Kata-katamu mengusik hatiku, namun aku tidak ingin
mengenang kisah lalu…
“Sebenarnya
Chem, ada sesuatu yang aku ingin katakan pada kau.”
Ujar
Dayang Atikah pada ketika dia dan Chempaka bersama-sama mengambil angin di
tepian Pelabuhan, tempat yang biasa di kunjungi suatu ketika dahulu. Ibu,
Syameer dan Ahmad Zikrullah sedang menjamu selera di gerai Abang Mat, juga
pernah menjadi kesukaan mereka dulu.
“Aku
agak ini ada berkaitan dengan masa depanmu.”
Sambil
memandang ke laut lepas, dia menyambung kata…
“Aku
akan bertunang penghujung cuti sekolah
ini. Datanglah sebagai memberi sokongan kepadaku.”
“Bertunang?
Tahniah Dayang. Tapi dengan siapa?”
“Dia
bekas guruku yang kini menjadi Penolong Kanan di sekolah tempat aku mengajar.
Hazami namanya. Sebenarnya aku tidak pernah mengimpikan semua ini. Namun bila
memikirkan nasihat ibu dan apa yang telah menimpa, aku rasa diriku juga berhak
menikmati bahagia. Apa salahnya mencuba. Lagipun pilihan ibu selalunya yang
terbaik.”
“Dayang,
siapa pun pilihan kau, aku tak berkuasa membantah. Malah setiap masa aku
mendoakan kebahagiaanmu.”
“Apa
kisah Amjad sekarang. ni? Masih dengan Tania lagi?”
Dia
tidak tahu bagaimanakah dia dapat menyebut kembali nama itu.
“Banyak
perkara yang telah berlaku Dayang. Selepas pemergian kau, bermacam-macam telah
berlaku. Sebenarnya aku pun tak tahu di mana hendak mulakan. Kalau kau sudi
mendengar, aku ingin kau tahu sesuatu.”
“Apa
dia?”
“Sebenarnya
tiada hubungan antara Amjad dan Tania. Yang aku tahu, hanya Tania menyukai
Amjad tapi dia hanya melayan Tania sebagai teman biasa saja.”
Dayang
Atikah diam dan masih memberi tumpuan pada kata-kata Chempaka. Namun hakikatnya
dia agak terkejut dengan kenyataan Chempaka.
“Kadang-kadang
aku merasakan pemergian kau terlalu mendadak dan tidak memberi peluang kepada
dia untuk berterus terang. Bila dia tahu kau telah balik ke Batu Pahat, terus
dia datang jumpa aku dan dia nampak sangat terkilan. Sehingga sekarang dia
masih tidak dapat mengawal perasaannya. Perubahannya ketara.”
Dayang
Atikah tidak menyangka sampai begitu sekali kesan yang ditinggalkannya kepada
Amjad. Apakah dia yang bersalah mengambil keputusan sedemikian sedangkan ada
masanya dia langsung merasa dirinya tidak dihargai. Kalau betullah lelaki itu
menyimpan perasaan padanya, kenapa di biarkan masa menjadi saksi kelukaan hati
mereka?
“Aku
mahu melupakan kisah yang lalu. Kalau boleh aku tidak ingin mengenang lagi apa
yang telah terjadi. Seandainya kau berjumpa dengan dia, tolonglah beritahu dia
tentang pertunanganku. Dan katakan padanya aku sentiasa mendoakan
kebahagiannya.”
Ini adalah lambang keikhlasanku terhadapmu, sudilah
menerimanya moga kita akan bahagia..
Hazami
tersenyum sendiri melihat cincin emas bertatah berlian
yang dibeli bersama ibunya tadi. Rekaannya ringkas dan tidak terlalu sarat.
Agaknya Dayang Atikah akan menyukai cincin itu. Sesungguhnya dia tidak percaya
bahawa Dayang Atikah akan menjadi miliknya. Angan-angannya suatu masa dulu kini
bakal menjadi kenyataan. Dia bagaikan terpaku apabila Puan Khadijah ibu Dayang
Atikah menyatakan persetujuan apabila ibunya menelefon memberitahu untuk
menghantar rombongan ke rumah gadis itu.
“Mi,
ibu tahu Mi cintakan Dayang. Dari tadi ibu lihat Mi asyik senyum-senyum aje
tengok cincin tu. Ibu harap Mi dapat jaga Dayang dengan penuh kasih sayang dan
ikhlas. Sebenarnya kalau Mi nak tahu, ibu dan arwah ayah dulu pernah merancang
untuk menjodohkan kamu berdua. Sejak dari kecil ibu dan ayah menimpan impian
untuk mengukuhkan ikatan silaturrahim ini melalui anak-anak. Sekarang ibu sudah
pun menunaikan amanah ayah. Semoga Mi dapat menyambung amanah kami ini dengan
memberikan yang terbaik untuk Dayang Atikah.”
Panjang
lebar nasihat yang diberikan oleh Puan Kalsum kepada anaknya yang baru hendak
memulakan hidup.
“Ibu,
Mi akan jaga dia dengan baik. Mi rasa ibu pun tahu bagaimana sikap Mi. Hm…
bagaimana dengan persiapan untuk ke rumah Dayang nanti? Kalau ada apa-apa yang
diperlukan, cakap dengan Mi.”
“Semuanya
ditanggung beres Mi. Cuma satu je, Mi jangan tunjuk muka gelabah Mi tu. Ibu dan
Pak Lang akan uruskan segalanya.”
“Terima
kasih ibu.”
Satu
kucupan hinggap di pipi mulus ibunya. Memang dia seorang anak yang baik dan
tidak banyak kerenah. Perangainya terserlah semenjak kecil. Langsung tiada
masalah dengan anak tunggalnya itu. Kalsum
memandang potret suaminya yang tergantung di dinding. Dia dapat melihat ada
senyuman di wajah suaminya itu…
Kad undanganmu telah kuterima, betapa pun di hati ini masih
ada sesalnya…
UNDANGAN PERKAHWINAN
Hazami Hassan
&
Dayang Atikah Daud
Semoga dengan
kehadiran tuan puan akan memeriahkan majlis ini…
Amjad
menatap kad yang dibawa oleh Laila. Kad kecil yang comel dan berbau harum itu
dikirim oleh Dayang Atikah yang mengundangnya ke majlis perkahwinannnya awal
bulan hadapan. Dia melepaskan keluhan panjang. Melepaskan satu bebanan dalam
dirinya. Bibirnya mengukir senyum.
Semoga kau bahagia Dayang.
Aku akan bersama-sama menyaksikan
detik-detik indah dalam hidupmu.
Amjad
menunaikan janji dan tekadnya. Dia berfikiran positif dan tidak mahu lagi
membiarkan perasaan sedih menguasai dirinya. Cukuplah apa yang telah berlaku
dulu di jadikan pengajaran.
“Laila,
Cikgu Dayang akan berkahwin awal bulan depan ni. Kita sekeluarga dijemput ke
sana.”
Laila
yang sedang menyiapkan minum petang menghentikan kerjanya. Dia ke arah Amjad
dan membaca sendiri kad undangan itu.
Ada rasa tidak percaya dalam hatinya.
“Apa
yang kecoh-kecoh ni?”
Mak
Ngah yang datang dari luar rumah menyapa.
“Dayang
akan berkahwin awal bulan depan ni Mak Ngah. Kita dijemput ke sana.”
Dengan
suara tenang Amjad memberi tahu ibu saudaranya.
Mak
Ngah Idah agak terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Amjad itu. Namun apa
yang lebih mengejutkannya, dia tidak dapat melihat kekeruhan di wajah Amjad
tidak seperti sebelum ini. Anak muda itu terlalu tenang di wajahnya. Hati tuanya
bertandang dengan pelbagai persoalan…
Berbahagialah melayari ikatan perkahwinanmu, semoga kekal selamanya…
Amjad,
Laila, Pak Ngah Idris dan Mak Ngah Idah antara tetamu dari Pulau Indah yang
paling awal sampai di Parit Bugis. Syameer, Chempaka, Puan Jamilah, Jannatun,
Nazirah dan Kak Musalmah antara beberapa orang yang hadir ke majlis perkahwinan
Dayang Atikah. Ada juga beberapa orang guru lain yang turut dijemput sama.
Kalau boleh Dayang ingin berkongsikan kegembiraannya itu dengan semua orang.
Bukanlah sebagai tanda dia riak atau ingin menunjuk-nunjuk tetapi apa salahnya
jika dia ingin memaklumkan kepada semua. Lagipun dia sudah ‘membakar’ buku
lamanya. Sekarang ini dia telah membuka helaian yang baru. Namun apa yang
paling terkilan di hatinya adalah kerana ketiadaan Karmilla yang tidak dapat
bersama-samanya kerana sedang mengikuti kursus di Sarawak.
Majlis
yang diadakan itu agak besar juga. Maklumlah masing-masing menjadi kesayangan
ibu. Tambahan pula Dayang Atikah adalah yang bongsu. Takkan ada lagi kenduri
selepas ini. Hazami pula anak tunggal. Mana lagi jika tidak berhabis untuknya.
Tetapi yang penting semua orang dapat menyertai majlis itu…
“Tahniah
Hazami, Dayang. Semoga berbahagia hingga ke akir hayat.”
Amjad
menjadi orang yang pertama mengucapkan kata-kata itu kepada pasangan pengantin
baru. Dayang Atikah melihat wajah Amjad buat pertama kalinya setelah dia
meninggalkan daerah Pulau Indah. Wajah itu bersih dan tenang bagaikan tiada
apa-apa yang berlaku. Tiada dendam yang tersimpan. Semuanya bagaikan telah
bermula semula. Dia dan Amjad bagaikan sepasang teman yang baru berkenalan
semalam. Segera dia membalas senyuman Amjad.
“Aku
doakan kau cepat dapat jodoh!”
Lega
hati Dayang Atikah apabila dia merasakan segala-galanya telah bertukar ceria…
Wajahnya
menatapi wajah Hazami yang sah menjadi suaminya. Ada senyuman di bibirnya. Akan
ditumpahkan segala kasih dan sayang kepada lelaki itu.
Ya Allah, bimbinglah kami dalam
melayari bahtera rumah tangga ini agar sentiasa aman dan sejahtera…