Assalamualaikum WBT & Salam Sejahtera
Surya merenung bintang-bintang
yang indah berkelipan di dada langit. Cahaya kemilaunya ada di mana-mana. Bulan
pula berselindung di balik awan. Malu barangkali hendak bertemankan bintang
berjuta. Memandang bintang-bintang adalah kegemaran Surya sejak remaja. Dan
kini walaupun umurnya sudah melewati 25 tahun, dia tidak jemu-jemu meneruskan
kegemarannya itu. Damai jiwanya begitu. Walaupun
bintang tidak mampu menyapa kesunyian malamnya, tetapi jiwanya bersinar
melihatkan bintik-bintik cahaya yang kelihatan bagai permata yang bergantungan
di satu hamparan yang luas terbentang.
Dalam keheningan matanya
berbicara pada bintang-bintang di langit, terlintas satu bayangan di tubir
mata. Ah… lelaki itu datang lagi. Tersenyum kepadanya. Puas di cuba
menyingkirkan ingatan itu tetapi makin dicuba makin kerap bayangan itu
mengganggunya. Rindukan Surya pada lelaki itu?
Kalaulah ada yang mampu menelah hatinya, pasti mereka akan tahu setakat mana
ingatan dan kerinduan yang telah tersimpan untuk lelaki yang baru dikenalinya 2
bulan yang lalu.
Hazlan.
Itulah nama lelaki yang Surya ingati. Tidak tahu apakah maknanya perasaan itu. Perkenalannya dengan Hazlan berlaku tanpa dirancang. Seorang teman memperkenalkan lelaki itu. Mereka bermula dengan baik, seperti jua teman-teman Surya yang lain.
Itulah nama lelaki yang Surya ingati. Tidak tahu apakah maknanya perasaan itu. Perkenalannya dengan Hazlan berlaku tanpa dirancang. Seorang teman memperkenalkan lelaki itu. Mereka bermula dengan baik, seperti jua teman-teman Surya yang lain.
Surya mengenangkan kembali
pertemuannya dengan Hazlan. Wahai bintang, bersimpatikah dikau denganku atas
apa yang aku lalui kini? Dia tahu masih terlalu awal untuknya menyimpan
perasaan kepada Hazlan tetapi itulah yang telah terjadi kepadanya. Siapa yang
boleh menyangkal kurniaan Tuhan seandainya di dianugerahkan dengan perasaan
itu? Kebetulan, kehadiran Hazlan
dalam hidupnya adalah pada ketika dia memerlukan seorang teman untuk berkongsi
perasaannya.
Surya baru saja hendak
menyembuhkan lukanya ketika bertemu Hazlan. Apabila Hazlan melayannya baik,
hatinya tersentak dengan perlakuan itu. Dia tahu langkahnya terlebih ke
hadapan, tetapi dia sayang seandainya teman sebaik Hazlan tidak mampu
dimilikinya.
Bagaimana? Bagaimana dia mahu
memujuk hatinya agar tidak terlalu mengikutkan perasaan? Padanya, memang
kehancuran cinta lalu masih terasa dan nyata menyedihkan. Tetapi dia tidak mahu
berterusan mengenangkan kepedihan itu. Dia mahu hidup dalam kebahagiaan.
Surya melapaskan keluhan.
Berulang-ulang agar lega dalam dadanya dari memikirkan perkara yang tiada
jawapan itu. Bersendirian, memang membuatkan dia punyai banyak masa untuk
merenung dan mengkaji apa yang terjadi. Tetapi tatkala bersendirian juga
jiwanya sering dihimpit kesedihan.
Lan, susah benarkah engkau hendak menerima kehadiranku ini?
Surya tahu kisah silam Hazlan.
Surya juga dapat merasai kelukaan Hazlan. Dan sudah tentulah Surya tahu
bagaimana perasaan Hazlan ketika dilukai dulu kerana Surya juga pernah
diperlakukan begitu. Memang tak mudah untuk kita
lupakan kisah lama tetapi kita kena cuba. Mungkin cakap senang tidak seperti
mana yang menanggungnya tetapi itulah hakikat hukum alam yang telah ditentukan.
Lan, Surya bukan hadir untuk menambah luka di hatimu.
Memang dia tidak punya harta atau rupa tetapi dia ada banyak kasih sayang dan cinta untuk dilimpahkan. Dia cuba menyelami perasaan hati lelaki itu. Nyata dia tidak faham…
Pinggir Esplanade tenang dan
damai pada petang itu. Surya memandang laut yang tidak bergelora. Jiwanya dan
laut tidak dapat dipisahkan. Baginya laut menyimpan sejuta rahsia dan khazanah
yang tidak mampu di ungkaikan. Pun begitu tenangnya laut tidak mampu
menghilangkan resah dan debar di dadanya tika itu.
“Awak tahu kenapa saya datang ke
sini?” Surya bersuara. Matanya memandang tepat ke arah Hazlan di sebelahnya.
“Rasanya tahu.” Ringkas
jawabnya. Perlahan.
Bagi Surya, masakan lelaki itu tidak
dapat menelah apa yang difikirkannya saat ini. Ini adalah pertemuan ke tiga
mereka. Minggu lepas Surya telah pun ke sana. Dari Kuala Lumpur sebenarnya. Dan
minggu yang sebelumnya itu adalah first date mereka. Kali
ini adalah pertemuan hati ke hati!
“Saya tahu apa yang awak rasa.”
Hazlan mengungkapkan kembali kata-katanya.
Surya mengumpul kata. Mencari
kekuatan untuk meluahkan perasaannya.
“Tapi kita masih baru Su. Banyak
yang belum awak tahu tentang saya.”
“Saya tahu, dan saya mahu awak
tahu bagaimana perasaan saya terhadap awak. Terus terang saya katakan bahawa
saya sukakan awak!” Akhirnya kata-kata terlepas juga dari bibirnya. Gadis itu
telah memulakan langkah pertamanya.
“Awak tak punya pilihan lain?”
Hazlan berkata setelah beberapa detik membiarkan masa sepi antara mereka.
“Saya hanya ada satu jalan untuk
sampai ke matlamat hidup saya. Kalau saya selesa dengan jalan tu, dan ianya
selamat untuk saya, saya akan laluinya. Kecualilah jika berlaku kemalangan atau
musibah bencana, saya terpaksalah berpatah balik dan meneroka laluan yang lain
pula.” Panjang lebar kata-kata Surya. Penuh simbolik. Dia yakin Hazlan dapat
mencari makna di sebalik kata-kata itu.
“Wah, dalam maknanya tu!” Hazlan
membalas bersulam ketawa. Mungkin dia tidak mahu mencipta suasana tegang di
antara mereka.
“Saya tak banyak pilihan Lan.
Awak pula mungkin banyak jalan yang boleh di lalui, boleh dipilih.” Sayu
bunyinya ungkapan itu, tetapi Surya tidak mahu menipu hatinya.
“Mungkin awak belum berjumpa
pilihan lain. Saya bukanlah pilihan yang terbaik atau yang terakhir, Su.”
“Saya tahu apa yang saya rasa.
Saya faham apa yang saya hendak. Saya tak kisah apa pandangan awak pada saya.
Saya lega kerana tidak perlu lagi berperang dengan perasaan sendiri.”
“Saya faham perasaan awak Su tapi
rasanya luka lama ni masih berbekas. Terlalu pedih untuk saya lupakan.”
“Lan, saya juga pernah rasa apa
yang awak lalui. Dan bukan juga mudah untuk saya lupakannya. Tapi saya tidak
mahu berterusan hidup dalam kenangan. Sebab itulah juga saya di sini. Saya mahu
awak tahu bahawa hadirnya saya di sini bukannya untuk menambah luka tetapi
untuk sama-sama merasainya indah dan gembiranya hidup ini.” Jujur kata-kata
Surya, lahir dari hatinya yang ikhlas.
“Entahlah Su. Saya buntu.”
“Mungkin juga saya yang terlalu
mendesak, Lan.”
Hazlan tersenyum. Ada kekeliruan
dalam senyumannya itu. Wajahnya keruh seperti sedang memikirkan sesuatu.
“Sekarang lega hati saya. Awak
tak perlu buat keputusan. Saya hanya mahu awak tahu. Kalau saya berterusan
melaluinya sendirian, saya bimbang saya tidak punyai kekuatan lagi. Apa-apa
yang bakal terjadi kepada kita, biarlah itu menjadi urusan Tuhan Yang Esa.”
Itulah kata-kata terakhir Surya. Ada nada kecewa dalam suaranya tetapi dia puas
kerana telah berterus-terang. Segala-galanya telah diluahkan.
Hazlan membuang pandangannya ke
laut. Mungkin dia buntu dengan tindakan nekad Surya yang terlalu
berterus-terang itu. Adakah ditemui ketenangannya di situ?
Surya memandang Hazlan. Tetapi
lelaki itu tidak membalas renungannya…
Surya memandang pelajar-pelajar
yang sedang tekun menjawab soalan. Langkahnya di atur perlahan agar tidak
mengganggu. Teringat kembali zaman remajanya ketika menduduki SPM dulu.
Pastinya dia tidak punya ruang untuk menoleh kiri dan kanan bimbang tidak cukup
waktu untuk menjawab soalan. Dia senyum sendiri. Kenangan
zaman persekolahan tidakkan begitu mudah untuk dilupakan.
Surya meneruskan langkahnya lagi
sehingga tiba di pelajar yang memakai kot biru gelap. Norazlan Abdul Rahman
namanya. Ah! Memandangkan nama itu pantas matanya terbayangkan Hazlan. Sekali lagi Surya tersenyum
sendiri. Nampaknya sudah teruk benar penyakit angau yang dihadapinya ini.
Tiba-tiba terfikir pula di benaknya apakah yang sedang lelaki itu lakukan sekarang?
Sudah 11 pagi. Tentunya dia sedang dalam tugasan.
Agaknya adakah dia mengingati
Surya seperti mana ingatan gadis itu padanya? Orang kata, seandainya tiba-tiba
kita teringatkan seseorang, itu bermakna dia juga sedang mengingati kita.
Agaknya tentu Hazlan juga sedang mengingati Surya.
Habis menikmati makan malam,
Surya beristirehat seketika di ruang tamunya sementara menunggu untuk
sembahyang Isyak. Televisyen ketika itu sedang menayangkan program JAUH DI
MATA. Program sempena sambutan Hari Raya itu dibuat khas pada mereka yang
terpaksa bertugas di pagi Aidilfitri. Agaknya ini rancangan ulangan.
Jika tidak masakan masih ada tayangannya sedangkan Hari Raya sudah dua minggu
meninggalkan seribu kenangan pada semua.
Ramai juga yang terpaksa melupakan
kemeriahan 1 Syawal kerana tuntutan tugas terutamanya anggota keselamatan yang
terpaksa manjaga keselamatan negara. Nasib baik Hazlan dapat
menyambut 1 Syawal di kampung bersama keluarganya. Malah sempat juga berkunjung
ke rumah Surya. Memang Surya sangat suka dan
gembira. Tak tahu bagaimana hendak gambarkan perasaannya. Tapi dia tidak tahu
pula bagaimana perasaan Hazlan ketika itu.
Mungkin Hazlan hanya biasa,
tambahan pula ketika itu ayah bondanya tiada di rumah menghadiri satu majlis perkahwinan.
Memang mulanya Surya ingin mengenalkan Hazlan kepada ibu bapanya, bahawa itulah
orang yang istimewa dalam hidupnya tetapi apa hendak buat…
Ibu dan ayah tiada di rumah
untuk menyaksikan detik itu…
Seandainya dapat diputarkan
masa, alangkah indahnya hidup ini.
Getus hati Surya. Mengapa pula
berfikir begitu? Iyalah… seandainya dia dapat kembali ke dua tahun lalu,
pastinya semua kisah duka dan luka hidupnya tidak akan terjadi. Dia akan sedaya
upaya menolak dan menghalang dirinya dari terjebak dengan cinta.
Tetapi bisakan dia melanggar
fitrah Tuhan yang menciptakan satu ruang dalam hati setiap insan untuk merasa
sayang disayangi? Kasih di kasihi? Cinta di cintai? Aduh… sukarnya terasa
mengatur perjalanan hidup ini. Sesetengahnya berlaku tanpa diduga. Sesetengah
yang dirancang pula tidak menjadi. Salah siapa? Di manakah silapnya percaturan
hidup ini?
Sebenarnya dalam hidup Surya,
dia dikelilingi oleh ramai lelaki. Adik-beradiknya hanya dia dan kakaknya
perempuan. Lima yang lain semuanya hero. Jadi tidak hairanlah jika dia lebih
senang bergaul dengan kaun berlawanan jenis dengannya itu. Dia lebih selesa
bercerita pada kawan lelakinya.
Dan kini dia masih selesa untuk
mencurahkan keluhannya pada lelaki. Tetapi mungkin dia lupa bahawa kaum Adam itu
jugalah yang membuatkan hidupnya menderita.
Surya cuma tersenyum bila
teringat suatu ketika dulu ibu pernah berkata bahawa terlalu banyak lelaki
dalam hidupnya.
Ibu, ibu.....
Manalah ibu tahu sebenarnya aku
hanya memerlukan seorang lelaki sahaja untuk bersamaku sepanjang hayat. Yang
lain-lain itu adalah teman-teman yang memberikan aku kekuatan. Ketika ini, Hazlan tersangatlah
sukar untuk Surya baca hatinya. Memang Surya akui, dia merindui lelaki itu. Dia
ingin hendak bertemu tetapi dia tidak mahu lagi menjaja cintanya. Mungkin betul
kata Hazlan dulu bahawa dia bukanlah pilihan yang terakhir. Mungkin juga Hazlan
tidak tertarik kepadanya. Tak ada chemistry kata orang!
Tak mengapalah. Mungkin Tuhan
mahu menduga hatinya sekali lagi. tetapi, kalaupun dia diuji begitu, dia masih
memanjatkan doa agar dibukakan hati Hazlan untuknya….
Tuhan, bilakah mampu ku rawat
kesakitan ini? Terlalu sakit rasanya menanggung luka yang tidak ada darah, yang
tidak nampak dilihat ini. Hazlan… tiap detik masa tetap
datang bertandang di hati Surya. Lelaki yang jauh di mata itu tetap dekat dalam
hatinya. Anehnya semakin Surya cuba untuk melupakan dia, semakin kerap pula dia
menerjah mindanya.
Barangkali inilah rasanya
apabila cinta tidak berbalas. Manakan ada bunyinya kalau Surya hanya bertepuk
sebelah tangan. Ibarat menunggu bulan jatuh ke riba… hanya kuasa Tuhan yang
mampu menjadikannya nyata.
“Tuhan, Engkau titipkanlah ke
dalam hatinya sedikit rasa kasih untukku. Engkau berikanlah petunjuk untukku
seandainya dia bukanlah pasanganku. Dan pintaku Engkau kirimkanlah secebis
perasaan sabar untukku agar aku tabah menunggunya. Lelaki, tidakkah engkau
terasa sesuatu dengan apa yang aku lakukan ini? Tidak tersentuhkah hatimu
dengan apa yang aku curahkan ini? Terlalu keraskan jiwamu untuk aku ketuk
dengan kasihku?"
Surya menutup suis lampu
tidurnya. Dia ingin lena, mana tahu dalam mimpinya nanti dia dapat bertemu
dengan lelaki yang dirinduinya itu…
Tuhan, makbulkanlah doa yang
satu ini…
by me @ Cameron Highlands, 2005
"Ya Allah Ya Tuhanku, Engkau lapangkanlah dadaku, tenangkanlah fikiranku dan permudahkanlah segala urusanku.... Amin"
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]