Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera
Saya membeli dua ekor itik untuk dijadikan juadah semasa Aidiladha yang lalu. Memang dah niat sebab dah jumpa kedai menjual itik tu. Saya tak maklumkan pada Mek awal-awal, nanti dia kata beli wak gapo. Bila dah ada di rumah dia pula yang tolong potong dan cabut bulu pahat.
Mula-mula saya plan nak masak sendiri kerutuk ni, tapi sebab sibuk menjala, rasa macam tak sempat. Dari petang sampai ke pukul 10 baru siap mengirai, sudahnya diam-diam Mek menyuruh kakaknya yang sulung (emak saudara) untuk memasaknya. Dia memang terror pun bab gulai menggulai ni. Lagi sekali maaf sebab snap gambar terus dari kuali. Tak dapat nak setup bagai sebab tengah bizi. Nak buat step by step pun tak sempat. Masa ambil gambar ni kerutuk belum masak sepenuhnya. Kuah masih belum kering / pekat kerana simpan sebab nak panaskan esok paginya.
Jika dibandingkan resepi ini dengan resepi Mok Ja [di sini], terdapat sedikit perbezaan dari segi bahan-bahan dan penyediaan. Kata Mek Limah, cara dia ni senang-senang saja, semuanya main campak. Katanya lagi rempah kerutuk yang saya beli tu adalah kerutuk merah. Laaaaa, baru saya tahu rupanya rempah kerutuk ada yang hitam dan ada yang merah. Alkisahnya...
Bila menggunakan resepi orang lama ni, tak ada sukatan yang khusus. Sambil menjala, sambil saya bertanya dan perhatikan apa yang dibuat. Saya cubalah senaraikan seadanya, untuk memudahkan jika saya nak cuba di masa akan datang. Ada ke patut bila di tanya berapa biji atau berapa banyak, jawapannya seganggam, ada pulak segenggam senyum paling tidak pun dikata 'cakro' atau agak-agak saja maksudnya. Itu le masalah problemnya dengan resepi orang dulu-dulu ni.
Buat sesiapa yang nak mencuba, saya tuliskan semula resepi dibawah ni. Mungkin agak tak sama jadi bolehlah disesuaikan mengikut citarasa masing-masing.
KERUTUK SERATI MEK LIMAH
Resepi : Pn Halimah Bt Abdul Rahman
Bahan-bahan :
2 ekor itik - potong sederhana kecil (rebus terlebih dahulu dalam pressure cooker)
Santan pekat + sederhana dari 2 / 3 biji kelapa (agak-agak)
3 biji bawang putih
15 biji bawang merah
2" halia
1" lengkuas - ketuk
5 sb rempah kerutuk - bancuh dengan sedikit air
1/4 biji kelapa - jadikan kerisik
1 sk ketumbar sangai - tumbuk lumat
3 biji ubi kentang - belah 8 (kalau lebih pun tak apa)
1 [buah pelaga, bunga lawang, kulit kayu manis (kecil)]
Sedikit minyak untuk menumis (pastikan sesuai dengan jumlah rempah yang digunakan)
Option : bawang besar (belah 4), cili giling, serai
Cara membuatnya :
Bawang merah, bawang putih dan halia dimayang halus
Panaskan minyak dan tumis rempah kasar
Kemudian masukkan bawang putih dan halia
Bila dah naik bau masukkan bawang merah. Tumis sehingga agak garing dan lembut menggunakan api sederhana. Agak lama juga, dalam 3 ke 4 minit
Selepas itu masukkan rempah kerutuk dan goreng hingga agak kering. Jangan lupa kacau selalu untuk elak hangit. Goreng lebih kurang 5 minit untuk memastikan rempah benar2 masak
Bila rempah sudah masak, masukkan itik dan gaul hingga rata. Masukkan santan, lengkuas, kerisik dan ubi kentang.
Perasakan dengan gula dan garam. Biarkan mendidih dan pekat.
Nota :
1. Kalau itik yang direbus tu empuk sangat, didihkan dahulu santan sebelum masukkan itik
2. Kalau nak masukkan cili giling, masukkan bersama rempah kerutuk Bawang besar pula boleh masukkan bersama ubi kentang
3. Untuk mudah, gunakan kuali supaya senang nak kacau
Kakak pun sama suka guna kuali masa masak tak kiralah apa pun dah siap tuang terus senang...
ReplyDeleteTengok kerutuk ni meleleh aje... kakak suka makan dgn roti