Dari jauh aku melihat, siapakah itu jalannya tersusun
terasa di hati ingin mengetahui….
Amjad
memandang persekitaran rumahnya. Bunga-bungaan yang ditanam oleh Mak Ngah
Idahnya hidup subur dan mengeluarkan haruman yang menusuk lembut ke
hidung. Sudah lama dia tidak menghirup
wanginya harum bunga itu. Dan kini dia mempunyai banyak masa untuk berbuat
demikian. Dia menyesal kerana terlalu banyak masa lalunya dibazirkan dengan
mengenang perkara yang tidak akan kembali semula.
Dari
tingkap rumahnya yang menghadap jalan besar, dia melihat ada sekujur tubuh yang
sedang berjalan.
Siapa?
Terdetik
pertanyaan itu dalam hatinya. Berbaju kurung dan membawa beg sederhana besar.
Gadis itu tidak pernah dilihat sebelum ini. Amjad terus menyoroti langkah gadis
itu sehinggalah hilang dari pandangannya. Entah mengapa bagaikan ada perasaan
halus menyelinap dalam hatinya. Tanpa dia sedari, Mak Ngahnya turut memandang
dari belakang dan mengukir senyum…
Apa saja kulakukan untuk membahagiakan dirimu…
“Kiah,
aku nak tanya sikit ni. Semalam nampak macam Adawiyah
balik ke sini.”
“Iya.
Dah tamat kursusnya di Pahang tu baliklah dia. Sekarang ni dia akan mengajar di
Taska Pulau Indah menggantikan Hamidah yang
mengikut suaminya ke Johor. Kenapa?”
“Sebenarnya
aku nak tanyakan anak dara kau tu sama ada sudah berpunya ke belum? Kalau kau
sudi aku hendak merapatkan silaturrahim dengan kau. Aku sebenarnya kesiankan
Amjad tu. Jika dia sudah berpasangan, sekurang-kurangnya hidup dia akan lebih
terisi dan sempurna.”
“Aku
ni tak dapatlah memberi keputusan pada kau Idah. Kalau aku katakan ya, takut
pulak Adawiyah tu dah ada calonnya sendiri. Nantilah aku tanyakan pada dia.”
“Jangan
lupa pula ya. Hah, aku balik dululah. Sekejap lagi Idris balik. Risau pulak dia
kalau aku tak ada di rumah.”
Mak
Ngah Idah mengatur langkah ke rumahnya. Di perkarangan rumah dilihat teksi
suaminya telah sedia di garaj. Nampaknya awal pula suaminya balik hari ini.
“Awak
ke mana Dah?”
“Saya
ke rumah Kiah, bang. Dah lama abang sampai?”
“Baru
je. Ambilkan abang air. Dahaga betul hari ni. Budak-budak ke mana?”
“Laila
katanya pergi ke rumah Aisyah. Amjad ke sekolah. Elok awak keluar tadi, terus
dia mengikut belakang.”
Mereka
suami isteri duduk di kerusi rotan di beranda rumah mengambil angin petang. Mak
Ngah Idah merasakan itulah saat yang terbaik untuk dikongsikan apa yang
dinyatakan kepada Kiah sebentar tadi.
“Abang,
Idah ada tanyakan Adawiyah anaknya Kiah untuk dipasangkan dengan Amjad. Apa
pandangan abang?”
“Adawiyah?
Awak ni memandai-mandai aje. Entah-entah budak tu dah ada calonnya sendiri.
Amjad pula entah setuju atau tidak.”
“”Pada
pandangan saya, nampak macam Amjad tu sukakan Adawiyah. Elok juga kalau kita
pasangkan mereka berdua, sekurang-kurangnya Amjad dapat melupakan kisahnya dengan
Dayang. Saya ni bukannya apa bang, cuma kesiankan Amjad tu. Kita memanglah
boleh jaga dia, tapi sampai bila. Dia pun perlu berkongsi hidupnya dengan
sesorang.”
“Agak-agaknya
macam emak pasangkan Idah dengan abang dulu lah ya?”
“Ish…
abang ni. Ke situ pula!”
Mengenang
kisah lalu, Mak Ngah Idah menjadi malu. Pertemuannya dan suami di atur
keluarga, kekal bahagia hingga kini. Jadi kenapa dia tidak mengambil iktibar
daripada itu untuk membahagiakan anak saudaranya pula?
Bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi, adakah kini kau
menyambut tepukanku?
“Adawiyah,
ke sini sekejap. Ada sesuatu yang hendak emak beritahu kamu.”
Adawiyah
yang baru sahaja tiba di rumah menuju ke meja makan di mana emak sedang
menunggunya. mukanya kemerahan kerana berjalan kaki masuk ke rumah dari jalan
besar. Walaupun jarak rumahnya dengan taska tidak terlalu jauh, namun pulang
pada waktu begitu memang menagih keringatnya.
“Ada
apa emak?”
“Minum
air ni dulu. Mak tahu Adawiyah letih.”
Rokiah memandang Adawiyah yang tenang meneguk air. Anak perempuan
tunggalnya itu kini berusia 24 tahun. Lahir dalam keluarga yang dikelilingi oleh 5 saudara lelaki
tidak mempengaruhi pembentukan peribadinya. Adawiyah membesar sebagai seorang
gadis yang santun dan pemalu. Lemah lembutnya memikat sesiapa sahaja. Rupanya
tidaklah terlalu cantik tapi siapa yang memandang pasti merasa tenang dan
sejuk.
“Minggu
lepas Mak Ngah Idah ada tanyakan pada emak sama ada Adawiyah sudah berpunya
atau belum.”
“Kenapa?”
“Dia
nak pasangkan Adawiyah dengan anak saudaranya. Hasrul Amjad namanya. Kalau
Adawiyah setuju emak hendak beritahu dia. Kalau Adawiyah tak mahu emak tak
memaksa. Terpulanglah kepada Adawiyah untuk membuat keputusan.”
Mendengarkan
nama Hasrul Amjad, dada Adawiyah didatangi debar. Kalaulau emaknya tahu
bahawasanya suatu masa dulu dia pernah menaruh hati kepada lelaki itu…
“Apa
pandangan emak?”
“Macam
emak katakan tadi, emak tak kisah. Terpulangkah pada Adawiyah.”
“Kalau
macam tu Adawiyah ikut emaklah. Baik bagi emak, baiklah bagi Adawiyah.”
Kata-kata
itu buat Rokiah tergamam. Apa kena dengan anaknya ini? Mengiakan tidak, menolak
pun tidak. Agaknya dia belum ada pilihan hati. Rokiah menguntumkan senyum.
Sebenarnya dia juga berkenan jika Amjad menjadi menantunya. Lelaki itu baik dan
boleh diharap. Segera dia menekan nombor telefon rumah Mak Ngah Idah, bakal
besannya. Perkara baik itu mesti diberitahu secepat mungkin.
Adawiyah, jadilah permata dalam hidupku yang akan menyinar
selamanya…
Apakah ini keputusan yang tepat
untuk perjalanan hidupku seterusnya?
Amjad
merenung kosong cermin di hadapannya. Kata-kata Mak Ngah Idah telah mengganggu
fikirannya. Dan kenapa pula dia boleh bersetuju dengan kata-kata itu?
Adawiyah!
Rasa-rasanya
seperti dia pernah mengenali empunya nama itu tapi dia tidak dapat
mengingatinya. Agak-agaknya pernah sama-sama bersekolah dulu tak?
Sukar
bagi Amjad mendapatkan jawapan. Yang dia tahu, minggu depan, Mak Ngah dan Pak
Ngahnya akan ke rumah Adawiyah untuk menyarungkan cincin ke jari manis gadis
itu sebagai tanda telah menjadi tunangannya. Sekarang dia menyerahkan hidupnya
kepada Tuhan supaya sentiasa dilindungi dan dalam keberkatan selalu. Siapapun
Adawiyah, akan diterimanya dengan hati terbuka dan ikhlas. Dia akan cuba
mempercayai percintaan selepas kahwin. Semoga kebahagiaan ini menjadi miliknya!
Namun
bersediakah dia menerima kedatangan seorang yang begitu asing dalam hidupnya?
Seseorang yang tidak pernah dikenalinya sebelum ini?
Kehadiranmu bakal menyerikan keluarga kita, sabarlah diriku
menunggu kedatangannya…
“Kak
Sari, boleh tak datang ke rumah? Zami nampak perangai Ika agak berubah
sekarang. Asyik marah-marah saja.”
“Kenapa
pula macam tu? Agaknya Zami ada buat sesuatu yang melukakan hati dia tak?”
“Seingat
Zami tak ada pula. Tak tahulah. Semenjak dua menjak ni dia sensitif sangat.
Akak datang ya? Zami tak tahu lagi nak buat macam mana.”
“Okeylah.
Abang Saif balik nanti akak cakap dengan dia.”
Hazami
lega dapat mengajak kakak iparnya datang ke rumah. Buntu rasanya untuk
menghadapi perangai Dayang Atikah yang berubah mendadak. Pagi tadi isterinya
itu marah-marah kerana dia terlewat padahal waktu baru pukul 7 pagi. Sepanjang
masa ke sekolah Dayang Atikah hanya membebel. Di sekolah pula, mereka tidak
bertegur sapa sehinggalah sekarang. Pening Hazami memikirkan apakah masalah
isterinya itu sehingga dia lupa menghadiri mesyuarat SPBT sehingga terpaksa ada
yang memanggilnya.
“Sayang,
jom makan. Abang dah lapar ni.”
Panggilnya
lembut. Harapannya agar Dayang Atikah boleh berubah laku.
“Makanlah
sorang-sorang!”
Aduh,
kasar sekali bunyinya. Sedikit terasa
Hazami dengan perlakuan itu.
“Assalamualaikum.”
“Abang
Saif, Kak Sari. Jemput masuk. Batrisyah mana?”
“Batrisyah
di Pontian. Ika mana?”
“Entahlah.
Sejak balik sekolah tadi terus masuk ke dalam bilik. Akak pergilah tengok dia.
Zami tak tahu dah nak pujuk macam mana.”
Dayang
Sariah mengatur langkah ke bilik Dayang Atikah di tingkat atas. Tangannya
mengetuk perlahan pintu kamar yang bercat biru lembut itu.
“Ika,
Kak Sari ni. Bukak pintu!”
Belum
pun selesai Dayang Sariah berkata-kata, pintu itu terbuka dan Dayang Atikah
terjongol di dalamnya. Dia segera menarik kakaknya masuk ke dalam.
“Kenapa
dengan Ika ni? Tak baik tau buat suami macam ni.”
“Ika
pun tak tahu. Kadang-kadang Ika rasa nak marah sangat pada dia. Ika nak balik
rumah ibu.”
“Ika,
tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Takkan Ika nak tinggalkan Hazami
sendirian di sini?”
“Ala
kak. Ika nak jumpa ibu. Ika rindu sangat dengan ibu. Dah lama tak jumpa.”
“Ok.
Kalau macam tu Ika minta izin dengan Hazami dulu. Boleh.”
Dayang
Atikah menarik muka masam. Dayang Sariah keluar dari bilik itu dan menghampiri
Hazami.
“Akak
rasa biarlah Ika balik ke rumah ibu buat sementara waktu ni. Mungkin fikirannya
terganggu.”
“Kalau
macam tu kata akak, saya tak kisah asalkan dia kembali kepada dirinya yang
dulu.”
Dayang
Atikah membawa keluar begnya. Sebelum itu dia menyalami Hazami terlebih dahulu.
Tiada kata-kata yang keluar dari bibirnya.
“Jangan
risau. Akak akan jaga dia. Kalau ada apa-apa nanti, akak bagitahu Zami. Akak
balik dulu. Jaga diri baik-baik.”
Hazami
terasa segalanya berlaku dengan begitu pantas. Dengan sekelip mata sahaja
Dayang Atikah pergi darinya. Puas difikirkan apakah salahnya pada isteri
tercinta namun tiada jawapan. Dia kini kerinduan pada isterinya yang dulu…
Keseorangan
di rumahnya, dia naik ke bilik dan menunaikan solat Asar.
Pada
malamnya, dia mengambil keputusan untuk menelefon ke rumah mertuanya. Kalaupun
tidak dapat bercakap dengan Dayang Atikah, sekurang-kurangnya dia dapat mendengar
melalui ibunya.
“Assalamualaikum.
Ibu, apa khabar?”
“Ibu
baik-baik sahaja. Zami dah makan?”
“Sudah
ibu. Hmm… bagaimana dengan Ika?”
“Zami
jangan bimbang. Ibu rasa Ika sekarang mengalami perubahan dalam dirinya.
Mungkin dia mengandung. Nanti ibu bawa dia jumpa doktor. Namun naluri ibu kuat
mengatakan Zami akan menjadi ayah tak lama lagi.”
Mengandung?
Patutlah
perangainya berubah benar.
“Tapi
takkan sikapnya menjadi sebegitu teruk terhadap Zami.”
“Kadang-kadang
kita tak dapat menjangkakan bagaimana sikap seseorang itu bila dia berbadan
dua. Ada bermacam-macam perlakuan yang boleh terjadi namun Zami jangan bimbang.
Ibu rasa ini hanyalah pada peringkat awal sahaja.”
“Kalau
macam tu legalah Zami. Kalau betul Ika mengandung, ibu jangan lupa maklumkan
pada Zami. Zami teringin membuat kenduri kesyukuran.”
Alhamdulillah…
kalaulah betul apa yang ibu katakan, alangkah bahagianya dia kerana
kehidupannya bakal diserikan dengan kehadiran cahayamata. Dia ingin menunaikan
solat sunat syukur kerana dikurniakan nikmat yang tidak terhingga…
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]