Monday, May 20, 2013

Tofee Cheese Cake

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Tambah koleksi cheese cake. Dah lama jugak buat ni, dah selamat pun habis semuanya. Sesi menghabiskan CC yang dah berzaman dalam esbok. Iyalah, selalu blueberry cheese cake ataupun cotton japanese cheese cake, kali ni saya cuba pula buat tofee cheese cake berpandukan resepi dan cara2 yang dikongsikan oleh Kak Azlita. Tapi janganlah dibandingkan hasil keras tangan saya ni dengan beliau, memang jauh panggang dari api la.... ^^

Saya berulang kali jugak berfikir, puas di telek gambar, tak tercapai dek akal saya bagaimana Kak Ita menyediakan base biskut di sekeliling kek. Saya cuba jugak buat tapi tak jadik, macam kering sikit saya punya biskut tu. Last sekali saya  buat base biasa je. Kali ni saya gunakan campuran biskut cream crackers dan biskut meri. Nak menghabiskan stok.... ^^


Bagi saya, kek ni tak terasa sangat 'cheese'nya. Mungkin sebab campuran ni ada tlur agak banyak dan gabungannya dengan gula perang macam buat kek ni rasa lain sikit. Lain sikit je tapi masih sedap.


Pada siapa yang inginkan kelainan boleh la mencuba resepi ni. Cuma bila saya buat di CH tahu2 sajalah, caramel tu mudah sangat beku. Tak simpan dalam esbok pun kejap aje dah beku. Bila makan tu memang melekat la sikit kat gigi. Tak apalah... Buat yang nak cuba saya copy semula resepinya di bawah. Terima kasih Kak Ita yang sudi berkongsikan resepi ni..

TOFEE CHEESE CAKE
by : Epicurious
Sumber : Kak Ita


LAPISAN BAWAH (BASE)
1 1/2 cawan biskut Oreo / Marie / Tiger
5 sudu besar mentega cairkan

Biskut di hancurkan. Boleh juga gunakan campuran biskut, antara biskut Oreo dan biskut Marie atau sebaliknya.
Satukan biskut dan mentega
Letakkan dalam loyang spring form pan ukuran 8 inc
Alas dasar loyang terlebih dahulu dengan kertas minyak
Padatkan biskut dalam loyang
Boleh padatkan pada dasar loyang sahaja, atau pada sekeliling loyang juga

Simpan dalam peti ais sebentar anggaran 1 jam
Kemudian bakar pada suhu 170 C selama 15 minit atau sehingga biskut merenggang sedikit dari loyang.
Biarkan sejuk tapi jangan keluarkan dari loyang ya. Biarkan ia sejuk dalam loyang

CHEESE CAKE
250 gm krim cheese ~ suhu bilik
150 gm gula perang
30 gm mentega ~ dicairkan
5 biji telur
1 sudu teh esen vanilla

Pukul cream cheese dan gula perang hingga lembut
Tambahkan telur sebiji-sebiji dan terus pukul
Tambahkan mentega cair dan esen vanilla dan pukul rata

Tuang dalam loyang yang terdapat biskut tadi.
Balut loyang dengan kertas aluminium foil tapi jangan tutup permukaan loyang
Letakkan loyang dalam loyang lain yang lebih besar
Isikan air panas dalam loyang yang besar, jangan sampai loyang kek terapung.
Bakar secara bain marie ini pada suhu 170 C selama 1 jam 15 minit
Bakar guna api atas dan bawah

CARAMEL
1 1/2 cawan gula ~ ita kurangkan
1/4 cawan air
1/2 sudu teh jus lemon
1 cawan krim tenusu Dairy Whipping Cream / heavy cream
15 gm mentega

Masak gula, air dan lemon hingga keperangan
Kemudian tambahkan krim tenusu dan kacau hingga ia pekat
Tambahkan mentega dan kacau hingga ia berkilat
Saya buat 1/2 adunan caramel ni dengan gula hanya 1/2 cawan
 

Biarkan ia suam
Tuangkan atas cheese cake tadi
Simpan dalam peti ais hingga dingin
Hiaskan dengan coklat Tofee

 ********** (^__^) ********** 
Terima kasih atas kesudian membaca entree ini hingga ke akhirnya. ~ Wassalam ~

Sunday, May 19, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang #15



‘Apa? Ya… ya… saya balik sekarang.’ Zainab dilanda debar saat menerima panggilan dari Kak Ija yang menyatakan Qalish terjatuh dari kerusi.
‘Kenapa ni kak?’ Azura yang kebetulan lalu di hadapannya bertanya.
‘Akak kena balik sekarang ni Zura. Boss ada tak?’
“Boss keluar tadi, akak kenapa?’
‘Qalish, jatuh dari kerusi. Akak nak balik sekarang ni. Nanti Zura tolong maklumkan pada boss ya. Akak balik dulu.’
Azura memandang Zainab yang telah berlalu pergi. Langkahnya pantas. Sudah tentu dia kerisauan  menerima perkhabaran itu. Berkali-kali Azura berfikir adakah dia mampu hadapi seandainya dia di tempat Zainab. Dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam hidup, wanita itu terlalu tabah.

Ketika Zainab sampai di rumah, Qalish sudah berhenti menangis, hanya esakannya kedengaran. Qadeer pula berwajah suram bagaikan mengerti kesakitan di alami Qalish. Zainab mengambil keputusan untuk membawa Qalish ke hospital. Dia bimbang seandainya ada kecederaan dalaman. Walaupun kerusi di dapur tidaklah setinggi mana tetapi dia tetap risau. Qadeer dan Kak Ija dibawanya bersama. Sedang dia dalam perjalanan, Che Mat menelefon.
‘Macam mana Qalish, Nab?’ Seperti yang dimaklumi Zainab, Che Mat bertanya tentang Qalish. Ada nada risau dalam suaranya.
‘Saya on the way ke hospital ni Che Mat, nak periksa kalau ada apa-apa. Harapnya Qalish baik-baik saja.’ Zainab menjawab sambil matanya mengawasi keadaan di jalan raya. Memandang sekilas melalui cermin pandang belakang, dia melihat Qalish sudah tertidur di pangkuan Kak Ija manakala Qadeer ralit membelek buku bacaannya.
‘Nanti apa-apa bagitahu saya ya Nab.’
‘Ha ah. Saya tengah memandu ni Che Mat.’
‘Haaaa ye lah. Hati-hati bawa kereta tu.’
Begitulah Che Mat, sangat bertanggungjawab dengan kebajikan kakitangannya. Sedikitpun dia tidak pernah meminggirkan Zainab sejak dulu lagi.

Zainab menarik nafas lega setelah Doktor Jannah memaklumkan tiada apa-apa yang berlaku pada Qalish. Cuma bahagian lututnya sedikit lebam. Qalish nampaknya tidak terkesan langsung dengan kemalangan yang menimpa. Anak lasak la katakan. Lasaknya sehingga mengalahkan Qadeer. Lantas ubun-ubun kedua anaknya dicium lama. Senyumnya diukir pada Kak Ija yang setia menemani. Syukur pada Tuhan kerana merahmati mereka.

Sampai di rumah, Zainab melihat kereta Che Mat terparkir di luar pagar. Jam sudah menunjukkan pukul 6.30 petang. Tentu Che Mat ke rumahnya setelah habis kerja.
‘Dah lama Che Mat sampai?’ Zainab menegur sambil membuka pintu untuk Kak Ija yang menggendong Qadeer. Qalish yang hampir terlelap menonong ke arah Che Mat yang berdiri di tepi keretanya. Pantas memeluk lelaki itu.
‘Baru aje Nab, kebetulan ada urusan berdekatan sini, tu saya singgah.’
Zainab mengisyaratkan Che Mat untuk masuk. Che Mat pula pantas ke kerusi batu di laman mini rumahnya. Qalish yang melentok dalam pelukannya dibawa bersama. Manja sungguh Qalish dengan Che Mat.
‘Qalish jatuh ya?’ Soal Che Mat setelah mendudukkan Qalish di atas kerusi di sebelahnya.
‘Qalish panjat kerusi.’
‘Kenapa tak suruh Kak Ija angkatkan.’
‘Qalish lapar la ayah. Qalish nak makan.’
Qulp! Seperti ada sesuatu tersekat di kerongkongnya… Inilah kali pertama Qalish memanggilnya dengan panggilan itu. Sungguh lancar kata-katanya. Che Mat terdiam seketika.
Zainab yang sedang mengeluarkan barang dari kereta memandang Qalish dengan riak mata yang terbuntang luas. Ish Qalish ni…
‘Kenapa dengan Qalish ni, umi tak ajar macam tu kan?’
‘Takpelah Nab, saya tak ada masalah pun dengan panggilan tu.’
Che Mat sebenarnya menahan perasaan di dalam hati. Kalau dulu Qasseh memanggil Zainab dengan panggilan ‘mama’, kali ini Qalish pula yang memanggilnya ayah. Apakah ini suatu tanda? Apakah ini suatu rahsia Allah yang semakin terungkap misterinya?
 *****
Che Mat termenung di meja kerja. Peristiwa beberapa hari lepas masih berlegar di minda. Panggilan ayah daripada Qalish adalah sesuatu yang tak pernah dijangka. Debarnya sama seperti dia mendengar Qasseh memanggil Zainab ‘mama’ suatu masa dulu. Dia sebenarnya merasakan sesuatu hubungan yang istimewa terjalin antaranya dan Qalish sejak dulu lagi. Berbanding Qadeer, Qalish memang rapat dengannya. Dalam segala perbuatan dia bagaikan seorang ayah yang sedang mengajar anaknya. Peristiwa itu jugalah yang membuatkan dia berfikir berulang kali tentang saranan ibunya.
Tetapi bagaimana dia harus memulakan kata? Setiap kali berhadapan dengan Zainab mulutnya bagaikan terkunci. Riak tenang wajah wanita itu bagaikan tiada apa yang berlaku. Adakah Zainab tidak berasa apa-apa? Bagaimana pula kalau dia hanya berharap sendiri? Bagaimana pula dengan penerimaan Qaish dan Qayyum? Qasseh rasanya tiada masalah untuk menerima Zainab sebagai mama baru mereka. Emak apatah lagi, memang setuju sangat-sangat.
Pada umur begini, cinta bukan masalah utama. Che Mat hanya berfikir tentang anak-anaknya dan juga anak-anak Zainab. Menzahirkan cintanya terhadap Zainab ibarat satu tuah, tetapi yang dia mahu adalah melimpahkan kasih kepada kelima-lima mereka, termasuklah kepada Zainab. Dia yakin mampu membahagiakan mereka semua. Soalnya sekarang bagaimana dia mahu menyatakan perkara itu kepada Zainab?

Seperti mana yang dirasai Che Mat, itulah juga yang dirasai oleh Zainab. Betapa lancar Qalish menyebut perkataan ‘ayah’ bagaikan halilintar yang menyambar jiwanya. Sejak pandai berkata-kata, Qalish belum pernah menuturkannya kepada sesiapa. Zainab faham kalau anak itu mendambakan kasih seorang bapa tetapi dia tidak menyangka kepada Che Mat anaknya berkata. Sehingga saat ini dia teramat segan untuk bertentang mata dengan Che Mat. Bukan apa, bimbang di salah sangka dia yang mengajar Qalish sedemikian rupa.
Walaupun di satu masa dulu Qasseh pernah memanggilnya mama, dia tidak mahu Che Mat tahu. Itu adalah rahsianya dengan Qasseh. Kadang-kadang terasa amat ajaib sungguh percaturan Allah Yang Esa. Dengan kekurangan yang dianugerahkan kepadanya dan Che Mat, mereka sebenarnya saling melengkapi satu sama lain. Seperti juga kata Mak Mah dan Kak Aisyah, mungkin memang suratan hidupnya untuk menghabiskan sisa kehidupan bersama lelaki itu. Zainab meraut muka, melepaskan nafas yang terasa tersekat di dada… Di ketika ini dia benar-benar mengharapkan Daus ada di sisi!

Saturday, May 18, 2013

Order : Program Sekolah Penyayang

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Tempahan unit kaunseling sekolah untuk program PrOD (Mei) 2013 bagi meraikan sambutan ulangtahun pelajar yang jatuhnya pada bulan Mei. Kisah lanjut boleh di baca di sini.
 

Kek span pandan dengan filling jem epal dan peach. 1st time buat span pandan weh, nasib baik menjadi. Kek seberat 2 kg dengan simple deco. Bunga ala tulip dengan menggunakan fondat segera. Sekali tengok macam RVC. Aising tu saya warnakan dengan light yellow.


Tak sempat nak rasa sebab puasa. Namun kata Kak Lia sedap keknya. BTW terima kasih kerana sudi menempah.

********** (^__^) ********** 
Terima kasih atas kesudian membaca entree ini hingga ke akhirnya. ~ Wassalam ~