Monday, July 6, 2026

2018 - 2026

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Apa yang berlaku? Ke mana saya menghilang?


2018
Antara titik terendah dalam hidup. Saya rasa keseorangan, tak ada sesiapa dan memilih untuk bersendirian acah-acah extrovert. Malas nak jumpa atau cakap dengan orang sebab saya rasa kalau cakap pun orang tak faham. Tekanan kerja, keluarga dan perhubungan yang tak pasti betul betul membuatkan saya mengasingkan diri. Pada ketika tu, buka berdua lebih baik, sendiri lebih baik.
Tahun ni jugak saya dah mula menduduki rumah sendiri. Jadi kebanyakan masa hujung minggu saya habis di jalanan. Berulang CH - PP bukan gurauan gaiss, sendirian pulak tu. Masa tu saya fikir dunia saya bukan lagi di CH, ketenangan dikecap bila berada di sisi orang yang tersayang.

2019
Saya meneruskan kehidupan seperti tahun sebelumnya. Cuma pada bulan Februari saya tiba-tiba kahwin dalam masa cuti sakit (MC). Hujung tahun 2018 saya menjalani pembedahan membuang lipoma, dan pada masa tu jugak saya memutuskan untuk berkahwin. Semua orang pelik. Kisahnya berlaku pada Oktober 2024. Pada masa tu saya dah redha jikalau Tuhan tidak memberikan saya pasanga. Saya dah ada segalanya, hidup saya dah stabil, saya menumpang kasih anak-anak buah dan ibu bapa Tetapi rupa-rupanya Allah memberikan seseorang yang tepat, pada masa yang tepat dan untuk tujuan yang tepat. Saya terdetik mungkin Tuhan memberikan seseorang yang saya perlu, bukan seseorang yang saya mahu untuk melengkapkan kehidupan saya. Dengan siapa saya kahwin? Dia hanya selang 2 3 rumah dari rumah saya, sekampung dan kami saling  mengenali keluarga kami. Siapa sangka jodoh saya hanya 2 minit dari rumah. Perkenalan lebih kurang 4 bulan, saya tawakkal sehinggalah hari disatukan. Allah permudahkan segala urusan, maka kahwinlah saya pada umur 39 dengan terus mendapat 2 anak perempuan. Alhamdulillah... Rezeki saya pulak masa tu seluruh dunia dilanda Covid 19, merasalah juga saya berPJJ dan dua tiga kali ke balai polis sebab nak memohon kelulusan merentas negeri. Perit sungguh jika mengenangkan masa tu.


2020
Saya dapat bertukar balik ke Kelantan. Sepatutnya lebih awal 2019 tetapi tahun itu pertukaran dibekukan. Kelulusan pertukaran sepatutnya bulan April, tetapi rezeki dapat lebih awal bulan Januari. Kalau dah terlulis rezeki kan... Maka bermulalah episod saya berulang dari Pasir Puteh ke Tanah Merah setelah hampir 16 tahun di CH. Tahun ni Alhamdulillah segala-galanya ok. Emosi dah agak stabil, dengan persekitaran baharu dan kawan-kawan baharu.

2021
Alhamdulillah direzekikan mengandung tahun ni. Masa nak cucuk vaksin, saja je check in case kan...tetibe double line. Sejujurnya saya berharap jugak nak ada cahaya mata, tapi terbatas kerana faktor umur. Saya nak cuba buat treatment, tapi tak tercakap dengan suami. Tahu tahu dah ada 12 minggu. Kalau tak ada pun tak mengapalah, masa tu fikir dah ada 2 anak tiri yang boleh kita tumpang kasih sayang. Masa ni umur 41, pegi check up, masuk hospital kitalah yang paling senior. Alhamdulillah pregnancy ni baik-baik saja. Masa tu bekerja dari rumah je, member member pun tak tahu kita mengandung... Tahun ni jugak adik bongsu saya meninggal dunia, malam Nisfu Syaaban, semasa tidur. Baru je umur 26. Betullah, umur bukan syarat untuk mati.

2022
Hari Valentine, lahirlah puteri sulung saya, ikut tingkap di HUSM. Tak kisahlah ikut mana pun janji mak dengan anak sihat. Masa ni COVID belum berakhir, maka berpantanglah saya sendiri, sambil mak dan mentua datang jarang-jarang. ^_^  Sesungguhnya rezeki anak ni akan sampai bila tiba masanya, sama dengan jodoh sebelumnya jugak. Terima kasih Allah! Tahun ini juga saya kehilangan ayah, yang meninggal semasa tidur. Petang sebelumnya saya melihat dia lalu di depan rumah semasa balik dari masjid, esoknya dah tiada. Sedih, sedih yang berganda bila dia dikebumikan disebelah kubur adik saya. Penghujung tahun, emak saya pula didiagnose dengan breast cancer, stage 4. Saya sebagai anak yang berada dekat, terlibat sepenuhnya dengan perawatan beliau di HUSM, bergilir-gilir dengan adik lelaki. Kiranya tahun ni penuh dengan jejak saya ke HUSM lah, sampai doktor dan staff pun dah kenal

2023
Tahun ni menyaksikan kesihatan emak saya makin merosot. Dia tidak mahu membuat kimo tetapi memilih untuk makan ubat. Pembedahan tidak disyorkan atas faktor umur, dan dia sendiri tidak mahu. Selang dua minggu sekali kami ke HUSM, ambil darah, review result, temujanji Klinik Bestari, jumpa doktor...macam macam lagi. Bila dan kena penyakit ni, kewanganlah yang menjadi penentu. Masuk je hospital, confirm confirm kena duit. Mujur juga saya boleh menggunakan GL untuk tanggungan. Claim ubat dia aje dan mencecah 26K. Terima kasih banyak-banyak pada semua doktor dan staf Klinik Oncologi HUSM yang banyak membantu, memberi sokongan kepada kami. Maka  berakhirlah episod di tahun 2024, tahun yang paling banyak saya bercuti, 12 dari 15 hari. Alhamdulillah anak kecil saya baik-baik saja, jarang jarang sekali tidak sihat yang memerlukan pengawasan dari saya.

2024
Masih juga berkisarkan rawatan emak saya. Kali ini doktor mengesyorkan untuk makan ubat juga, nilainya hampir 100k++ untuk satu bulan, tetapi prosesnya agak lambat untuk menunggu kelulusan. Maka doktor mintak emak saya untuk membuat kimo sementara menunggu kerana tak ada treatment dah masa tu. Saya bawa dia untuk kimo kali pertama...melihat kesakitan dia yang tentunya tidak terucap dengan kata-kata... Orang lain mengatakan kenapa beri dia kimo? Kenapa itu? Kenapa ini? Yang sebenarnya orang tak tahu betapa sukarnya kita sebagai anak nak membuat sesuatu keputusan itu. Selepas kimo, kesihatan emak makin merosot sehingga dimasukkan ke wad. Sebenarnya bila emak saya didiagnose dengan breast cancer tu, kita dah bersedia mental dan fizikal untuk perkara-perkara seperti ini. Dua minggu di hospital, saya membuat keputusan sukar sekali lagi untuk membawa dia balik. Doktor mungkin salah untuk menyatakan pesakit sudah tiada harapan, tetapi kita sendiri pun sudah faham. Bila doktor tunjukkan x-ray paru-paru emak, kita dah nampak dalam masa 5 hari semua ruang paru-parunya sudah diserang sel canser. Dia bergantung sepenuhnya pada oksigen paras paling tinggi. Tahun duka sekali lagi apabila emak saya juga meninggalkan kami pada tanggal 2 Disember, disemadikan disebelah kubur arwah ayah dan adik. Sedih tapi redha kerana dia tidak perlu lagi menanggung derita. Al Fatihah buat ibu bapa dan adikku, serta semua ahli keluarga yang telah ke negeri abadi...

2025
Saya menjalani hidup sebagai anak yatim piatu. Keadaan yang sangat sukar. Kalau balik rumah emak, macam ternampak-nampak mereka dok bersembang di meja makan... Walau apapun, hidup mesti diteruskan. Kenangan indah ada untuk di kenang. Tahun ni doakan saya dapat bertukar ke Daerah Pasir Puteh pula, supaya lebih dekat dengan rumah dan senang sikit nak hantar anak sekolah. He he he...hantar taska je pun ^_^

2026
Alhamdulillah dah dapat balik bekerja di Pasir Puteh. Jarak perjalanan dalam 20 minit dari rumah. Syukur pada Allah. Dapat hantar anak ke sebuah sekolah PASTI yang berdekatan. Maka selesailah satu episod dalam kehidupan. Jadi, rezeki datang bila tiba masanya, bila kita sudah bersedia.. Lepas ni tengoklah kalau kalau ada cerita yang boleh dikongsi, InshaAllah akan ada... ^-^ Semoga selepas ini semuanya akan baik-baik saja


Terima kasih yang sudi baca...errr, ada ke??

 "Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau lapangkanlah dadaku, tenangkanlah fikiranku dan permudahkanlah segala urusanku.... Amin"

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]