Sunday, October 13, 2013

Dan Bunga Pun Berkembang # Episod Akhir



Syed menerima dengan seikhlas hati berita yang telah diberitahu oleh Zainab minggu lepas. Wanita itu nampaknya sudah menerima lamaran Mohamad untuk djadikan isteri. Betullah apa yang dikatakan bonda. Wajah mereka yang seiras menunjukkan betapa jodoh itu milik bersama. Jadi kerana meraikan peristiwa bermakna itu, dia dan bonda bersepakat mengadakan kenduri kesyukuran, selain ada khabar gembira yang mahu dia kongsikan.

Zainab dan Che Mat menerima pelawaan Syed Hamdan dengan senang hati. Selain mengenangkan hubungan persaudaraan sesama Islam, hubungan baiknya dengan Paduka Syarifah Zahrah juga patut dipertahankan. Dia sudah jatuh kasih kepada wanita itu. Yang menariknya, mereka ke sana dengan anak-anak yang sudah semakin mesra.



‘Seronok makcik tengok keluarga Nab ni, riuh rendah dengan kanak-kanak. Mesti tak sunyi di rumah nanti.’

Zainab dan Paduka Syarifah Zahrah berbual di ruang taku setelah majlis berakhir. Anak-anak sibuk bermain di luar rumah. Che Mat dan Syed Hamdan entah ke mana menghilang. Memberikan mereka ruang yang selesa untuk bercerita hati ke hati.

‘Alhamdulillah makcik. Rezeki Allah bagi. Tiba-tiba sahaja Nab dah ada anak lima.’

Zainab tersenyum. Rahsia Allah tiada siapa yang tahu…

‘Bila nak di adakan kendurinya?’

‘Sebenarnya saya belum lagi bincang perkara ni dengan keluarga. Hujung minggu ni kami akan balik kampung, tengoklah macam mana.’

‘Jangan lupa jemput makcik nanti ya.’

‘Eh, makcik mesti datang tau. Nab dah jemput awal-awal ni.’

‘Insyaallah… Nab, makcik bersalah kerana menghalang hubungan kau dengan Syed dulu. Tapi makcik harap kamu dapat menjadi anak makcik boleh tak? Makcik perlukan kasih sayang kamu Nab…’

Alhamdulillah. Sungguh terharu rasanya mendengar kata-kata sebegitu. Zainab hanya mengangguk. Sekarang dialah insan yang paling gembira. Selain menerima Cek Mat sebagai bakal suami dan bakal mempunyai lima orang anak…dia juga akan mempunyai empat orang emak. Alangkah bahagianya…dia memeluk wanita itu dan mengucup pipinya.



‘Umi, tengok papa bawa balik baby!’

Qalish tiba-tiba meluru masuk kepadanya.

Baby? Zainab dan Paduka Syarifah Zahrah berpandangan. Hairan.

Memang betul Cek Mat melangkah masuk sambil menggendong seorang bayi. Tetapi itu bayi siapa?



‘Bonda… inilah Muhammad ‘Umar.’

Paduka Syarifah Zahrah mengambil bayi dari dukungan Che Mat. Matanya kelihatan bercahaya, bersinar menatap bayi yang sedang membuntang memandangnya.

‘inilah anak angkat Syed. Alhamdulillah rumah anak yatim akhirnya membenarkan Syed membawanya balik.’

Paduka Syarifah Zahrah mencium bayi itu bertalu-talu. Dia memang tahu niat Syed Hamdan untuk mengambil anak angkat tetapi katanya proses agak susah dan tidak kemungkinan dia berjaya. Tetapi dengan kuasa Allah nampaknya dia dapat memelihara anak itu.

‘Nampaknya lepas ni kau kena cari emaknya pulak la Syed.’

Kata Che Mat yang mengundang tawa semua… Muhammad ‘Umar dalam dukungan bonda dipeluk erat.


*****

Zainab memandang panorama di belakang rumah. Ada pelbagai sayur-sayuran yang ditanam ayahnya. Berbudi kepada tanah Insyaallah akan dapat hasilnya. Ayah memang suka berkebun untuk mengeluarkan peluh sementelah pula mempunyai banyak masa terluang setelah pencen. Minggu ini dia, Che Mat dan anak-anak balik ke Bentong untuk berbincang tentang pernikahan mereka. Mak Mah pula minta dihantar ke rumah lama.

‘Apa yang kau menungkan tu Nab?’

Emak tiba-tiba datang dari belakang tanpa dia sedari.

‘Tengok pokok-pokok ni mak, tenang rasa dalam hati. Seronok juga sesekali balik ke kampung. Anak-anak tak balik lagi mak?’

‘Budak-budak tu tahu aje lah Nab, dah jumpa air sungai memang payah sikit nak naik. Biarlah mereka mandi-manda sepuasnya. Kau dah siap masak? Karang balik mesti lapar tu.’

‘Dah mak. Tinggal nak hidang aje.’

‘Nab, mak bersyukur akhirnya kau terima lamaran Che Mat tu.’

‘Alhamdulillah mak. Ini semua untuk anak-anak.’

‘Mak sentiasa mendoakan kebahagiaan kamu. Kamu anak yang baik Nab, kamu layak mendapatnya. Che Mat tu bukan sembarangan orang. Dia lelaki yang baik. Tengok sahaja bagaimana dia melayan anak-anak kamu bagai anaknya sendiri.’

‘Saya tahu mak. Saya harap, dengan perkahwinan ni Qalish dan Qadeer akan dapat merasai kasih sayang seorang ayah yang tak sempat abang Daus berikan.’

Bila bercerita saja tentang Daus, air mata begitu rapuh memecah benteng.

‘Insyaallah… Insyaallah.’

‘Mama…kenapa menangis?’

‘Mana ada mama memangis Qasseh. Ini haaa habuk masuk mata mama. Semua orang dah balik?’

Qasseh tiba-tiba masuk ke dapur menegurnya. Dah balik mandi sungai la tu. Ayah dan Che Mat memang suka melayan kehendak anak-anak…

‘Jom-jom panggil semua. Kita makan.’

Emak yang sedang memandang menyapu air mata di pipi. Dia gembira melihat kebahagiaan yang Zainab kecapi.



‘Jadi begitulah pakcik. Kalau boleh saya mahu buat kenduri kesyukuran saja. Kenduri anak beranak kata orang.’

‘Pakcik tak kisah Mat, mana yang baik pakcik ikut aje. Semuanya pakcik serahkan pada Mat dan Zainab.’

‘Terima kasih pakcik.’

‘Cuma pakcik harap jangan Mat sia-siakan Zainab. Dia anak pakcik yang sangat baik, seorang anak yang tak pernah menyakitkan hati kami. Dah banyak dia alami penderitaan sebelum ini. Jadi pakcik harap Mat dapat faham.’

‘Saya tahu pakcik. Insyaallah saya akan menyayangi dia lebih daripada pakcik dan makcik. Seperti mana maksud namanya, sekuntum bunga yang cantik dan harum, seperti itulah nilainya pada saya, malah lebih lagi dari itu.’

Pak Din lantas memeluk Che Mat erat. Dia tahu Zainab telah membuat pilihan yang tepat!



Che Mat merasa sangat lega. Dia bersyukur kerana segala usaha pernikahannya dengan Zainab telah dipermudahkan. Penerimaan keluarga Zainab sangat membantunya. Dan sememangnya dia telah berazam untuk menjadikan Zainab isterinya hingga ke akhir hayat, malah hingga ke Syurga.

‘Jom jom, siapa nak ikut papa pergi ambil mama?’

Semuanya bergerak ke kereta. Masing-masing mahu mengambil Zainab yang ke kubur arwah Daus bersama Qalish dan Qadeer.

‘Mama okay?’

Tanya Qayyum.

‘Kenapa Qayyum tanya?’

‘Kalau papa ke kubur arwah mama, mesti papa menangis. Mama tak menangis?’

‘Kenapa pula mama nak menangis? Tak ada apa-apa yang sedih pun.’

‘Apa yang mama dengan Qalish doa dekat kubur tu?’

‘Mama doa kita semua bahagia. Kita dah ada mama dan papa, kita dah jadi keluarga.’

Jawab Qadeer bagi pihak Zainab. Dia tersenyum lebar.



‘Kalau bulan depan kita buat majlis tu awak setuju tak Nab? Semuanya dah selesai. Saya ingat nak buat kesyukuran saja. Apa kata awak?’

‘Saya pun fikir begitu juga, cukuplah kita buat yang wajib.’

‘Kita jemput sanak saudara dan keluarga terdekat cukuplah.’

‘Kawan pejabat tu jangan lupa pulak.’

‘Itu sudah semestinya. Semua nak hadir kenduri boss.’

‘Lepas ni malu la saya nak pergi kerja satu pejabat. Entah apa pula kata orang. Orang berkerja, saya memikat bos.’

‘Awak tak memikat pun dah lama saya terpikat Nab. Si Kamal tu asyik meminta saya melamar awak. Semuanya bagi sokongan.’

Zainab tersenyum malu…

‘Lepas nikah ni kita bawa anak-anak ke Mekah ya, saya dah booking tiket. Dah lama saya berhasrat begitu.’

Siapa tahu rupa-rupanya Che Mat dah banyak merancang masa depan mereka.

Zainab memandang anak-anak di belakang. Ada yang sudah tertidur. Ada yang sedang bermain-main.

‘Lepas ni kita kena beli kereta besar sikit la ya… Lima orang kat belakang ni dah tak muat, belum masuk orang lain lagi.’

Zainab tida-tiba bersuara. Che Mat menyambutnya dengan hilaian ketawa.

Ya, lepas ni mesti beli kereta besar sikit…

**********************************************************

TAMAT

21 SEPTEMBER 2013

730B – CAMERON HIGHLANDS


1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]