Showing posts with label Cheese Cake. Show all posts
Showing posts with label Cheese Cake. Show all posts

Wednesday, February 26, 2025

Basque Burnt Cheesecake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Nahhh...rupa rupanya tahun ni pun sama sibuknya juga, malah berlebih lagi. Jarak tempat kerja yang jauh, dengan nak melayan anak seorang yang tengah memerlukan 200% perhatian, memang tak mampu nak bersenang-senang meluahkan perasaan. Tapi saya cuba okay, cuba! Ada niat tu pun dah ok kan? Walaupun niat tak menghalalkan cara. He he he...

Bila je cerita pasal kek keju hangit ni, memang viral sangat satu ketika dulu. Bila dah viral ni mula lah kita pun nak cuba jugak. Tengoklah kejadiannya, memang hangit betul!


Nak kata jadi tu memang la jadi, cuma terlebih bakar agaknya + guna oven kecil. Saya dah buang sikit lapisan atas tu kalau tak takleh nak makan. Rasa dia lebih kurang je dengan cheesecake yang biasa jual kat kedai tu, tapi saya lebih suka cheesecake yang ala ala gebu sikit. Cuma itulah, kalau cakap dengan kengkawan boleh la kata kita pun dah cuba...

Monday, September 24, 2018

Blueberry Cream Cheese Crumble

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Pertama sekali saya nak minta maaf sebab dah agak lama saya mencari siapa empunya resepi ni. Saya pun tak ingat dari sumber mana, tapi agak pasti saya mendapatnya dari IG. Saya ada menulis resepinya tapi agak tak berapa rajin nak menulisnya semula. Nantilah kalau saya  ada angin rajin yang entah bila nak datang tu saya akan rewrite dan kongsikan.


Saya nak share ni bukan apa. Sebab resepi ni memang sedap sangat sangat. Tahu tahu sajalah kan, apa apa yang bercheese bergandingan pulak dengan blueberry memang tak salah, memang pasangan yang sepadan bagai pinang dibelah dua gitu. Makan sepotong memang tak cukup. Dan saya sarankkan sape sape yang tengah diet toksah dok berangan nak buat crumble ni lah ya. Kang menyesal tak sudah pulak.

Korang doa doakanlah saya ada keyakinan nak menulis semula resepi ni ya. Memang malas tahap gaban ni. Nak SC kamera telefon dah rosak, memang nak tak nak kena salin jugak. Saya pun nak ada simpanan di sini apa apa nanti senang nak rujuk. Tolong doakan eh..


 "Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau lapangkanlah dadaku, tenangkanlah fikiranku dan permudahkanlah segala urusanku.... Amin"

Friday, October 16, 2015

Blackcurrant Cheese Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Saya dah pernah bagitahu kan, yang saya sukakan baked cheesecake. Bukan kata hantu sangat, tapi ada kalanya saya sangat2 teringin nak makan. Jadi bila teringin tu tau2 ajelah nak tak nak memang kena buat la jawabnya. 


Maybe ada silap ni kat mana-mana. Bahagian atasnya merekah bila dah siap dibakar. Tapi tak kisahlah, bukan untuk sesape hanya diri sendiri aje...


Wednesday, July 29, 2015

Chilled Cheese Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Sekadar perkongsian...

Ini kali pertama saya  buat dan makan cheesecake yang tak dibakar. Rasa memang tak kena dengan selera, apatah lagi kena makan dengan sudu garpu barangkali terlebih cecair semasa mengadun.




Monday, July 6, 2015

Kek Batik Cheese Krim Kraker

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Saya memang sukakan cheesecake dengan biskut krim craker gini. Lebih kurang dengan cheesekut juga cuma yang ini versi malas, yang dilambakkan sekaligus dalam bekas. Kali ni saya gunaka biskut krim kraker jenama LEE yang saya rasa memang sangat sedap jika dibandingkan dengan biskut cap ping pong yang selalu saya guna. Siapa yang pernah makan biskut ni tahu la ya... rasanya memang agak lite dan lebih berlemak gitu.


Rupa paras biskut yang saya guna. Tak sampai habis cuma separuh saja untuk seketui cream cheese.


Thursday, February 12, 2015

Blueberry Cheesecake Versi Cup Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Cheesecake...siapa yang tidak suka? Meskipun tergolong dalam jenis makanan berprofil tinggi, yang bakal menambahkan tempekan lemak di badan, tetapi siapa peduli kerana rasanya yang tersendiri membuatkan kita terlupa seketika istilah makanan yang menggemukkan. Lagi pula apa dikisah... bukannya nak makan setiap hari, sebulan sekali pun belum tentu jumpa dengan cheesecake ni kan...

Alkisahnya cream cheese saya ni beli di Terengganu hujung tahun lepas, kemudian bawa balik ke Kelantan. Balik dari Korea tu ingat nak buat makan2 dengan budak2 tapi Adam pulak bersunat. Macam kesian la kan kita dok melantak dia nengok aje. Jadi bawa semula ke CH awal tahun haritu. Dah sampai sini kena la fikir nak buat apa untuk melantak seorang diri...


Bila ada cream cheese ni, memang tak boleh dipisahkan dengan cheesecake. Saya pulak beli CC yang besar, separuh dah buat cheesekut, jadi tinggal lagi separuh dok keluar peti sejuk. Dok plan nak buat cheesecake, tapi nak buat versi cuppies. Bukan apa, senang sikit nak makan pastu nampak la lain sikit kan....


Monday, December 22, 2014

Cheesekut

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Kek, atau hendak diklasifikasikan sebagai apa... yang sangat mudah dibuat dan rasaya sangat sedap juga. Saya pasti ramai yang dah buat cheesekut ni, barangkali saya saja yang tertinggal kapal terbang kerana baru saja mencuba. Cheesekut ni lebih kurang adik beradik tiri la dengan kek lapis cheese persona, cuma masing2 ada rasa yang tersendiri. Kalau guna biskut meri lain sikit la rasanya jika dibandingkan dengan biskut krim kraker. Kebetulan stok biskut krim kraker masa pergi kem ada belen lagi, dan CC pun ada jugak, jadi saya on sajalah projek cheesekut ni, sementelah terpandang dekat Google step by stepnya yang sangat senang.



Monday, November 24, 2014

Kek Lapis Red Velvet Cheese

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Saya dah lama sangat nak try kek lapis RVC ni. Kalau RVC yang kita selalu buat tu merupakan kek feveret saya, maka versi kek lapis ni pastinya mempunyai kisah yang berbeza. Kalau di kira2 memang dah lama saya tak baking kek... kadang3 mood ada tapi bahan tak ada. Bila cukup bahan mood pula entah ke mana2...

Macam biasalah, saya buat kek ni separuh sukatan sahaja. Dan sudah pasti rasanya memang sedap kerana RV dan cheese ibarat irama dan lagu yang saling melengkapkan satu sama lain. Buatlah cara macam mana pun keduanya akan serasi bersama.



Saturday, October 4, 2014

Mango Casablanca

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Mango casablanca! Akhirnya.... #menulisdenganmoodsenyum...

Kebetulan gi pasar malam, ada orang jual buah mangga. Owh my dear, dah lama dok tunggu, akhirnya ada di depan mata. Tak tahulah apa jenis mangganya tapi bukanlah mas hitam atau jenis yang berbau semerbak tu. Sekilo RM5. Saya beli 4 bijik je. Dok bajet2 cukup la sebab tak riki resepi dulu sebelum tu. Saya bukan apa yang nak buat sangat mango casablanca ni. Kebetulan ada stok whip cream dan cream cheese, tambah pulak nak cuti dah ni kena la habiskan semua benda2 cepat rosak tu.



Monday, September 22, 2014

Kek Lapis Cheese Persona

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Selamat kembali ke sekolah ya kengkawan para cikgu cikgi kat Malaysia ni. Saya sepatutnya attend miting kat Klang tapi aiiii takleh nak gi le pulok sebab banyak sangat komitmen yang perlu disiapkan di sekolah. Harapnya dapatlah diselesaikan sebelum keluar miting lagi minggu depan.

Saya sebenarnya tak cadang nak buat kek ni. Sebetulnya bila beli cream cheese, saya memang nak buat mango casablanca tapi sekarang ni mana la nak dapat buah mangga kan... sah2 buah duku rambutan yang banyak terdapat di pasaran. Tapi daripada dok keluar masuk peti ais benda cream cheese tu saya pun buatlah setengah adunan kek lapis cheese persona ni. Memula nak buat cheeskut tapi nengok ke biskut krim kraker tu eh dah retak seribu pulak. 


Saturday, November 30, 2013

Sponge Cheese Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Inilah yang dikatakan dugaan berblog. Bila nampak orang lain buat atau cuba, kita pun sibuk2 jugaklah cari bahan2 kat dapur. Kalau ada terus boleh cuba jugak, tapi kalau bahan tak cukup tu resah gelisah rasanya nak terus ke kedai mendapatkan apa yang kurang untuk membuat apa yang di hadapi.

Begitu juga degan penangan kek span krim keju ni. Saya buat selepas sehari Kak Lina mengongsikannya di blog. Semua bahan dah ada, jadi terus on projek. Tapi saya hanya buat setengah adunan sahaja, menghabiskan krim keju yang digunakan untuk membuat frosting. 


Sebenarnya resepi kek span yang Kak Lina olah tu dah selalu jugak saya guna. Tapi tak terfikir jugak untuk memasukkan CC ke dalamnya. Cuma hasil pertama saya ni tak la cantik, agak kurang menjadi jugak kerana terbantat sedikit di bahagian bawahnya. Masa cairkan CC, masih ada yang berketul2 gitu. Saya selalu sahaja fail bab nak cairkan CC ni. Tapi seperti yang dketahui, kalau kek yang ada CC ni, bantat sikit pun tak apa sebab masih lagi boleh di makan dan tak mengubah rasa kek berkenaan. ** Sambil2 nak memujuk hari jugak ni!


Pada saya kek ni sangat sedap dan hampir menyerupai kek keju yang selalu dibeli d TESCO. Tengok sahajalah dalam gambar di atas, boleh nampak kegebuan dan ringannya kek yang terhasil. Dan jangan risaulah, kek ni memang akan dibuat lagi lain kali. Stok CC pun dok ada je dalam esbok tu. Tinggal datang angin rajin je..

Kat dalam gambar dibawah ni boleh nampak kek yang bantat seperti saya cerita kat atas tu. Sadis kan? Yang atas tu dah spongy dah... Apapun TQ Kak Lina yang berkongsikan olahan ni. Saya copy semula resepi di bawah untuk rujukan akan datang.


RESEPI SPONGE CHEESE CAKE
By : LiNa Pg
 
Bahan-bahan (Saiz 9inci )
150g Tepung Super Fine
1 st serbuk penaik
150g gula kastor (LiNa Pg gn 120g)
5 biji telur gred A
1 sudu besar ovellete
80ml air biasa
80ml minyak/butter cair
250g cream cheese

Cara-cara
Cairkan cream cheese secara double boil.Sejukkan sebentar
Tepung super fine dan serbuk penaik diayak terlebih dahulu.
Satukan gula, ovalette, tepung, serbuk penaik dan telur dalam mangkuk adunan.
Pukul hingga pekat dan gebu selama 5 minit dengan kelajuan tinggi.( tapi nie terletak kepada kalajuan pengadun)
Perlahankan kelajuan dan masukkan air pukul lagi dengan kelajuan tinggi selama minit atau sehingga aduan kek benar2 ringan.
Tuangkan minyak/ mentega cair dan juga cream cheese ke dalam adunan dan gaul dengan senduk/spatula sehingga sebati.
Sediakan tin pembakar bulat 9inci atau 4segi ukuran 8inci, griskan dasarnya dan lapik kertas serap minyak. tuangkan adunan dan bakar selama 45minit atau hingga masak pada suhu 150 - 180darjah celcius (LiNa Pg bakar suhu 165'C)
Bila dah masak terus keluarkan dari oven dan telangkupkan kat atas redai kek...lebih kurang 5 minit...bagi mengelakkan kek kita kecut.
Kemudian bolehlah diterbalikkan semula kek, biarkan sejuk sebentar.Keluarkan kek dari loyang.Sejukkan di atas redai.
kek dimasak mengunakan api bawah dan atas

 

Monday, November 11, 2013

Black Forest Cheese Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Sejak kebelakangan ni, selera terhadap cheese cake memang tinggi. Dalam tidur terbayang-bayang kata orang. Stok cream cheese memang sentiasa ada. Bila saja terasa nak makan, terus boleh cari resepi dan buat. Tetapi black forest cheese cake ni bukanlah yang saya idam-idamkan untuk dirasa. Saya sebenarnya ada salin satu resepi BFCC tetapi belum berniat untuk mencuba.

Nak kata macam mana ya? Saya ada buat satu kek span coklat, tetapi menggunakan loyang yang agak besar untuk satu adunan. Jadi seperti yang boleh dilihat ianya agak nipis dan tidak sesuai untuk di hias. Puas jugak saya fikir nak buat apa dengannya. Lepak dalam peti ais dua malam, jadi nak tak nak memang saya kena buat sebelum ianya rosak dan terpaksa dibuang.


Jadi saya belilah satu tin Royal Blueberry yang digunakan untuk membuat filling tart. Dengan berpandukan resepi yang saya dah salin, saya ubahlah ikut suka untuk menjadikannya BFCC. Untuk resepi cheese cake saya menggunakan resepi strawberry CC dari DTS. Itu merupakan salah satu resepi yang saya dok lama ushar, nak membuatnya yang tak berseru lagi kerana menggunakan cream cheese yang agak banyak.

Tetapi kali ini, pejam sebelah mata dan buat ikut resepi memandangkan kek coklatnya pun agak banyak juga. Saya meggunakan springform 10" untuk resepi ini. Memang puas hati sangat-sangat.


Bila nak masukkan ke dalam loyang, patutnya saya lapiskan dulu dengan filling Royal Blueberry tetapi saya LUPA! Terus saja saya tuang adunan cream cheese ke dalam loyang. Adoyaiii.... nak tak nak terpaksalah saya masukkan filling dari atas, sebab itulah nampak kedudukannya yang tidak sama rata. Itulah silapnya...

Daripada kek yang terhasil saya mendapati bahagian tengahnya masih agak lembik (tak beku/mengeras sepenuhnya) sedangkan di bahagian tepinya elok. Bila difikir balik mustahil jika tak cukup masa memasak kerana saya membakarnya lebih kurang 2 jam (double boiler). Barangkali resepi yang dinyatakan ni tak sesuai dengan base kek (Che Mat membuatnya begitu sahaja, tanpa base).

Walaupun begitu, kek ni masih boleh di makan, kiranya ia gabungan baked dan chilled lah. Yang di tengah kena pakai sudu. Makan masa sejuk-sejuk dah hilang yang tak berapa nak jadi tu. Kek ni lebih sedap setelah semalam dalam peti sejuk. Minta ampun ya Che Mat... Saya copy semula resepi untuk rujukan akan datang.


STRAWBERRY CHEESECAKE
Resepi : DTS

BAHAN-BAHANNYA :-)
500 gram cream cheese
50 gram gula halus@gula kastor
250 ml whipping cream
5 bijitelur, gred B, asing kuning dan putih
120 gram tepung halus (tepung gandum pun ok)
1 1/2 camca teh strawberry emulco
100 gram gula halus@gula kastor
1/4 camca teh cream of tartar (boleh ganti dengan jus lemon)

BAHAN HIASAN ATAS KEK :-)
350 gram strawberry segar
Gula ikut tahap kemanisan (mat guna dalam 2 camca besar)
1/2 cawan air
1 camca teh jus lemon (optional)

Untuk base ke coklat, saya gunakan resepi ini.

CARA MEMBUATNYA :-)
Panaskan oven pada suhu 160C. Lenser acuan spring-form berukuran 9 inci dengan mentega. Balut luar tin dengan aluminum foil. Asingkan 5-6 biji strawberry untuk hiasan dan 4-5 biji lagi didadu. Ketepikan.
Putar cream cheese hingga lembut, tambah 50 gram gula halus dan putar lagi hingga sebati, masuk whipping cream dan putar rata. Tambah kuning telur satu persatu, pada kelajuan sederhana, masukkan tepung dan masukkan strawberry emulco, putar sebati. Ketepikan.
Dalam mangkuk pemutar yang kering dan bersih, putar putih telur hingga berbuih, masukkan gula halus dan cream of tartar atau lemon jus, putar hingga kental.
Gaulkan putih telur tadi dalam no. 2 secara kaedah kaup balik, hingga rata dan masukkan strawberry yang didadu, gaul rata. Tuang dalam tin tadi, ratakan. Bakar dalam oven menggunakan kaedah "water-bath", iaini dengan meletak tin kek tadi ke dalam loyang dan tuang air panas kurang lebih 3/4 cawan. Bakar selama 1 jam 15 minit, atau hingga masak.
Kek akan mengecut sedikit bila masak. Sejukkan dalam peti sejuk 3-4 jam (mat sejukkan semalaman), keluarkan dari tin dan hias mengikut krativiti anda... 

UNTUK HIASAN ATAS KEK KEJU :- Masak semua bahan2 untuk hiasan dengan api sederhana hingga larut. Sejukkan dan boleh sapu atas kek tadi sebelum dihias
 

Monday, October 7, 2013

American Brown Cheese Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Saya sangat teruja untuk mencuba ABCC setelah melihat di blog Kak Amie. Tak tahulah kenapa, rasa sangat nak buat, rasa sangat nak makan. Kalau dilihatkan bahan-bahan dan caranya cukup untuk saya berfikir berkali-kali tetapi dengan keazaman dan keinginan yang kuat akhirnya berjaya juga saya membuatnya. Banyak cabaran sungguh sebelum hari saya buat kek ni. Mula-mula nak beli whip cream, kedainya tutup. Dah ada WC, gelatin pulak tak ada. Dah ada gelatin tu, tengah dok buat baru sedar milo pun tak ada. Haishhhh... memang spoil sungguh, tapi dah sekerat jalan saya buat saja dengan apa yang ada.


Berpandukan resepi yang dikongsikan Kak Amie, penyediaannya mudah sahaja walaupun bahan-bahannya agak banyak.  Bila baca resepi elok-elok kita akan faham dengan apa yang dikatakan. Semuanya diterjemahkan dengan cara yang paling baik dan jelas oleh Kak Amie.

Saya gunakan springform saiz 8" yang mana agak kecil untuk kek ni. Kalau tengok tu sendat sampai ke atas. Rugi pulak tak guna loyang saiz 10". Next time, insyaAllah.


Untuk lapisan kedua (cheese) saya gantikan milo dengan white coffee instant, tu yang warnanya agak kelabu sikit. Kalau letak milo kompom rasa lebih sedap. Yang lain saya ikut sebiji2 seperti resepi. Cuma bila menimbang gelatin, saya perasan ianya agak banyak walaupun menggunakan penimbang digital. Sebenarnya saya hanya menimbang di atas kertas, tidak menggunakan mangkuk seperti selalu. Di akhirnya saya mendapati jumlah yang ditimbang agak banyak, dan mungkin itu juga mempengaruhi lapisan cheese dan mousse kek ini.

Yang kelakarnya bila dah siap kek ni, sampai dua hari dok dalam peti dek kesibukan saya di sekolah. Ada saja program sampai petang. Rupa2nya kek ni perlu dibiarkan dulu pada suhu bilik sebelum dapat dipotong. Masa saya keluarkan, agaknya belum fit lagi dengan suhu luar, jadi agak keras pulak. Bukan kata keras tapi tang yang ada gelatin tu jadi macam bergetah sikit.

Jadi bila dibiarkan dalam suhu bilik dengan masa agak lama, rasa sedap pulak dan hilang rasa 'kegelatinannya' tu. Rasa semuanya bercampur sekata dan memang ianya sedap sangat. Cuma bagi saya lapisan coklat di atas agak manis mungkin kerana saya menggunakan baking chocolate. Untuk loyang yang saya guna ni hanya separuh adunan coklat diperlukan.
Buat Kak Amie, terima kasih kerana sudi berkongsikan kek ini. InsyaAllah akan dicuba lagi pada majlis istimewa dengan bahan-bahan yang dinyatakan. Saya copy semula resepi untuk rujukan akan datang



AMERICAN BROWN CHEESE CAKE

Resepi : Chef Khoo See Yew

Sumber : Kak Amie



Bahan A : (Lapisan 1)
92 gram mentega
1/2 sudu makan nescafe
135 gram biskut Digestive - boleh gunakan biskut Marie - hancurkan
60 gram coklat chips

Bahan B : (Lapisan 2 : Bahan B, C & D - Cheese)
280 gram krim keju
35 gram mentega
80 gram gula

Bahan C :
1 biji telur gred A
40 gram serbuk  milo

Bahan D :
8 gram gelatin
40 gram air

Bahan E : (Lapisan 3: Bahan E & F - Mousse)
65 gram fresh krim
3 gram mentega
2 sudu makan serbuk koko
140 gram coklat masakan - potong kecil

Bahan F :
10 gram gelatin
60 gram susu segar
390 gram fresh cream - diputar sampai kembang
60 gram serbuk milo

Bahan G : (Lapisan 4 : Chocolate Topping)
210 fresh cream
9 gram mentega
1/2 sudu makan nescafe
290 gram coklat masakan - hancurkan / potong kecil

Cara:

Lapisan 1
1. Hancurkan biskut digestive dan masukkan dalam satu bekas.
2. Cairkan mentega dan semasa masih panas, gaul dengan serbuk nescafe.
3. Tuangkan mentega yang digaul bersama nescafe tadi ke dalam bekas biskut digestive. 
4. Masukkan coklat chips dan gaul dengan menggunakan spatula sehingga sebati.
5. Masukkan ke dalam loyang (loose base tin) berukuran 9"X9"X2 1/2" dan tekan -tekan sehingga padat.
6. Simpan di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 30 minit.

Lapisan 2
1. Double boil Bahan D (gelatin & air).
2. Putar Bahagian B dengan kelajuan sederhana sehingga campuran menjadi licin.
3. Masukkan Bahan C dan Bahan D. Tukarkan kelajuan rendah dan putar selama 1 minit.
4. Tuangkan ke atas pastri dan sejukkan kembali.

Lapisan 3
1. Masak secara double boil kesemua Bahan E.
2. Masak secara double boil gelatin dan susu segar. (dari Bahan F)
3. Campurkan (1) dan (2) dengan fresh krim yang telah diputar, serta milo (Bahan F) dan kacau dengan tangan sehingga rata.
4. Tuangkan di atas lapisan keju.
5. Sejukkan dalam peti sejuk sehingga keras.

Lapisan 4
1. Masak secara double boil kesemua bahan G.
2. Tuangkan di atas lapisan mousse.
3. Sejukkan kembali.

Nota : American Brown Cheese Cake hendaklah disejukkan sekurang-kurang 2 jam di bahagian sejuk beku sekiranya ingin segera dinikmati. Jika disejukkan di bahagian bawah pula, perlu sekurang-kurangnya 4 jam dan sebaik-baiknya semalaman.
 

Tuesday, September 3, 2013

Simple Blueberry Tiramisu

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Akhirnya berjaya juga saya hasilkan sebiji kek tiramisu (yang hanya ala-ala...) untuk hari jadi saya sendiri. Hurmmmm...sadis jugak sebenarnya, buat kek sendiri, letak nama sendiri, tiup lilin sendiri (hanya nyalakan untuk gambar je), potong sendiri dan makan bersama-sama.... ibarat kata rakan serumah saya. He he he, nak buat camana, dah tua-tua begini apalah ertinya menyambut harijadi yang memang dah jadi tu...cuma saya buat jugak la kek ni sebiji untuk makan-makan dan jadikan satu n3....

Mula-mula tu tak plan pun nak buat tiramisu. Cadangnya nak buat mousse cake, tapi cari2 tak cukup pulak gelatin yang ada. Fikir-fikir, teringat ada dua ketul cheese, jadi dengan cepat saya skodeng resepi tiramisu yang dikongsikan oleh Tun Telani.


Daripada resepi, saya olah sedikit kerana tidak mahu ada rasa nescaffe. Kebetulan pulak di rumah memang tak ada nescaffe pun. Dan saya percaya, buat la macam mana pun, gandingan cream cheese dan blueberry sentiasa menjadi yang terbaik. Dan sesungguhnya saya memang tak puas makan. Dari sebiji tu dapatlah dikongsikan dengan kawan-kawan. Bila baru keluar peti sejuk, memang nikmatnya makan tak sedar dah habis sepotong.

Pada sesiapa yang tak ada idea nak buat kek tu, apa kata cuba buat macam ni pulak. InsyaAllah tak menyesal... T_T


TIRAMISU SIMPLE
Resepi : umie@myr
Sumber : Tun Telani

Bahan-bahan :
1 biji sponge kek jgn guna moist kek, nanti muak
250ml whipping cream saya tambah lagi sikit dalam 10 mL
200ml cream cheese saya guna 250g
1/2 cawan gula halus
1 cawan air panas (nak bancuh nescafe)
1 sudu makan serbuk nescafe
Serbuk koko untuk hiasan- tun grate chocolate
1 bj limau nipis, amik jus - tun tambah

Cara-cara :
Bancuhkan nescafe dengan satu cawan air panas tadi
Satukan gula, cheese dan cream
Pukul adunan tadi sampai kembang dan gebu masukkan jus limau nipis n pukul sebati
Potong kek pada 3 bahagian
Susun 1 bahagian dalam bekas
Tuangkan 1/3 bahagian bancuhan nescafe ke atas kek
Sapu 1/3 bahagian adunan cream+cheese tadi atas kek
Susun lagi bahagian yang selebihnya
Ulang sampai habis kemudian tutup dengan cling film dan simpan dalam fridge sebentar...
Hiaskan dengan serbuk koko bila masa nak menghidangkannya...