Monday, March 31, 2014

Beijing 2014 / Day 1 : LCCT - Beijing

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Saya sepatutnya ke Beijing pada penghujung tahun 2013. Merujuk kepada n3 ini, trip saya yang sebenar adalah pada 9-15 Disember. Tapi dek kerana sedikit kesilapan teknikal, ianya dibawa ke Mac 2014. Sebenarnya juga saya tak mahu pergi dan berhasrat untuk mengambil semula wang deposit, tapi memandangkan ada juga rakan sekolah yang pergi, maka saya dan Mok Ja bersetuju untuk ikut bersama sementelahan pula semua persiapan telahpun dibuat.
[Taishun Hotel]

Kembara sebenar bermula pada 22 Mac, di mana saya dan Mok Ja turun dari CH ke KL untuk transit sementara di Shah Alam. Sekarang ni dari CH dah ada bas ekspress terus ke LCCT iaitu CS Travel yang mana tiketnya boleh diperolehi di Persiaran Marigold Tanah Rata.

Date : 23 Mac 2014

Daripada Shah Alam, saya dan Mok Ja bergerak ke LCCT dalam pukul 2.15 dan berjanji untuk berjumpa group yang lain dalam pukul 3.00 petang. Untuk trip kali ini, kami menaiki pesawat pada jam 7 petang. Ini adalah kali pertama saya menaiki pesawat pada sebelah petang (menghala ke malam). Agak risau jugak dengan segala macam persoalan di dalam fikiran.

Dengan sedikit pengalaman sebelum ini...dengan merujuk kepada nota-nota yang telah saya catatkan... kami seramai 14 orang dalam kumpulan memulakan langkah kembara ke Beijing dengan harapan tentunya semoga segalanya berjalan lancar. Dalam pukul 5, kali mula check in dan memasukkan bagasi. Kemudian dalam pukul 6 kami mula masuk ke balai berlepas dan menunggu hingga pukul 7 untuk menaiki pesawat.

Dalam pukul 7.15 petang, pesawat D7 316 mula meninggalkan landasan dan memulakan perjalanan ke Beijing. Sejujurnya saya katakan, saya agak risau dengan trip kali ini. Dengan misteri MH 370 yang pada masa itu belum ada jawapannya... dengan destinasi saya yang sama seperti destinasi MH 370. Semuanya datang dan pergi dalam kepala otak ni. Kalau korang pun, mustahil untuk tidak berasa apa-apa. Tetapi bersandarkan keyakinan kepada qada' dan qadar... saya memulakan perjalanan ini dengan untaian doa dan berserah segalanya pada Yang Maha Esa.

Alhamdulillah sepanjang perjalanan cuaca elok sahaja. Langitnya cerah dan agak berawan. Agak sukar juga untuk melelapkan mata. Saya memang susah tidur, tambah-tambah pula dengan bising pesawat dan suara kanak-kanak menangis. Dalam penerbangan ini, banyak juga orang Malaysia khususnya Melayu yang sama seperti saya ingin melancong ke sana.

Pesawat mula menjejak landasan pada jam 12.55 pagi, 20 minit awal dari masa yang dijangkakan. Alhamdulillah juga pesawat mendarat dengan sangat baik, secara soft landing dan sudah tentunya saya juga orang lain merasa sangat lega. Untuk pengetahuan, masa di Beijing lebih kurang sama sahaja dengan di Malaysia.

Menjejak sahaja tanah Beijing, suhu sejuk menyapa. Walaupun hanya seperti di CH (10'C) tetapi sejuknya lain, hingga ke tulang rasanya. Dari lapangan terbang, kumpulan kami disambut oleh guide kami iaitu Mr Fu. Entah apa ke pulak nama penuhnya. Kami dibawa ke Beijing Taishun Business Hotel yang berjarak 40-45 minit perjalanan. Suasana lengang. Jalan dan lebuh raya clear....

Dari hari pertama, masuk ke hari kedua... In Sha Allah saya akan kongsikan pengalaman di Beijing dengan semua dalam untaian n3-n3 selepas ini.

Bagaimana Saya Membuat Bajet Melancong Ke Luar Negara?

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Sebelum saya mulakan n3 pasal trip melancong cuti minggu lepas, kita panaskan dulu CTS dengan n3 ni. Kasi panas itu enjin dulu baru syok mau jalan. Apa macam....

Saya pasti kebanyakan dari kita suka melancong atau pun berjalan-jalan. Tak kiralah samada di dalam negara ataupun ke luar negara. Saya sendiri memang suka berjalan-jalan. Dalam negara atau luar negara, kalau berkemampuan memang saya ingin jejaki.

Persoalan yag paling penting bila kita nak melancong ke satu-satu tempat adalah berkaitan dengan kos @ kewangan. Jika saya nak ke satu tempat di dalam negara (biasa menggunakan kereta) saya akan mengutip duit dalam jumlah yang sama bagi setiap yang ikut bersama.

Contoh :
Percutian : PD, Negeri Sembilan
Kos : RM200 x 5 orang = RM1000

Untuk kos RM 1000 tu, akan digunakan untuk semua perkara seperti makan, tempat tinggal, tol dan perkara lain. Jika ada lebih, wang itu akan dikembalikan semula ataupun jika tak lebih banyak akan diberikan kepada pemandu kereta. Biasanya akan ada seorang sahaja yang menguruskan wang ini dan juga perkara-perkara berkaitan. Kiranya macam ketua lah.

Berbeza sedikit sekiranya saya ke luar negara. Yang ini kena detail sikit lah.

Contoh :
Percutian ke Krabi, Thailand
Tarikh : 1-4 Jun 2014
Harga Pakej : RM 1200
Duit tukar : RM 500 
Jumlah besar : RM 1700

Sumber duit :
1. Gaji bulan  Jan : RM200
2. Gaji bulan Feb : RM 200
3. Gaji bulan April : RM 200
4. Gaji bulan Mei : RM 200
5. Duit kutu : RM 500
6. Duit claim  : RM 400
Jumlah : RM1700

Jika saya buat pembahagian seperti ini, In Sha Allah saya akan cuba keluarkan jumlah wang yang diperuntukkan dari gaji untuk trip tersebut. Jika ada bulan yang memerlukan saya mengeluarkan belanja tambahan saya tak akan ambil. Contoh bulan Mac saya kena belanja lebih sikit jadi saya tak guna duit gaji tersebut untuk trip melancong. Jadi pandai-pandailah budget dari poket masing-masing. Tapi perlu diingat jugak agar tidak cuba menggunakan perbelanjaan yang telah dikhaskan untuk trip. Kenalah berdisiplin sikit ya. Kalau saya budget trip ni biasanya tak disimpan di dalam bank. Kalau tak kompom habis!

Selain daripada budget seperti ini, saya juga akan menyimpan separuh duit dari sumber yang lain seperti bonus atau hasil tempahan. Maksudnya kena simpan sikit-sikitlah untuk melancong. Kalau boleh elakkan guna simpanan tetap seperti duit yang ada dalam Tabung Haji.

Walau bagai mana pun saya percaya setiap dari kita punya cara yang berbeza untuk merencana perbelanjaan masing-masing. Yang saya kongsikan ini adalah dari pengalaman sendiri. Jadi harap dapat membantu.

Jom melancong!!

Sunday, March 30, 2014

C@AC 26 : Red Velvet Cake



Aloyah beringat. Dia tak mahu tertangkap. Hubungannya dengan Encik Paris kini bertambah baik, di pejabat dan di luar pejabat. Sebolehnya dia tidak mahu rakan-rakan menghidu adanya sesuatu di sebalik itu. Dia belum bersedia mendedahkannya. Lagi pula belum ada yang boleh mengesahkannya. Hubungan Encik Paris dengan kakitangan juga bertambah mesra. Tiada lagi kerut-kerut di wajah yang menandakan tidak puas hati. Cuma bab makan yang masih tak dapat nak ditolongin, masih jugak cerewet macam dulu.
‘Kau dengan Fareez tu ada apa-apa ke?’
Aloyah teringat soalan Fiza ketika mereka sedang minum petang bersama satu ketika dulu. Soalan itu sama seperti yang ditanyakan kepada Fiza tentang hubungannya dengan Mail. Dan akhirnya apa yang di doa menjadi nyata. Dah semakin serius nampaknya perhubungan itu, hampir ke jinjang pelamin akhirnya.
Dia bagaimanapun tidak menjawab soalan Fiza. Dia mengharapkan ada apa-apa, tetapi mana mungkin dia berharap di sebelah pihak saja. Dia akui memang dia sukakan Encik Paris, tetapi dia tidak ada hak selagi batang tubuh sendiri tidak mengatakan ya. Lagipun dia bukan siapa-siapa. Mungkin juga Encik Paris sudah mempunyai pilihan sendiri yang 1000 kali lebih baik darinya, siapa tahu. Dengan wajah tampan dan kerjaya yang  stabil, sesiapa sahaja boleh terpikat kepadanya. Aloyah pula tidak memandang semua itu, hal hati dan perasaan ini rahsia Allah, tiba-tiba dia suka, tiba-tiba dia jatuh cinta, nak buat macam mana?
‘Amboi, semenjak dua menjak ni kuat betul kau berangan. Ingat siapa?’
Subhanallah, melayang segala semangatnya. Kak Lin ni sesuka aje menyergahnya.
‘Mana ada ingat siapa Kak Lin, tengah fikir ni bonus nanti nak beli apa.’
‘Entah dapat entah tidak bonus tu.’
‘Kita berdoa la biar dapat, ada banyak saya nak beli ni. Si Zack tu haa, nak kena bayar roadtax dah.’
‘Bagus juga kalau dapat, boleh belanja anak-anak bercuti. Eh kau taknak keluar ke? Dah pukul 5 ni.’
‘Jomlah. Tak sedar pulak saya. Kak Lin, jom minum dulu, teringin pulak nak makan cakoi panas.’
‘Kau belanja? Jommmmm.’
Amboi...kalau orang belanja aje kemain cepat. Belum lagi kata ya, dah terus setuju. Aloyah tidak kisah, sesekali apa salahnya. Dah niat pun tadi.
‘Akak rasa la kan, bos tu macam suka je dekat kau.’
‘Eh pandai je akak ni. Siapa la saya ni kak...orang tak pandang sebelah mata pun.’
‘Kalau dulu kan kemain serius, sekarang ni siap ketawa-ketawa lagi. Kalau tak jatuh cinta apa namanya tu.’
‘Berubah begitu kan bagus, kita kakitangan ni tak la asyik pressure, baru tenang nak buat kerja.’
‘Kau macam mana? Suka ke tak pada bos tu?’
‘Dia bos saya Kak Lin, nak tak hendak saya kena suka.’
‘Ye la tu...entah-entah korang suka sama suka... tahu-tahu akak dapat jemputan.’
‘Kalau dia jodoh saya apa salahnya kak...’
Uhukkkk.... haaaaa, kan dan tersedak. Seronok sangat mengata aku!

Ø  Jgn asyik ketawa je, blk cpt, buatkn sy red velvet, nk esok

Haippp, mana pulak dia nampak Aloyah sedang berjimba-jimba dengan Kak Lin ni? Kanan, kiri, tiada... tapi tiba-tiba sahaja sms masuk menandakan Encik Paris melihat di mana Aloyah berada.

Aloyah membelek buku resepi. Dia pernah membuat red velvet cake atau kek baldu merah ni sekali tetapi tidak menjadi. Keknya padat dan frostingnya masin. Internet kemudian di buka. Halanya tentulah ke blog Kak Zai, selain banyak dipaparkan idea mendeco, ada juga resepi RVC di situ. Aloyah meneliti resepi dari Joy Of Baking yang telah disesuaikan dengan citarasa tempatan. Kemudian dia menyediakan segala bahan yang diperlukan. Entah apa ke mimpi Encik Paris tu, tiba-tiba nak makan kek. Pilihannya pula tentulah kek yang ada cream cheese, setakat whip cream atau butter cream apa kelas katanya.
Pertama sekali, mesti sediakan buttermilk dengan mencampurkan susu segar dengan cuka atau jus limau nipis. Ianya kemudian dicampurkan dengan perwarna merah yang akan menjadikan warnanya seakan-akan baldu. Dari itulah kek ini mendapat namanya. Selepas membancuh gula dan butter, kemudian di tambah telur, tepung dimasukkan berselang sesi dengan buttermilk. Bila dah sebati akhirnya boleh dimasukkan campuran soda bikarbonat dan cuka. Setelah siap adunan, bolehlah dibakar selama kurang lebih 30-40 minit. Aloyah kemudiannya membuat frosting dengan menggunakan campuran cream cheese, gula dan whip cream. Tak tahu la kena dengan selera atau tidak ni. Bila semuanya sudah siap, kek sudah sejuk, Aloyah memulakan kerja mendeco. Warna merah kek ni kena sangat dengan putih pucat frostingnya. Tidak hairanlah jika RVC ni menjadi pilihan sebagai kek perkahwinan. Dalam 45 minit, siap kerja mendeco. Deco simple aje pun, masih keras tangan lagi. Nak tulis apa ni? Biasa kalau kek yang di tempah ada request kata-kata atau tulisan. Aloyah mengambil telefon.

Ø  Ada nk tulis apa2 x atas kek ni

o   X ada

Ø  Nnti nk hntr ke mn

o   Bw je ke pej

Hmmm, senang sikit kalau tak perlu tulis apa-apa. Bab tulisan ni memang tak cantik langsung, Aloyah belum pandai menulis di atas kek tanpa tangannya bergetar. Macam orang sakit parkinson gitu J. Aloyah kemudiannya meletakkan kek ke dalam kotak dan menyimpannya ke dalam peti sejuk. Habis satu kerja hari ini.

Sesampainya di pejabat, Aloyah meletakkan kek tempahan di atas meja kopi di dalam bilik Encik Paris.  Hari ini dia ada perjumpaan dengan PA seluruh jabatan. Semuanya akan berkumpul di bilik timbalan pengarah 1 untuk taklimat perkhidmatan. Pelbagai perkara akan dibincangkan, berkaitan dengan kerja yang melibatkan PA dan tugasan harian. Dalam perjumpaan itu juga diumumkan Aloyah terpilih sebagai PA Terbaik bagi bulan ini. Apa lagi, kembang kempis la Aloyah dibuatnya. Bukan senang nak dapat penghormatan itu. Sebagai ganjaran, trofi, sijil dan wang tunai diberikan disamping wajah akan terpampang di frame besar di pintu masuk majlis. Bukan selalu dapat tonjolkan wajah fotogeniknya.
Selepas perjumpaan, Aloyah kembali ke jabatan pentadbiran dan korporat. Dengan anugerah yang dibawa, rasa macam artis pula. Melambai ke kiri dan kanan sambil tersenyum. Begitulah besarnya anugerah PA Terbaik kepada dia. Macam menang anugerah bintang popular lah!


Ø  Tahniah Aloyah. Smg lps ni mkn b+ maju & jgn serik kerja dgn sy.

Ah Encik Paris, dia tentunya lebih maklum tentang anugerah itu. Bos yang calonkan PA, apa yang lebih, apa yang kurangnya seorang PA, hanya bos sahaja yang tahu.

Ø  Btw, kek tu hadiah utk awk. Mkn sm2, smpn utk sy sikit tau

Kek sendiri jadi hadiah? Aloyah tersenyum. Bijak jugak perancangan Encik Paris ni. Patut la tak nak tulis apa-apa. Dia mengambil kad yang tertampal di kotak. Yang ini tak ada dalam pakej. Sebelum itu dia membelah kek dan mengedarnya kepada rakan sepejabat. Silih berganti uncapan tahniah diterimanya atas penghormatan itu.

Aloyah tersenyum memandang kad yang di ambil dari kotak kek. Melihat gambarnya saja sudah cukup untuk menyelam ke dasar hati Encik Paris yang penuh rahsia. Dia membaca bait-bait kata yang tertulis. Tiba-tiba dia termalu sendiri. Itu tagline kesukaannya. Satu kenyataan dan satu soalan. Akhirnya yang terang sudah bersuluh. Yang kabur sudah jelas. Walaupun tidak secara bersemuka, dia seakan tidak percaya soalan itu datangnya dari lelaki yang dia suka. Ya, ‘seseorang’ yang dia suka. Dia menulis jawapannya ke atas kad tersebut. Sepotong kek diletakkan ke dalam piring dan dibawa ke bilik Encik Paris. Kad pula diletakkan menjadi pengalas sudu. Bila dia nak makan nanti, harap dibukalah kad itu.


Ringkas saja jawabnya. Ya, SUKA. Memang dia suka. Dia pasti itu jawapannya. Dan apabila Encik Paris masuk selepas tamat waktu makan tengah hari, Aloyah berpura-pura tidak nampak. Dia berpura-pura sibuk, menyembunyikan rasa hati dan riak wajah sedangkan hati di dalam tiada siapa yang tahu...
Dan di Aloyah Cafe, Aloyah sudah menemukan tajuk terbaik untuk entry terbaharunya. RVC... Semerah Cintaku!

Saturday, March 29, 2014

DIY : Jom Hasilkan Tudung Halfmoon Sendiri

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Kalau dulu saya dah pernah upkan n3 cara buat inner dari tudung terpakai, sekarang saya nak share pulak bagaimana nak buat halfmoon sendiri.Kalau diikutkan di pasaran memang terdapat banyak orang jual halfmoon ni. Dari mahal hingga murah, dari berkualiti hingga tidak, semuanya boleh diperolehi dengan senang. Sebelum timbulnya idea nak buat halfmoon sendiri, saya pernah upkan n3 tentang pembelian halfmoon saya di sini.


Oleh kerana saya memang suka menjahit, maka dengan adanya contoh saya dah berjaya menghasilkan beberapa helai halfmoon sendiri untuk digayakan ke sekolah. Memang puas hati, apatah lagi kosnya yang tersangatlah murah. Sila percaya kalau saya katakan kos membuat halfmoon sehelai lebih kurang RM10 - RM15 sahaja (tapi bergantung kepada harga kain).

Biasanya saya menggunakan kain chifon. Tengoklah macam mana, sama ada chifon lembut atau chifon licin, anda hanya perlu merasanya terlebih dahulu. Untuk melihat samada kain yang dibeli terbentuk atau tidak, anda boleh letakkan di bahu dan tengok bagaimana kain itu jatuh.

Untuk halfmoon DIY ni saya menggunakan chifon jojet dan juga chifon Fareeda dan kesemua kain ini saya beli di Zaleha Textile Pasir Puteh.

Jom buat dasar dulu :


Dasar asas tudung halfmoon. Untuk panjang garisan A dan B, bergantung kepada tudung yang dicontohi atau mengikut keselesaan masing-masing.

1. Sediakan dasar halfmoon terlebih dahulu. Untuk membuat dasar ni, belilah sehelai tudung halfmoon yang agak-agak sesuai dengan muka dan bahu, kemudian ukurlah pada kertas surat khabar atau kertas minyak (seperti di dalam gambar). Bila dah dapat ukuran ni, potongkan sahaja. Dasar halfmoon yang saya buat ni agak lebar. Jika tidak berapa faham boleh rujuk [di sini]


Pandangan kasar tudung yang digunakan sebagai dasar. Sebenarnya ini adalah tudung dengan layer di bahagian tepi.

Note : Cuba bayangkan halfmoon yang telah siap sebagai dasar dan kertas minyak sebagai kain yang akan dibuat halfmoon. Begitulah cara kita akan potong tudung halfmoon itu nanti.

Pada dasar yang telah siap, tandakan bahagian 'ATAS' dan 'LIPAT' supaya kita tak tersilap letak pada kain. Amatur, biasalah... Pada dasar ni juga kita labellah pattern mana yang kita guna. Contoh yang saya buat ni adalah PATTERN FARIDA, HALFMOON VIETNAM dan HALFMOON SAKURA.


Ini adalah dasar yang telah siap. Jika diperhatikan di dalam gambar, ada dua garisan yang telah saya tandakan dengan 'ATAS' dan 'BAWAH' bagi lapisan dua warna di bahagian bawah tudung (dua layer). Jika tidak mahu membuat dua layer, boleh sahaja menggunakan keseluruhan dasar ini.

Inilah gambaran kasar halfmoon dengan dua layer di bahagian bawah. Kain perlu digunting mengikut dasar yang telah dipotong. Yang pattern ni agak rumit sikit. Masa saya buat dan hantar ke kedai jahit, saya hanya menyambung kain dengan menggunakan jarum. Seeloknya jika menggunakan pattern begini, jahitkan dahulu secara jelujur / longgar.

Oleh kerana saya mahu mencuba membuat tudung dengan layer di bahagian bawah, maka dasar yang telah siap tadi saya potongkan dalam lebar 2" setiap satu (gambar bahagian B) 

Tudung halfmoon dengan 2 layer yang telah siap dan sudahpun dipakai. Penggunaan benang yang kontra akan menaikkan lagi layer tudung berkenaan.

Dengan adanya dasar seperti ini, kita hanya perlu meletakkannya di atas kain yang menjadi pilihan, pinkan dengan jarum (supaya kain dan dasar tidak bergerak) dan kemudian hantar ke kedai jahit untuk jahit tepi halus. Saya biasanya menghantar jahit tepi ni ke Kedai Anak Kak Min, bangunan bersebelahan Zaleha Textile di bandar Pasir Puteh. Kos jahit tepi ni hanya RM2-3 sahaja.

Tips : sekiranya ingin membuat halfmoon dengan warna yang berlainan, bahagian bertanda anak panah perlu dijahit terlebih dahulu (jahit jelujur) - bahagian ini akan dijahit tepi halus. Sekiranya bahagian ini tidak mahu dijahit tepi halus, bolehlah mencantumkannya menggunakan jahit tepi biasa supaya mudah untuk dijahit tepi kelilingnya.

Sekiranya berkemahiran, bahagian atasnya bolehlah dijahit manakala bahagian kelilingnya dijahit tepi. Oleh kerana saya tak berapa pandai nak jahit halus di bahagian atas, maka saya hanya menghantar untuk menjadit tepi halus untuk semua bahagian tudung.

Percayalah pada diri sendiri. Jangan takut untuk memegang gunting dan jarum. Gagal sekali itu biasa, bila kita sudah tahu teknik dan cara,  In Sha Allah kita akan gembira memakai halfmoon yang dibuat sendiri.

Thursday, March 20, 2014

Kegembiraan & Kejayaan Berganda... Alhamdulillah!

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

Alhamdulillah...
Alhamdulillah... 
Pujian pada Allah Yang Esa...dan Yang Maha Besar

Bagaimana?
Dah dapat keputusan SPM kan? Haaaa, tengok tu, masing-masing tersenyum simpul. Aduhhhh manis sungguh senyuman yang terukir sebagai tanda meraikan sebuah kejayaan.

Begitu juga dengan saya. Syukur sangat-sangat dengan keputusan SPM yang diperolehi tadi. Seperti yang saya sasarkan, pelajar yang saya target untuk mendapat A telah berjaya. Tak ramai, dua orang je pun. Tahniah kepada Kwan Wen Fui yang mendapat A dan Mazuin yang mendapat A-. Yang sebelum ini saya target Lis untuk A, hanya mendapat B+ sahaja.
Pengetua meraikan kejayaan SPM. Dapat kek free dari PPD

Pada tahun ini, secara keseluruhan pencapaian pelajar agak memuaskan. Tahun 2012 GPMP adalah 5.56 tetapi pada 2013 telah meningkat kepada 3.94 kerana kebanyakan pelajar berada pada tahap B+ dan C. Syukur sangat-sangat. Rasanya inilah pertama kali dalam tempoh 10 tahun subjek saya berada pada angka 3 dalam pencapaian GPMP.
Penyampaian sijil pada pelajar yang mendapat 11A, Jamuna

Untuk Pendidikan Moral pula, seramai 27 pelajar mendapat A pelbagai tahap dan hanya dua mendapat B+. Haaaa rasa nak terkejut pun ada bila katanya 27 dapat A. Seumur hidup belum pernah weh! Tapi saya percaya keupayaan pelajar tahun lepas memang berada pada tahap maksima (mereka juga merupakan pelajar cemerlang PMR 2011). Apapun tahniah la... hilang dah segala kerisauan di hati.

Secara keseluruhan pencapaian sekolah adalah pertama di dalam daerah. Seorang mendapat 11A manakala pelajar cemerlang seramai 24 @ 25 orang. In Sha Allah saya akan update nanti.
Kapten pasukan menerima piala pusingan MSSD di padang. 

Pengetua bersama guru-guru yang terlibat dengan MSSD. Tengok semuanya senyum lebar.

Sebagai mana kejayaan dalam peperiksaan SPM 2013, begitu juga kejayaan dalam MSSD yang mana sekolah telah mengekalkan kejuaraan tahun lepas. Tahniah pada semua yang terlibat, para guru, atlit dan juga staf yang banyak menyokong. SEMEKAR The Power!! Power!! Power!! Power!!

Semoga SEMEKAR dapat mengekalkan kecemerlangan di dalam bidang akademik dan juga sukan...

20 Mac : Dua Acara Penting

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera 

 [Mazuin, Lis, Masnita. Nazira dan Khor Pey Ching - 5 MPV 2013]

Umum mengetahui bahawa hari ini merupakan tarikh keluarnya keputusan  peperiksaan SPM tahun 2013. Bagi saya, debaran SPM 2013 adalah tidak seperti tahun-tahun sebelumnya. Kalau biasa saya hanya mengajar satu kelas tingkatan 5, tetapi tahun lepas saya mengajar dua kelas, dua mata pelajaran. Kelas pertama dan kelas paling hujung, berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar semasa mengajar MPV Tanaman Makanan dan Pendidikan Moral. Harapnya dapat mencapai sasaran yang ditetapkan pihak sekolah selain sasaran peribadi yang saya sandarkan kepada dua tiga orang pelajar dalam kelas tersebut.

Selain keputusan SPM 2013, hari ini juga menyaksikan hari terakhir kejohanan sukan (balapan dan padang) peringkat Daerha Cameron Highlands yang di  adakan di SEMEKAR. Antara tiga buah sekolah menengah, SEMEKAR bersaing hebat dengan SMK Ringlet yang semakin menghampiri jumlah kutipan pingat emas. Para atlet sedaya upaya mahu mengekalkan piasa kejuaraan tahun lepas. Walaupun kebanyakan atlet agak keletihan dan ada yang mengalami kecederaan kerana jarak sukantara dan MSSD berturutan, saya amat kagum dengan semangat juang mereka yang tinggi. Saya terlibat secara langsung sebagai pembantu penyelaras hadiah dan nampaknya hari ini tidak dapat bersama-sama memberi semangat kerana terpaksa menguruskan pengambilan slip SPM dan membuat analisis.

Buat semua warga SEMEKAR, saya doakan yang terbaik dalam MSSD dan juga SPM 2013.

Duhai hati, hilangkanlah debar yang ku rasa ini...

Wednesday, March 19, 2014

Apam Salju

Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera

Salah satu resepi apam yang sangat senang untuk dibuat. Yang saya buat ni masih menggunakan resepi yang sama. Tujuannya tak lain untuk menghabiskan nasi yang berumur seminggu di dalam peti sejuk. Nak buang memang sayang, apatah lagi jika nasi itu masih elok. Jadi godek-godeklah sekejap, perap 2 3 jam dah sedia untuk dikukus.

Saya hanya menggunakan gula pasir untuk membuat apam ni. Memang takyah nak cerita lebih-lebih kerana rasanya memang sedap dan mantap bila digandingkan dengan kelapa yang digaulkan dengan sedikit garam.


Lihat sahajalah hasilnya yang gebu dan naik sempurna. Walaupun hanya diperap dua jam lebih, Alhamdulillah apamnya naik dengan elok. Saya risau jugak kot-kot apam ni terbantat. TQ pada Kak Yatie yang berkongsikan resepi. Saya copy semula di bawah ni.



APAM SALJU
Resepi : Kak Yatie

Bahan-bahannya.
2 cwn nasi
2 cwn tepung gandum
2 cwn tepung beras
1 cwn brown sugar
3/4 cwn gula pasir(dua2 gula pasir pun takpe)
2 1/2 cwn air
2 sudu kecil yis (mauripan)
kelapa parut dgn sedikit garam
Saya tambah sedikit esen ros

Cara-cara
Blend nasi dan air sehingga hancur(masukkan air sedikit-sedikit..blend sampai halus)
Setelah hancur, campur brown sugar dan gula ke dalamnya dan blend sehingga sebati.
Dlm bekas lain,satukan tepung gandum,tepung beras dan yis.
Selepas itu,masukkan bahan cecair tadi ke dlm bekas tepung. Kacau sehingga sebati.
Perap selama 3 jam.
Panaskan pengukus dan balut penutupnya dengan kain.
Sapukan sedikit minyak pada acuan kecil.
Masukkan dlm acuan kecil dan kukus selama 15 minit..
Hidang bersama kelapa yg telah di gaul dengan sedikit garam..atau enak dimakan begitu saja.