Thursday, June 28, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 17



 
 



 
Kalau sudi katakan sudi tidaklah aku ternanti-nanti…

“Aku rasa bahagian belakang ni kena ubahsuai sikit la. Selalu nampak budak-budak lepak kat sini dan menimbulkan bunyi bising kepada pelajar lain. Apa pendapat kau?” Cikgu Zabidi meminta pandangan Dayang Atikah ketika mereka sama-sama berada dalam perpustakaan selepas mesyuarat dengan guru panitia.
 “Elok juga cadangan kau tu tapi aku rasa kau patut tanya Amjad dulu sebab dia yang jaga bahagian tu. Aku lebih kepada buku-buku kat dalam ni.”
Cikgu Zabidi memandang tepat ke wajahnya bila terdengar nama Amjad disebut. Dia tersenyum. Dayang Atikah kehairanan.
“Kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Ha, itupun dia dah datang. Panjang umur dia. Aku pergi dulu ya.”
“Kau tak nak cakap sendiri dengan dia ke?”
“Aku wakilkan kau untuk memberitahunya.” Katanya sambil mengenyit mata kepada Dayang Atikah lalu keluar.
Ish Zabidi ni… ada-ada aje untuk mengenakan aku!
“Kenapa dengan Zabidi tu, senyum-senyum je?” Pertanyaan awal Amjad.
“Entahlah. Katanya nak ubah bahagian belakang pusat sumber ni, mengelakkan budak-budak berkumpul dan membuat bising di sana.”
“Am dah rancang semua tu. Memang itu salah satu agenda dalam mesyuarat dulu kan. Itulah, orang meeting, dia tak datang.”
Dayang Atikah tersenyum mendengar bebelan Amjad. Matanya melirik ke tangan Amjad yang memakai jam tangan yang dihadiahkannya dulu. Bangga kerana pemberian itu dihargai. Walaupun tidak mahal namun ianya sangat bermakna. Tanda perhubungannya dengan Amjad yang bermula semula.
“Kenapa senyum sorang-sorang ni?”
“Saja. Tak boleh ke?”
“Orang kata kalau senyum sorang-sorang ni, maknanya ada sesuatu yang dia rasa ataupun dia tu seorang yang …”
Amjad tidak sempat menghabiskan ayatnya kerana Dayang Atikah lebih pantas mencubit lengannya sambil menjengilkan matanya. Lelaki itu mengaduh kecil.
“Rasakan. Mulut tu memang takde insuran. Suka-suka je cakap orang macam tu.”
“Janganlah merajuk Yang… jom Am hantar balik. Dah pukul 2 ni.”
Bukan sekali dua Dayang Atikah melarang Amjad memanggilnya dengan nama itu, bimbang menjadi bualan orang namun kedegilannya memang sukar diubah. Menurutnya, panggilan itu adalah singkatan namanya, Dayang. Lagipun sebenarnya dia juga merasa suka dipanggil begitu, terasa manja dan penuh kasih. Dia juga sudah tiada daya untuk mengelak dan memberi alasan lagi.
Dari balik pintu dia melihat kelibat Charlotta.
“Hari ni tak boleh Am. Dayang dah janji dengan Charlotta nak ke Pelabuhan.”
Amjad menunjukkan rasa kecewa.
“Am ikut boleh?”
“Mana boleh. Ini antara perempuan dengan perempuan aje. Lelaki pergilah tempat lain.” Charlotta menjawab bagi pihak Dayang Atikah. Amjad  berpaling ke arah Charlotta yang berdiri di belakangnya.
“Kau ni kacau betullah. Asal aku nak date dengan Dayang, kau mesti potong line.”
Charlotta hanya tersenyum sambil mengangkat bahu. Dia memang telah membuat temujanjinya terlebih dahulu!
Sebelum keluar dari perpustakaan, Amjad memandang Dayang Atikah dan tersenyum.
“Jaga diri baik-baik tau.”
Charlotta yang memandang hanya tersenyum sinis…


Sayang-sayang buah kepayang, siang memandang malam terbayang, dalam mimpi hadirlah sayang!

Hari minggu bermula dengan gemilang. Dari tingkap yang terbuka Amjad dapat melihat segala pemandangan yang indah-indah dan suasana yang damai tenteram. Dia ke dapur dan mendapati pak ngah telah ada di meja makan. Amjad menyendukkan nasi goreng ke dalam pinggannya dan juga pinggan Pak Ngah Deris. Mak Ngah Idah telah ke bengkel perusahaan makanan ringan sebagai menambah pendapatan keluarga. Laila pula telah ke sekolah. Hanya dia dan Pak Ngah Deris yang tinggal di rumah. Malam tadi pak ngahnya balik lambat kerana menghantar penumpang ke KLIA, sebab tulah pagi ni dia keluar membawa teksi agak lambat sedikit.
“Kau tak ke mana-mana hari ni Am?”
“Tak pak ngah. Nak rehat aje kat rumah. Lagipun esok kena bawak budak-budak ke seminar peperiksaan di Kuala Kubu Baru.”
“Bagaimana dengan Dayang Atikah? Dah lama pak ngah tak dengar khabar berita dia.”
“Dia elok aje pak ngah. Sihat.”
“Kalau senang-senang tu bawaklah dia ke rumah. Mak ngah kamu tu dah lama sangat nak berjumpa dengan bakal anak saudaranya tu.”
Amjad meneguk kopinya yang bersisa. Kata-kata pak ngah kedengaran jelas di telinganya.
Bakal anak saudara?
Aku belum apa-apa, diorang pulak yang lebih-lebih.
“Perkara yang baik jangan ditangguh-tangguhkan Am. Nanti menyesal. Pak ngah keluar dulu.”
Mengenangkan kembali kata-kata pak ngahnya, memang terasa kebenaran namun dia tak ingin tergopoh-gapah. Biarlah dia berkawan dulu dengan Dayang sebagai menggantikan detik yang telah hilang dulu. Bukannya dia tidak cinta, tidak sayang atau tidak kasih namun dia rasa perlu memberikan Dayang Atikah masa yang mencukupi untuk merasa stabil dalam perhubungan mereka. Dia tidak mahu dikatakan terlalu mendesak. Kini, biarlah dia seperti api dalam sekam. Cintanya sentiasa bersemarak membakar walaupun tidak dapat dilihat. Bila sampai ketikanya nanti barulah dia akan melamar gadis itu sebagai penyeri hidupnya.
Tiba-tiba dia merasa rindu dengan gelagat Dayang Atikah yang telah lama mencuri hatinya… menggetarkan jiwanya dan mengganggu tidur malamnya…


Engkau hadir mengusik kalbu, bawa bersama segunung rindu…membuat hidupku jadi tak tentu…

Dayang Atikah memandang pelajar yang sedang tekun menjawab soalan peperiksaan bulanan yang diberikannya sebentar tadi. Mata pelajaran Matematik sememangnya memerlukan tumpuan dan penelitian untuk mengelakkan sebarang kesilapan. Dia berjalan dari kiri ke kanan dan sambung pula dari belakang ke depan. Budak-budak ni bukannya boleh lepa sedikit, pasti mereka akan berbincang dan meniru.
Fikirannya pantas berputar mengingatkan kembali apa yang telah berlaku. Perhubungannya dengan Amjad kini normal seperti perhubungannya dengan teman-teman yang lain. Dia senang dengan layanan dan perhatian yang diberikan. Alangkah ruginya kerana tidak mengalami semua itu setahun yang lalu. Ternyata dia telah berbuat kesilapan besar dalam hidupnya. Bila difikirkan semula, dia pasrah kerana Tuhan telah menentukan perjalanan hidupnya berliku begitu.
Ada senyuman di bibirnya kala teringatkan Amjad. Sesungguhnya dia tidak dapat menipu dirinya bahawa ada perasaan yang lain sedang bersarang di hatinya. Adakah ini yang dinamakan cinta? Adakah ini yang balasan Tuhan kepadanya kerana berlaku tidak adil dulu? Namun sebagai perempuan, wajarlah baginya menunggu Amjad yang meluahkan perasaannya dahulu. Masih di ingat pesanan ibu agar jangan menjadi perigi yang menjadi timba. Maruah mesti di jaga. Biarlah dia menjadi perempuan Melayu terakhir… Dan kini dia berpuas hati dengan persahabatannya dengan Amjad. Mungkin masanya belum sesuai untuk mereka menjadi pasangan kekasih.
“Cikgu…”
Dayang Atikah terdengar namanya dipanggil. Dia berpaling.
“Nak kertas lagi cikgu!” Hasliza memandang ke arahnya. Amira dan Fadly juga turut mengangkat tangan.
Ya Allah! Aku berkhayal rupanya.
Dia segera memberikan kertas yang diminta. Dalam hatinya dia meminta maaf kerana terleka…


Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]