Wednesday, October 24, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 35


 
 

Kita bersua untuk kembali mengukir cinta, mengapa berlainan sekali engkau berbicara?

Kembali semula ke kampus yang telah banyak memberikan dugaan dan cabaran. Bersama Syarifah Zuraidah, Dayang Umairah saling membantu. Namun dalam sesetengah perkara ada ketikanya gadis itu lebih senang tida masuk campur. Contohnya seperti masalah antara dia dan Aqeef. Sehingga hari ini, sudah hampir dua bulan mereka masing-masing mendiamkan diri. Sehinggalah suatu hari Dayang Umairah mengambil keputusan untuk menemui Aqeef yang sentiasa ingin bersemuka dengannya, itupun setelah dinasihati oleh Abang Zack dan Kak Su berulang kali. Dan tepat pukul 9 malam di Dayana Café Bangsar, mereka berdua berjumpa.
Sebenarnya di dalam hati Dayang Umairah, terdapat satu perasaan rindu yang sudah tidak mampu untuk dibendungnya. Dan perjumpaan ini diharap dapat melegakan rindunya selain dari satu rancangan yang sudah lama dipendamnya. Nampaknya dia juga mempunyai perasaan ego dalam hatinya yang tidak mahu mengalah kepada rayuan Hairul Aqeef.
“Hai Irah. Apa khabar?”
Hairul Aqeef memulakan kata, mengharapkan balasan dari gadisnya.
“Macam mana Aqeef tengok, macam tu lah Irah.”
Alhamdulillah, akhirnya dapat juga dia mendengar suara yang sangat dirinduinya saban waktu.
“Untuk Irah.”
Lelaki itu menghulurkan sekotak bungkusan yang berbalut kemas.
“Untuk apa?”
Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya dia mendapat hadiah daripada lelaki itu. apakah isi di dalamnya?
“Aqeef minta maaf. Aqeef tahu itu semua salah Aqeef yang tidak percayakan Irah. Tapi Aqeef nak Irah tahu yang Aqeef berperasaan begitu kerana Aqeef betul-betul sayang dan cintakan Irah.”
Mendatar dan bergetar saja suaranya ketika menuturkan kata-kata itu. Terasa pula menusuk ke dalam hati dan jiwa Dayang Umairah. Gadis itu memandang tepat ke mata Hairul Aqeef di hadapannya. Dia menarik nafas panjang.
“Irah pun minta maaf pada Aqeef. Kalau boleh Irah mahu Aqeef percayakan Irah sebagaimana Irah percayakan Aqeef. Apa yang Irah katakan adalah dari hati Irah. Dan kalau Aqeef betul-betul serius dengan Irah, Irah nak Aqeef lakukan satu perkara.”
“Apa dia?”
“Masuk meminang Irah. Kita kahwin!”
Hairul Aqeef terkejut besar. Adakah Dayang Umairah mempermainkan dirinya? Bukannya gadis itu tidak tahu yang mereka belum habis belajar, kenapa pula diajaknya kahwin? Tetapi dia melihat wajah Dayang Umairah hanya tenang dan tidak kelihatan seperti sedang merancang sesuatu. Fikirannya keliru.
Selepas melafazkan kata-kata itu, Dayang Umairah berdiri. Dia memandang Hairul Aqeef sekali lagi dan berlalu pergi bersama bungkusan hadiah di tangannya.
Sedang Dayang Umairah melarikan diri daripada Hairul Aqeef, dia sudah tidak mampu lagi menahan gelak. Riak wajah Hairul Aqeef yang keliru dengan permintaannya membuatkan dia rasa berjaya mempermainkan lelaki itu..
Meminang? Kahwin?
Gila! Belajar pun belum habis lagi. Masih banyak yang perlu diburu dalam hidup ini…


Jika itulah kemahuanmu untuk aku membuktikan perasaanku, tunggulah sayang tika dan saat itu…

Hairul Aqeef merenung sililng di biliknya. Dia memejamkan mata. Tubuhnya dikalihkan ke kanan dan ke kiri. Semuanya tidak kena. Dia bangun dan memandang ke luar tingkap. Dengan jelas bangunan KLCC dilihatnya. Pun begitu fikirannya masih kacau. Masih terngiang-ngiang di telinganya, dengan jelas dan terang permintaan Dayang Umairah yang menyuruh dia masuk meminang sekiranya betul perasaaan cintanya kepada gadis itu.
“Kau ni kenapa? Penat aku tengok. Kejap kat sana, kejap kat sini. Kau sakit ke?”
Ahmad Farhan teman sebiliknya menyapa. Agaknya dia pun rimas dengan kelakuan Aqeef yang tidak tetap itu.
“Aku pening la. Masalah negara ni.”
Separuh mengeluh dia menuturkan kata-kata itu. Matanya masih memandang ruang lepas yang dipenuhi awan bak kapas.
“Apa masalahnya? Kalau kau nak cerita, aku dengar. Mana tahu aku boleh membantu?”
“Umairah suruh aku masuk meminang jika betul aku sukakan dia. Apa pendapat kau?”
Ahmad Farhan yang sedang menaip assignment berhenti seketika. Matanya dihalakan kepada Aqeef yang bersandar di tingkap.
“Kalau kau rasa kau boleh pikul tanggungjawab dan sudah bersedia untuk menukar status, apa salahnya. Itulah sebagai tanda kau betul-betul suka dan cintakan dia. Itu juga boleh menunjukkan kau sudah bersedia untuk memikul dua tanggungjawab serentak, pelajar dan suami orang. Tetapi, apapun aku harap kau bincangkanlah dengan keluarga kau dulu.”
Wah… budak Farhan ni bagi nasihat boleh tahan juga. Tak hairanlah, setiap semester dean list Sains Sosial. Betul juga kata-katanya tu.
“Tapi aku belum yakin adakah aku sudah bersedia untuk berada di alam rumah tangga. Masih banyak yang perlu aku hadapi dan ketahui. Aku bimbang jika tidak dapat memberikan komitmen terhadap apa yang aku ceburi.”
“Hanya kau yang tahu setakat mana kau mampu. Fikirlah baik-baik. Keputusan ni bukan untuk kau seorang. Apa yang kau buat ini akan menentukan masa depan kau berdua.”
Handsetnya segera dicapai. Nombor papanya dicari dan punat call ditekan. Dalam debar untuk menyampaikan hasrat hatinya, dia menunggu talian itu disambung.
“Hello papa…”


Bagaimana harus ku hadapi semua gurauan yang ku ciptakan ini?

“Kenapa kau main-mainkan dia macam tu. Tak baik tau. Kesian dia.”
Syarifah Zuraidah tidak bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh Dayang Umairah terhadap Hairul Aqeef walaupun dia turut ketawa setelah mendengar apa yang diceritakan oleh Dayang Umairah.
“Aku hanya nak main-mainkan dia saja. Dia dan buat aku dulu, apa salah aku buat dia pulak. Lagipun, aku rasa dengan benda ni sekurang-kurangnya kami ada topik untuk dibicarakan.”
“Bagaimana pula kalau dia betul-betul serius dengan apa yang kau katakan tu?”
“Mana ada Zu. Aku kenal Aqeef tu macam mana. Dia takkan ambil serius punya. Lagipun kami masih ada banyak benda untuk dibuat.”
“Mungkin bagi kau, bukan pada dia. Orang lelaki kadang-kadang sukar dijangka Irah.”
Kata-kata Zuraidah itu membuatkan Dayang Umairah terdiam seketika. Betul juga katanya, bagaimana jika Aqeef betul-betul buat apa yang di katakannya?
Deringan handsetnya membuatkan dia terkejut seketika. Dilihatnya skrin. Panggilan dari rumah! Dia segera menekan punat call.
“Hello Irah, umi ni? Buat apa?”
“Irah sedang berbincang sikit dengan Zu. Kenapa umi telefon?”
“Umi pun ada sesuatu yang hendak dibincangkan dengan Irah.”
“Apa dia umi?”
“Semalam Aunty Adawiyah telefon. Katanya Aqeef mahu mereka meminang Irah. Sebagai tanda dia betul-betul serius terhadap Irah. Umi mahu tanya Irah betul atau tidak. Apa yang Irah dah buat sebenarnya?”
Nampaknya apa yang dibincangkan tadi telah menjadi kenyataan kini, ternyata Aqeef benar-benar melakukan perkara itu, yang dimainkannya itu!
“Irah hanya main-main saja umi, kenapa dia betul-betul pula?”
“Kenapa Irah tergamak buat macam ni pada Aqeef? Kalau dia tahu dan dia tinggalkan Irah, macam mana? Lelaki bukannya boleh main-main Irah.”
“Habis tu sekarang ni macam mana umi? Apa harus Irah buat?”
“Irah fikirkan dulu. Kalau Irah sengaja mahu melukakan hati Aqeef kerana mahu membalas dendam ataupun Irah mahu bahagia dengannya sehingga akhir hayat, terpulanglah pada Irah untuk membuat keputusan. Sama ada Irah setuju atau tidak, bagitahu umi supaya umi boleh maklumkan kepada keluarga Aqeef. Fikir baik-baik Irah. Ini bukan masa depan Irah saja tapi juga masa depan Aqeef.”
Dayang Umairah terdiam. Dia sesungguhnya tidak menyangka dengan apa yang didengarnya. Ternyata Hairul Aqeef bersungguh-sungguh terhadap dirinya. Cuma sekarang bersediakah dia? Masih ada setahun untuknya bergelar jurutera dan masih ada setahun juga untuk Aqeef menjadi peguam. Sekarang, jalan mana yang handak dipilih? Bahagia atau derita?
Dayang Umairah memandang perfume Chanel 21° yang dihadiahkah Aqeef pada pertemuan lalu. Perfume itu jugalah yang ingin dibelinya ketika keluar bersama di Kompleks SOGO tetapi ketika itu duitnya tidak mencukupi. Aqeef ingin membayarkan tetapi dia jual mahal. Dalam hatinya ada  perasaan bangga kerana Aqeef telahpun menunjukkan perasaan dan kesungguhan yang sebenar untuk memilikinya.
Malam ini dia mahu sembahyang istikharah untuk meminta petunjuk dari Yang Esa semoga dia dapat membuat keputusan yang betul untuk dia dan Aqeef…
Ketika memandang Zuraidah, dia tidak tahu adakah mahu senyum atau tidak. Yang pastinya dia sedang mengalami kekeliruan fikiran!

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]