Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera
Cerpen ni saya tulis semasa di sekolah menengah... tak ingat lepas PMR atau sebelum SPM. Cerpen ni saya hantar untuk salah satu pertandingan di Utusan Malaysia. Bila baca balik... senyum sorang-sorang.
Cerpen ni saya tulis semasa di sekolah menengah... tak ingat lepas PMR atau sebelum SPM. Cerpen ni saya hantar untuk salah satu pertandingan di Utusan Malaysia. Bila baca balik... senyum sorang-sorang.
Kokokan
ayam jantan sayup-sayup kedengaran di hujung kampung. Filda menggeliat malas.
Dia menggigil kesejukan. Ditariknya kain selimut hingga ke paras dada dan
memejamkan mata. Namun, bila difikirkan tentang tanggungjawabnya sebagai kakak
sulung dalam keluarga, hajat untuk menyambut tidur dilupakan. Kain selimut
dilipat dan diletakkan di atas bantal. Setelah selesai mengemaskan tempat
tidurnya, dia memandang sekilas kepada adiknya yang masih lena dibuai mimpi.
Jam
menunjukkan pukul 5.30 pagi. Filda menyalakan pelita ayan dan di bawa ke bilik
emak. Emak tenang dalam perbaringannya. Kemudian dibawa pula pelita ayan itu ke
atas meja buruk di tepi tingkap. Dia mengambil sebiji buku nota lalu dibawanya
ke dapur. Filda menyalakan api dan menjerang air. Selepas itu dibasuhnya pula
pinggan-pinggan yang berselerakan di pelantar. Air yang dijerang sudahpun
menggelegak. Filda kemudian mengupas lebihan ubi kayu yang emak buat pengat
kelmarin. Ditenggekkan periuk yang berisi ubi itu ke atas tungku. Dia meniup bara api merah dengan kuat seperti
memaksa ubi yang direbusnya masak cepat.
Filda
kemudian duduk bersila menghadap pelita ayan sambil membaca buku notanya yang
sejak tadi dibiarkan. Segala apa yang dibaca cuba diingatnya.
Allahuakbarullahuakbar…
Kedengaran
suara Bilal Zain dari surau Pak Tua membelah dinihari. Filda menjawab azan dan menutup
buku. Ubi yang direbusnya sudahpun masak. Diangkat periuk itu dan dikeluarkan
isinya lalu diletakkan dalam pinggan. Dia kemudiannya membancuh kopi pahit.
Selesai membancuh kopi, dia meletakkan kopi dan ubi itu di bawah tudung saji.
“Sal,
Zam, bangun.” Teriak Filda dari ruang tengah.
Dia
turun mengambik wuduk. Air di perigi
sejuk bagaikan salji. Dia cepat-cepat naik. Salzi dan Nizam duduk mencangkung
di ruang depan.
“Pergi
mandi cepat. Kemudian sarapan.” Filda menyergah adik-adiknya. Salzi dan Nizam
turun ke perigi manakala Filda
menunaikan solat Subuh.
Selesai
sembahyang, Filda ke bilik emak tapi dilihatnya emak tiada. Filda cemas.
“Da, marilah makan bersama-sama.” Kedengaran
suara emak dari dapur.
“Sekejap
mak.”
Jam
menunjukkan pukul 6.50 pagi. Filda cepat-cepat keluar dan menuju ke dapur untuk
bersarapan.
“Sal,
Nizam, makan cepat. Nanti lewat pula ke sekolah.” Filda menyergah adik-adiknya
yang kelihatan sangat lambat menghabiskan sisa ubi kayu rebus.
“Pergi
dulu mak.” Kata Filda sambil menyalami tangan emak dan diikuti olah Salzi dan
Nizam.
“Da…”
“Ya
mak.”
“Hari
ini kau tak payahlah ke sekolah. Mak kurang sihat. Baju kurung yang ditempah
oleh Mak Limah masih belum siap. Mak harap kau dapat menyiapkannya.” Emak
memberitahu Filda dengan raut muka yang mengandungi seribu derita. Emak terus
batuk dengan kuat sehingga terlihat ada cecair merah keluar dari celah bibirnya
yang kelihatan kering.
“Emak
sakit?” Filda bertanya.
Emak
tidak menjawab. Mukanya pucat dan badannya sedikit menggeletar.
“Sal
dan Nizam pergi dulu ke sekolah nanti kakak ikut dari belakang.”
“Baiklah
kak.” Nizam menjawab lantas mereka berdua turun menyusuri lorong ke jalan
besar.
Hasrat
Filda untuk ke sekolah berbelah bahagi. Dipapahnya emak lalu dibaringkan ke
dalam bilik. Nafas emak turun naik seperti ada sesuatu yang berat menghempap
dadanya. Setitik air mata jatuh di pipi gebunya bila melihatkan keadaan emak. Dia
tidak sampai hati membiarkan emak terus begitu. Mata emak sedikit tertutup.
Filda cemas. Dia turun dari rumah dan menuju ke rumah Kak Siah.
“Kak
Siah… Kak Siah.” Filda berteriak dari bawah.
“Ada apa Filda?” Kak Siah
muncul di muka pintu.
“Tolong
Filda Kak Siah. Mak sakit.”
Kak
Siah bergegas turun. Filda mengikutnya dari belakang.
“Kau
pergilah ke sekolah. Biar Kak Siah jaga emak.
“Tapi…”
“Tak
apa. Pergilah.” Filda mengangguk lesu. Jauh di sudut hati, dia merasa terkilan
kerana tidak dapat berada di sisi emak namun apakan daya hari ini ada ujian
Geografi. Fikirannya berampur aduk.
Apakah emak akan pergi macam ayah juga 2
tahun lalu? Detik Filda dalam hati.
Dia
mengeluh. Hanya mampu tabahkan hati menyusuri lorong menuju ke jalan besar.
Filda
berjalan cepat-cepat. Sampai di pintu pagar sekolah, pengawas yang bertugas
sudah menutup pintu pagar.
“Tunggu
dulu.” Jerit Filda.
“Kenapa
lambat?”
“Maafkan
saya. Ada
masalah di rumah.”
“Siapa
nama awak?”
“Filda
Bt Idris.” Pastinya nama itu akan dicatatkan di dalam rekod.
Pintu
pagar dibuka. Filda masuk dan mengatur langkah menuju ke kelas.
“Assalamualaikum
cikgu.” Filda memberi salam.
Cikgu
Azim menjawab salamnya dan meminta dia duduk.
Filda
menuju ke mejanya bersebelahan Mariah. Dikeluarkan buku nota dari beg buruknya
namun dia tidak menuliskan apa yang dinyatakan oleh Cikgu Azim. Fikirannya
tidak tenteram. Dia teringatkan emak di rumah. Segala apa yang dipelajari tidak
dapat diikuti langsung. Filda resah di tempat duduknya.
“Kenapa
ni?” Tanya Mariah sebaik sahaja Cikgu Azim keluar.
“Mak
aku sakit.”
Mariah
diam. Dahinya berkerut.
Seorang
demi seorang guru masuk ke kelas namun fikirannya masih kacau. Setitik air mata
jatuh ke pipi bila dia terkenangkan ibunya.
“Filda
kau tak ke kantin ke?” Pertanyaan Mariah mengejutkannya.
Filda
menggeleng lemah. Dia keluar dari kelas dan menuju ke bawah pokok tanjung di
tepi bilik stor.
Kring… kring…
Loceng
dibunyikan dua kali menandakan tamatnya waktu rehat.
Filda
dapat membayangkan bagaimana jika emak meninggal seperti kematian ayah dua
tahun lepas kerana mengidap barah. Dia mesti berhenti sekolah untuk menyara
adik-adik. Hasratnya untuk ke universiti terpaksa dilupakan dan dia mesti
bekerja. Kalau tidak, adik-adiknya hendak makan apa? Tidak sanggup rasanya dia
menghadapi situasi itu. Filda menangis teresak-esak. Hatinya sungguh
sedih. Dia sangat menyayangi emak dan
adik-adiknya.
“Kau
menangis Filda?” Tanya Mariah sebaik sahaja Mariah melabuhkan punggung di
sisinya.
“Filda,
masalah kau masalah aku juga.” Suara Mariah yang sayu kedengaran mesra di
telinganya.
Serentak
itu, Filda memeluknya. Air matanya turun bagai hujan yang tidak mahu berhenti.
Filda tidak malu lagi. Teman-teman sekelas telah mengerumuninya.
“Assalamualaikum
cikgu.” Kedengaran lantang suara Farizan selaku ketua tingkatan.
Filda
tidak tahu cikgu manakah yang memasuki kelasnya. Dia masih teresak-esak dalam
pelukan Mariah.
“Waalaikumussalam.
Sila duduk semua. Buka buku teks muka surat
197. Buat latihan 6 dari nombor 1 hingga 75. Saya ada hal yang perlu diuruskan.”
Filda
mendongakkan kepala. Di hadapannya Cikgu Zainab.
“Filda,
ikut saya ke pejabat. Mariah, awak pun ikut sama.” Pinta Cikgu Zainab tanpa di
rancang. Mariah memapah Filda keluar dari kelas. Hati Filda semakin cemas.
Lututnya menggeletar.
Sampai
di bilik pengetua, dia lihat Kak Siah dan suaminya berada di situ. Filda sudah
dapat mengagak.
“Duduklah
Cikgu Zainab, Filda dan Mariah.” Encik Amar selaku pengetua SMK Seri Mersing
membuka bicara.
Filda
lihat mata Kak Siah merah seperti juga matanya. Serentak dengan itu Filda menangis
lagi lantas memeluk Mariah.
“Sabarlah
Filda. Emak kamu dah meninggal dua jam selepas kamu ke sekolah pagi tadi.”
Filda
tidak memberikan respon. Dia tidak percaya berita itu. Hanya air matanya yang
mengalir tanda kesedihannya. Patutlah fikirannya sangat kacau sewaktu rehat
tadi.
Hari
itu Filda dihantar pulang oleh Cikgu Azli. Cikgu Zainab, Mariah dan dua orang
guru lain pergi dengan kereta pengetua. Nizam dan Salzi sudah diberitahu.
Sampai
dirumah, Filda lihat ramai orang kampung dan ada juga yang tidak dikenalinya
berada di situ. Filda tidak peduli. Diteruskan langkahnya ke bilik emak. Suara
orang membacakan Yaasin sayup kedengaran.
“Emak!!!”
Jerit Filda di saat melihat sekujur tubuh kaku milik emaknya di atas tikar
mengkuang yang pernah dianyamnya satu ketika dulu. Dia terduduk di sisi mayat
emaknya. Kak Siah yang sudah dianggap
sebagai kakaknya juga berada di situ. Dia menarik kain batik lepas yang
menutupi muka emak. Dulu, kain batik itu jugalah yang digunakan untuk menutup
mayat ayah.
Filda
mengucup dahi emak dengan penuh kasih seperti yang dilakukan kepada arwah ayah
dua tahun lalu. Begitu juga dengan Nizam dan Salzi. Itulah penghormatan yang
terakhir kepada bonda yang tercinta. Dia melihat muka emak tidak berubah
seperti yang dilihatnya pagi tadi. Air mata Filda jatuh lagi.
Dia
kesal kerana tidak dapat bersama-sama emak di saat-saat terakhir
penghidupannya. Filda tidak terkata lagi. Dia terkulai di penjuru bilik
bersama-sama Nizam dan Salzi. Lebai Zain dan beberapa orang lagi menguruskan
mayat emak. Filda sudah berhenti menangis. Sebelum dikapankan, dia dan
adik-adik dipanggil untuk melihat wajah emak buat kali terakhir. Menghadapi
perpisahan yang abadi ini…
Suasana
di dalam rumah diselubungi kesedihan. Mayat emak akhirnya dikapankan dengan bantuan
isteri Bilal Zain, Mak Cu Miah. Setelah dikebumikan, orang ramai sudah
beransur-ansur pulang. Wang yang disedekahkan semuanya berjumlah RM1000 telah
dikumpulkan olah Kak Siah. Pengetua, guru-guru dan rakan-rakannya yang lain
masih berada di rumah. Mariah di sisinya. Filda menggenggam erat tangan Mariah.
Mereka berdua merupakan sahabat yang
paling akrab di SMKSM ini. Semua guru dan pelajar memperakuinya.
“Sabarlah
Filda. Aku akan bersama kau.” Ucap Mariah.
“Filda,
ini ada sedikit sumbangan dari pihak sekolah.” Pengetua menghulurkan satu
sampul surat
berwarna coklat kepada Filda.
Dengan
perasaan yang berbaur dia menerima pemberian itu. Dalam hatinya mengucapkan
syukur kepada Yang Esa dan terima kasih kepada sesiapa yang telah memberikan
sumbangan itu. Doanya moga mereka semua
sentiasa dirahmati.
Kak
Siah mengambil keputusan untuk menjaga Filda adik beradik walaupun Jabatan
Kebajikan ingin menghantar mereka ke Rumah Anak-anak Yatim. Jika diikutkan,
memanglah Kak Siah tidak mempunyai talian persaudaraan dengan mereka sekeluarga
namun mereka sudah bagaikan satu keluarga yang saling melengkapi yang lain. Kak
Siah bagaikan ibunya yang kedua. Lagipun Kak Siah menegaskan bahawa sebelum ibu
Filda menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia telah berpesan supaya anak-anaknya
dijaga oleh Kak Siah sementelahan juga perempuan itu tidak mempunyai anak.
Itulah kuasa Tuhan, dalam sekelip mata sahaja Kak Siah dikurniakan tiga orang
anak sebagai penyeri hidupnya.
Filda,
Nizam dan Salzi menerima pemergian ibunya dengan hati yang rela dan redha. Bagi
mereka biarlah ibu mereka itu pergi dengan tenang kerana penderitaan yang
dihadapinya sudah tidak tertanggung lagi. Dengan perpisahan abadi itu, bukannya
perlu ditangisi sebuah kehilangan tetapi kehidupan mereka perlu diteruskan.
Dengan pesanan dan nasihat yang selalu arwah ibu berikan, InsyaAllah mereka
akan menjadi insan yang berguna. Sekarang, kepada Kak Siah dan suaminya sajalah
ditumpahkan segala kasih dan sayang… Kal dulu dulu mereka memanggil Kak Siah
dan suaminya dengan panggilan Kak Siah dan Abang Karim, sekarang mereka
memanggilnya dengan panggilan mama dan abah.
“Sal,
Nizam, sekarang kakak harap kita dapat membalas budi baik mama (Kak Siah) yang
telah banyak membantu kita. Kakak tahu adik-adik kakak ni masih ingat apa yang
arwah emak selalu pesan. Hanya dengan belajar bersungguh-sungguh dan membantu
keluarga sahaja dapat menggembirakan hati semua orang. Kita tidak sempat
menunjukkan kepada ibu kejayaan kita. Jadi kita akan bahagiakan mama.”
“Kami
faham kakak. Hm… bila kakak mahu pergi mengambil keputusan peperiksaan SPM
kakak?” Salzi bertanya.
“Pejabat
sekolah buka pukul 10. Nanti kakak akan pergi dengan Kak Mariah. Sekarang Sal
dengan Nizam sambung kerja sekolah yang belum siap. Kakak boleh tunjuk ajar.”
Kak
Siah dan suaminya memandang dengan senyuman yang terukir di bibir. Mereka
bangga dengan sikap dan kepimpinan yang ada pada Filda. Anak itu tidak pernah
menyusahkan mereka malah kehidupan menjadi lebih baik dan bahagia dengan
kedatangan mereka. Syukur pada Tuhan kerana anugerah yang tidak ternilai itu.
Bila
jam sudah menunjukkan angka 10 pagi, Filda ke dapur menemui mamanya dan
memberitahu bahawa dia hendak ke sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan
SPMnya bersama Mariah.
“Abah
akan hantar kamu. Kita pergi ambil Mariah dulu.”
“Terima
kasih abah. Filda pergi dulu mama.” Filda mencium tangan mamanya. Hendak ke
mana-mana, dia tidak pernah lupa untuk meminta restu orang tuanya walaupun mereka
hanyalah keluarga angkat, tempat dia menumpang kasih.
Sampai
di pejabat, tidak ramai yang ada. Barangkali masa masih awal benar. Hanya dia
dan Mariah serta beberapa teman sekelasnya dulu berada di situ. Dadanya
berdebar-debar. Walaupun begitu dia yakin akan mendapat keputusan cemerlang biarpun
dulu emosinya sedikit terganggu dengan pemergian arwah ibunya. Dan dengan
kesedihan itu dia bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam peperiksaan SPM
yang akan menentukan masa depannya.
“Tahniah
Filda. Awak salah seorang pelajar cemerlang sekolah ini.” Ucapan pengetua itu
bagaikan tidak kedengaran di telinganya.
Dalam hatinya masih tidak percaya namun setelah slip peperiksaan dilihat, air
matanya merembes keluar. Ada
perasaan sedih dan gembira di dalam hatinya.
Dia
berpelukan dengan Mariah yang juga salah seorang pelajar cemerlang SMKSM.
“Pakcik
Karim, Filda menjadi pelajar terbaik sekolah ini.” Mariah mewakilkan diri
memberitahu kepada ayah angkat Filda.
“Terima
kasih abah kerana memberi galakan kepada Filda.”
“Sama-sama
Filda. Abah bangga dengan kamu. Mama tentu tidak sabar mahu tahu keputusan
bahagia ini. Mari kita balik memberitahu dia.”
“Abah,
sebelum balik boleh tak kita singgah di kubur emak dulu?”
Abah
angkatnya menganggukkan kepala. Mereka bertiga menuju ke kereta.
“Assalamualaikum
emak. Filda datang lagi. Emak, Filda berjaya menjadi pelajar terbaik sekolah
dalam peperiksaan SPM lalu. Terima kasih kepada emak kerana sentiasa memberi
kesedaran kepada Filda tentang pentingnya pelajaran. Alangkah baiknya jika emak
masih ada dan kita boleh berkongsikan kebahagiaan ini…” Air mata Filda mengalir
lagi ketika bibirnya selesai mengucapkan kata-kata itu. Tangannya memegang batu
nesan yang dipacakkan di kubur emaknya. Terasa dari situ kasih sayang emaknya
mengalir dan memberikan kekuatan padanya.
“InsaAllah
dengan kasih sayang emak, mama dan abah, Filda akan menjadi insan yang berguna
dan anak yang baik. Filda balik dulu emak.” Surah Al-Fatihah dibaca sebelum
kakinya melangkah pergi. Moga doanya dapat memberikan kesejahteraan kepada
arwah ibunya ‘di sana’.
Hanya itu sajalah yang mampu dilakukan selain dari kasihnya yang berpanjangan.
Filda
kembali ke rumah bersama Mariah dan abahnya. Dia juga tidak sabar untuk
memberitahu berita itu kepada mama dan adik-adiknya supaya kejayaan itu menjadi
perangsang mereka agar berjaya sepertinya. Dalam hatinya berkata, kehilangan
ibu sebenarnya telah membuatkan dia berputus asa namun dengan sokongan yang
sering arwah ibu katakan serta dengan kasih sayang mama dan abah angkatnya
membuatkan dia bangun dari kesedihan itu dan menjadikan ia satu cabaran
untuknya berjaya. Sekarang dia telah berjaya. Terima kasih semuanya!!!
Wowwww mmg ada bakat menulis lah no wonderlah dpt jd cekgu :-)
ReplyDelete