘Umi tengok Zubir tu baik budaknya. Ayah pun cakap macam tu. Nabila bukan tak tahu perangai ayah.’
Yelah, ayahnya memang peramah tetapi sangat cerewet tentang kawan-kawan lelakinya tetapi berbeza dengan Zubir, pertama kali berjumpa mereka terus mesra. Kalaulah Wari yang  Nabila bawa balik ke rumah, mesti banyak yang disoal oleh ayahnya. Maklumlah, polis pencen la katakan!
‘Nabila kawan je umi dengan Zubir tu. Baru je lagi. Tak ada apa-apa pun.’
‘Umi suka kalau dapat menantu seperti dia.’
Nabila terasa seperti ada sesuatu terlekat di kerongkongnya! Hatinya berdebar tiba-tiba.
Zubir sampai ke rumah Nabila 20 minit kemudian. Ketika itu, hanya Puan Zubaidah sedang duduk di pangkin. Zubir mendekati dan segera menyalami.
‘Zubir, makcik nak cakap sikit boleh tak? Jangan terasa hati pulak ya.’
Ish, apa pulak ni? Berdebar jugak Zubir dibuatnya.
‘Makcik harap Zubir dapat jaga Nabila baik-baik. Dialah satu-satunya anak perempuan makcik.’
Apa maknanya penerangan Puan Zubaidah ni? Zubir merenung. Dia tiba-tiba mendapat keberanian yang entah dari mana.
‘Makcik, saya sebenarnya sudah mula sukakan Nabila dan saya harap pakcik dan makcik mengizinkan saya untuk mengenali Nabila dengan lebih rapat lagi.’
‘Apa yang baik untuk Nabila, baik la untuk kami. Makcik percayakan Zubir.’
‘Idah…kenapa tak diajak Zubir naik? Kenapa bersembang di bawah? Naik la minum-minum dulu.’ Jeritan Encik Naim mengejutkan mereka.
Sebelum naik ke rumah, Puan Zubaidah sempat berpesan kepada Zubir.
‘Makcik serahkan Nabila pada Zubir…’
<14>
Wari bersandar di sisi keretanya. Matanya meleret jam di tangan. Sepatutnya Nabila sudah keluar dari pejabat tapi masih belum nampak batang hidungnya. Wari sudah dilanda kebosanan. Sebenarnya sudah agak lama dia tidak berhubungan dengan Nabila. Kiranya ini satu kejutan kepada gadis itu. Dia ingin mencantumkan kembali tali perhubungannya yang agak kendur.
Hampir 40 minit menunggu, barulah ternampak kelibat Nabila keluar dari lobi sambil menuju ke keretanya. Jambangan bunga yang diletakkan di bonet kereta segera dicapainya. Nabila memusingkan kepalanya ke kiri dan kanan, mencari-cari siapa yang meletakkannya di situ.  Dia agak tergamam melihatkan Wari sedang memandangnya. Segera dia mengukirkan senyuman apabila Wari mengatur langkah ke arahnya.
‘Apa mimpi you datang cari I ni?’ Nabila menyapa sinis.
‘Hai, takkan nak ada apa-apa dulu baru I boleh jumpa you.’ Wari tersenyum. Dia perlu meyakinkan Nabila untuk terus menyenanginya.
‘I ingat you dah lupa.’
‘Mana I boleh lupa pada orang yang I sayang…’
‘You masih sayang I?’
Wari tersenyum dan mengangguk lalu mencapai tangannya… Nabila kalah dengan senyuman itu.
<15>
Selesai urusan di Putrajaya, Zubir menelefon Nabila. Hajatnya untuk makan bersama. Sudah seminggu dia tidak berhubungan dengan gadis itu. Masing-masing sibuk. Ada sedikit rasa rindu dijiwanya.
‘Hai Nabila. Apa khabar?’ Ceria suaranya menyapa.
‘Eh Zubir. Lama tak dengar berita.’ Nabila agak terkejut dengan panggilan yang diterimanya.
‘Memang la Nabila. Sehari dua ni sibuk sikit. Awak free tak hari ni?’
‘Hmmmm, kenapa?’ Dahinya berkerut.
‘Jom saya belanja lunch.’
‘Lunch? Saya dah janji dengan Wari. Kalau awak tak kisah, come and join us.’
Allah, manalah dia sanggup menjadi orang ketiga antara mereka. Nanti dia pulak yang makan hati.
‘Kalau macam tu, lain kali la. Saya taknak la kacau.’
‘Sorry ye Zubir.’
Nafasnya bagai terhenti. Nabila ternyata masih milik Wari!

<16>
Zubir mengeluh. Nampaknya dia terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Kepenatan yang sejak tadi dirasai tambah menekan dirinya. Perut yang lapar, badan melengas dan tubuh tidak selesa semuanya bersatu membuatkan Zubir ingin menjerit. Rasanya dia sudah lewat keluar dari pejabat dan kebiasaaanya ketika ini jalan sudah agak lengang. Agaknya ada kemalangan. Lain macam benar sesaknya jalan ni.
Bagi menghilangkan kecelaruan perasaannya, Zubir membuang pandangan keluar. Kiri dan kanan jalan meriah dengan deretan kedai dan pusat-pusat hiburan yang mula beroperasi. Di satu sudut Zubir melihat kumpulan mat saleh sedang bersukaria. Di sudut yang lain pula sekumpulan wanita sedang bergelak ketawa. Dan di antara mereka dia melihat Wari dalam pelukan seorang perempuan. Lagaknya seperti sedang khayal dan di awan-awangan. Perasaannya memberontak. Kali ini dia mesti menyelamatkan Nabila dari terus hanyut dengan kasih palsu Wari.. Jarinya lincah menekan pad telefon…

<17>
Nabila tersentak. Dia terkejut dan memandang tajam ke arah Zubir. Tak sangka Zubir tergamak membawanya ke tempat begini. Terasa menyesal kerana bersetuju dengan ajakan Zubir. Matanya masih tidak lepas dari memandang Zubir dan mengharapkan penjelasan. Dia tidak suka dengan semua ini. Zubir yang memahami perasaan Nabila segera memujuknya. Bukan saja Nabila, dia juga tidak suka tempat-tempat begini.
‘Nabila, untuk kali ni je saya harap awak dapat percayakan saya. Semua ini untuk kebaikan awak juga.’
‘Saya tak faham Zubir. Kenapa awak bawa saya ke sini?’
Zubir menarik nafas panjang. Dia mengharapkan pengertian Nabila. Dia pasti seratus peratus yang Wari ada di dalam. Dia ingin membuktikan kepada Nabila siapakah Wari yang sebenar.
‘Kita masuk ke dalam. Ada sesuatu yang perlu awak tengok.’
Belum pun Nabila menyatakan persetujuannya Zubir segera menariknya. Dalam keterpaksaan, Nabila hanya mengikut. Dia mendekatkan dirinya kepada Zubir, bimbang terpisah dengan lelaki itu. Dalam kelab yang hingit bingit dan penuh ragam manusia itu macam-macam boleh berlaku.
Zubir masih melilaukan mata mencari Wari. Ya Allah, tunjukkanlah kebenaran kepadaku. Hah, di sana! Dia segera memberitahu Nabila.
Subhanallah, drama apakah yang disaksikan ini? Wari, insan yang disayangi, yang dicintai berpelukan mesra dengan insan lain yang bukan muhrimnya. Paling menyedihkan, deretan botol arak dalam genggaman mereka. Nabila tidak dapat menahan kesayuan hati bergegas keluar dari kelab yang dirasakan panas membara itu. Zubir mengikuti dari belakang…

<18>
Zubir memandang kejauhan. Wajah Nabila terbayang. Wajah Aqilah datang bertandang. Dua gadis yang istimewa di hati, sering mengganggu kesepian malam dengan kerinduan terhadapnya. Zubir akui kehadiran Nabila banyak memberi semangat kepadanya terutama apabila dia disaat-saat getir dan memerlukan sokongan. Nabila bagaikan jelmaan Aqilah. Sempurna segala-galanya. Dia pasti Tuhan memberikan Nabila sebagai ganti Aqilah yang telah diambilNya.. Dan dia pasti suatu hari nanti Nabila akan menjadi miliknya abadi. Cincin emas permata satu khas untuk Aqilah sudah pasti akan jadi milik Nabila.

<19>
Nabila masih teragak-agak untuk menerima pelawaan Zubir pagi minggu itu. Dia masih terkesan dengan apa yang berlaku. Tetapi mengenangkan Zubir yang telah banyak membantu, dia bersetuju. Mereka sepakat untuk ke Tanjung Sepat. Mungkin juga deruan ombak akan lebih menjernihkan keadaan.
Zubir faham keadaan Nabila. Dan kerana itulah dia mahu selesaikan segalanya. Dia turut merasa bersalah dengan apa yang telah berlaku walaupun niatnya ikhlas untuk membantu Nabila. Dan selebihnya dia mahu menjadi doktor yang merawat segala kedukaan dan kelukaan gadis berumur 28 tahun itu.
Cuaca terang. Ceria. Camar laut berterbangan bebas di angkasa dan sekali sekala menjunam ke laut menangkap ikan. Nabila dan Zubir hanya diam menikmati keindahan alam. Mungkin jua berfikir apa yang hendak diucapkan.
‘Nabila…saya betul-betul nak awak tahu yang saya ikhlas membantu awak. Sebenarnya dah lama saya kenal Wari, dah lama saya tahu perangai dia. Sebab tu lah saya tak mahu awak terus berharap padanya.’
‘Saya dah lupakan semua tu. Wari adalah kenangan pahit dalam hidup saya. Mungkin sudah tiba masanya saya tumpukan pada kerjaya saya.’
Zubir menganggukkan kepala. Dia ingin berkongsi kisahnya dengan Nabila. Cincin di dalam poket bajunya dikeluarkan dan dihulurkan kepada Nabila.
‘Eh, apa ni?’
‘Saya hadiahkan cincin ni untuk Nabila’
Nabila memandang kehairanan.
‘Sebenarnya cincin ni untuk seorang gadis yang pernah saya sayang.’
‘So?’ Nabila teruja ingin tahu kisah selanjutnya.
‘Tetapi Tuhan lebih menyayanginya. Dan cincin ni tak sempat saya berikan padanya. Sekarang saya mahu Nabila menerimanya sebagai tanda kasih sayang saya.’
‘Tapi saya tak boleh terima Zubir. Saya tak layak menerimanya.’
‘Tapi saya sayangkan awak Nabila. Saya cintakan awak. Saya ingin mengubat kelukaan hati awak seperti apa yang telah awak berikan pada saya.’
Nabila tergamam. Dia tidak menyangka dalam diam Zubir menaruh hati padanya.

<20>
Nabila tersenyum setelah hampir sejam bersembang dengan uminya. Pelbagai topik diceritakan. Semua yang berlaku dilaporkan. Dia hanya menadah telinga mendengar umi berleter dan memberi nasihat. Yang paling mengejutkan, umi cukup setuju dengan pemberian cincin dari Zubir dan berharap Nabila menerimanya. Mungkin umi tidak tahu bahawa Nabila telahpun menyarungkan cincin itu ke jari manisnya…

<21>
Wari baru saja bertemu dengan Anita. Pun begitu entah mengapa dia begitu geram dan rasa marah. Mana mungkin Anita mempersoalkan haknya untuk bersosial dan bersuka ria. Dia masih muda, masih belum puas bergembira. Sebab itulah dia segera meninggalkan Anita dan mencari Nabila di kolej.
Tapi, entah di mana Nabila berada dia tidak tahu. Telefonnya ditutup. Wari hilang punca. Dia tidak tahu bagaimana lagi hendak mencari Nabila. Takkan la Nabila pun nak cari pasal dengannya. Hish, geramnya. Baru saja dia hendak masuk ke kereta, kelibat Nabila masuk ke lobi dipandangnya. Segera dia berlari mendapatkan Nabila.
‘Mana you pergi ni sayang…dari tadi lagi I tunggu. I call you tak dapat.’ Wari menegur. Nabila menyuruh temannya masuk dulu. Mereka sebenarnya baru siap lunch.
‘Kenapa? You nak I laporkan semua pergerakan I ke?’ Nabila bersuara tegas.
‘Takde la. I ingat tadi nak ajak you minum. Dekat Megamall ada Food Carnival tau. Kita pergi nak?’ Lagak Romeo memujuk.
‘Wari, you listen here. I rasa setakat ni je la perhubungan kita. I think better kita bawa haluan masing-masing.’ Nabila merenung Wari.
‘What? What you mean?’ Wari cuba meraih tangannya.
‘Wari, I tak sesuai untuk you. Lagipun kalau I pergi dari hidup you, you masih ada ramai teman-teman yang boleh menemani you.’ Lembut tuturnya mengharapkan pengertian Wari.
‘Nabila, how can you say like that? You tahu kan I sayangkan you.’
‘Hidup I dan you berbeza Wari. I harap selepas ini you dapat mengubah kehidupan you ke arah yang lebih baik. Maafkan I.’ Betapa leganya hati Nabila dapat menuturkan ayat-ayat itu. Dia mengharapkan selepas ini Wari akan berubah.
Wari hanya diam…                          
                                        <22>
Hati Zubir berdebar kencang. Balik dari pejabat tadi dia segera sembahyang dan bersiap. Nabila menelefon dan ingin bertemunya. Sesungguhnya tiada yang lebih menggembirakan apabila perhubungannya dengan Nabila sudah pulih dan mula membibitkan benih-benih kemesraan. Dia tahu Nabila memerlukan masa untuk menerima kehadirannya dan dia akan memberi masa itu sehingga Nabila sudi menyambut huluran tangannya.
Selesai bersiap, dia segera memandu ke rumah Nabila.
Nabila masih menyiapkan diri sementara menunggu Zubir datang menjemputnya. Pada malam itu dia mengenakan busana istimewa. Dress labuh bercorak geometri dan seluar longgar berwarna putih. Tudung putih bertaburan kristal menyerlahkan penampilannya. Tidak lupa juga cincin pemberian Zubir. Dia ingin mengejutkan Zubir pula. Sudah tiba masanya dia memikirkan masa depan. Pandangan umi dan perasaannya jelas menyatakan Zubir bakal menemaninya sehingga ke hujung nyawa. Dia tidak mahu melepaskan peluang ini.
Tidak menunggu lama, Zubir membunyikan hon tanda sudah sampai. Dan Nabila mencapai beg tangan putihnya lalu bergerak keluar. Dari jauh dia mengukirkan senyum buat Zubir. Dari pandangan itu, tak perlu ditanya lagi. Dan kerlipan di jari manisnya menjelaskan segala persoalan di kepalanya.
‘Terima kasih Tuhan kerana menghadiahkan aku permata berharga ini.’
Di hujung tirai mata, Zubir melihat wajah Aqilah tersenyum padanya…