Showing posts with label China : Beijing (Mac 2014). Show all posts
Showing posts with label China : Beijing (Mac 2014). Show all posts

Friday, April 18, 2014

Beijing 2014 : Tips & Panduan

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Selalunya jika ingin melancong ke satu-satu tempat ke luar negara, saya memang akan membuat sedikit pencarian terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya dapatlah memberi maklumat awal tentang tempat yang akan dijejaki itu. Untuk trip ke Beijing ni saya banyak membaca di blog Kak Lina (linapg) dan blog Cikgu Fiq.

1. PAKEJ & VISA
- bila kita dah decide nak ke satu tempat, of course la kita kena survey pakej kan? Kalau yang pergi sendiri tu nak kena survey lain pulak. Itu saya tak ada pengalaman. Selalu kalau saya melancong ni, hanya guna pakej je, senang. Nak juga pergi sendiri tapi tak berapa ada kekuatan lagi. Mungkin...next time.
- untuk kali ni saya mengikut pakej yang diuruskan oleh anak saudara Mok Ja yang membuat kerjasama dengan Beijing Tourism Society (BTS) dengan nilainya RM 1399 (tidak termasuk tipping, etc)
- tarikh percutian sebenar adalah 23-29 Mac tetapi terpaksa diawalkan sehari kepada 28 Mac. Oleh sebab pakej ni dikurangkan sehari, maka segala tipping dan tiket berkaitan telah dicover
- bagi ke negara komunis, VISA adalah wajib. Untuk trip ni ianya diuruskan oleh pengelola pakej dan saya hanya menyerahkan pasport kepadanya.

2. PERMOHONAN KE LUAR NEGARA
-  bagi penjawat awam, untuk ke luar negara perlulah mengisi borang dan membuat permohonan ke JPN masing-masing. Borang permohonan ini hendaklah sampai dalam masa 30 hari
- oleh sebab saya terlambat menghantar borang, maka saya terpaksa membuat surat tunjuk sebab bagi membolehkan permohonan tersebut diluluskan
- apabila borang permohonan telah diluluskan, borang yang dihantar akan dikembalikan bersama slip insurans

3. SUHU / CUACA
- untuk mengetahui suhu saya merujuk kepada laman web accuweather
- suhu ni saya print la supaya senang nak tengok...

4. PAKAIAN & KEPERLUAN PERIBADI
- bergantung kepada musim apa di sana, pakaian yang disediakan haruslah bersesuaian
- oleh kerana cuaca agak sejuk di Beijing, maka saya membawa pakaian yang agak tebal juga (maklumlah, spesies tak tahan sejuk. Lagi kan di CH pun asyik berbungkus aje...
- antaranya
a) baju / baju sejuk (baju saya tak bawa banyak kerana saya basuh dan guna semula)
b) stokin
c) mafela / topi / sarung tangan
d) pakaian lain yang bersesuaian
- baju Tshirt / seluar / pakaian dalam / baju hujan / kain sembahyang / tuala / kain sarung / dll
e) kasut
- pakai je kasut sukan yang tahan licin
f) losyen pelembap / VASELIN (bibir)
g) tisu basah
h) botol air
Vacuum bag yang dibeli di DAISO JJ 18, sangat berguna untuk compresskan sweater tebal kerana saya masukkan dalam beg belakang. Sangat menjimatkan ruang.

Bila dah diproses ginilah rupenya...

5.  MAKANAN
- kalau agak-agak akan kelaparan, bawa la makanan lebih sikit
- perut saya ni memang nak kena isi sokmo, jadi saya bawa dari sini
- tuna dalam tin / MILO 3 in 1 / maggi cup / biskut paket / serunding / roti / chipsmore (semua habis kecuali tuna dalam tin)


6. JADUAL SEMBAHYANG, JADUAL SEMBAHYANG DAN KOMPAS
- jadual sembahyang memang ada dengan guide, tak pun boleh catat bila ke masjid
- selain kain sembahyang, jangan lupa bawa KOMPAS
- kain sembahyang saya bawak yang ringan sahaja sebab memang kena bawa sentiasa bersama-sama, senang nak sembahyang
- tapi di kebanyakan masjid yang saya singgah memang ada disediakan kain sembahyang dan ianya sangat bersih
- dalam bilik hotel ada dinyatakan arah kiblat...

Kompas.

7. UBAT-UBATAN
- ini memang saya bawa jika ke mana-mana
- minyak kayu putih / pil chi kit teck aun / plaster BB /
- bawa juga pelembap bibir (VASELIN) dan pelembap kulit
- jangan lupa topeng muka (udara di sana sangat tercemar, berjerebu)


8. ROAMING TELEFON
- untuk roaming ni boleh la berurusan awal-awal dengan servis center telekomunikasi masing-masing
- saya beli sim kad Maxis yang baru, yang ada roaming tapi bila sampai di sana tak reti nak guna -_-
- Alhamdulillah di lobby hotel dapat internet, jadi bolehlah whatssap pada keluarga

9. TUKAR DUIT
- jangan lupa tukar duit siap-siap, takut nanti kat sana payah pulak urusannya
- duit RM pun bawa jugak secukup rasa, laku je di sana
- kawan saya tukar dengan guide, boleh tahan jugaklah ratenya

10. LAIN-LAIN KEPERLUAN

- untuk cas telefon guna charger biasa, ada plug boleh masuk tapi tak cas dengan baik
- last sekali saya guna USB tv (flat screen) untuk cas

Itulah sedikit sebanyak tips dan panduan yang boleh dikongsi, berdasarkan pengalaman sendiri. Lain orang mungkin lain pula pengalamannya. Terima kasih kerana sudi membaca semua entry2 pasal percutian ke Beijing. Adiossss...

Thursday, April 17, 2014

Beijing 2014 : Sunset & Sunrise

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Pengalaman menyaksikan matahari terbenam dan matahari naik (sunset & sunrise) semasa dalam kapal terbang adalah sangat mengujakan. Kalau sebelum ini, ke Vietnam dan Acheh penerbangan adalah sebelah siang, hanya nampak awan dan panorama di bawah, pemandangan kali ini sangatlah menarik.

Semasa penerbangan pergi, saya dapat seat di tepi, memang dah niat nak ambil gambar banyak-banyak, nak tengok matahari terbenam puas-puas. Tapi tengah dok feeling-feeling tu, budak yang sepatutnya sebaris dengan saya taknak pulak duduk di seatnya, nak dok tepi tingkap. Dengar la mak sia dok pujuk-pujuk, kita sebagai orang yang lebih tua... ececehhhh terus aje lah bangun dan bagi tempat duduk tu.. kan nak pekak telinga aje kan, kesian pulak tengok budak tu dah muncung-muncung dengan mak dia.

Walaupun begitu, Alhamdulillah masih jugak dapat ambil gambar melalui Mok Ja yang kebetulan berada di seat tepi tingkap di barisan depan saya. Dikongsikan ya...

Mentari mula sembunyi..

Air Asia X.... *_*

Senja nan merah...

Suhbanallah... tak mampu dilafaz dengan kata-kata...

Di Beijing, mentari agak awal terbenam + jerebu



Untuk menyaksikan mentari naik, ini adalah moment terbaik yang saya pernah dapat. Agak sukar nak setting kamera kerana cahaya yang sangat terang. Betullah kata orang, ketika matahari naik (atau matahari terbenam, atau ketika malam nampak bintang dan bulan....) ianya terasa begitu dekat, bagaikan ada di hujung jari saja tetapi manakan mampu untuk kita gapai.

Begitulah kuasa Allah yang menciptakan segala... Subhanallah.... Tengok sahajalah gambar yang dapat di ambil. Cuma diingatkan ketika matahari naik cahayanya memang terang, sampai senak mata saya, seeloknya pakailah cermin mata.

Tiga lapisan warna yang sangat ohsemmm

Mula beruba sedikit demi sedikit

Mentari sudah mula bergerak selari dengan aturan alam..

Cakkk.... nampak dah matahari. Masa ni pun cahaya dah sangat terang..

Cantiknya...

Alhamdulillah dapat peluang tengok..

Makin terang cahayanya..

Makin terang lagi..

Alhamdulillah....

Cantik kan? Syukur Ya Allah!!

Wednesday, April 16, 2014

Beijing 2014 : Cherry Blossom, Peach Blossom, Magnolia Susan etc

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Selain dapat menjejak kaki ke Great Wall, dapat melihat cherry blossom adalah salah tu pengalaman yang sangat berharga semasa ke Beijing. Saya sebenarnya tidak menjangka dapat melihat sendiri bunga yang jarang-jarang berkembang (katanya...). Konon nak la tengok di Korea atau Jepun kalau ada rezeki, alih-alih di Beijing tengah galak berkembang. Ada di sesetengah tempat masih berkudup dan ada di sesetengah tempat sudah berkembang mekar.

Cuma terkilan jugak tak dapat nak belek bunga ni lama-lama. Ikut trip kan... geram sungguh. Jom tengok gambar yang dapat saya kongsi..

Yang ini tak tahulah cerry blossom ke... tapi tanya dekat guide dia kata peach blossom. Wallahu'alam

Yang ini cherry blossom. Masih dalam kudup lagi.

Masih malu-malu untuk kembang

CB pink. Sangat cantik..

Yang ini tak pasti. Sangat cantik. Penuh dengan bunga, daun pun tarak. Lokasi : Great Wall

Nampak tak rama-rama?

Tengok dari dalam bas. Sakit hati kan?

Ini pun tak tahu bunga apa, adik beradik CB kot

Cantik... Teringat rakan sekolah yang sangat sukakan warna kuning..

Nampak macam lain sikit dari yang atas tu..

Gambar-gambar yang seterusnya ni adalah MAGNOLIA SUSAN. Memang banyak nampak di tepi jalan. Bunga ni ada bau manis-manis sikit. Dari apa yang saya tengok, bunga ni ada 2 3 warna seperti pink, kuning dan purple..

Galak berkembang...tak puas tengok

Yang warna kuning pun cantik..

Rasa macam nak petik bawa balik...

Lite purple... Cantik sesangat

Tiba-tiba feeling Kuch Kuch Hota Hain..

Masih dalam kudup...

 
 Satu pokok...tunggu masa nak bloom...

Dah tengok cherry blossom ni, makin kuat keinginan saya nak menengok SAKURA dan TULIP pulak. Ins Sha Allah suatu hari nanti jika ada izin Allah...

Tuesday, April 15, 2014

Beijing 2014 : Makan-Makan

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Tayang-tayang... [pinjam ayat Kak Azie]

Makan-makan sepanjang di Beijing. Ada yang kena dengan selera, ada yang tidak. Adatlah bila di negara orang. Terima sahaja apa yang ada. Bersyukur. Alhamdulillah...

Secara keseluruhannya makanan depa ni memang jauh bezanya dengan makanan kita. Well known la kan macam mana Chinese makan. Mesti ada teh Cina, telur dadar of course. Cuma yang tak menahannya kadang-kadang masin benar, kadang-kadang very the tawar. Nasib baik ada bawak serunding ayam sebagai penambah perisa.

Pastu kebanyakan menunya hampir sama je. Dah makan waktu lunch, tiba-tiba jumpa lagi waktu dinner. Apa nak buat...
Tauhu... untuk rasa cukuplah.

Ayam dengan leek dan kacang. FYI kacang tu saiznya agak besar dan rasanya lagi sedap dari kacang kita.

Telur dadar..

Masa lunch kat sini bukan main banyak lauk + sayurnya. Dalam berbelas pinggan la jugak. Makan dalam bilik, tak campur dengan grup lain...

Nasi jenis berkanji. Hu hu hu... rindu nasi beras Siam...

Makan dalam pinggan saiz piring... Takleh nak bubuh banyak!

Sumer lapar-lapar belaka...

Bila ingat balik, untungnya dapat berada di Malaysia dan makan apa saja yang saya suka...

Monday, April 14, 2014

Beijing 2014 / Day 6 : Beijing - KL

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Hari keenam hanya untuk perjalanan balik ke KL. Melampau kan pakej ni? Nama je 6 hari tapi 2 hari dah kira dalam kapal terbang. He he he... sepadan la dengan harga!

Kami ke lapangan terbang setelah selesai makan malam di Yashaw Market. Agak awal sampai di sana, dalam lingkungan 9 malam. Untuk chek in, kaunter dibuka 3 jam sebelum berlepas. Jadi kami melepak dululah sebelum kaunter dibuka. Bila ramai dah masuk, kami terus je beratur depan kaunter dan nasib baik dapat barisan depan. Kiranya bila kaunter buka kami yang dulu berurusan.


Rasanya umum juga dah tahu yang tray untuk menimbang bagasi dah seberat 3 kg, jadi beringatlah bila packing barang, kalau terlebih je kenalah cas tambahan. Macam kami ni berat bagasi seorang dapat 25 kg tapi tak habis pun digunakan. -_-

Untuk masuk ke balai berlepas, pemeriksaan keselamatan sangatlah ketat. Bermula dengan imigresen pertama di pintu masuk kaunter, kemudian di laluan balai berlepas, kemudian di kaunter pengesahan, pastu pemeriksaan badan sebelum masuk. Ya ampunnnnn, tension tau kalau fikir balik. Dalam hand bag, duit syiling, kamera semua nak kena scan satu-satu. Nasib baiklah yang memeriksa tu ikut jantina. Budak pompuan tu pun steady je. 

Nak menunggu ke flight pukul 2.30 pagi memang bercinta sungguh dah. Dengan badan yang memang penat, pastu demam dan selsema, saya rasa macam nak baring je kat lantai. Alhamdulillah dalam pukul 1.20 pagi pesawat dari KL sampai dan kami mula masuk untuk balik. Dan dalam pukul 2.35 pesawat D7 317 mula bergerak meninggalkan kota Beijing yang sarat dengan pengalaman.

Pengalaman balik sekali lagi. 

Cuasa agak mendung dan awan agak banyak. Perasaan kali ini agak berlainan sementelah sudah mendapat berita pengumuman oleh PM bahawa MH 370 terhempas di Lautan Hindi. Saya hanya mampu berserah, memohon segalanya selamat. Kali ini kedudukan di hujung pesawat. Ini kali pertama. Agak bising dengan bunyi enjin dan juga kanak-kanak yang menangis dek keletihan. Seketika perjalanan, hujan mulai turun. Ini kali pertama pengalaman. Debar dalam hati tak usah cerita. Saya yang memang susah tidur agak payah nak lelapkan mata. Nasib baik hujannya sekejap sahaja. 

Dalam pada tak boleh tidur tu sempat memandang keluar pesawat. Melihat bintang yang bergantungan dan berkelipan dalam kelam langit awal pagi, sangatlah cantik di tambah pula dengan bulan yang baru berumur beberapa hari. Pandangan yang sukar dinyatakan dengan perkataan.

Lewat dinihari, saya sempat juga menyaksikan matahari terbit. Subhanallah, satu pandangan yang saya kira tak semua mampu melihatnya. Bagaimana mentari mula-mula memunculkan diri sehingga cahayanya terang ke serata alam, begitulah besarnya kuasa Allah yang tak terjangkau dek akal fikiran. Allahuakbar! 

Dan akhirnya lebih kurang pukul 8.30 pagi, pesawat selamat mendarat. Alhamdulillah syukur sekali lagi...

Maka berakhirlah pengembaraan ke Beijing selama 6 hari.... In Sha Allah trip seterusnya hujung Mei nanti. Terima kasih kerana sudi membaca catatan pengalaman semasa di sini.

Sunday, April 13, 2014

Beijing 2014 / Day 5 / Pt 2 : Silk Street Market - Yashow Market

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Hari kelima barulah kami dibawa untuk shopping. Tension tak? Punya la simpan duit last-last hanya ada 4 jam untuk habiskan. Tak habis pun duit yang saya tukar, bila dalam kelam kabut tu jadik blur pulak tak tahu nak beli apa...

Saya rangkumkan aje lah dua market ni. Tak banyak nak citer pun rasanya. Cuma cerita dari apa yang saya rasa sahaja. Pasal dua market ni dah banyak yang diceritakan dalam blog. Market yang pertama dituju adalah Silk Street. Market ni baru sahaja siap diubahsuai (boleh nampak dari bangunan dan persekitarannya yang nampak baru).

SILK STREET MATKET

Sebelum ke sana, saya dah dapat beberapa tips tentang cara nak membeli. Tidak dapat dinafikan memang apa yang dicerita di blog 90% benar. Peniaga-peniaga di sini memang agak kasar dan tak boleh blah langsung, jika tak kena cara. Kalau kena teknik dan teknik semua lancar je...siap boleh bergelak ketawa dan bertepuk tampar lagi. Saya ni secara alami memang tak reti nak berbelanja di sini.


Secara amnya harga yang ditawar memang agak tinggi. Untuk mendapatkan harga yang rendah korang memang kena pakar tawar-menawar. Kalau letak harga Y100, tawar je sampai Y20-Y30. Kalau pandai bodek entah-entah boleh dapat murah lagi. Saya tak reti, masuk dalam pasar ni hanya menengok je. Jadi sempatlah melihat adegan maki memaki dan perkataan yang tidak sepatutnya didengari.

Dalam market ni, kedai jualannya berbentuk bilik-bilik dan kelihatan agak esklusif walaupun kebanyakan barang di dalamnya adalah tiruan. Pada setiap tingkat, ada barangan yang tertentu contohnya tingkat 1 untuk pakaian dan seluar (contoh...)

Salah seorang guide memberitahu sekiranya berkenan dengan sesuatu barang, terus buat tawaran pada harga yang dikehendaki. Jika mereka tidak setuju dengan harga kita, buat-buatlah kita nak tinggalkan kedai tersebut. Jika peniaga tu panggil boleh kita nego lagi. Sampai 3 kali nego kalau dah tak boleh itu maksudnya harga mati. Kat sini takyah buat nak tanya-tanya atau nak survey. Once kita dah tanya dan masuk dalam kedai, memang kena beli. Kecuali la kalau iman kuat nak tinggalkan kedai tu nanti. Untuk kedai cadar yang murah, di sini boleh ke kedai Jamelah (tingkat 3) atau kedai Safiya.

Ingat kawan group kami kata bila peniaga kata ARE YOU CRAZY? YES IM CRAZY BECAUSE I WANT THAT PRICE!
Haaaaa.... mampu??

YASHOW MARKET

Setelah habis di Silk Street, kami gerak ke Yashow Market yang mana konsepnya sama dengan market yang pertama. Kali ni saya target untuk membeli winter coat dan boot tapi satu pun tak dapat. Masalahnya kita nak belek-belek dulu, dapatkan pattern yang paling sesuai tapi tak daya la bila asyik kena paksa ni. At last saya beli je baju dengan bantuan kawan yang tolong tawarkan. 

Dekat market ni, agak sesak jugak dengan lot-lot kedai. Kebanyakan peniaga boleh berbahasa Indonesia yang ringkas dan Inggeris. Cuma bagi saya tak berapa selesa nak membeli bila terpaksa merayu-rayu untuk mendapatkan harga paling murah. Bayangkan kalau kena cara dari Y500 boleh dapat Y100? Tak reti beb!


Di bahagian luar market ni, agak ramai juga peminta sedekat. Demand you, siap minta money...money... pastu bila nampak kita terus kata "Malaysia"... once kalau dah bagi sedekah amboi ramai pula yang datang. Bertabahlah ok...


Dekat dua market ni, saya dah rasa sampai ke bulan dan ke bintang. Demam makin bertambah rasanya dengan kepala pun dok berdenyut-denyut dek pening. Aiiii susah jugak nak jalan gini. Tengok orang lain steady je membeli dan membelah...

Cumanya nak bagitahu, untuk spesies yang 'payah' nak menyoping macam saya ni memang tak sesuai  nak shopping kat sini... tak puas hati taw... He he he...