Hubungan ini melengkapkan diri kita sebagai insan yang
punya naluri untuk bahagia…
Setelah
lapan bulan majlis konvokesyen Dayang Umairah dan Hairul Aqeef, barulah majlis
perkahwinan mereka dilangsungkan. Kedua-duanya telahpun mendapat pekerjaan di
Kuala Lumpur. Walaupun baru saja membina kerjaya, masing-masing bersetuju untuk
disatukan dalam majlis yang akan diadakan di Batu Pahat dan di Pulau Indah.
Setelah setahun setengah bertunang, mereka sudah yakin untuk belayar di alam
rumah tangga yang penuh cabaran.
Dengan
dua kali lafaz, sahlah Dayang Umairah menjadi permaisuri kepada Hairul Aqeef.
Upacara akad nikah itu disaksikan oleh keluarga terdekat dan juga sahabat
handai yang dijemput sama. Di rumah, Dayang Umairah ditemani Kak Su dan
Syarifah Zuraidah. Sesungguhnya dia amat berdebar dan resah. Pelukan umi
sebentar tadi menghilangkan perasaan gelisahnya. Umi membawa khabar dia sudah
sah menjadi isteri Aqeef. Dan air mata gembira tidak mampu lagi ditahannya
daripada mengalir sebagai tanda syukur pada Yang Esa.
Sewaktu
acara membatalkan air sembahyang, umi membawakan Aqeef kepadanya. Mereka
bersalaman dan Umairah mengucup tangan suaminya. Aqeef membalas dengan satu
kucupan di dahi isterinya. Alhamdulillah… akhirnya selesai juga satu upacara
yang mengesahkan hubungan mereka.
Keesokan
harinya di adakan pula kenduri sempena perkahwinan itu. Dari atas pelamin,
Dayang Umairah melihat ramai yang datang di majlisnya. Adik-adik dan adik-adik
iparnya turut datang walaupun mempunyai komitmen lain. Begitu juga dengan
teman-teman rapat ketika di UM, masing-masing memberikan ucapan tahniah
kepadanya. Dia turut memandang Abang Zack dan Kak Su yang kini telah memiliki
seorang puteri. Umi, abah, mama dan papa semuanya hadir dalam pandangan
membuatkan dia tidak tahu bagaimana untuk menyatakan kebahagiaannya saat ini.
Yang dia tahu, genggaman erat tangan suaminya memberikan sokongan tanda
perkongsian perasaan mereka yang sama… bahagia!
“Irah,
Aqeef, tak ada apa yang abah dapat berikan kepada kamu tetapi abah harap kamu
berdua akan hidup bahagia selalu. Aqeef sebagai ketua keluarga dan pembimbing,
bawalah Irah ke jalan yang diredhai. Dan Irah hendaklah mengetahui apakah
peranan dan tanggungjawab seorang isteri.” Hazami memberi nasihat, pada
malamnya setelah tetamu semua pulang. Waktu itu hanya tinggal beberapa pekerja
sedang membersihkan kawasan dan menurunkan khemah.
“Betul
kata abah tu. Sebagai suami isteri kita hendaklah saling bertolak ansur dan
memahami. Binalah hubungan yang berlandaskan kepercayaan. InsyaAllah kamu akan
bahagia.” Mama menyokong.
“Aqeef
dan Irah jangan pula sangka kami memberi nasihat ni sebagai tanda kami ingin
masuk campur dalam rumahtangga kamu. Sebagai orang yang lebih tua dan kaya
dengan pengalaman, apa yang difikirkan perlu kami akan kongsikan bersama. Ibu
bapa mana yang tak mahu lihat anaknya bahagia?”
“Aqeef,
satu-satunya anak perempuan umi telah umi serahkan kepada kamu. Sekarang kamu
berhak ke atasnya. Harapan umi semoga Aqeef dapat memberikan kebahagiaan
kepadanya dunia dan akhirat. Kalau ada apa-apa masalah jangan malu untuk
bertanya kepada kami.” Umi pula berkata. Sebak.
“Abah,
umi, papa dan mama, terima kasih kerana memberikan ingatan dan nasihat kepada
kami. InsyaAllah Aqeef akan ingat nasihat ini dan cuba menunaikan tanggungjawab
dengan baik terhadap Irah. Sesungguhnya Aqeef yakin kami akan bahagia.”
Hairul
Aqeef sedikit sebak menuturkan kata-kata yang ikhlas dari hatinya itu. Tangannya menggenggam erat
tangan Dayang Umairah sebagai tanda kasih sayangnya. Mereka semua saling
berpelukan sebagai tanda memberi sokongan kepada yang lain…
“Abang,
Irah harap kita dapat menempuh segala rintangan ini bersama.” Itulah ucapan
pertama Dayang Umairah tatkala sah menjadi isteri Hairul Aqeef. Ketika itu
hanya mereka berdua di dalam bilik.
“Irah,
abang harap kita akan bersama-sama tak kira apa jua keadaan kita.”
Dayang
Umairah mengucup tangan suaminya sekali lagi dan dalam kebahagiaan itu, Aqeef
merangkulnya.
“Kita
sembahyang sunat syukur dulu. Semoga Tuhan sentiasa merahmati hidup kita
semua.” Ucap Aqeef perlahan di telinganya.
Dayang
Umairah mengangguk dan dia menghamparkan sejadah. Aqeef menuju ke bilik air
mengambil wuduk.
Selesai
solat sunat dua rakaat, mereka berpandangan dan saling tersenyum lebar. Hanya
satu yang boleh dikatakan kini, BAHAGIA…
Cinta yang tersimpul antara kita adalah cinta abadi yang
bersandarkan kepada rahmatNya…
Tuai padi antara masak, esok jangan
layu-layuan, intai kami antara nampak, esok jangan rindu-rinduan. Burung
merpati terbang seribu, hinggap seekor di tengah laman, hendak mati di hujung
kuku, hendak berkubur di tapak tangan. Batang selasih permainan budak, daun
sehelai di makan kuda, bercerai kasih talak tiada, seribu tahun kembali juga.
Anak cina memasang lukah, lukah dipasang di Tanjung Jati, di dalam hati tidakku
lupa, bagaikan rambut bersimpul mati. Kalau tuan mudik ke hulu , belikan saya
bunga kemboja, kalau tuan mati dahulu, nantikan saya di pintu Syurga…
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]