Zainab
memandang sekeliling. Penuh dengan kenangannya bersama arwah Daus. Walaupun
sudah berapa ketika, tetapi dia masih tidak mampu melenyapkan segala bayangan
indah bersama suaminya. Masuk ke dapur terbayang Daus sedang mengacaunya
memasak. Berada di ruang tamu terbayang Daus yang suka berbaring di ribanya
ketika menonton televisyen. Berada di laman teringat pula bicara harapan yang
sering diperkatakan mereka. Apa yang ingin di buat 5 atau 10 tahun nanti… Semua
itu sudah tiada kini. Tinggallah dia dalam lautan kenangan yang diharapkan akan
sentiasa menghembuskan angin bahagia.
Sesungguhnya
demi Allah dia teramat merindui arwah Daus. Pemergian Daus ketika umur
perkahwinan mereka belum pun menjangkau setahun, terasa begitu menyiksakan.
Daus tidak sempat mengazan dan mengqamatkan anak-anak, dan anak-anak pula
menjadi yatim sesudah tangisan pertama di dunia. Daus tidak sempat bersamanya
mencurah kasih buat mereka. Dan seperti apa yang dibicarakan mereka sebelum
kemalangan itu, nyata Daus memang tidak sempat bersamanya menyambut kehadiran
insan istimewa.
Di
dalam bilik, masih juga dibelenggu dengan bayangan wajah Daus. Suami yang suka
mengusik, yang meneman tidur malamnya, yang sentiasa berkongsi suka dukanya…
Allahuakbar! Di dalam sini ternyata lebih hebat dugaannya. Di satu sudut terbayang
Daus mengimamkan sembahyang mereka bersama. Setiap kali selepas bersembahyang,
Daus sentiasa memberikan kata-kata nasihat buatnya.Bagaimana menjadi isteri
solehah, bagaimana menjadi ibu yang sempurna…malah segala-galanya. Kadang-kadang
dengan tutur kata Daus bisa membuat Zainab mengalirkan air mata. Ahhhh
kenangan. Mengapa engkau hadir di saat aku mesti berdiri setenguh cengal di
hutan?
Zainab
mencapai baju melayu putih kepunyaan Daus. Baju itu masih ada bau Daus, bau
suami yang akan dirindui selamanya.
Seingat Zainab, Daus memang suka memakai baju melayu itu di akhir-akhir
hayatnya. Bukan tidak ada baju yang lain, tetapi baju yang putih, suci bersih
itu jugalah yang dipakainya. Rupa-rupanya itulah satu tinggalan untuk Zainab
ketika rindunya. Ternyata Daus bagaikan sudah tahu kepulangannya kepada Sang
Pencipta! Zainab memeluk baju melayu itu, terada Daus ada di sampingnya!
Zainab
mengurut dada. Dia menarik nafas sedalamnya. Sekarang, dengan kerinduan yang
hangat membara, dia tidak boleh terus hanyut, anak-anak memerlukannya. Dia
perlu kuat. Dia perlu gagah mengharungi hidup masa hadapan yang belum tentu
bagaimana cabarannya.
Semoga
Allah ada bersamanya di saat susah dan senang! Allahuakbar…
*****
Hari
ini setelah bercuti lebih kurang tiga bulan, Zainab akan masuk ke pejabat
semula. Alhamdulillah dia dapat
menyesuaikan diri. Azura dan Kamal tersenyum menyambutnya. Jauhari pula ada
urusan di luar.
Zainab
memerhati pejabatnya. Bersih. Ada kuntuman bunga segar di mejanya. Pandai betul
budak Zura ni. Segala dokumennya tersusun kemas dan keadaannya masih sama
seperti dulu. Sedang dia meneliti satu
fail, telefonnya berbunyi…
‘Assalamualaikum
Nab. Macam mana?’
Cek
Mat rupanya.
‘Waalaikumussalam
Cek Mat. Alhamdulillah…semuanya ok.’
‘Awak
selesa ke Nab? Ada perlukan apa-apa?’
‘Tak
ada apa-apa Cek Mat…saya ok saja. Lagipun bilik ni saya yang punya kan… He he
he.’
Zainab
tahu Cek Mat cuba memberi sokongan kepadanya. Tetapi demi Allah dia sudah ok
dan boleh bekerja seperti biasa semula.
‘Saya
buka apa Nab, kalau awak belum sedia lagi nak memulakan tugas, saya boleh
approvekan cuti.’
‘Eh…jangan
Cek Mat, jangan. Cukuplah saya bercuti. Kang naik lemak pulak saya.’
‘Kalau
macam tu saya ucapkan selamat kembali bekerja la ye Nab….’
Ish
ish ish Cek Mat ni…terlalu baik pada staf-stafnya. Zainab sebenarnya segan
mendapat perhatian sebegitu. Dia risau nanti ada yang berkata apa-apa… Yelah,
mulut orang ni bukannya boleh ditutup. Yang elok pun boleh dikatakan
bermacam-macam.
Memandang
foto anak-anak dan arwah suami, dia rindu, terlalu rindu tetapi dia tidak mahu
terus dibelenggu kenangan. Dia mahu menjadikan segala yang telah berlaku
sebagai pemangkin untuk dia terus maju. Dia pun yakin bahawa Daus pun tak ingin
melihat dia berterusan menderita. Dengan kasih sayang dan cinta yang
ditinggalkan Daus, dia ingin membina semula hidupnya. InsyaAllah…. Frame gambar
perkahwinan mereka dipandang penuh makna.
*****
Zainab
sungguh teruja melihat Qadeer dan Qalish sudah mula merangkak. Subhanallah…
Petang semalam pembantu rumahnya memberitahu. Nampaknya selepas ini
anak-anaknya akan bergerak lebih jauh lagi. Dia sentiasa berpesan agar Kak Ija
sentiasa memerhatikan keselamatan anak-anaknya. Emaknya pada mula membantah
hasratnya ingin mengambil pembantu. Maklumlah, nenek mana yang tidak sayangkan
cucunya.. tetapi Zainab tidak mahu menyusahkan, dia mahu berdikari menjaga
anak-anaknya. Dia tidak mahu menghantar ke pusat jagaan. Kesudian Kak Ija
membantunya amat dihargai. Kak Ija sebenarnya seorang janda yang kematian
suami. Tak sempat memiliki cahaya mata. Dia berkahwin agak lewat, sudah hampir
46 tahun usianya. Jadi apabila dipelawa, terus saja dia bersetuju. Dan Kak Ija
pun sebenarnya dikenalkan oleh Cek Mat, sekampung dengan emaknya juga. Dan kini
Kak Ija bagai pengganti emaknya… Sekurang-kurangnya Zainab ada tempat untuk
bercerita.
Menguruskan
sepasang anak agak sukar juga sebenarnya jika tidak mempunyai pembantu. Zainab
pasti dia tidak mampu menguruskan Qadeer dan Qalish dengan sempurna. Kalau dulu
dia sudah berjanji dengan arwah Daus untuk sama-sama menjaga dan membimbing
anak-anak mereka, tetapi kuasa Allah mengatasi segalanya. Zainab telah redha
dengan apa yang berlaku. Dengan amanah yang ditinggalkan Daus untuknya dia akan
terus kuat, sabar dan tabah mengharungi segalanya. Zainab mengagah
anak-anaknya. Terpamer senyuman suami yang sangat dirindui…
Senyuman
Qalish sangat mirip dengan senyuman Daus. Qadeer pula mewarisi mata dan hidungnya.
Rupa-rupanya walaupun Allah telah mengambil Daus, tetapi dalam tak sedar Dia
meninggalkan Daus di dalam anak-anaknya! Subhanallah!
*****
Zainab
dan anak-anaknya kembali ke Perkuburan Taman Jingga untuk kesekian kalinya.
Dengan ditemani Kak Ija, dia hadir sekali lagi melepaskan rindunya pada yang
telah pergi. Dia mahu mendekatkan Qadeer dan Qalish dengan pusara arwah ayah
mereka supaya nanti mereka sedar yang mereka punya ayah yang terlalu menyayangi
mereka walaupun dia telah tiada.
Dia
satu sudut, Zainab perasan ada pengkebumian yang sedang berlaku. Dia segera
membacakan Al-Fatihah. Kubur arwah Daus dibersihkan, segala rumput-rumput yang
ada dicabut. Walaupun telah hampir dua tahun, Qadeer dan Qalish pun sudah boleh
berjalan, persemadian abadi suaminya masih terjaga rapi. Ada hikmahnya juga
arwah Daus dikebumikan di Taman Jingga, sekurang-kurangnya Zainab boleh
mengunjunginya sentiasa. Dan apabila dia menjiruskan air dingin ke pusara Daus,
dia akan kembali lagi… Itu doanya.
*****
Selesai
sahaja dia di situ, segera Qalish dikendong dan Kak Ija mendukung Qadeer.
‘Siapa
yang meninggal agaknya Kak Ija? Ramai betul yang mengiring jenazahnya.’ Zainab
bertanya kepada Kak Ija tanpa memandang.
‘Orang
kenamaan kot Nab, akak tengok maca orang kaya-kaya aja.’ Kak Ija menjawab.
‘Pandai
la Kak Ija ni, entah-entah tu orang kuat agama ke, mana kita tahu.’ Zainab
membalas sambil tersenyum. Qalish dalam dukungan yang kegelisahan ditepuknya
perlahan.
Anak daranya itu mahu berjalan sendiri, tak
mahu di dukung. Masakan boleh, di kawasan yang penuh batu bata dan tidak rata,
mudah saja anaknya itu tercedera. Berbanding Qadeer, Qalish ternyata lebih
bersifat keras, apa saja mahunya tidak ditunaikan, sekejap aje anak mungil itu
berteriak. Jadi, teriakannya akhirnya pecah juga di kawasan perkuburan
tersebut. Zainab berjalan cepat-cepat. Dia mahu segera sampai di kereta. Qalish
sudah menggelepar di atas dukungannya.
‘Kenapa
ni Nab?’ Kedengaran satu suara di belakangnya. Kak Ija yang sudah hampir
membuka pintu kereta mendongakkan kepala. Qadeer di dukungannya telah terlena.
Sebelah tangannya memegang payung.
‘Eh,
Cek Mat buat apa di sini?’ Zainab dalam keterkejutan sempat lagi memberikan
senyuman kepada bosnya yang entah dari mana datang. Tiba-tiba dia merasa segan
memikirkan Cek Mat melihat perangai Qalish tadi.
‘Boleh
saya pegang Qalish Nab?’ Cek Mat tiba-tiba menghulurkan tangan untuk mengambil
Qalish dari dukungan Zainab. Dia memberikan isyarat supaya Kak Ija masuk ke
dalam kereta dulu.
‘Saya
menziarah arwah ayah kawan saya tu Nab, meninggal malam tadi.’ Cek Mat bagaikan
tahu apa yang bersarang di kepalanya.
‘Mmmmm
Qalish nak jalan ya…meh jalan dengan uncle meh.’ Qalish diturunkan, tangan
kecilnya digenggam dan terkedek-kedek akhirnya Qalish melangkah. Suka la tu…
Zainab
sebenarnya tersangatlah segan dengan apa yang dilakukan oleh Cek Mat. Di
hatinya cukup tersentuh dengan segala layanan baik yang Cek Mat berikan
terhadap anak-anaknya. Bukan sahaja Qalish, tetapi Qadeer juga menumpang kasih
seorang ayah daripadanya.
‘Cek
Mat tu baik kan Nab.’ Tiba-tiba Kak Ija berkata dari dalam kereta. Dia
tersenyum kepada Zainab.
Zainab
memandang Qalish yang seronok tertawa. Dia sejujurnya mengharapkan arwah Daus
ada bersamanya sekarang…
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]