Sunday, October 27, 2013

Restoran Edde, Bandar Baru Tanah Merah

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

N3 JJCM. Saya singgah di sini semasa balik kampung untuk Aidiladha baru-baru ini. Kebetulan sampai di Machang agak awal jadi cari kedai makan banyak yang belum buka. Itu yang terus laju je ke Bandar Baru Tanah Merah untuk ke cafe ni. Ini kali kedua saya ke sini dan rugi rasanya jika tidak dikongsikan dengan anda semua. Mungkin juga ada yang dah pergi ke sini. Jom baca apa cerita saya pula.


Seperti yang saya kata, restoran ni terletak di Bandar Baru Tanah Merah (tepi sungai) satu deret dengan kedai dua ringgit dan berdekatan kedai Kasut You. Memang menyajikan kelainan kerana menghidangkan menu western dan makanan segera. Kali pertama saya datang, ordernya dibuat sendiri pada kertas yang diletakkan di meja. Kali ni saya ingat sistemnya masih sama. Tengok kertas tak ada pula. Dalam 10 minit jugak saya menunggu di meja tapi tak ada yang datang bertanyakan. Bila saya bergerak ke kaunter dan kata mahu order, dikatakan order akan diambil di meja pelanggan. Jadi bagi saya ini satu kelemahan kerana pelanggan terpaksa menunggu sebelum dapat membuat pesanan. Saya andaikan pada waktu itu mereka kekurangan pekerja kerana hanya nampak 2 orang saja di ruang makan. NOTED!


Sebagai sebuah kedai makan yang agak modern, tatarias di dalamnya agak menarik walaupun agak padat dengan kerusi meja. Kalau orang macam saya ni tahu-tahu sajalah, tak muat nak jalan bila dah sempit begitu. Mungkin boleh disusun atur semula untuk memberi keselesaan kepada pelanggan. Di sini juga ada Baby Zone (baru siap) dan kalau nak masuk kena bayar dulu di kaunter tetapi tidak dinyatakan pula berapa ringgit. Patutnya terus sajalah letak di situ supaya pelanggan tak payah nak tanya. NOTED!


Antara menu yang dimakan iaitu chicken chop dan chicken chops sizzling. Makanan ni boleh bagi 5 bintang. Ayamnya walaupun yang saya dapat tu bersaiz kecil tetapi sedap. Sos black peppernya juga sedap. Kiranya gabungan ni memang kena dan menepati selera. Keduanya tidak berbeza kecuali yang sizzling tu dihidangkan dalam hot plate. Kalau order chicken chops biasa tu diberi percuma air sirap atau teh O ais. Pelik jugak kenapa yang murah dipromosikan begitu? Patutnya yang lebih mahallah ada free gift. Tapi mungkin juga pemiliknya ada sebab yang tersendiri.

Selain tu saya juga memesan kentang putar. Tak tahulah nak kata sedap atau tidak sebab rasa di dalam kentang tu macam diblend bersama cendawan butang dalam tin. Ok la jugak rasanya.


Keseluruhan yang di makan :

Chicken chops + teh O ais : RM 8.50
Chicken chops sizzling : RM 9.50
Kentang putar : RM 2.50
Air suam : Percuma 
Jumlah : RM 20.50

Buat pemilik, good luck saya ucapkan. Selain masalah kecil-kecil yang saya katakan, yang lainnya okeh. Apa yang saya katakan ini bukanlah niat untuk menjatuhkan perniagaan tetapi itu adalah hak saya sebagai seorang pengguna. Sesiapa yang ada kelapangan bolehlah singgah di sini.

Note : Ambil gambar dengan phone je. T_T

Saturday, October 26, 2013

C@AC 2 : Sizzling Yee Mee




Satu raga penuh pakaian yang telah siap dibasuh menanti untuk disidai. Begitulah rutin hujung minggu Aloyah sekiranya tidak balik ke Raub. Walaupun sekarang sudah ada jalan pintas melalui Lembah Bertam ke Sungai Koyan, seterusnya ke Raub, Aloyah agak jarang-jarang juga balik. Memandangkan keadaan jalan yang dikelilingi hutan belantara ditambah pula dengan dia bersendirian, anak dara pulak tu, memang menjadi ketakutan besar baginya.  Emak dan ayah turut memahami keadaan itu. Kalau dikira sepanjang 3 tahun di Cameron Highlands hanya beberapa kali sahaja dia balik memandu sendirian. Banyaknya dia menaiki bas atau menumpang rakan-rakan. Kadang-kadang emak dan ayah datang menjenguknya di sini.
‘Kau tak ke mana ke minggu ni Loyah?’
Uikss…tersentap kepala otak yang sedang di awangan. Mustaza ni tiba-tiba aje menegur dari belakang. Rakan sepejabat yang menyewa di rumah bersebelahan sedang memandang. Nampak hensem dengan t-shirt polo dan jeans.
‘Kau ni Mus, nak menyergah pun agak-agak la. Kang tak pasal-pasal keluar silat gayong aku.’
‘Aku tegur macam tu pun kau nak terkejut ke.’
‘Kau nak ke mana hensem-hensem ni?’
‘Aku nak balik Ipoh. Duduk sensorang kat sini boringlah. Abang Leman dengan Mail pun tak ada.’
‘Apa susahnya, kau lepak la rumah aku.’
‘Ewah ewahhhh… berani pulak kau ye. Kalau aku betul-betul lepak kat sini terkejut beruk kau nanti.’
‘Heeeee… jangan la Mus. Kang merana pulak kau kena berbinikan aku.’
‘Aku pergi dulu la Loyah. Nak melayankan kau bercakap sampai esok pun tak habis.’
‘Ye lah Mus. Baik-baik kau balik tu. Kalau ada buah-buah ke kat kampung jangan lupa kau bawak ke sini pulak.’
‘Satu lori aku bawakkan kau nanti Loyah…’
Sambil-sambil melayan Mustaza, siap jugak kerja Aloyah tengah hari tu. Boleh tahan jugak kalau dilayannya Mustaza. Mereka berdua dipostingkan kerja bersama, itu yang menyebabkan Aloyah tak segan. Cakap pun main lepas aje, memang tak makan saman lah.
Aloyah kemudiannya membuka laptop. Dia menekan fail ‘KePOP’ dan melayan lagu Korea walaupun sepatah haram dia tak faham. Setakat ‘sarang’ atau ‘saranghe’ atau ‘oppa’ aje yang dia tahu. Dia bukannya peminat fanatik  K-Pop, cuma suka dengar aje, sekadar menjadi alternative kepada lagu-lagu Melayu dan Inggeris. Syafiza selalu saja menyindir. Dia memang anti dengan artis Korea yang katanya plastik dan tidak tahu menyanyi. Yang lelakinya nampak sangat macam perempuan. Yang perempuan pulak tak ada yang tak lawa. Hish… Macam-macam la si Fiza tu kalau dia tak suka. Cuba kalau benda dia suka, memang kalah la nak bertikam lidah dengannya. Eh…barulah Aloyah perasan. Dah pukul 12.30 tengah hari, masih berlingkau lagi la tu. Bada yang berkursus di Johor menambahkan lagi sepi di rumah itu.
Icon mobile connect ditekan. Dah tiba masanya untuk melihat blog kesayangan. Apa cerita hangat dan resepi terbaru dikongsikan kawan-kawan. Sekurangnya ada jugak idea dia nak masak lunch ni. Semalam dia lalu di sebuah restoran Cina, kembang kempis hidungnya melihat hidangan sizzling yang dah tentunya haram di makan. Kalau dapat makan tu best jugak. Laman web My Resepi segera ditekan. Dia mahu melihat resepi sizzling yee mee. Dia pernah melihatnya dulu.
Mmmmm, yee mee? Rasanya ada lagi belen yang dibeli dulu. Cendawan shitake tak ada, boleh aje ganti dengan cendawan tiram. Ayam pulak yang tinggal bahagian tulang-tulang aje. Takpelah, tak ada budak kecik yang nak makan, boleh ejas tu nanti. Yang lain-lain semua ada. Cadangnya dia mahu menambahkan telur, baru kick sikit.
Aloyah mencatat apa yang perlu. Segala langkah-langkah diteliti. Senang sangat je nak buat. Tak ada kuali sizzling tu pun tak apa, boleh guna kuali biasa. Masak kuahnya dalam kuali dan tuang dalam caserol, baru ada nilai sikit nak posing masuk blog nanti. Aloyah tersenyum. Patutla Syafiza selalu tergelak dengan gelagatnya. Manakan tidak, siap masak ambil gambar dulu baru boleh makan. J Dia tak ada blog masak mana dia tahu ye dak?
‘Kau masak apa ni weh…aku nak tidur pun tak lena.’
‘Allah…aku hempuk jugak kau ni Fiza.’
Sudip yang terlepas dari tangan dikutip kembali. Fiza punya pasal sampai terpelanting sudip dari pegangan. Dengan kuahnya sekali memercik ke lantai. Memang nak kena anak Pak Nik Soleh ni.
‘Kau buat macam ni lain kali aku ketuk je tau. Budak bertuah! Dah la baru bangun mengalahkan anak jantan. Pegi basuh muka tu dulu weh…kang masuk dalam mee aku ni kang.’
‘Ye la makcik. Nanti kau sediakan untuk aku satu pinggan. Perut dah lapar ni.’
Aloyah menghantar Fiza ke bilik air dengan pandangan penuh geram. Kalau la tak sabar dah lama dia kerjakan budak itu. Syafiza sebenarnya mengingatkan dia pada satu-satu adik perempuannya yang sedang belajar di Russia iaitu Nur Fathihah. Memang dah lama tak jumpa, tak gaduh-gaduh macam ni.


Tak mahu emo, Aloyah segera menyiapkan apa yang patut. Kuah yang masih panas dituang ke atas yee mee di dalam caserol. Sebiji telur dipecahkan dan ditutup untuk membolehkan telur masak dengan haba kuah. Tak ada dalam resepi tu sebenarnya sesaje dia tambah. Ibarat kata Mat Gebu, kita yang buat dia kan…
Kat mana la nak ambil gambar ni? Dengan kamera cap ayam tu, Aloyah terpaksa mengambil banyak shot untuk mendapatkan yang terbaik. Dia sebenarnya sangat cemburu dengan kebanyakan blogger masakan yang mengambil gambar dengan begitu cantik sekali. Memang menarik sungguh nampak juadah yang dihasilkan dengan bantuan gambar yang memikat. Kadang-kadang bisa meleleh air liur bila tengok gambar-gambar tu. Cuba aje lihat di blog Kak Azlita ataupun Kak Diana. Itu baru je dua contoh, ada banyak lagi. Tapi seberapa cemburu pun Aloyah, dia tetap berpuas hati dengan apa yang diusahakan. Segalanya dibuat sendiri tanpa bantuan sesiapa. Kadang-kadang masa yang dia ada amat terbatas. Balik kerja dah petang, kalau nak masak nak bergambar pun pada malam hari. Hanya pada hujung minggulah dia dapat membuat itu dan ini.
Idea mewujudkan blog itu pun hadir setelah dia menutup akaun facebook. Segalanya dia belajar sendiri. Mana yang namanya header, sidebar, tabs, gajet, tarffic, scrollbox...semuanya dipelajari sedikit demi sedikit melalui laman web tutorial. Jadi baginya cantik atau tidak sesuatu gambar itu bukan penentu segala. Memang yang cantik itu satu bonus tetapi apa yang terselindung di sebalik semua itu hanya dia yang tahu. InsyaAllah satu hari nanti dia pun akan mencapai tahap itu.
‘Oii, aku punya mana?’
‘Kau ambil la sendiri dalam kuali tu. Banyak cantik muka kau. Apa kau ingat aku ni bibik kau ke nak kena siapkan segala?’
‘Ala…itu pun nak berkira. Eh apasal yang aku punya ni tak ada telur?’
‘Telur dah habis.’
‘Kalau camtu boleh la keluar nanti, aku ada barang sikit nak beli.’
‘Nanti la petang-petang sikit.’
‘Kalau ada Bada kan mesti dia suka makan ni. Dia kan seleranya mat saleh sikit.’
‘Mat saleh celup adalah.’
‘Apa ke benda namanya ni Loyah?’
‘Hish, susah betul orang jakun ni. Kat Selangor tak ada ke benda alah ni?’
‘Kat kampung aku megi banyak la.’
‘Ini le sizzling yee mee. Yang selalu kita tengok kat TESCO tu la. Hot plate..’
‘Mmmm… tapi apasal rasa camni pulak?’
‘Rasa apanya?’
‘Rasa sedap!’
Itulah Nik Syafiza. Mana yang Aloyah masak, sama ada sedap atau tidak, menepati piawaiannya atau tidak, dia akan menyatakan secara jujur. Di mana lebih atau kurangnya semua dia maklumkan pada Aloyah. Dia tidak cerewet dalam memilih makanan, apa yang ada semua dia makan. Dan yang penting lagi dia tidak lokek untuk mengeluarkan belanja…. Itu yang paling penting!

Friday, October 25, 2013

Kerutuk Serati Mek Limah

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Saya membeli dua ekor itik untuk dijadikan juadah semasa Aidiladha yang lalu. Memang dah niat sebab dah jumpa kedai menjual itik tu. Saya tak maklumkan pada Mek awal-awal, nanti dia kata beli wak gapo. Bila dah ada di rumah dia pula yang tolong potong dan cabut bulu pahat.

Mula-mula saya plan nak masak sendiri kerutuk ni, tapi sebab sibuk menjala, rasa macam tak sempat. Dari petang sampai ke pukul 10 baru siap mengirai, sudahnya diam-diam Mek menyuruh kakaknya yang sulung (emak saudara) untuk memasaknya. Dia memang terror pun bab gulai menggulai ni. Lagi sekali maaf sebab snap gambar terus dari kuali. Tak dapat nak setup bagai sebab tengah bizi. Nak buat step by step pun tak sempat. Masa ambil gambar ni kerutuk belum masak sepenuhnya. Kuah masih belum kering / pekat kerana simpan sebab nak panaskan esok paginya.


Jika dibandingkan resepi ini dengan resepi Mok Ja [di sini], terdapat sedikit perbezaan dari segi bahan-bahan dan penyediaan. Kata Mek Limah, cara dia ni senang-senang saja, semuanya main campak. Katanya lagi rempah kerutuk yang saya beli tu adalah kerutuk merah. Laaaaa, baru saya tahu rupanya rempah kerutuk ada yang hitam dan ada yang merah. Alkisahnya...

Bila menggunakan resepi orang lama ni, tak ada sukatan yang khusus. Sambil menjala, sambil saya bertanya dan perhatikan apa yang dibuat. Saya cubalah senaraikan seadanya, untuk memudahkan jika saya nak cuba di masa akan datang. Ada ke patut bila di tanya berapa biji atau berapa banyak, jawapannya seganggam, ada pulak segenggam senyum paling tidak pun dikata 'cakro' atau agak-agak saja maksudnya. Itu le masalah problemnya dengan resepi orang dulu-dulu ni.

 

Buat sesiapa yang nak mencuba, saya tuliskan semula resepi dibawah ni. Mungkin agak tak sama jadi bolehlah disesuaikan mengikut citarasa masing-masing.

KERUTUK SERATI MEK LIMAH
Resepi : Pn Halimah Bt Abdul Rahman

Bahan-bahan :
2 ekor itik - potong sederhana kecil (rebus terlebih dahulu dalam pressure cooker)
Santan pekat + sederhana dari 2 / 3 biji kelapa (agak-agak)
3 biji bawang putih
15 biji bawang merah 
2" halia
1" lengkuas - ketuk
5 sb rempah kerutuk - bancuh dengan sedikit air
1/4 biji kelapa - jadikan kerisik
1 sk ketumbar sangai - tumbuk lumat
3 biji ubi kentang - belah 8 (kalau lebih pun tak apa)
1 [buah pelaga,  bunga lawang, kulit kayu manis (kecil)]
Sedikit minyak untuk menumis (pastikan sesuai dengan jumlah rempah yang digunakan)

Option : bawang besar (belah 4), cili giling, serai

Cara membuatnya :
Bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus
Panaskan minyak dan tumis rempah kasar
Kemudian masukkan bawang putih dan halia
Bila dah naik bau masukkan bawang merah. Tumis sehingga agak garing dan lembut menggunakan api sederhana. Agak lama juga, dalam 3 ke 4 minit
Selepas itu masukkan rempah kerutuk dan goreng hingga agak kering. Jangan lupa kacau selalu untuk elak hangit. Goreng lebih kurang 5 minit untuk memastikan rempah benar2 masak
Bila rempah sudah masak, masukkan itik dan gaul hingga rata. Masukkan santan, lengkuas, kerisik dan ubi kentang.
Perasakan dengan gula dan garam. Biarkan mendidih dan pekat.

Nota : 
1. Kalau itik yang direbus tu empuk sangat, didihkan dahulu santan sebelum masukkan itik
2. Kalau nak masukkan cili giling, masukkan bersama rempah kerutuk Bawang besar pula boleh masukkan bersama ubi kentang
3. Untuk mudah, gunakan kuali supaya senang nak kacau