Friday, June 29, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 18



 
 





 
‘Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi Nabi Muhammad pesuruh Allah…’

Dayang Atikah memandang bilik Charlotta yang terasa agak berlainan. Kalau dulu dia perasan bilik itu dihiasi dengan gambar-gambar penyanyi kesayangannya iaitu Celine Dion tapi kini dia lihat semua itu sudah tidak ada lagi, sudah digantikan dengan gambar-gambar pemandangan dan bunga-bungaan yang lebih mendamaikan. Dia sebenarnya tertanya-tanya kenapa Charlotta memintanya menemani dia ke Pejabat Agama pagi ini. Gadis itu pula masih belum keluar dari bilik air. Apa yang ingin dibuatnya di sana pagi Sabtu begini?
Sisa mengantuknya masih ada kerana malam tadi dia tidur agak lambat kerana menyiapkan Rancangan Pengajaran Tahunan untuk sesi akan datang. Selepas itu, Amjad pula menghubunginya dan mereka bersembang sehingga pukul 3 pagi. Banyak yang dikatakan dan dibincangkan. Tidak jemu berbual dengan lelaki itu  kerana dia kaya dengan pengalaman dan berpengetahuan luas. Dayang Atikah tersenyum mengingatkan apa yang telah dilaluinya semalam. Manis dalam kenangannya. Entah mengapa dia begitu senang melayan bicara lelaki itu.
“Kenapa kau ni senyum sorang-sorang?” Sergahan Charlotta mengejutkannya.
“Aku tunggu kau la ni? Kau nak  ke Pejabat Agama tu buat apa?”
“Aku nak kau temankan aku.”
“Ye lah, temankan buat apa?”
“Aku tak naklah cakap sekarang, nanti tak surprise. Siaplah cepat. Aku janji dengan Syameer pukul 10.30 ni.”
“Kalau kau dah janji dengan Syameer aku nak buat apa lagi? Kau pergi ajelah dengan dia.”
“Tak boleh Dayang. Aku nak kau ada jugak kat sana. Sebagai kawan baik aku, aku nak kau bersama-sama aku nanti.”
“Oklah. Aku mandi dulu.”
Malas dia hendak bertekak dengan Charlotta. Selalunya gadis itu sentiasa menang. Sebab itulah dia mengalah. Kawan ketika gembira senang dicari, bukannya seperti Charlotta yang sudah dianggap saudara sendiri.
Charlotta lega kerana Dayang Atikah tidak dapat menghidu tujuannya ke Pejabat Agama. Dia segera mencapai baju kurung merah di dalam almari. Tudung merah jambu turut dipakainya. Dipandangnya sekilas ke arah cermin, melihat wajah barunya dia berharap inilah keputusan yang terbaik pernah dilakukan dalam hidupnya…
Dayang Atikah yang baru selesai mandi segera bersiap. Kurung biru dan tudung putih menjadi pilihannya. Bersiap ala kadar, dia segera mencari Charlotta kerana jam sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Melihat di balik tingkap, gadis Sarawak itu sudah menunggunya dalam kereta. Dayang Atikah segera turun ke bawah. Membuka pintu kereta, dia terpana seketika memandang Charlotta yang kelihatan ayu berbaju kurung dan bertudung. Cantiknya! Nak ke pejabat agama, mestilah sopan.
“Cantik kau hari ni, Chem.”
Charlotta hanya tersenyum dan dia memandu keretanya tenang.
Dayang Atikah malas hendak bertanya lagi. Dia melayan rasa mengantuknya. Tahu-tahu sudah sampai diperkarangan Pejabat Agama. Matanya terpisat-pisat namun dia nampak dengan jelas bayangan Amjad bersama-sama Syameer. Apa yang lelaki itu buat di sini?
“Dah lama tunggu? Maaflah, lambat sikit. Tuan puteri ni bersiram lama sangat.”
Merah pipi Dayang Atikah disindir oleh Charlotta di hadapan Syameer dan Amjad.
“Tak adalah. Syam baru aje sampai. Jom.”
Dayang Atikah memandang Amjad dan mengangkat keningnya kepada lelaki itu tanda soal? Apa yang berlaku? Sesungguhnya dia tidak tahu.
“Charlotta nak peluk Islam. Dia tak cakap dengan Dayang ke?”
Peluk Islam?
Dayang Atikah memandang Amjad yang berbisik kepadanya. Bagai tidak percaya akan apa yang telah didengarnya tadi. Namun lelaki itu mengangguk. Jika betul, syukur pada Tuhan kerana membukakan pintu hati temannya itu untuk mengikuti jalan lurus yang bercahaya ini..
“Kenapa kau tak bagitahu aku Chem?”
“Aku tak mahu membesarkan perkara ini Dayang. Bila aku dah betul-betul ready barulah kita umumkannya.”
“Alhamdulillah. Kau dah pilih namanya?”
“Chempaka Chan Abdullah.”
Indah namanya seindah peristiwa yang berlaku hari ini. Dayang Atikah tersenyum. Tangannya menggenggam erat tangan Charlotta yang terasa sejuk. Dalam hatinya tidak putus mengucapkan syukur kepada Yang Esa…
Saat mengucapkan dua kalimah syahadat, ada air mata yang mengalir di pipi Charlotta. Dayang Atikah turut sebak melihatkannya. Sesungguhnya itu adalah tangisan gembira yang terbit dari hati yang bersih dan ikhlas untuk berjuang dalam agama suci ini…
“Alhamdulillah, selesai juga akhirnya. Am, Dayang, jemputlah ke rumah dulu. Keluarga aku mengadakan kenduri doa selamat untuk meraikan orang baru.” Syameer mengajak bagi pihak Charlotta.
Bukan. Sekarang bukan lagi Charlotta, tetapi Chempaka.
“Saya nak ke bandar dulu sekejap, nak beli barang-barang yang belum ada. Dayang, kau pergi dengan  Am boleh?” Chempaka memandang Dayang Atikah, kemudian berpindah kepada Amjad.
Dayang Atikah hanya mengangguk. Mereka akhirnya perpisah ke laluan yang berbeza.
“Chem takde cakap dengan Dayang pun dia nak peluk Islam.”
“Memanglah. Am pun tak tahu tapi Syameer cakap dah lama dia belajar mendalami Islam. Dia selalu tengok Dayang sembahyang dan membuat amalan lain. Dia juga turut mendapat galakan dari Syameer. Sebab itulah dia tergerak nak convert. Agaknya dia sengaja nak Dayang surprise kot.”
“Dia dan Syameer tu ada apa-apa ke?”
“Ish Dayang ni. Tak baik berprasangka macam tu. Kalau ada apa-apa pun apa salahnya. Mereka sepadan, macam kita berdua ni.”
Dayang Atikah mencebik memandang Amjad. Ada-ada saja alasan lelaki itu untuk membahagiakannya…


Ikatan suci antara dua hati, perkongsian jiwa bakal terpatri doaku semoga kekal abadi.

            Lima bulan selepas memeluk Islam, Chempaka ada satu lagi kejutan untuk Dayang Atikah. Pada malam Sabtu mereka keluar makan di Pelabuhan. Dia dan Syameer, Dayang Atikah dan Amjad. Dayang Atikah sebenarnya merasa sangsi kerana nama Syameer sentiasa meniti di bibir Chempaka. Dan malam ini nampaknya kekeliruan itu semakin jelas.
            “Am, Dayang, sebenarnya aku dan Chempaka nak umumkan sesuatu. Kami akan berkahwin bulan hadapan.”  Syameer membuka bicara ketika selesai mengambil order.
            Amjad memandang Syameer dan Chempaka kemudian ke wajah Dayang Atikah pula. Dia memberikan senyuman dan segera menghulurkan tangan untuk bersalaman dan mengucapkan tahniah. Begitu juga dengan Dayang Atikah yang menghadiahkan kucupan terima kasih di pipi sahabatnya itu.
Dah sampai pun serunya mereka berkahwin.
Matanya memandang Amjad.
Agaknya bilakah masanya hari bahagia itu untuk kita pula?
“Nanti waktu majlis tu, korang jadi pengapit kami tau, ambil berkat biar cepat-cepat sikit jodoh korang ni.” Bagaikan tahu apa yang ada di fikiran Dayang Atikah, Chempaka bersuara.
Nampaknya selepas ini Amjad kena berusaha lebih sedikit untuk meluahkan perasaan cintanya kepada Dayang Atikah kerana dia tidak sanggup kehilangan gadis itu buat kali keduanya. Namun, bilakah masa itu?


Teman baru, menghulurkan salam perkenalan, bisakah ketawa dan menangis bersama?

“Nazirah, guru baru tu dah sampai ke?” Dayang Atikah bertanya bila didengarnya pejabat pengetua berbunyi seperti ada perbincangan yang di adakan.
“Ha..ah. Ada dalam bilik pengetua.”
“Siapa namanya?”
“Adrina Tania  dan Tengku Mukhlis. Kedua-duanya dari Perak.”
“Amboi glamernya nama. Hmm… borang yang saya minta tu dah siap dah?”
Dayang Atikah segera keluar dari pejabat apabila urusannya selesai. Tidak betah dia hendak berlama-lama di situ, nanti sakit telinganya mendengar sindiran ‘makcik-makcik’ yang menjadi wartawan sambilan di sekolah itu. Langkahnya di atur ke bilik guru. Masa ke dua nanti dia ada kelas di 4 Jujur. Selepas rehat pula dia diminta menggantikan Cikgu Kamarul di  5 Tekun.
Menulis sesuatu di buku RMnya, dia segera bersiap untuk ke 4 Jujur bila saja loceng berbunyi nyaring. Amjad yang beru keluar dari 4 Cemerlang memandang Dayang Atikah berjalan menuju ke 4 Jujur. Rindu sungguh dia kepada gadis itu. Kalau boleh ingin dijeritkan perasaan rindu itu agar semua orang tahu. Seksanya menanggung perasaan ini sendirian, dan dia sudah bertekad untuk memberitahu perasaan itu secepat mungkin.
“Am, kau ni kenapa?” Pertanyaan Cikgu Salmiah yang akan memasuki 4 Cemerlang mematikan angaunya. Dia hanya tersenyum menjawab pertanyaan itu. Langkah kaki membawanya ke kantin untuk bersarapan pagi…
Dayang Atikah kembali ke bilik guru dengan perasaan yang bengkal. Geram sungguh pada budak-budak yang tidak menyelesaikan tugasan yang diberinya semalam. Kalau boleh ingin dicubitnya seorang demi seorang namun dia tidak sanggup. Oleh itu dia hanya mendenda dengan menambahkan lagi bilangan latihan yang perlu dilakukan. Biar mereka rasakan. Chempaka yang bakal memasuki kelas itu hanya di sapa dengan senyuman.
“Hai, baru habis kelas?” Kedengaran satu suara yang agak asing di telinganya. Dia berpaling mencari. Bibirnya menguntumkan senyum.
“Adrina Tania?”
Gadis itu mengangguk. Tangan dihulur tanda perkenalan.
“Dayang Atikah. Panggil saja Dayang.”
“Kalau macam tu Dayang patut panggil saya Tania. Mengajar apa?”
“BM dan Sejarah. Tania?”
“Perdagangan dan Ekonomi. Selepas ni ada kelas di 4 Tekun.”
“Budak-budak ni jangan di beri muka sangat Tania, nanti dipijak-pijaknya kepala kita.”
Tania hanya mengangguk tanda bersetuju. Dia mencatitkan sesuatu di dalam bukunya. Dayang Atikah kembali ke mejanya yang hanya selang satu meja dari meja Tania. Dia senang dengan perkenalan gadis itu. Tidak sombong. Walaupun nampak seperti gadis moden, dia senang bergaul. Matanya menyoroti penampilan Tania yang anggun dan elegan. Dengan mekap yang sempurna dan baju kurung berwarna merah garang, dia kelihatan berkaliber. Namun hanya satu cacatnya, bila rambutnya dibiar lepas tanpa dilindungi dari tatapan bukan muhrimnya. Biarlah, ini negara demokrasi, masing-masing berhak membuat apa yang diingini.
Dan di sudut yang lain tanpa Dayang Atikah sedari, ada sepasang mata sedang menatap wajahnya dan mengawasi perilakunya dengan penuh minat sehingga mengundang cemburu pada mata yang sepasang lagi. Di dadanya timbul pelbagai persoalan.
Ini tak boleh jadi, nampaknya ada orang lain yang hendak bersaing dengan aku…


Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]