Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera
Rumah kenangan. Ini sebenarnya rumah arwah atok nenek saya, letaknya cuma di tepi rumah arwah ibu bapa. Di rumah inilah tempat saya membesar, melalui zaman-zaman remaja saya dengan pelbagai suka duka yang terakam di dalamnya.
Di rumah inilah arwah atok saya pertama kali membeli radio, siang dia dengar Kelantan FM dan pada malamnya pula saya mendengar corat coret Ismahalil Hamzah. Di sinilah juga adik saya menghembuskan nafasnya yang terakhir tanpa ada sesiapa. Begitulah, seiring dengan peredaran masa, yang tinggal hanyalah kenangan. Sedih, namun kehidupan mesti diteruskan. Rumah ini akan mendapat pemiliknya yang baharu. Tapaknya akan menjadi baiti jannati adik saya dan keluarganya.
Di depan rumah ini juga ada sebatang pokok kelapa. Kalau agak berangin atau ribut, kita akan naik rumah mak sampailah angin teduh. Di belakangnya ada rambutan anak sekolah yang mana kami adik beradik akan lepak di bawahnya sambil menikmati manis rangup rambutan sepuasnya. Kadang-kadang kita korek lubang congkak di situ, sambil main menggunakan biji getah.
Petang-petang, arwah tok saya akan dok berjulur kaki di depan pintu, sambil menggobek sireh, manakala yang sorang lagi akan sekadar berada di sampingnya. Di tangga batu itu tempat kesukaannya berbaring kadang-kadang sampai tertidur. Dan saya di tangga akan mencabut ubannya. 10 urat, 10 sen!
Al Fatihah buat semua ahli keluargaku yang telah kembali ke negeri abadi. Rindu semuanya, tapi rindu itu paling sakit kerana tidak mampu dilafaz lagi...
"Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau lapangkanlah dadaku, tenangkanlah fikiranku dan permudahkanlah segala urusanku.... Amin"

No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]