Tuesday, November 27, 2012

Rangkuman 3 Order


Haaaa... kan senang, masuk je terus baki tempahan yang lalu. TQ pada semua yang menempah. Untuk tahun 2012 yang bakal melabuhkan tirainya tak lama lagi, Alhamdulillah dengan rezeki yang Allah beri. Halalkan mana2 resepi yang di guna untuk berjual beli, semoga bertambah2 lagi keberkatan kita semua.

Meh la kita lihat untuk kenang-kenangan dan rujukan masa depan...

Kek Span Coklat + Mousse ~ SEMEKAR

Kek span coklat dengan filling choc mousse. Cukup suka sebab dah lama dok berangan nak buat kek mousse, baru dapat dan sedap. Dapat makan sebab order dari sekolah pada last day haritu.

2 kg ++


 Kek Span Kopi + Coklat ~ Adik

Kek span kopi + coklat ni dibawa ke Tanah Rata oleh adik cheq sue yang mengganti di sana. Tak tahu la camana, sedap ke tidak, lupa nak tanya. Harap2 berpuas hati. Just simple touch.


Kek kanak-kanak ~ Khairul

Kek tempahan staf sekolah untuk pelajar pra isterinya di SJKC Tringkap. Simple touch juga. Span strawberry dengan peach.



Versi cuppies, macam aiskrim

Apapun semuanya, terima kasih atas sokongan. Luv ya!!


Stylish Thankyou

Monday, November 26, 2012

Blueberry Chocolate Cheesetart

 
 
Antara menu yang tertinggal di dalam draft. Ada banyak lagi rupanya projek terbengkalai yang tidak dapat disiapkan ekoran masalah internet yang sangat mendukacitakan. Memang sangat menyakitkan hati. Heeee, macam buat projek perumahan pulak ya. 
 
Bila tengok tat ni, memang dah lama sepatutnya diupload. Dah lama jugak buat tat ni kerana ada lebihan filling order tapi menggunakan resepi (shell) yang berbeza. Kalau selalu memang guna je resepi Haz-amon tu   tapi kali ni cheq sue cuba guna resepi daripada  Kak Yanie.

 
Tat ni sebenarnya ada sesuatu yang tak kena. Pada tekak cheq sue masam blueberry dengan shell coklat agak mengelirukan tapi masih boleh di makan. Kalau untuk jualan penyediaannya agak renyah daripada shell biasa kerana adunan agak lembik. Bila nak keluarkan dari acuan pun agak melekat. mmmmmm sebenarnya cheq sue gantikan serbuk badam dalam adunan tu dengan serbuk koko...mungkin sebab itulah yang buat ianya serba tak kena. He he he...  Konon2 nak bereksperimen tapi hasilnya kurang memuaskan.
 
Tapi kat sini cheq sue letakkan semua resepi tat tersebut supaya senang nak rujuk lain kali. Pada yang nak mencuba tu jangan takut-takut. Asal boleh di makan, tak apa. TQ pada yang berkongsi resepi. Wassalam...
 
 
CHEESE TART

Bahan-bahan (18 biji)
**Pastri**
70g butter
50g gula halus
1 biji kuning telur
110g tepung gandum
15g almond powder
beberapa titik esen vanila

**Filling**
100g yogurt - sejatkan biar jadi 50g
40g gula halus
1 biji telur(saiz m)
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu kecil corn starch
50ml fresh cream

Cara-cara
Cara buat pastri. Masukkan butter ke dalam mangkuk. Kacau sampai lembut
atau jadi bentuk krim.
Tambahkan gula. Pukul sehingga putih
Masukkan telur kuning. Kacau sehinga sekata. Tambahkan pula esen vanila.Kacau lagi.
Campurkan tepung dengan almond powder . Kemudian ayakkan.
Kemudian masukkan tepung ke dalam no.3 tadi sedikit demi sedikit sambil dikacau.
Uli jadi bentuk bulat. Kemudian simpan dalam peti ais sekurang-kurangnya 2 jam sebelum digunakan.
Canaikan doh setebal 3-4mm. Terap dengan cutter diameternya 6cm. Simpan dalam peti ais sementara siap buat filling.
Cara buat filling Letakkan ke dalam mangkuk cream cheese, yogurt dan gula. Kacau biar sebati. Kemudian masukkan telur sedikit demi sedikit sambil dikacau.
Tambahkan fresh cream sedikit demi sedikit sambil dikacau.
Lepas tu, ayak pula tepung gandum dan corn starch ke dalam no.9 tadi. Kacau sehingga sebati.
Sapukan bekas muffin dengan butter dan taburkan sedikit tepung. Ambik pastri tadi. Masukkan ke dalam bekas muffin. Cucuk-cucukkan dengan garfu.
Isikan dengan cream cheese tadi. Bakar selama 30 minit dengan suhu 170 degree atau sehingga pastri nampak kuning/perang.

Stylish Thankyou

Wednesday, November 21, 2012

Jemput-Jemput Pisang & Cempedak

 
 
Pernah makan jemput2 ni? Jangan terliur pulak ya...ni dah lama punya cerita. Gabungan cempedak dengan pisang yang akhirnya dizahirkan menjadi jemput2 ternyata tidak mengecewakan. Cheq sue sendiri pun mendapat idea ni dari mek yang selalu buat kat kampung. Cempedak kat rumah memang kebetulan berbuah lebat, jadi cheq sue bawa sikit ke CH, nak cepatkan perabis stok buatlah camni. Adun siap-siap dan  simpan aje dalam peti. Bila nak makan boleh digoreng je terus.
 
Tang adunan tu terpulanglah pada citarasa masing-masing. Ini sekadar idea aje untuk dikongsi bersama. Yang pentingnya kena ada pisang dan cempedak, baru la jadi. Tak gitu? Sejak dalam mood bercuti ni agak blur-blur gitu nak bubuh resepi. Harapnya tak berpanjangan dan mood kembali seperti biasa. Sampai jumpa lagi, wassalam...
Stylish Thankyou

Tuesday, November 20, 2012

Kek Pisang Kak Besah

 

Dah selalu juga buat kek pisang dengan menggunakan resepi ni. Walaupun agak padat tapi masih gebu dan lembut. Kali ni cheq sue buat dua adunan terus dengan menambahkan choc rice ke dalamnya. Agak kurang berpuas hati dengan hasilnya tapi since kek ni boleh di makan, dan dah habis dah pun, Alhamdulillah. Projek ni pun dah lama, bulan lepas kalau tak silap. Tak menyempat nak update.

Cheq sue memang suka sangat buat kek pisang guna resepi Kak Besah ni sebab cara2nya sangat senang dan tak ambil masa lama. Cuma yalah bila ada silap situ-sini ada la tu kat mana-mana yang tergopoh-gapah. Kalau sesiapa yang ada stok pisang tu boleh la cuba resepi ni pulak. InsyaAllah takkan menyecewakan. TQ Kak Besah atas perkongsian ini. Wassalam

 
KEK PISANG KAK BESAH

Bahan-bahan ( seisi keluarga )
3 cawan tepung gandum (300g)
2 cawan pisang lecek/lenyek
1 1/4 cawan minyak masak (230g)
1 cawan gula pasir (200g)
4 biji telur
1 1/2 sudu besar(11/2 penutup botol soda tu) bicarbonate soda
secubit garam

Cara-cara
lenyek pisang masak dgn gelas plastik.(jgn di blend,nanti x nampak jalur2/urat2 pd kek = x cantik)
campurkan bicarbonate soda & lenyek lagi hingga pisang berbuih.(jika soda berketul,ayak dgn penapis teh trus kdlm pisang)
blend telur & gula (guna blender cili je) hingga berbuih & gula hancur .pastu masukkan minyak & blend dlm 5 saat.lepastu campurkan bahan yg diblend td dgn pisang,gaul dgn senduk akhir sekali campurkan tepung sambil digaul sebati.jgn di blend.guna senduk saja.
masukkan kedalam acuan yg telah disapu minyak @ majerin, serta telah dipanaskan terlebih dulu. bakar lh dlm suhu 180'c selama lebihkurang 40 mnt.
yg dlm gambar ni,saya potong semasa masih suam,so x nmpak coraknya.jika dibiar betul2 sejuk @ beberapa jam,kek akn bertambah gelap dgn jalur2 pisang yg ketara....


Stylish Thankyou

Monday, November 19, 2012

Selamat Bertunang Fazlee & Azie

 
 
Apa khabar kawan-kawan semua? Wah....lama sungguh terbiar sepi tanpa sebarang cerita. Balik bercuti di kampung, banyak agenda yang menunggu, dengan kekangan masa dan line internet yang tidak ada tentunya. Jadi sebagai pemanas cheq sue nak kongsikan peristiwa istimewa keluarga kami pada 3 November yang lalu. Sudah agak lama tentunya, tapi tak apalah, untuk kenang-kengan di hari kemudian.

Pada tarikh itulah ssepupu cheq sue telah selamat menjadi tunangan orang. Kalau adiknya memilih orang Teluk Intan sebagai suri hidup, beliau pula berkenan dengan gadis Tambun untuk dijadikan isteri. Kerja di Perak, bertemu jodoh juga di sana. Sambil menyelam, sambil minum air gitu. Kelasssss kau Jali!
 
 Jadi rombongan keluarga kami bertolak dari Kelantan (2/11/12) dan bermalam di Cameron Highlands semalaman sebelum bergerak ke Ipoh untuk majlisnya. Ibu bapa cheq sue berserta ibu bapanya dan 2 orang emak saudara ada bersama. Jadi meh la kita tengok gambar-gambar yang sempat di ambil semasa di sana.

  Sepupu cheq sue bersama dengan bakal isteri dan emak (emak saudara cheq sue) serta adiknya. Kemain lagi cover senyum, sememeh aje, merah muka sampai ke cuping telinga. Memang begitu kot agaknya...

  Rombongan pihak lelaki. Selain kami 3 kereta dari CH ada juga kawan-kawan setempat kerjanya.

  Sesampainya saja kami terus dibawa menjamu selera. Memang kena sangat sebab masa tu pun dah waktu lunch. Ada daging kari, ikan bakar air asam, ayam merah dan ulam-ulaman. Memang bantai habis sebab lapar...

  Ada juga disediakan rojak buah dan laksa. Rasa, jangan tak rasa...
 
  Ayahandaku yang tercinta, sebagai wakil. 

  Antara separuh hantaran dan balasan. Bila tengok apam polkadot tu, teringat yang cheq sue buat yang tak pernah jadi tu. Hampeh sungguh..

  Halwa kulit limau, memang menarik sangat. Pandai orang yang membuatnya.

  Wajah close up bakal sepupu dengan bakal mama. Muda lagi, baru 25 tahun. *_*

  Bergambar bersama-sama...

  Entah apa yang dibualkan...Bincang apa tu..........

Jadi, setelah dipersetujui majlis pernikahan akan diadakan pada Febuari 2013. Maka bersama-samalah kita doakan segalanya berjalan lancar sementara menantikan detik itu. Tahniah pada empunya badan yang bakal menambah satu lagi tanggungjawab dalam kehidupan, serta buat Chik yang bakal menerima menantu.. Wassalam

Stylish Thankyou

Saturday, November 10, 2012

Bola Jaring ~ Setelah 32 Tahun

 
 
Hari ini bermula secara rasminya cuti persekolahan akhir tahun sesi 2012. Pada yang sudah mula bercuti di kampung atau melancong bersama keluarga selamat bercuti cheq sue ucapkan. Jangan lupa berhati-hati dalam apa jua yang anda lakukan. Bersempena dengan cuti Deepavali dan awal Muharram, peperiksaan SPM juga ditangguhkan seminggu untuk membolehkan calon-calon beragama Hindu meraikan hari besar mereka. Cheq sue masih lagi di CH, mungkin sehari dua baru balik kampung. Tak sihat, demam, batuk... tak selesa nak bawa kereta.
Sambil2 berehat tu cheq sue nak kongsikan sedikit tentang aktiviti di sekolah beberapa minggu lepas. Perlu dikongsi sebab ianya sangat istimewa! Selepas selesai peperiksaan akhir tahun, sekolah mengadakan aktiviti sukan berupa permainan bola sepak dan bola jaring untuk pelajar. Para guru perempuan ditugaskan mengawal permainan bola jaring. Dan untuk penentuan tempat ketiga, kami bersetuju untuk melawan pelajar yang rata-ratanya dari tingkatan dua dari kalangan pelajar Asli.
Yang kelakarnya sebelum permainan siap berbincang lagi. Bukan kata nak berbincang strategi, tapi tak tahu kedudukan dan pergerakan sepatutnya. Cheq sue sendiri memakai bip WA tak tahu di mana sepatutnya berada atau apa yang perlu dibuat. Maklumlah, sejak muda sampai ke tak berapa muda ni memang tak pernah main bola jaring.
GENG CHE KIAH   .:. Risha, Kak Rini, Atikah, Lini (Pengadil), Dasilla, Siti, Cheq Sue, Ina
Rupa2nya kederat budak2 ni memang kuat sangat kalau nak dibandingkan dengan para cikgu. Cara diorang passing bola, bertahan dan menyerang memang mengagumkan. Cikgu ni menjerit je lebih, siap dicubitnya pelajar yang tak lepas  bola. Dalam riuh rendah bermain tu ada yang terjatuh dan berebut sampai tak hengat. Budak2 ni memang tinggi semangat kesukanan, memang tak bagi muka langsung pada cikgu, takde nak segannya. Mana yang patut rebut, patut lawan memang depa tak kasi can. Semput + sakit urat jugak la cikgu dikerjakan budak2 umur 14 tahun tu. He he he... Tapi dalam apa jua keadaan pun cikgu tetap juara. Kami menang dengan 3 gol berbalas 2. Kira sengit jugak la kan... Nasib baik jugak memang kalau tak malu kat budak-budak. Berbaloi la sape yang sakit urat, sakit betis dan sakit paha tu...
Jadi geng...camana lepas ni? Nak lawan lagi tak? He he he... Wassalam.
Stylish Thankyou

Friday, November 9, 2012

Blueberry Cheesetart ~ Kak Anah

 
 
Kenangan tempahan cheesetart yang pertama. Hasil yang terbaik dengan filling yang elok sangat kejadiannya. Cheq sue masih lagi menggunakan resepi yang sama cuma saiz tart ni adalah 4.5 cm memandangkan ianya ditempah untuk makan-makan semasa majlis baca Yaasin di rumah puan GPK Ko kami iaitu Kak Anah. Kalau guna acuan yang biasa tu macam besar sangat pulak. Kiranya tempahan ni merasmikan lah 4 dozen acuan tart yang baru cheq sue tambahkan dalam koleksi.
 
 
50 biji cheesetart dengan deco simple.Untuk fillingnya tu cheq sue mix guna food processor, agak lama jugak sampai dia sebati.
 
 
Walaupun shell agak comot, alhamdulillah senang je nak keluarkan dari acuan. Untuk resepinya boleh klik kat sini. TQ pada yang mengutarakan resepi tersebut. Wassalam
 
Stylish Thankyou

Thursday, November 8, 2012

Misteri Cinta ~ Episod Akhir

 
 
 
Hubungan ini melengkapkan diri kita sebagai insan yang punya naluri untuk bahagia…

Setelah lapan bulan majlis konvokesyen Dayang Umairah dan Hairul Aqeef, barulah majlis perkahwinan mereka dilangsungkan. Kedua-duanya telahpun mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur. Walaupun baru saja membina kerjaya, masing-masing bersetuju untuk disatukan dalam majlis yang akan diadakan di Batu Pahat dan di Pulau Indah. Setelah setahun setengah bertunang, mereka sudah yakin untuk belayar di alam rumah tangga yang penuh cabaran.
Dengan dua kali lafaz, sahlah Dayang Umairah menjadi permaisuri kepada Hairul Aqeef. Upacara akad nikah itu disaksikan oleh keluarga terdekat dan juga sahabat handai yang dijemput sama. Di rumah, Dayang Umairah ditemani Kak Su dan Syarifah Zuraidah. Sesungguhnya dia amat berdebar dan resah. Pelukan umi sebentar tadi menghilangkan perasaan gelisahnya. Umi membawa khabar dia sudah sah menjadi isteri Aqeef. Dan air mata gembira tidak mampu lagi ditahannya daripada mengalir sebagai tanda syukur pada Yang Esa.
Sewaktu acara membatalkan air sembahyang, umi membawakan Aqeef kepadanya. Mereka bersalaman dan Umairah mengucup tangan suaminya. Aqeef membalas dengan satu kucupan di dahi isterinya. Alhamdulillah… akhirnya selesai juga satu upacara yang mengesahkan hubungan mereka.
Keesokan harinya di adakan pula kenduri sempena perkahwinan itu. Dari atas pelamin, Dayang Umairah melihat ramai yang datang di majlisnya. Adik-adik dan adik-adik iparnya turut datang walaupun mempunyai komitmen lain. Begitu juga dengan teman-teman rapat ketika di UM, masing-masing memberikan ucapan tahniah kepadanya. Dia turut memandang Abang Zack dan Kak Su yang kini telah memiliki seorang puteri. Umi, abah, mama dan papa semuanya hadir dalam pandangan membuatkan dia tidak tahu bagaimana untuk menyatakan kebahagiaannya saat ini. Yang dia tahu, genggaman erat tangan suaminya memberikan sokongan tanda perkongsian perasaan mereka yang sama… bahagia!
“Irah, Aqeef, tak ada apa yang abah dapat berikan kepada kamu tetapi abah harap kamu berdua akan hidup bahagia selalu. Aqeef sebagai ketua keluarga dan pembimbing, bawalah Irah ke jalan yang diredhai. Dan Irah hendaklah mengetahui apakah peranan dan tanggungjawab seorang isteri.” Hazami memberi nasihat, pada malamnya setelah tetamu semua pulang. Waktu itu hanya tinggal beberapa pekerja sedang membersihkan kawasan dan menurunkan khemah.
“Betul kata abah tu. Sebagai suami isteri kita hendaklah saling bertolak ansur dan memahami. Binalah hubungan yang berlandaskan kepercayaan. InsyaAllah kamu akan bahagia.” Mama menyokong.
“Aqeef dan Irah jangan pula sangka kami memberi nasihat ni sebagai tanda kami ingin masuk campur dalam rumahtangga kamu. Sebagai orang yang lebih tua dan kaya dengan pengalaman, apa yang difikirkan perlu kami akan kongsikan bersama. Ibu bapa mana yang tak mahu lihat anaknya bahagia?”
“Aqeef, satu-satunya anak perempuan umi telah umi serahkan kepada kamu. Sekarang kamu berhak ke atasnya. Harapan umi semoga Aqeef dapat memberikan kebahagiaan kepadanya dunia dan akhirat. Kalau ada apa-apa masalah jangan malu untuk bertanya kepada kami.” Umi pula berkata. Sebak.
“Abah, umi, papa dan mama, terima kasih kerana memberikan ingatan dan nasihat kepada kami. InsyaAllah Aqeef akan ingat nasihat ini dan cuba menunaikan tanggungjawab dengan baik terhadap Irah. Sesungguhnya Aqeef yakin kami akan bahagia.”
Hairul Aqeef sedikit sebak menuturkan kata-kata yang ikhlas dari  hatinya itu. Tangannya menggenggam erat tangan Dayang Umairah sebagai tanda kasih sayangnya. Mereka semua saling berpelukan sebagai tanda memberi sokongan kepada yang lain…
“Abang, Irah harap kita dapat menempuh segala rintangan ini bersama.” Itulah ucapan pertama Dayang Umairah tatkala sah menjadi isteri Hairul Aqeef. Ketika itu hanya mereka berdua di dalam bilik.
“Irah, abang harap kita akan bersama-sama tak kira apa jua keadaan kita.”
Dayang Umairah mengucup tangan suaminya sekali lagi dan dalam kebahagiaan itu, Aqeef merangkulnya.
“Kita sembahyang sunat syukur dulu. Semoga Tuhan sentiasa merahmati hidup kita semua.” Ucap Aqeef perlahan di telinganya.
Dayang Umairah mengangguk dan dia menghamparkan sejadah. Aqeef menuju ke bilik air mengambil wuduk.
Selesai solat sunat dua rakaat, mereka berpandangan dan saling tersenyum lebar. Hanya satu yang boleh dikatakan kini, BAHAGIA…


Cinta yang tersimpul antara kita adalah cinta abadi yang bersandarkan kepada rahmatNya…
                                                                       
Tuai padi antara masak, esok jangan layu-layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan. Burung merpati terbang seribu, hinggap seekor di tengah laman, hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan. Batang selasih permainan budak, daun sehelai di makan kuda, bercerai kasih talak tiada, seribu tahun kembali juga. Anak cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Jati, di dalam hati tidakku lupa, bagaikan rambut bersimpul mati. Kalau tuan mudik ke hulu , belikan saya bunga kemboja, kalau tuan mati dahulu, nantikan saya di pintu Syurga…

Stylish Thankyou