Showing posts with label Nostalgia. Show all posts
Showing posts with label Nostalgia. Show all posts

Thursday, March 13, 2014

Nostalgia : Kebun Getah

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Balik kampung 2 minggu lepas, sempat join adik pi ambil my Mek yang menoreh di bukit. Kebetulan jugak my Cek dah lama tak ikut menoreh kerana membuat kerja menanam di baruh. Kalau zaman sekolah dulu, datang sini hanyak jalan kaki je dari rumah tapi sekarang tak dapek dah la, mau semput nak bernafas sebelum sampai. 

Nostalgianya tempat ini kerana inilah sumber yang membesarkan kami adik beradik. Kalau dulu bila tak sekolah terutamanya hari Jumaat, mesti ke bukit mengutip getah atau pun menolong membawa susu getah. Zaman saya sempat lagi buat getah keping sebelum beralih kepada sekerap sepenuhnya.


Dari jalan besar, menapak dalam sekali berpeluh sekali penat sebelum sampai. Jalan ni takleh masuk ngan kereta, motor dan lori je buleh. Biasalah jalan bukit, lekuk sana sini. Maka, menapaklah saya..


Tangga untuk naik ke tempat menoreh. Dari dulu pun memang tangga inilah yang saya jejak. Sempat juga meninggalkan jejak tersungkur di sini.


Inilah kebun getahnya. Dulu milik arwah atok tetapi dah diturunkan pada my Cek. Saya ingat masa mula-mula nak bukak getah ni arwah tok buat sembahyang hajat dan kenduri doa selamat kat sini, masa tu tahun bila ya...tak ingat dah. Yang saya ingat makan pulut kuning.


Kawasan menoreh ni memang tak berapa semak sebab dimesin segala rumputnya. My Cek tu memang pantang kalau semak semak ni. Pokok ni pun dah agak tua, daun-daun meluruh sebab sekarang musim daun luruh. Ada yang dah keluar pucuk. Kalau tengok dedaun yang berguguran...yang berwarna kuning kemerahan, macam autumn kat Korea dah tau. Suka sangat..


Tu, nampak tak my Mek dok menoreh dalam uniformnya. Ambil gambar sorok-sorok kot kena marah. Sebenarnya kalau ikutkan hati nak je suruh dia berenti menoreh, tapi bukannya hendak orang tua ni. Tiap-tiap bulan memang anak-anak ada bagi duit, dah cukup untuk kegunaan seharian tapi itulah... macam kita kan, boring pulak kalo takde keje...


Hasil setelah beberapa hari. Sekarang musim kurang getah, jadi hasilnya pun kurang. Kalau sembang-sembang, sekarang harga sekerap dalam RM2.60 - RM2.70 sahaja untuk sekilo. Bila gitu kan, orang tua mengeluh, rasa sayu jugak dalam hati. Sekilo gula dah RM2.50, jadi setakat manalah pendapatan seharian? Kalau yang menoreh sendiri boleh tahan lagi. Tapi kalau yang menoreh getah orang tu? Hasil kena bahagi dua...


Inilah yang saya maksudkan. Tapi sayang tak clear sangat guna phone ni. Cantik kan...


Ini pokok buluh pleting a.k.a buluh straw yang ada di sana. Saya dah terfikir nak buat sesuatu dengan batang buluh yang panjang ruasnya ni... nantilah kalau ada masa.


Ini pulak pokok jenerih. Pucuknya boleh dibuat ulam. Rasanya lemak-lemak sikit. Khazanah dari hutan.


Sekali imbas pucuknya ada persamaan dengan pucuk sena. Tapi yang sebenarnya kata my mek yang dipetik ni dah tua. Huuuu....


Ini pulak pokok palas...

Nostalgia anda? Bagaimana...


Friday, October 4, 2013

Air Tangan Mek Lah Yang Terbaik - Binjai Jeruk

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Buah binjai, cerita sahaja tentangnya bisa membuatkan mulut saya berair. Dapat makan memang satu nikmat yang tidak terkata. Kalau nampak di mana-mana insyaAllah saya akan beli. Balik kampung beberapa minggu lepas, agaknya sekarang tengah musim, berderet orang menjual binjai di jalan Machang-Kuala Krai. Di kampung pun ada juga.

Binjai ni ada dua jenis iaitu binjai masam dan binjai manis. Tapi daripada apa yang saya makan kedua-duanya memang masam (walaupun namanya binjai manis) cuma tahap kemasamannya tu berbezalah sedikit. Apap pulak kaitan tajuk n3 ni dengan buah binjai? Jom baca lagi...


Buah binjai ni sebenarnya boleh dijadikan banyak benda. Selain di makan gitu aje (pada siapa yang tahan masam) ianya juga boleh dijadikan colek (saya tak pernah buat). Ia juga boleh dijadikan sambal atau dimasukkan dalam budu. Tetapi yang saya paling suka adalah binjai yang dijeruk. Selalunya mek yang akan buat, kupas kulit, hiris, tabur gula dan garam kemudian letak dalam peti sejuk. Anak bertuah ni hanya tunggu masa makan saja *_*

Siapa yang pernah makan akan tahu bagaimana rasanya. Saya nak terangkan pun susah. Selalunya kalau makan binjai jeruk, saya tak akan gigit. Saya lebih suka 'mengemam' atau 'menyedut' antara lidah dan lelangit. Eeeeeee memang sedaplah. Dok cerita ni pun macam terasa-rasa je buah binjai tu dalam mulut. Bukan apa, kalau gigit nanti gigi jadi ngilu sebab binjai jeruk ni biasanya sejuk, disimpan lama dalam peti ais.

[Sumber]

Seperti tajuk n3 ini juga, apa yang dibuat oleh mek saya adalah yang terbaik. Dalam gambar di atas, itu adalah binjai jeruk yang saya bawa dari kampung. Sehari makan satu dan simpan semula dalam peti sejuk. Kena makan sejuk-sejuk baru sedap. Pernah sebelum ni saya terlupa nak ambil, teringat-ingat sampai ke CH. Bila saya balik kemudiannya mek siap simpan awal-awal lagi untuk saya. Mmmmmm sayang dia sangat-sangat! Sebenarnya apa-apa pun kalau yang emak kita masak...semuanya rasa sedap. Hatta mek buat teh O sekalipun, tak pernah dapat menandingi apa yang saya buat. Setuju?

Dan minggu lepas adik saya balik kampung, dapatlah lagi sebekas binjai jeruk yang saya minta mek bekalkan. Hmmmm tak sabarnya nak makan. Jangan jeles tau korang..

Buat sapa-sapa yang masih ada mak ayah tu, selalulah balik menjenguk mereka. Bukan wang ringgit yang di harapkan. Kadang-kadang mereka tak meluahkan apa yang di rasa, tetapi sebagai anak kita kenalah faham. Buat yang dah kembali ke rahmatullah, Al-Fatihah saya sedekahkan...

Wednesday, September 18, 2013

Buah Berangan Goreng

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Kembali bersiaran di pagi yang semakin menginjak ke tengah hari. ^_^

Dah baca kan tentang cerita pasal buah berangan kampung dan jari jemari yang halus-mulus tu? Kalau belum boleh klik kat sini. Jadi kali  ni saya nak share pulak tentang macam mana saya memasaknya. Rasanya semua dah tahu, cuma mungkin tak berkesempatan nak membuatnya sendiri.


Buah berangan yang telah digoreng lebih enak dimakan semasa masih panas kerana isinya masih lembut. Kalau dah sejuk tu sampai lenguh rasa pipi dek asyik menggigitnya. Yang saya buat ni dibawa ke CH, goreng di rumah kawan saya. Kalau nak kata saya habiskan sendiri memang tak mampu lah. Ni pun makan ramai-ramai dalam gelap (masa tu kebetulan pula letrik tiba2 terputus)


Ini hah... dua beradik yang dok mengadap buah berangan. Siap guna alu lesung lagi. Kalau nak gigit je gitu alamatnya boleh patah gigi. Sorang tukang tumbuk, sorang tukang keluarkan kulit.


Macam mana nak kongskikan resepi ya? Tak ada sukatan yang khusus, cuma perlukan buah berangan saja. Kata saudara kawan saya, lagi harum jika digoreng bersama kopi kasar. Kalau tengok yang dijual tu entah dalam apa ya mereka goreng... kata orang guna tar jalan raya. Hish tak pasti lah pulak tu betul ke tidak kerana saya tak pernah lagi membelinya.

Saya bagaimanapun merebusnya terlebih dahulu di dalam pressure cooker sebelum menggorengnya di dalam kuali. Jadi masa menggoreng pun tak lama dan isinya masak sekata. Kalau tak direbus dulu memang ambil masa sikit nak masak...silap haribulan kena yang masih mentah. T_T Kalau nak tahu buah berangan ni dah masak atau belum, tengok saja pada kulitnya yang merekah sedikit selain warna yang bertukar kehitaman.

Lain kali kalau ada lagi buah berangan ni, saya nak cuba goreng dengan kopi kasar pulak tengok macam mana rasanya. Buat kawan-kawan, selamat mencuba!

Wednesday, September 11, 2013

Buah Berangan Kampung

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Masa kecil2 dulu, bila sebut saja buah berangan, saya teringat sejenis permainan yang selalu di mainkan dengan lagunya yang berbunyi lebih kurang begini...

Cak klepak klepuk klepa
Woh bronge lokoh kulit
Akat crano takdok tebaka
Mari same kito balik
Lik lik gong pok salik kena sigong
Mamat naik nyor turun kok plepoh
Mamat nak gi mano
Mamat nak gi nikoh...

Budak2 sekarang mungkin dah tak tahu permainan tu. Di setiap kawasan mungkin liriknya juga berbeza. Saya sendiri pun sudah ingat2 lupa tentangnya.


Buah berangan... saya pasti kebanyakan kita tahu pasal buah ni. Agak lama juga saya tak jumpa buah ni tetapi masa balik kampung minggu lepas kebetulan tengah musim buah ni meluruh bersekali dengan musim buah getah. Jadi rezeki saya agaknya nak kongsikan pasal buah ni. Sebelum apa2 abaikanlah ya jemari saya yang halus mulus tu...jangan ada yang terpengsan pulak. Gambar ambil dengan fon aje.


Inilah ropenye buah berangan yang masih berada di dalam kulit. Kelihatan ada 2 / 3 biji di dalamnya. Kalau biji kurang saiznya jadi besar sikit. Tapi mungkin jugak sebab ianya berangan kampung maka saiznya tak la berapa besar. Kalau nak dibandingkan dengan berangan yang dijual di pasar2 malam memang jauh bezanya.


Inilah antara hasil yang diperoleh selama lebih kurang 2 jam mencari dengan adik. Dalam 2 kilo ada kot. Agaknya kalau ada masa panjang boleh dapat banyak lagi. Kata mak saudara saya yang memotong getah berdekatan, kali ini tak ada yang rajin mencari. Saya pun kebetulan adik yang mengajak, kalau seorang mmmm minta maaf lah ya. Tapi betul jugak katanya. Sekarang ni siapalah yang hendak bersusah payah mencari. Dengan nyamuk, semak dan gatal miang...lebih senang beli aje....


Ini pula keadaan buah yang telah gugur ke tanah. Ada yang masih di dalam kulit. Ada juga yang masih belum terpisah. Bila buah tu meletup bijinya akan bertebaran ke merata-rata. Masuk ke dalam sungai pun ada. Kalau kata ada banyak daun, kenalah kais dulu dengan kayu.


Ini pula rupa buah dan kulit yang telah bercerai dari biji. Saya pun macam baru tengok jugak ni. Zaman budak2 dulu ada la sekali dua mencari buah berangan tapi dah tak ingat bentuknya macam mana. Jadi dengan adanya gambar2 dalam n3 ni, diharapkan dapat mengembalikan ingatan zaman dulu-dulu kita semua.


Pokok  ni agak besar juga. Mungkin dalam spesies pokok balak agaknya. Yang ada dj kampung saya ni tumbuh tepi sungai. Lebih kurang satu pemeluk saiznya.... Semang nostalgia sungguh masa kutip tu, dengan deruan air sungai mengalir dan bunyi buah yang pecah... terasa jiwa sangat tenang. Nostalgia!

Saturday, June 15, 2013

Nostalgia : Sarang Burung (Daun)

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Apa khabar semua? Selamat berhujung minggu. Selesai bermeeting, tak menyempat nak berblog dek kepenatan dan kurang sihat. Apa cerita dan masakan yang hot sekarang ni? Di hari Sabtu begini meh la kita baca kisah nostalgia yang dah lama saya tak kongsikan.

Lama jugak saya tak nampak sarang burung yang dibuat dari daun seperti dalam gambar di bawah ni. Kalau zaman kecik2 dulu selalu masuk dalam semak (orang Kelantan kata 'rok') senang je nak jumpa sarang burung begini di pokok medang. Pastu mula la skodeng ada tak anak burung atau telur dalam tu.


Tapi masa cuti baru ni, saya melepak di rumah arwah tok, sambil berfotografi la konon, terdengar la kicauan burung yang tak berhenti2. Saya ingatkan tak ada apa, iyalah dah resmi burung kan. Tapi dalam pada dok pusing-pusing tu terpandang la pulak sarang burung pada pokok apa tah ni. Rupa2nya burung tu berkicau tak henti agaknya risau saya usik sarang mereka.


Unik kan, apa teknik yang digunakan oleh burung sekecil 2 jari untuk membina sarang yang kukuh sebegini. Lihatlah betapa gigihnya mereka menghasilkan tempat untuk berlindung.


Bila diintai, memang ada anak burung di dalamnya. Dah tumbuh bulu pun tapi saya agak belum keseluruhan lagi. Keesokannya bila saya tengok, ada pulak sebiji telur di dalamnya. Semoga tak ada yang mengacau dan anak burung itu dapat hidup dengan sihat.

********** (^__^) ********** 
Terima kasih atas kesudian membaca entree ini hingga ke akhirnya. ~ Wassalam ~

Tuesday, November 6, 2012

Nostalgia : Biji Cempedak Rebus

 
 
Pernah makan biji cempedak rebus? Kalau bukan biji cempedak pun let say lah biji nangka rebus. Tak pernah? Ish rugi tau... Tapi cheq sue pasti kebanyakan daripada kita pernah makan. Kalaupun yang tidak direbus, mesti pernah makan dari cempedak yang digoreng. Rasanya jangan cakap lah, memang retro klasik gitu. Tapi awas pada yang kuat 'angin' dalam badan tu. Jangan dok makan bebanyak, kang tak pasal2 sesak dalam dada.
Biji cempedak ni sebenarnya dari buah cempedak yang cheq sue bawa dari kampung baru2 ni. Bila dah asingkan biji dengan isinya, dapatlah direbus buat kudap-kudapan. Bila makan tu memang ingatlah zaman kecik2 dulu...kalai ada cempedak atau nangka memang tak dibuang bijinya... gitulah orang tua-tua dulu kan, mana yang boleh dimakan, tak dibazirkan..
 
 
Demikianlah sedikit perkongsian untuk mengimbau kenangan kita semua. Sampai ketemu semula. Maaf tak dapat BW atau reply komen... tengah jaga SPM... -_-
Wassalam
Stylish Thankyou

Monday, June 4, 2012

Nostalgia : SEMA??



 
 
Aduhai... baru pukul 11 pagi tetapi panasnya sungguh bumi Kelantan ni. Nak sampai ke malam 3 4 kali mandi. Jangankan kata budak2 kalau gini, orang tua pun tak tahan panasnya. Kalau la ada swimming pool kat rumah ni memang tak pi kelain dah. Apapun, biarlah panas di dunia yang tak seberapa ni. Dah rezeki kita Tuhan berikan begini.. ^_^
Berbalik pada tajuk n3 kali ni, korang ingat lagi tak apa bendanya... di pronounce like 'sey-ma'. Tak pasti pulak di negeri lain ada ke tak benda ni, kalau kat Terengganu tu maybe ada. Cheq sue pun dah lama tak jumpa benda ni, dah hampir lupa bagaimana rasanya. Ini adalah kudapan yang sangat terkenal ketika budak2 dulu. Kalau makan sememeh sampai ke muka. Sepeket 10 20 sen aje. Sekarang ni payah jugak nak dapat. Yang ini pun mek dapat masa pegi kenduri.



 
Cheq sue tertanya2 jugak, benda ni dibuat daripada apa? Sama spesies ke dengan gula kapas @ gula 'leng' tu. Kalau dirasa tepung nya ni macam tepung gandum sangai pun ada. Pastu tak berapa manis, bila makan ada lekat dekat lelangit gitu.
 



 
Yang pasti, kalau tanya budak2 sekarang memang kompom tak kenal...apatah lagi nak makan. Untungnya kita yang paling kurang pernah kenal dan rasa. Mmmmmm nostalgia! Wassalam...
Stylish Thankyou

Friday, October 28, 2011

Nostalgia : SYARIKAT MUDA OSMAN

Assalamualaikum & salam sejahtera


Petang semalam cheq sue ke Pasir Puteh, ada sedikit urusan yang perlu dibuat. Kemudian singgah seketika di Syarikat Muda Osman - SMO (kedai buku). Dah agak lama jugak tak ke sana, rupa2nya sekarang urusan penjualan sehingga 10 malam Mmmmm dah banyak berkembang rupanya kat Bandar PP ni.Kalau sebut saja MUDA OSMAN, memang satu ikon yang sangat popular di serata ceruk negeri Kelantan. Daripada cheq sue sekolah rendah sampai la sekarang, SMO tetap berdiri teguh seiring pembangunan. Kalau dulu lokasinya berhadapan SK Laki-Laki, sekarang kedudukannya lebih strategik, berdekatan stesen bas dan di tengah2 bandar.

Tujuan cheq sue ke SMO adalah untuk mencari frame gambar. Sedang memilih tu, ditegur oleh seorang pekerja veteran, membahasakan dirinya Pokcik Me (Man). Seingat cheq sue, dia merupakan pekerja yang sangat setia dengan SMO. Setiap kali ke sana memang akan ternampak dia. Kalau dulu badannya tegak, misainya melentik hitam pekat, tapi sekarang sudah ada garis2 tua di wajahnya. Tak tahu la berapa lama dia kerja di sana, tapi sekarang dengan statusnya seorang atuk, dengan 3 cucu tentulah sudah agak lama dia bekerja di situ. Orangnya ramah, sangat baik hati. Bermacam2 di tanya pada cheq sue. Duduk di mana, kerja di mana, orang rumah kerja kat mana, pakai kereta apa, bila nak balik ke Pahang... eh eh eh....

Bagi anak-anak Kelantan di mana-mana sekalipun, mesti ada kenangan di SMO. Cheq sue percaya, paling tidak sekali dua pernah membeli buku-buku @ peralatan sekolah di sana. Jangan ketawa pula kalau cheq sue kata di SMO juga boleh menjadi tempat untuk 1st date. Ada jugak yang bertemu jodoh di sana. Ye la...sambil2 memilih pensel dan pen, sambil mata mengintai ke sana sini. Al maklumlah rata2 pelanggannya masih bergelar pelajar samada di sekolah, universiti atau maktab. Aduhhh...bila diingat balik, tersenyum sendiri dengan nostalgia di SMO ni.... Sekian, wassalam...

Sunday, August 14, 2011

Nostalgia Pelenyek Nasi

Assalamualaikum & salam sejahtera

 Pelenyek nasi ni pun dah pecah2 dah... dah selalu guna kan...lama lak tu umurnya...

Aduiiii...bila nak tayang menu masak2 ni ya??? Rindu sesangat dah ni... Macam2 menu dah ada untuk dibuat. InsyaAllah ya bila dah ada di CH....boleh la buat. Kawan2 pun dah banyak yang buat beskut raya.. kite pulak baru nak pi beli barang2...

Okeh... masih lagi dalam mood nostalgia-nostalgia ni. Maklumlah masih ada di kampung. InsyaAllah lepas Zohor nanti nak bertolak la ke CH. Tengah2 kemas dapo tadi terjumpa benda ni... Haaaaa korang pernah guna @ tgk tak? Cheq sue sebenarnya tak berapa arif akan namanya, tapi biasa dok panggil pelenyek nasi aje. Bende ni diperbuat daripada kayu...memang dah banyak umurnya ni, banyak pulak jasanya pada kami adik beradik.

Apa gunanya? Lebih kurang namanya, bende ni digunakan untuk melenyek nasi yang akan diberikan kepada bayi. Ala...kalau sekarang macam nestum tu laaaa... Caranya adalah dengan menggunakan nasi lembik yang baru je masak...memang kalau lenyek masa panas2 tu kejap aje hancur. Kalau nasi dah sejuk alamat kena guna tenaga lebih la sikit. Bila nasi tu dah hancur masukkan sedikit gula dan lenyek semula sehingga gula hancur. Rasa2 cheq sue adik beradik semua membesar dengan makan nasi lenyek tu...xde pun yang makan nestum2 tu bagai... tu yang sehat2 aje semuanya...

Sekarang bende ni dah xde orang guna dah...semuanya dah ada tersedia...kalau nak buat nasi lenyek pun, masuk aje dalam blender...zzzzzzzzzzzzzzzzz je kejap dah siap. boleh pulak dimasukkan sayur2 atau lauk... apapun..sesape yang pernah guna pelenyek nasi ni mesti tahu kan suka duka kisahnya... :)

Saturday, August 13, 2011

Nostalgia Dapur Kayu

Assalamualaikum & salam sejahtera

Susah dah nak dapat sekarang... time2 nak rebus ketupat ke nak buat rendang ke perlu la ni...

Cuba ingat2 balik...pernah tak kita guna dapur kayu ni pada zaman dulu-dulu? Kat rumah cheq sue di kg ni memang ada guna lagi untuk merebus air @ membakar ikan / daging / ayam. Kalau guna untuk merebus air memang sedap kan rasanya. Ada bau2 asap kayu gitu. Kalau guna untuk masak nasi pun sedap...aromanya lagi wangi dan menyelerakan.

Bila diingatkan semula, memang banyak nostalgia kisah suka duka dengan dapur kayu ni. Masa cheq sue kecik2 dulu...belum ada lagi dapur gss. Kalau kat rumah sape yang ada dapur minyak tanah pun dah kira untung. Memang guna sepenuhnya dapur kayu untuk memasak. Memang cheq sue dua  beradik perempuan telah diajar bagaimana untuk menyalakan api dan menggunakan dapur kayu ni... Kalau dulu dapur kayunya terletak di sudut dapur dalam rumah, sekarang dah ada stu tempat khusus di belakang rumah. Kalau time nak bakar ikan aduhhhhh berasap satu kampung.

Cheq sue masih ingat dulu menggoreng ikan singgang menggunakan dapur kayu. Kan kalau kita goreng ikan singgang biasanya minyak akan meletup2 siket... udahnya balut lengan dengan kain tuala...tgk2 tuala pulak dah dimakan dek api... kelam kabut wehhhhh....

Kalau cheq sue kan rasa bertuah sgt tau dapat gunakan benda ni... entah2 lagi setahun dua dah xde dah orang guna...mesti anak2 cucu nanti pun tak sempat nak kenal dapur kayu ni camana....kannn??