Tuesday, August 14, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 27

 
 
 
Dengan rela hati kulepas kau pergi, doaku sentiasa mengiringi langkahmu…

Amjad memandang sekeping gambar dia dan Dayang Atikah yang di ambil sempena sambutan perayaan Hari Guru yang sudah. Dalam gambar itu, dia di pasangkan dengan Dayang Atikah sebagai guru yang menjadi pilihan. Hanya itulah satu-satunya kenangan yang dia ada untuk di tatapi jika dia kerinduan. Sebenarnya dia tersangatlah ingin melupakan seraut wajah itu yang saban masa mengganggu jiwanya. Nekadnya untuk membiarkan Dayang gembira di Parit Bugis. Sebab itulah dia tidak mengganggu  atau mencari gadis itu walaupun dia mampu. Perasaan malunya melarang dia berbuat demikian walaupun dia terlalu ingin mengucapkan perkataan maaf kepadanya.
Matanya memandang gambar itu sekali lagi. Itulah pandangannya yang terakhir kerana selepas ini dia tidak mahu melihat gambar itu lagi. Lighter di meja di capai dan perlahan-lahan bucu gambar itu mula membakar…


Penderitaan, pergilah dari hidupku kerana bahagia akan tiba…

Rasanya telah terlalu banyak penderitaan yang aku alami. Sudah terlalu banyak juga air mata yang aku curahkan kerana menangisi pemergianmu. Kehilanganmu membawa luka dalam hatiku. Setakat mana aku mampu untuk mengatasi perasaan itu, setakat itulah yang aku terdaya sedangkan sisanya masih ada berkelodak dalam hati sehingga menimbulkan pelbagai perasaan yang lain.
Sebenarnya Am, secara jujur aku masih mengingatimu. Walalupun kita kini jauh dibatasi jarak waktu namun wajahmu masih jelas dalam cermin pandanganku. Sekalipun aku menafikan ingatan itu, namun hanya Tuhan yang tahu apa yang ada dalam hatiku. Tetapi aku benar-benar berharap dapat membiarkan diriku menikmati kebahagiaan baru ini tanpa melibatkan dirimu kerana aku tahu, seandainya dirimu sedang bergembira, aku juga mempunyai hak untuk berperasaan begitu. Cuma secara jujurnya aku menyatakan padamu, kenangan manis antara kita yang pernah terjadi dulu akan tetap menjadi yang terindah dalam hidup ini…
Semalam ibu datang kepadaku, membawa satu perkhabaran yang menyentak nadiku, mengejutkan diriku dari lamunan terhadapmu. Kau tahu Am, aku terfikir adakah aku ingin terus hidup dalam kenangan bersamamu ataupun cuba menerima apa yang telah berlaku sebagai satu cubaan dan dugaan terhadapku? Terlalu sulit untuk kuhuraikan situasi. Bila kufikirkan berkali-kali, aku mengambil keputusan untuk menerimanya. Apa yang ibu nyatakan ibarat sebuat permainan yang aku tidak tahu bagaimana peraturan dan keputusannya. Yang aku tahu, aku kini mempertaruhkan hidupku untuk mendapatkan bahagia. Ibu telah membawa hajat ibu Hazami untuk menyunting diriku kepada anak bujangnya itu.
Ibu banyak menasihati walaupun aku tidak pernah bercerita tentang masalah kita. Namun sebagai seorang yang berkongsi darah denganku dia pastinya tahu apa yang sedang melanda. Ternyata disebalik senyumku dia dapat melihat ada kelukaan yang tersimpan.
Sukar bagiku membuat keputusan itu. Tambahan pula tidak ada perasaan lain kepada Hazami yang menjadi orang atasanku. Namun bila memikirkan nasihat ibu, terasa bagaikan air sejuk pergunungan mengalir ke dalam diriku memberikan kekuatan kepadaku untuk bermain dengan api..
Maafkan aku Am… sekalipun aku cuba untuk melupakan apa yang telah terjadi antara kita, sekali itulah aku kecundang. Pintaku kini biarlah kau berbahagia dengan sesiapa jua yang menjadi pilihanmu dan doakanlah aku bahagia dengan pilihan ibuku. Berkat hidupku bersama-sama dengan restunya…

Dayang Atikah melipat kertas kajang dua helai yang baru selesai ditulisnya tadi. Kertas itu diumpamakan helaian surat yang dia tidak tahu untuk diberikan kepada siapa. Seperti kebiasaannya di IB dulu, helaian begitu akan dibakar sebagai tanda segala masalah atau kedukaan yang ditulisnya akan hancur menjadi debu seperti abu kertas-kertas tersebut.
Ada sedikit kelegaan di dadanya… melihatkan helaian kertas itu marak membakar, terasa masalahnya turut hilang.

 
 
Kalaulah engkau dapat melihat kegembiraanku saat ini….

“Abang, Dayang dan ibu nak datang ke sini.”
Jerit Chempaka kepada suaminya tatkala surat bersamput putih kiriman Dayang Atikah habis dibaca.
“Bila?”
“Cuti sekolah  minggu hadapan. Tak sabarnya nak jumpa mereka. Dah lama Chempaka tunggu saat ini.”
“Syukur pada Tuhan akhirnya permintaan itu telah dikabulkan. Kalau macam tu, kita kena bagitahu emak dan ayah. Mereka tentu gembira mendengar berita ini.”
“Abang nak balik ke rumah emak ke?”
“Iyalah. Lagipun abang dah janji dengan emak nak ambil buah rambutan yang sedang meranum di belakang rumah. Siapkan Zikrullah cepat.”
“Baiklah bang.”
Chempaka memaut anaknya yang sedang meniarap.  Bayi itu dipandang dan diagah-agahnya kegembiraan…


Setelah sekian lama, kau kembali semula ke daerah ini…

Dayang Atikah memandang persekitaran yang telah kian lama ditinggalkannya itu. Ternyata banyak juga perubahan yang telah berlaku. Bagaikan juga perubahan yang telah melanda hidupnya. Namun yang pasti dia masih ingat apa yang asal di sini. Oleh itulah dia lebih selesa memandu keretanya sendiri walaupun Chempaka menawarkan khidmat untuk mengambilnya. Dengan adanya ibu di sebelah, perasaannya tenang dan selesa.
Chempaka dilihatnya semakin jelita dan menawan. Agaknya itulah seri seorang isteri yang kini menjadi seorang ibu. Kebahagiaan keluarga yang diimpikan kini sentiasa ada. Dayang Atikah turut bersyukur di atas kebahagiaan sahabatnya itu.
“Apa khabar Chem?”
Itulah ayat pertama yang diluahkan walaupun masing-masing tidak mampu untuk berkata-kata lagi. Mereka saling berpelukan. Ahmad Zikrullah yang berada di pangkuan bapanya terpinga-pinga.
“Lamanya kita tak jumpa. Wah… dah makin sihat kau sekarang.”
“Kau ni memang suka bergurau. Jemputlah naik. Sekejap lagi mak mertua aku sampai. Dia pun tak sabar nak jumpa ibu dan kau.”
Mereka kemudiannya naik ke rumah dan Chempaka segera menghidangkan air perahan limau nipis sejuk kepada tetamunya itu.
“Berapa lama ibu tinggal di sini?”
Syameer bertanya. Khadijah memandang Dayang  Atikah.
“Ibu bergantung kepada Dayang. Kalau dia mahu balik, ibu ikut. Kalau tak ibu tak kisah nak tinggal berapa lama pun di sini. Terpulanglah pada Dayang.”
“Tinggallah di sini seminggu dua. Cuti sekolah kan lama lagi.”
Chempaka menyampuk.
“Chem, sebenarnya kalau boleh aku pun nak tinggal lama-lama di sini tapi minggu depan aku kena ke sekolah untuk membuat kelas tambahan. Dah janji dengan budak-budak di sana. Aku rasa kau pun faham peperiksaan percubaan tak lama lagi.”
“Tak apalah. Kau datang sekarang ni pun dah cukup. Tapi janji lain kali kau akan datang lagi tau!”
“Itu sudah semestinya. Ahmad Zikrullah sudah tentu akan merindui ibu saudaranya, kan!”
“Assalamualaikum.”
Kedengaran suara orang memberi salam.
“Waalaikumussalam. Jemput naik mak, abah.”
Mereka saling bersalam dan bertanya khabar. Dayang Atikah turut memeluk ibu mertua Chempaka. Mereka bagaikan sebuah keluarga. Bahagia!

Stylish Thankyou

1 comment:

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]