Seperti
yang dijanji, Che Mat sekeluarga dan Zainab sekeluarga akan berkelah di Sungai
Congkak. Sesak nafasnya dengan permintaan anak-anak yang saban hari menggesanya
ke rumah Zainab, dia akhirnya menawarkan diri untuk ikut serta setelah Zainab
merancang untuk mandi manda di sana bersama keluarga rakan-rakan sepejabat.
Kira-kira macam family day lah.
Anak-anak
apatah lagi, malam sebelumnya dah siap berkemas, dengan pakaian mandi, tikar
mengkuang, jajan dan sebagainya. Memang seronok sangat. Tambah-tambah pula
dengan anak-anak rakan sepejabatnya yang turut pergi. Masing-masing berjanji
untuk berjumpa di sana jam 10 pagi. Dia dan Zainab pergi berasingan, iyalah,
mana muat kalau nak angkut semuanya. Campur anak-anak, dia , Zainab, emak dan
Kak Ija dah separuh bas mini.
‘Wah,
ada air terjun la papa!’
Qasseh
berteriak sesampainya di sana. Turun sahaja dari kereta, dia dan dua abangnya
terus meluru ke tempat Zainab yang tiba lebih awal. Masing-masing bersalaman
dan mencium mesra pipi Zainab. Tinggallah Che Mat dan Mak Mah membawa
barang-barang. Tak dapatlah nampaknya Che Mat duduk di tempat lain, konon-konon
nak jauh sikit dari tempat Zainab tu. Nampaknya anak-anak tak kasi can!
‘Banyak
barangnya Mak Mah?’
Zainab
datang bertanya. Dia mengambik raga rotan dari tangan Mak Mah dan plastik dari
dalam kereta.
‘Biasalah
budak-budak ni Nab. Bawa barang bukan main, diorang seronok aje melepak kat
sana.’
‘Janganlah
awak susah-susah Nab, saya boleh bawa. Mak pergilah duduk dulu.’
Che
Mat naik segan sebenarnya dengan kebaikan Zainab. Kalau budak-budak nampak
entah apa yang dikata.
‘Nenek
jom la makan ni, sedap makcik Nab masak!’
Qayyum
mengajak dengan mulut yang penuh dengan mee goreng.
‘Eh,
bukan ke Qayyum dah makan dekat rumah tadi?’
‘Memang
la nek, tapi bila nampak mee ni terus rasa lapar balik.’
Macam-macam
je budak Qayyum ni. Kalau dibandingkan ketiga-tiga mereka, dialah yang paling
kuat makan.
‘Abang,
jomlah nak mandi.’
Qadeer
menarik tangan Qaish. Dia sejak tadi tak sabar untuk turun ke dalam air.
‘Hah,
siapa yang nak ke sungai mari ikut nenek. Nenek pun dah lama tak rasa sejuk air
sungai ni.’
Amboi
neneknya pun, sama naik dengan cucu. Sampai tak cukup tangan nak pegang lima
cucu yang mengekornya. Dia membawakan mereka ke kawasan air cetek. Pantas dia
menolak bila Zainab ingin membantu. Dia mahu membiarkan Zainab dan Che Mat
seketika.
‘Allah
budak-budak ni tak menyempat nak tunggu saya.’
Kata
Che Mat sambil menepuk dahi.
‘Qalish
tu pun semalam sampai tertidur dengan beg bajunya, tak sabar-sabar nak mandi
sungai.’
‘Che
Mat dah minum?’
Zainab
pantas mengulurkan termos berisi air kopi. Sepiring popia turut dibawa bersama.
Dia memang sentiasa tahu kegemaran Che Mat dan anak-anak.
Masa
berdetik, terus bergerak. Che Mat keresahan berdua dengan Zainab. Meskipun di
kawasan terbuka, dia tidak mampu melarikan matanya dari terus memandang Zainab
yang jelita walaupun hanya mengenakan t-shirt muslimah dan seluar trek. Dengan
layanan mesra Zainab terhadap ibu dan anak-anaknya, Che Mat tambah tidak
keruan. Ingin sahaja dia meluahkan perasaannya kepada Zainab. Ingin sahaja dia
melamar Zainab menjadi isterinya tetapi apakan daya kekuatan itu masih belum
datang-datang juga.
‘Awak
tak turun Nab?’
Che
Mat sekadar bertanya.
‘Tak
kot Che Mat, ni barang-barang tak ada yang menjaga nanti.’
‘Kalau
macam tu saya nak ke sana lah.’
Zainab
hanya mengangguk. Mana mungkin dia meninggalkan segala macam barang yang ada di
situ, kalau ada pencopet habislah. Matanya memandang saja gerak langkah Che Mat
ke arah Mak Mah dan anak-anak yang seronok bermain air. Entah apa yang
dibicarakan, dia kemudiannya mengatur langkah ke tempat Kamal.
‘Bos
tak mandi?’
‘Tunggu
la sekejap lagi Kamal oiii. Dah tua-tua ni nak kena air pun sejuk. Azura dengan
anak-anak mana? Dah turun ke?’
‘Uihhh
depa tu dari tadi lagi bos. Akmal tu pantang nampak air, macam itik turun ke
kolam la.’
‘Budak-budak
begitulah Kamal. Anak-anak saya tu pun, berulang kali dok tanya soalan yang
sama, bila nak sampai…bila nak mandi.’
‘Mesra
nampaknya anak-anak bos dengan anak-anak Kak Nab tu.’
‘Meeka
berkawan dari kecil lagi Kamal, memang serasi betul.’
‘Bos,
kalau saya cakap ni bos jangan marah ya…’
‘Apa
dia?’
‘Bos
tak teringin ke nak jadikan Kak Nab tu isteri bos? Ya lah, dia dah lama
kehilangan suami, bos pun perlukan isteri untuk melengkapkan keluarga. Tak nak
ke bos?’
Amboi
budak Kamal ni…insuran apa tak tahu yang dia guna untuk mulutnya tu, tak sayang
langsung.
‘Entah
la Kamal.. dah umur begini tak terfikir langsung pasal tu.’
‘Saya
bukan apa bos, cuba tengok anak-anak bos tu. Saya nampak dah macam adik beradik
dengan anak-anak Kak Nab. Kurang-kurang kalau ada mak, seronok sikit mereka.
Bukan saya nak kata bos ni tak seronok, tak pandai nak mendidik anak, tapi
dengan kehadiran seorang ibu tu akan lebih membahagiakan bos.’
Kalau
dulu emaknya berkata begitu, sekarang Kamal juga menuturkan perkataan yang
sama.
‘Kau
rasa macam mana?’
‘Kak
Nab tu baik bos. Dia banyak membantu saya dan Zura. Saya percaya dia akan
melengkapkan hidup bos sekeluarga.’
Bijak
betul Kamal berkata-kata. Hilang sikap main-mainnya seperti yang selalu
ditonjolkan di pejabat.
‘Saya
segan la nak bagitahu dia Kamal.’
‘Apa
pulak nak segan bos. Itu kan benda baik. Ke nak mintak tolong saya bagitahu?’
‘Eh,
kau jangan cari pasal pulak Kamal. Satu je saya nak mintak tolong, jangan
hebohkan pulak perkara ni. Antara kita berdua sahaja tau.’
‘Iya
la bos. Saya bagitahu je. Jangan pulak bos terlepas rugi nanti.’
Che
Mat membuang pandangan ke arah Zainab yang berada bertentangan. Seketika mata
mereka bertentangan…
*****
‘Nab,
masuk sekejap.’
Che
Mat menekan interkom di depannya.
‘Ada
apa Che Mat?’
Sekeping
kertas dihulurkan.
Surat
panggilan konvensyen?
‘Saya
kena pergi?’
Zainab
bertanyakan soalan budak sekolah.
‘Awak
gantikan saya boleh? Pada tarikh tu saya ada mesyuarat dengan cawangan baru di
Brunei.’
Che
Mat membalas. Dia tersenyum.
‘InsyaAllah
kalau tak ada apa-apa.’
‘Saya
rasa tak ada masalah kot ni. Lagipun hujung minggu, tak la mengganggu masa awak
dengan keluarga.’
‘Ehhhh,
tak ada masalah Che Mat. Lagipun minggu tu kebetulan mak dengan abah nak datang
ke KL, bolehla tengokkan anak-anak. Konvensyen ni pun di KLCC je, saya boleh
balik malamnya.’
Bersungguh
Zainab menerangkan. Sekarang ni anak-anak pun dah besar, dia nak tinggal pun
tak la risau sangat. Kak Ija ada…
‘Terima
kasih banyak-banyak Nab.’
Duduk
sahaja di kerusi setelah keluar dari bilik Che Mat, Jabbar datang membawa
sejambak bunga ke arahnya.
‘Buat
pujaan hatiku Cik Zainab Atikah…’
‘Ape
kena kau ni Jabbar? Buang tebiat ke?’
Balas
Zainab, tanpa memandang.
‘Kau
ni Nab, nak gurau sikit pun tak boleh. Ni hah ada orang kirimkan bunga untuk
kau. Aku yang sign tadi.’
Bunga?
Siapa pulak yang tak sayangkan duit beli benda-benda membazir ni? Alangkah
baiknya kalau duit tu didermakan ke masjid ke, bagi anak-anak yatim ke. Zainab
agak dalam beratus jugak harga jambangan tu, penuh dengan bunga ros merah
jambu. Lebih 50 kuntum agaknya.
Tapi
sejak dulu sampai sekarang, dia tidak pernah suka dengan bunga ros, baginya tak
kekal lama dan keindahannya hanya sebentar sahaja. Pantas dia membelek
jambangan itu. Tak ada pulak kad yang terselit di mana-mana. Misteri. Ada
peminat barukah dia di usia begini.
‘Kau
ambillah Jabbar. Bagi la pada sesiapa. Takpun bawa balik untuk isteri di
rumah.’
‘Kau
taknak ke?’
Jabbar
menyoal dengan mata yang membuntang tak percaya. Jarang ada perempuan yang
menolak bila diberi jambangan bunga. Tambah pulak yang besar begini. Di
kejauhan pun boleh bau wanginya.
‘Aku
tak suka lah bunga-bunga ni.’
‘Siapa
la yang bagi ni pada kau Nab?’
‘Mana
la aku tahu. Hantu siang agaknya.’
‘Hah?
Ha ha ha…’
Pecah
gelak tawa Jabbar dengan gurauan Zainab. Dia membawa jambangan bunga itu ke
mejanya sambil bersiul riang. Zainab meneruskan kerja. Dia tak layan
misteri-misteri ni. Kalau suka, face to
face ok. Lagi senang nak cerita!
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]