Umi, bijak menangguk di air keruh. hingga kau tahu apa yang
tersimpan di hati ini!
Dayang
Umairah begitu bahagia dan ceria menerima kunjungan umi dan abahnya sehingga
dia sanggup ponteng tutorial Mr. Bala pada sebelah petangnya. Sebenarnya umi
dan abahnya dalam perjalanan mengantar adiknya Fareez
Hazim ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa, yang akan mengikuti
pengajian perubatan. Faiz Haziq juga dibawa bersama. Adiknya yang bongsu
itu akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini. Sudah lama mereka tidak berjumpa,
jadi banyak jugalah perkara yang dibualkan selain Dayang Umairah yang tidak
habis-habis mengusik adiknya. Kebetulan juga besok adalah hari Ahad. Jadi,
mereka sekeluarga mengambil keputusan untuk bermalam di hotel agar mempunyai
lebih banyak masa bersama. Dayang Atikah dan Hazami faham akan kerinduan yang
ditanggung mereka anak-beranak. Kepada teman sebiliknya Syarifah Zuraidah
dinyatakan bahawa dia akan bermalam di hotel. Dipelawanya juga teman karibnya
itu tetapi dia menolak dengan alasan ingin balik ke kampung.
Semasa
menuju ke kereta, Dayang Umairah ternampak Hairul Aqeef di courtyard asrama. Matanya memandang lelaki itu sekilas, dan dia
percaya lelaki itu faham dengan kata-kata matanya. Seketika kemudia dia
memalingkan muka dan memasukkan barangnya ke dalam bonet kereta.
“Assalamualaikum
aunty. Apa khabar?”
Dengan
tiba-tiba dan entah dari mana, kedengaran suara Hairul Aqeef menyapa uminya
yang sedang membuka pintu kereta. Dengan sopannya dia turut bersalaman dengan
abah dan adik-adiknya.
“Eh,
Aqeef. Apa khabar?”
Umi
agak terkejut dengan sapaan itu.
“Aqeef
baik. Bila aunty dan uncle sampai di sini?”
“Tengah
hari tadi. Sebenarnya kami nak menghantar Hazim ke UIA. Alang-alang dah sampai
KL ni singgah dulu tengok Umairah.”
“Wah,
Hazim dapat masuk UIA rupanya. Tahniah. Habis ni nak ke mana pula?”
“Kami
merancang tidur di hotel. Takkan uncle,
Hazim dan Haziq nak bermalam di bilik Umairah. Apa pula kata kawan-kawannya
nanti.”
Uncle
Zami pula yang menjawab bagi pihak keluarganya. Hairul Aqeef mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Bagaimana
dengan study?”
Umi
bertanya lagi sedang Dayang Umairah dilanda perasaan rimas. Seboleh-bolehnya
dia tidak mahu melihat lelaki itu buat masa ini. Ingin saja dia menjerit kepada
uminya agar segera masuk ke kereta supaya dia dapat lari dari lelaki itu
seketika.
“Alhamdulillah
semuanya ok.”
Dia
menjawad dengan suara yang mendatar. Matanya memandang Dayang Umairah.
“Kalau
macam tu, Aqeef belajarlah betul-betul. Kalau mama dan papa telefon nanti
jangan lupa kirimkan salam kami kepada mereka. Kami pergi dulu. Aqeef jaga diri
baik-baik ya.”
Alhamdulillah!
Abah selalunya menjadi penyelamat. Tindakan abah memotong percakapan umi dan
Hairul Aqeef benar-benar disyukurinya.
Setelah
hampir 20 minit, barulah sekeluarga itu bergerak menuju ke Heritage Hotel.
Dayang Umairah hanya terdiam. Sejak masuk ke kereta sehingga sampai ke bilik
hotel, tiada sepatah pun yang keluar dari mulat anak gadis Dayang Atikah dan
Hazami itu. Sebaliknya, dia terus meluru masuk ke bilik air.
“Kenapa
dengan Kak Irah tu umi? Haziq nampak pelik je.”
Faiz
Haziq memandang uminya.
“Entahlah.
Umi pun perasan macam ada sesuatu yang tak kena saja. Nantilah umi tanyakan
pada dia.”
“Yang,
buatkan abang air. Haus pulak rasanya.”
“Hazim
pun nak juga umi.”
Dayang
Atikah membancuh kopi segera yang disediakan di bilik hotel itu. Tak sampai dua
minit, dia menghulurkan air yang telah siap dibancuh kepada suami dan anaknya.
Dari dalam bilik air, kedengaran debur air mencurah-curah kasar. Hazami
memandang isterinya.
“Nampaknya
anak sulung kita tu mengikut perangai awak. Malam nanti tanyakan dia apa
masalahnya. Kalau macam tu gayanya, abang rasa ada sesuatu yang tak kena.”
“Eh,
eh abang ni mengata saya pula. Anak kita, sudah tentulah mewarisi bagaimana
perangai ibu bapanya. Saya pun rasa ada sesuatu yang dipendamnya. Nantilah saya
tanyakan.”
Malamnya,
mereka sekeluarga menikmati dinner di
Bangsar Food Court sambil mata melihat keindahan dan kemeriahan di bandaraya.
Selepas itu, mereka meronda-ronda ke sekitar ibu kota.
“Irah,
umi tengok macam ada sesuatu saja. Ada masalah di kampus?”
Dayang
Atikah menyapa Dayang Umairah yang merenung kota metropolitan Kuala Lumpur dari
balkoni bilik. Suami dan anaknya sedang
leka menonton siaran Liga Eropah di ASTRO.
“Tak
ada apa-apalah umi. Irah tension
dengan study saja. Banyak perkara
yang perlu difikirkan dan dibuat.”
“Irah,
umi dah kenal Irah lama. Sebagai seorang ibu, umi tahu anak umi. Umi tahu,
kalau Irah menghadapi masalah dengan pelajaran, Irah akan tulis segala masalah
Irah di atas kertas dan kemudian Irah akan bakar kertas tu. Tapi sekarang Irah
termenung.”
Dayang
Umairah memandang uminya. Memang dari dulu hingga sekarang dia tidak pernah
berupaya menyembunyikan masalahnya. Uminya begitu bijak mengatur kata dan
membuat perangkap dan akhirnya dia sendiri akan bercerita. Namun kali ini ada
perasaan malu untuknya memberitahu umi tentang masalah yang dihadapinya. Dia
memeluk uminya kemas bagaikan sedang meminta bantuan.
“Apa
kata kita turun minum kopi. Di situ Irah boleh bagitahu umi.”
Dayang
Umairah mengangguk tanda setuju.
Dayang
Atikah berbisik sesuatu di telinga suaminya dan kemudian dia menarik tangan
anaknya keluar menuju ke Heritage’s Café and Cake
House.
“Irah
sebenarnya malu nak cakap dengan umi.”
Dayang
Umairah membuka kata.
“Kenapa
mesti malu? Irah bukannya tidak bernah memberitahu masalah Irah pada umi. Irah
tahu umi bagaimana?”
“Tapi
kali ni lain umi.”
“Apa
yang lainnya? Ok. Sekarang umi ambil keputusan macam ni. Kalau Irah tak mahu
ceritakan umi tak akan memaksa. Kalau Irah rasa nak kongsi masalah Irah tu
dengan umi, umi akan mendengar dan bagi pendapat. Setuju?”
“Irah
ada masalah dengan Aqeef.”
“Masalah
dengan Aqeef? Maksud Irah? Umi tak faham!”
“Sebenarnya
umi, Irah dan Aqeef bercinta sejak beberapa bulan lalu. Maafkan Irah kerana tidak
memberitahu umi.”
Irah dan Aqeef bercinta?
Sesungguhnya
dia tidak menyangka kisah cinta yang suatu masa dulu menjadi miliknya kini
bertukar kepada anaknya pula. Dan apa yang paling mengejutkannya adakah
perhubungan itu menyambungkan kasihnya yang tidak kesampaian dulu?
Dia
segera menggenggam tangan anaknya.
“Irah,
boleh terangkan pada umi apa kisah sebenarnya? Umi tak kisah siapapun pilihan
Irah tapi kalau kelakuan Irah macam ni umi perlu tahu apa yang terjadi.”
“Umi
tahu kan Irah baik dengan Abang Zack di kampus. Aqeef cemburu.”
“Aqeef
cemburu tandanya dia sayangkan Irah.”
“Tapi
dia tidak mahu dengar penjelasan Irah umi. Dia tak percayakan Irah!”
“Irah,
umi kenal Irah dan umi juga tahu bagaimana sikap Aqeef. Apa salahnya Irah bagi
dia peluang untuk minta maaf dan membetulkan kesilapannya. Kalau betul Irah
sukakan dia, bagi dia peluang untuk berterus terang. Jangan biarkan masa
merosakkan hubungan kamu berdua. Saling bertolak ansur dan belajar untuk saling
memahami, umi pasti kebahagiaan akan jadi milik kamu.”
Sesungguhnya
dia berharap apa yang di nasihatinya itu akan menjadi salah satu sebab yang
akan merapatkan kembali hubungan yang sedikit renggang itu. Dia tidak mahu apa
yang dialaminya dulu berulang kembali kepada anaknya. Dia sentiasa mendoakan
kebahagiaan anaknya.
I love the web, simply just a moment back I was searching for a brand new pair of shoes and now I am here. So much info at the touch of a hand, it truly is simply incredible.
ReplyDelete