‘Apa?
Ya… ya… saya balik sekarang.’ Zainab dilanda debar saat menerima panggilan dari
Kak Ija yang menyatakan Qalish terjatuh dari kerusi.
‘Kenapa
ni kak?’ Azura yang kebetulan lalu di hadapannya bertanya.
‘Akak
kena balik sekarang ni Zura. Boss ada tak?’
“Boss
keluar tadi, akak kenapa?’
‘Qalish,
jatuh dari kerusi. Akak nak balik sekarang ni. Nanti Zura tolong maklumkan pada
boss ya. Akak balik dulu.’
Azura
memandang Zainab yang telah berlalu pergi. Langkahnya pantas. Sudah tentu dia
kerisauan menerima perkhabaran itu.
Berkali-kali Azura berfikir adakah dia mampu hadapi seandainya dia di tempat
Zainab. Dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam hidup, wanita itu terlalu
tabah.
Ketika
Zainab sampai di rumah, Qalish sudah berhenti menangis, hanya esakannya
kedengaran. Qadeer pula berwajah suram bagaikan mengerti kesakitan di alami
Qalish. Zainab mengambil keputusan untuk membawa Qalish ke hospital. Dia
bimbang seandainya ada kecederaan dalaman. Walaupun kerusi di dapur tidaklah
setinggi mana tetapi dia tetap risau. Qadeer dan Kak Ija dibawanya bersama.
Sedang dia dalam perjalanan, Che Mat menelefon.
‘Macam
mana Qalish, Nab?’ Seperti yang dimaklumi Zainab, Che Mat bertanya tentang
Qalish. Ada nada risau dalam suaranya.
‘Saya
on the way ke hospital ni Che Mat, nak periksa kalau ada apa-apa. Harapnya
Qalish baik-baik saja.’ Zainab menjawab sambil matanya mengawasi keadaan di jalan
raya. Memandang sekilas melalui cermin pandang belakang, dia melihat Qalish
sudah tertidur di pangkuan Kak Ija manakala Qadeer ralit membelek buku
bacaannya.
‘Nanti
apa-apa bagitahu saya ya Nab.’
‘Ha
ah. Saya tengah memandu ni Che Mat.’
‘Haaaa
ye lah. Hati-hati bawa kereta tu.’
Begitulah
Che Mat, sangat bertanggungjawab dengan kebajikan kakitangannya. Sedikitpun dia
tidak pernah meminggirkan Zainab sejak dulu lagi.
Zainab
menarik nafas lega setelah Doktor Jannah memaklumkan tiada apa-apa yang berlaku
pada Qalish. Cuma bahagian lututnya sedikit lebam. Qalish nampaknya tidak
terkesan langsung dengan kemalangan yang menimpa. Anak lasak la katakan.
Lasaknya sehingga mengalahkan Qadeer. Lantas ubun-ubun kedua anaknya dicium
lama. Senyumnya diukir pada Kak Ija yang setia menemani. Syukur pada Tuhan kerana
merahmati mereka.
Sampai
di rumah, Zainab melihat kereta Che Mat terparkir di luar pagar. Jam sudah
menunjukkan pukul 6.30 petang. Tentu Che Mat ke rumahnya setelah habis kerja.
‘Dah
lama Che Mat sampai?’ Zainab menegur sambil membuka pintu untuk Kak Ija yang menggendong
Qadeer. Qalish yang hampir terlelap menonong ke arah Che Mat yang berdiri di
tepi keretanya. Pantas memeluk lelaki itu.
‘Baru
aje Nab, kebetulan ada urusan berdekatan sini, tu saya singgah.’
Zainab
mengisyaratkan Che Mat untuk masuk. Che Mat pula pantas ke kerusi batu di laman
mini rumahnya. Qalish yang melentok dalam pelukannya dibawa bersama. Manja
sungguh Qalish dengan Che Mat.
‘Qalish
jatuh ya?’ Soal Che Mat setelah mendudukkan Qalish di atas kerusi di
sebelahnya.
‘Qalish
panjat kerusi.’
‘Kenapa
tak suruh Kak Ija angkatkan.’
‘Qalish
lapar la ayah. Qalish nak makan.’
Qulp!
Seperti ada sesuatu tersekat di kerongkongnya… Inilah kali pertama Qalish
memanggilnya dengan panggilan itu. Sungguh lancar kata-katanya. Che Mat terdiam
seketika.
Zainab
yang sedang mengeluarkan barang dari kereta memandang Qalish dengan riak mata
yang terbuntang luas. Ish Qalish ni…
‘Kenapa
dengan Qalish ni, umi tak ajar macam tu kan?’
‘Takpelah
Nab, saya tak ada masalah pun dengan panggilan tu.’
Che
Mat sebenarnya menahan perasaan di dalam hati. Kalau dulu Qasseh memanggil
Zainab dengan panggilan ‘mama’, kali ini Qalish pula yang memanggilnya ayah.
Apakah ini suatu tanda? Apakah ini suatu rahsia Allah yang semakin terungkap
misterinya?
*****
Che
Mat termenung di meja kerja. Peristiwa beberapa hari lepas masih berlegar di
minda. Panggilan ayah daripada Qalish adalah sesuatu yang tak pernah dijangka. Debarnya
sama seperti dia mendengar Qasseh memanggil Zainab ‘mama’ suatu masa dulu. Dia
sebenarnya merasakan sesuatu hubungan yang istimewa terjalin antaranya dan
Qalish sejak dulu lagi. Berbanding Qadeer, Qalish memang rapat dengannya. Dalam
segala perbuatan dia bagaikan seorang ayah yang sedang mengajar anaknya.
Peristiwa itu jugalah yang membuatkan dia berfikir berulang kali tentang
saranan ibunya.
Tetapi
bagaimana dia harus memulakan kata? Setiap kali berhadapan dengan Zainab
mulutnya bagaikan terkunci. Riak tenang wajah wanita itu bagaikan tiada apa
yang berlaku. Adakah Zainab tidak berasa apa-apa? Bagaimana pula kalau dia
hanya berharap sendiri? Bagaimana pula dengan penerimaan Qaish dan Qayyum?
Qasseh rasanya tiada masalah untuk menerima Zainab sebagai mama baru mereka.
Emak apatah lagi, memang setuju sangat-sangat.
Pada
umur begini, cinta bukan masalah utama. Che Mat hanya berfikir tentang
anak-anaknya dan juga anak-anak Zainab. Menzahirkan cintanya terhadap Zainab
ibarat satu tuah, tetapi yang dia mahu adalah melimpahkan kasih kepada
kelima-lima mereka, termasuklah kepada Zainab. Dia yakin mampu membahagiakan
mereka semua. Soalnya sekarang bagaimana dia mahu menyatakan perkara itu kepada
Zainab?
Seperti
mana yang dirasai Che Mat, itulah juga yang dirasai oleh Zainab. Betapa lancar
Qalish menyebut perkataan ‘ayah’ bagaikan halilintar yang menyambar jiwanya.
Sejak pandai berkata-kata, Qalish belum pernah menuturkannya kepada sesiapa.
Zainab faham kalau anak itu mendambakan kasih seorang bapa tetapi dia tidak
menyangka kepada Che Mat anaknya berkata. Sehingga saat ini dia teramat segan
untuk bertentang mata dengan Che Mat. Bukan apa, bimbang di salah sangka dia
yang mengajar Qalish sedemikian rupa.
Walaupun
di satu masa dulu Qasseh pernah memanggilnya mama, dia tidak mahu Che Mat tahu.
Itu adalah rahsianya dengan Qasseh. Kadang-kadang terasa amat ajaib sungguh
percaturan Allah Yang Esa. Dengan kekurangan yang dianugerahkan kepadanya dan
Che Mat, mereka sebenarnya saling melengkapi satu sama lain. Seperti juga kata
Mak Mah dan Kak Aisyah, mungkin memang suratan hidupnya untuk menghabiskan sisa
kehidupan bersama lelaki itu. Zainab meraut muka, melepaskan nafas yang terasa
tersekat di dada… Di ketika ini dia benar-benar mengharapkan Daus ada di sisi!
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]