Cek
Mat termenung di meja makan. Sarapan pagi yang disediakan emaknya tidak
dijamah. Hari ini dia bercuti kecemasan. Ketiga-tiga anaknya demam. Ini yang
susahnya, jika seorang demam, pasti yang lain pun akan turut demam. Aduhhhh,
pening juga bila Cek Mat fikirkan. Dia tidak sanggup meninggalkan anak-anak
kepada emaknya yang juga sudah tua. Lagipun kalau demam boleh tahan jugak
perangai mereka tu.
Fikirannya
tiba-tiba teringatkan Zainab. Agaknya bagaimana kalau Qalish dan Qadeer demam?
Adakah sama seperti anak-anaknya? Bagaimana pula Zainab menanganinya? Cek Mat
tersenyum memikirkan Zainab. Wanita yang dikenali sudah hampir 15 tahun,
daripada mula-mula bekerja di Mesra Iklan sehinggalah kini sudah beranak dua.
Sehingga sekarang dia masih menyimpan perasaan terhadap Zainab, cuma wanita itu
saja yang tidak tahu. Dia ingin sekali membahagiakan Zainab dan anak-anak. Dia
ingin menumpahkan kasih ayah kepada anak-anak Zainab. Dia mahu anak-anaknya
merasa kasih sayang seorang ibu dari Zainab. Tetapi dia buntu, adalah hasratnya
itu bakal menjadi nyata?
Tiba-tiba
telefon bimbitnya berbunyi. Tertera nama Zainab di skrin.
‘Assalamualaikum
Cek Mat.’
‘Waalaikumussalam.
Kenapa Nab?’
‘Cek
Mat tak masuk pejabat ke hari ni?’
‘Saya
off Nab, anak-anak demam.’
‘Ooooo.
Kalau macam tu boleh saya ke rumah Cek Mat? Ada akaun yang perlu Cek Mat sign.
Urgent.’
‘Tak
apalah Nab, nanti sekejap lagi saya datang ke pejabat.’
‘Eh,
takpelah Cek Mat, sambil-sambil saya ke rumah Cek Mat tu, boleh saya tengok
anak-anak.’
‘Tak
menyusahkan Nab ke?’
‘Dengan
kebenaran bos, saya ke sana sekarang.’
Cek
Mat hanya tersenyum. Baru saja dia berfikir tentang wanita itu, tiba-tiba pula
dia menelefon. Macam tau-tau aje. Mmmm tidak semena-mena, nasi goreng yang
dimasak oleh ibunya terasa sedap pula. Pantas dia mencedoknya ke pinggan.
‘Assalamualaikum.’
Zainab yang baru tiba segera memberi salam sebaik berdepan pintu masuk ke rumah
Cek Mat.
‘Waalaikumussalam.
Hah Nab, masuklah.’ Mak Mah menjemputnya masuk. Di tangannya ada senduk, sedang
memasak barangkali.
‘Jemputlah
duduk Nab, Mak Mah tengah masak ni.’ Mak Mah kalut ke dapur. Zainab
menbuntutinya sama. Zainab tidak kekok di rumah itu. Kecuali bilik Cek Mat, dia
tidak segan meneroka ke bilik yang ada.
‘Cek
Mat mana Mak Mah?’ Zainab bertanya. Dia menjenguk Mak Mah yang sedang menggulai
ikan sepat masin dan nenas, semerbak baunya. Dokumen yang perlu ditandatangan
diletakkan di meja makan. Dia pantas menolong mana yang patut.
‘Entah,
katanya tadi hendak mandi. Eh tak payahla susah-susah Nab, kang kotor pulak
bajunya. Nab duduklah, makcik boleh buat.’
‘Takpelah
Mak Mah, dah lama saya tak memasak. Gulai Mak Mah ni memang menggoda sungguh.
Saya nak buat sambal belacan la Mak Mah, boleh?’
Mak
Mah hanya tersenyum. Dia tidak mampu menolak keinginan Zainab. Wanita itu
memang ringan tulang. Sesekali ke rumahnya, selalu di dapur inilah tempatnya.
‘Hai
mak, ada pembantu nampaknya hari ni.’ Cek Mat yang segak berbaju melayu berkain
pelekat menyapa dari belakang. Zainab yang terkejut disergah begitu, berpaling.
Sedikit tergamam dengan penampilan bosnya yang ternyata berbeza.
Sambal
belacan yang siap ditumbuk dibawa ke meja. Dia membelek fail yang dibawa.
‘Sign
kat sini Cek Mat.’ Zainab menghulurkan dokumen kepada Cek Mat. Dia takut kalau
berlama-lama di situ, hal yang hendak diselesaikan lupa pulak.
‘Nanti
makan tengah hari di sini ya Nab?’ Cek Mat mengajak seusai menandatangan. Dia
tahu, Zainab bukan orang lain dengan keluargaya.
‘Sebab
tu la saya tumbuk sambal belacan ni Cek Mat. Takpe ya Mak Mah, saya makan kat
sini?’ Zainab berkata dengan nada berseloroh.
‘Boleh
sangat la Nab, berselera sikit kalau makan ramai-ramai ni.’
‘Bos…saya
masuk tengok budak-budak sekejap ya.’
Cek
Mat hanya mengangguk.
‘Mat,
kalau kau tunggu lama lagi, rugi!’ Mak Mah berbisik pada Cek Mat sebaik Zainab
berlalu ke bilik cucu-cucunya.
‘Ish
mak ni, rugi apa pulak?’ Cek Mat berpura-pura tak faham.
‘Kalau
kau segan, biar mak cakapkan.’
‘Jangan
malukan Mat mak.’
‘Kalau
macam tu, bertindaklah sekarang.’ Amboi mak, macam polis pencen aje. Sudah
beberapa kali emaknya menggesa agar ditanya pada Zainab. Bukan dia tidak mahu,
malah sejak kebelakangan ini dia menahan rasa setiap kali berdepan dengan
Zainab. InsyaAllah di saat yang sesuai nanti dia akan meluahkan perasaannya.
Zainab
melihat Qasseh yang agak terganggu tidurnya. Dia menepuk perlahan belakang anak
gadis itu yang sedang batuk.
‘Mama…mama!’
Tiba-tiba Qasseh bersuara. Mengigau agaknya. Tangannya di awang-awangan, bagai
ingin menggapai sesuatu. Zainab pantas mengejutkannya.
‘Mama,
jangan tinggalkan Qasseh lagi!’ Qasseh tiba-tiba memeluknya erat. Mama?
‘Syhhh……’
Zainab menenangkan Qasseh yang sedang menangis. Dia sebak. Mungkin Qasseh terlalu
merindukan belaian seorang ibu sehingga tersasul memanggilnya mama. Dia
teringatkan anak-anak dirumah.
Cek
Mat yang sedang berselindung di balik daun pintu hanya menyeka air mata yang
berlinang di pipinya. Dia kebetulan ingin mengajak Zainab makan. Dia terdengar
kata-kata Qasseh yang memanggil Zainab dengan panggilan keramat MAMA.
Berbanding abang-abang, Qasseh yang paling manja, saban masa bertanya di mana
mamanya. Sejak dilahirkan sehingga sekarang, anak-anak tidak berpeluang
memanggil mama terhadap ibu kandung yang terlebih dahulu dijemput mengadap
Ilahi. Dan kini apabila Qasseh menyebut mama kepada Zainab, Cek Mat tahu sudah
tiba masanya dia menyunting Zainab sebagai permaisuri hidupnya, sebagai mama
kepada anak-anaknya. Pasti!
*****
‘Apa?
Mak Mah masuk hospital?’ Mak Jah agak terkejut dengan berita yang baru
dikhabarkan Zainab melalui telefon.
‘Ha
ah mak. Che Mat yang bagitahu Nab tadi. Tengoklah petang nanti Nab pergi
melawat kat hospital.’ Oleh kerana perhubungan akrab keluarganya dan keluarga
Che Mat, Zainab bertanggungjawab untuk memaklumkan perkara itu.
‘Apa
sakitnya Nab?’
‘Entah
la mak, katanya jatuh dalam bilik air, tak sedarkan diri.’
‘Kalau
macam tu Nab kena pergi melawat Mak Mah tu, mak ni tak tahu dapat ke KL atau
tidak, ayah tu sibuk memanjang kebelakangan ni.’
‘Kenapa
pula mak?’
‘Tauke
lembu la katakan. Mak nak ke mana-mana pun susah. Hish!’
‘Takpelah
mak, nanti Nab sampaikan salam mak pada Che Mat dan Mak Mah. Apa-apa nanti Nab
maklumkan pada mak ya.’
‘Haa
ye lah. Cucu-cucu mak macam mana?’
‘Macam
mana macam mana mak. Pening kepala Nab ni, tak terkejar rasanya. Sorang ke
kanan sorang ke kiri. Boleh kurus dibuatnya.’
‘Budak-budak
begitulah Nab, masa kau kecil dulu pun macam itulah mak jaga.’
‘He
he he, tapi kan mak…’
‘Tapi
apa Nab?’
‘Mereka
tu betul-betul jelmaan Abang Daus… Si Qalish tu kalau senyum sebiji macam
abinya.’ Tersenyum-senyum Zainab berbicara.
‘Mmmm
sabar la Nab. Banyak-banyakkan Al-Fatihah padanya.’
‘InsyaAllah
mak. Nab takkan lupa tu.’
Seboleh-bolehnya
Zainab ingin memeluk ibunya, melampiaskan kerinduan yang tak pernah hilang
terhadap arwah suaminya tetapi apakan daya dia hanya mampu menjeruk rasa. Dia
tersenyum dalam kepahitan. Semoga Allah sampaikan salam rindunya buat Daus di
sana…
Seperti
yang dibicarakan dengan emaknya, pada petang itu Zainab pergi ke hospital.
Anak-anak ditinggalkan di rumah bersama Kak Ija. Memandangkan dia ke hospital,
risau pula jika anak-anak membuat perangai.
‘Assalamualaikum
Che Mat…’ Zainab memberi salam di saat pintu terkuak. Di dalam bilik itu hanya
ada Che Mat dan ibunya.
‘Eh
Nab, waalaikumussalam. Masuk Nab…’ Che Mat tersenyum menyambutnya.
‘Anak-anak
mana Che Mat?’ Zainab bertanya, tidak kelihatan askar-askar Che Mat di situ.
‘Anak-anak
ada tadi, entah ke mana perginya.’
‘Nanti
malam macam mana? Mereka tidur di sini juga?’
‘Terpaksalah
Nab. Di rumah tiada sesiapa. Emak pun perlukan saya di sini.’
Walaupun
bilik itu kelas VIP tapi Zainab tahu budak-budak tak akan suka berada di sana.
‘Kalau
Che Mat tak kisah, boleh tinggalkan di rumah saya. Boleh temankan Qalish dengan
Qadeer.’
‘Tak
mengapa Nab, menyusahkan awak aje.’
‘Takde
susah apanya Che Mat. Kesian budak-budak kalau tidur di sini. Lagipun hujung
minggu, boleh bersantai di rumah saya. Mesti mereka suka.’
‘Segan
pulak saya.’
‘Dulu
masa saya susah, Che Mat banyak menolong… tak termampu saya membalasnya.’
‘Naabb…
dah lama sampai?’ Mak Mah tersedar dari tidurnya menyapa Zainab yang sedang
berdiri di sisi katil. Lemah suaranya. Barangkali masih ada kesan ubat.
‘Nab
mengganggu Mak Mah ya?’ Zainab menyalami Mak Mah. Sekudus senyuman dipamerkan.
Che
Mat membetulkan duduk emaknya sebelum meminta diri untuk mencari di mana buah
hatinya berada.
‘Macam
mana Mak Mah rasa sekarang?’
‘Alhamdulilllah
Nab. Dah tua-tua begini badan pun dah tak kuat.’
‘Mak
Mah tu kena banyak berehat. Jangan buat kerja berat-berat.’
‘Mak
Mah ada sesuatu nak bincang dengan Nab ni…’
‘Apa
dia Mak Mah?’
‘Mak
Mah mahu pinangkan Nab untuk Che Mat…’
Gulp…terasa
tersekat air liur di kerongkong.
‘Errrr…’
‘Mak
Mah tahu apa yang Mak Mah katakan ini melampau, tapi Mak Mah nak Nab tahu yang
Che Mat tu sebenarnya sukakan Nab, dah lama sebenarnya, sebelum Nab berkahwin
lagi.’
Ish,
betul ke ni? Maksudnya sebelum aku berkahwin dengan Daus lagi la…
‘Che
Mat tu kan bos Nab Mak Mah.’
‘Dia
anak Mak Mah Nab, Mak Mah kenal dia.’
Zainab
kehilangan kata. Che Mat sukakan aku? Mustahil… Tetapi ini bicara seorang ibu
yang sudah hampir 50 tahun menjaga anaknya yang satu itu.
‘Che
Mat sangat memerlukan kamu Nab. Sama seperti anak-anak Nab, anak-anaknya juga
kehilangan saat lahir ke dunia. Sebenarnya kamu saling melengkapi. Anak-anaknya
memerlukan kamu sebagai ibu dan dia sebagai ayah. Mak Mah tak bermaksud nak
menggantikan arwah suami kamu dengan Che Mat, tapi fikirlah demi anak-anak Nab.
Hidup mereka masih panjang. Mereka perlukan kasih ibu dan ayah yang sempurna.’
‘Saya
tak layak Mak Mah…’
‘Kamulah
yang terbaik untuk menjadi ibu anak-anak Che Mat Nab. Mak Mah percaya kamulah orang yang paling tepat untuk
mencurah kasih buat mereka.’
Memang
Zainab tidak pernah membezakan antara anak-anaknya dan juga anak-anak Che Mat.
Mereka mempunyai nasib yang sama, dengan keadaan yang berbeza. Kelima-lima
mereka memerlukan ibu dan ayah seperti yang dibicara oleh Mak Mah tetapi Zainab
tidak pasti adakah dia mampu atau dia mahu atau dia sanggup menanggungnya
sedangkan kasih, cinta dan rindunya sentiasa hangat membara untuk suaminya yang
telah tiada…
Kata seorang rakan lama saya... penulis ni jurubina bangsa...
ReplyDelete