Masa
dan manusia tidak pernah berjauhan… sentiasa seiring bersama.
Masa
berlalu dengan pantas tanpa ada yang mampu menahannya. Dari saat bertukar ke
minit sehingga bermula kiraan jam. Dan kemudian pula bertukar menjadi hari.
Setelah pertukaran mentari dan rembulan, tanda aturan Tuhan yang tidak pernah
silap mewujudkan pertukaran siang dan malam yang sentiasa tepat. Dari hari
bertukar menjadi bulan sehinggalah kiraan itu menjadi semakin besar sehingga ke
satu tempoh yang dipanggil tahun pula.
Itulah
fitrah alam. Begitu juga dengan kehidupan manusia yang sentiasa ke depan dengan
pertambahan yang semakin meningkat tak kira dalam apa jua keadaan. Sekelip kita
memejamkan mata, serentak itu juga masa juga semakin menghimpit kita.
Dan
kerana masa itu jugalah, kehidupan insan-insan yang bernama Dayang Atikah,
Hasrul Amjad dan Chempaka bersama pasangannya masing-masing terjalin dalam
suasana dan keadaan harmoni dan penuh kasih…
Perpisahan ini terjadi lagi…duhai anak jagalah dirimu
sendiri nanti…
Dayang
Atikah menolong Dayang Umairah mengemaskan beberapa lagi barang yang belum
dimasukkan ke dalam beg. Pada hari ini dia dan Hazami akan menghantar puteri
tunggal mereka itu mendaftar di Universiti Malaya.
Dayang Umairah yang cemerlang dalam matrikulasinya mengambil bidang kejuruteraan sebagai pilihannya kerana minatnya yang
mendalam dalam bidang itu. Adiknya, Fareez Hazim
dan Faez Haziq tidak di bawa bersama kerana
kebetulan pula mereka menyertai lawatan sambil belajar ke Kompleks Warisan
Johor yang dianjurkan oleh Kelab Kebudayaan Sekolah.
“Umi,
Irah rasa tak nak bawa barang-barang ni. Dah
banyak sangat ni.”
“Kenapa
pula? Kan barang-barang ni masih boleh digunakan lagi. Tak elok membazir.”
“Bukannya
Irah hendak membazir umi tapi kalau ditinggalkan di rumah, Hazim dan Haziq
masih boleh menggunakannya.”
“Kalau
macam tu kata Irah, umi tak kisah. Jangan nanti telefon umi merengek-rengek
minta dihantarkan semula.”
“Umi,
Irah kan dan besar. Dan matang pun. Takkan Irah berperangai macam dulu lagi.”
Satu
kucupan di hadiahkan ke pipi uminya. Anak itu memang manja dengannya namun
banyak juga mewarisi keperibadian dan perwatakannya di zaman mudanya dulu. Berdikari
dan berjiwa besar. Bangga hatinya mendapat anak yang sebegitu.
“Dah
siap semuanya? Kalau sudah boleh kita bertolak sekarang.”
Hazami
menyoal anaknya. Dayang Umairah mengangguk.
“Jumpa
mak long dan pak long dulu.”
Dayang
Umairah patuh dengan arahan uminya. Kak Sari dan Abang Saif datang untuk
bertemu mata dengan anak saudaranya sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.
Dan
di Pulau Indah, Amjad juga sedang bersiap-siap untuk menghantar Hairul Aqeef
mendaftarkan diri di Universiti Malaya. Pada mulanya dia inginkan anaknya itu
mengambil bidang perguruan tetapi Aqeef nampaknya lebih berminat terhadap
bidang undang-undang. Oleh yang demikian
dia tidak mahu memaksa anaknya kerana dia tahu bagaimana rasanya jika terlibat
dengan sesuatu yang bukan menjadi pilihan sendiri. Dia memberi kebebasan dan
kepercayaan untuk anaknya memilih haluan sendiri.
“Aqeef
bukannya tak mahu jadi cikgu macam papa tapi Aqeef rasa bidang itu tak sesuai
dengan jiwa Aqeef.” Itulah jawapan anaknya apabila diminta pandangan untuk
menceburi profesyen perguruan.
Adawiyah
yang sejak dari tadi sibuk memasukkan itu dan ini ke dalam beg anaknya itu
mengesat peluh di dahi. Memang dia agak kepenatan kerana sebenarnya dia demam.
Namun demi satu-satunya putera dalam keluarga itu dia rela berkorban. Adik-adiknya,
Siti Shuhada, Siti
Suraya dan Siti Sufiah masing-masing
menunggu masa untuk masuk ke dalam kereta. Masing-masing mahu menghantar abang
kesayangan mereka ke universiti.
Tepat
pukul 10 pagi, Hazami dan Amjad bertolak dari rumah. Walaupun di tempat yang
berlainan namun ada persamaan yang tidak dirancang. Dalam dada ayah dan ibu
itu, ada berbagai perasaan. Berpisah sekali lagi dengan anak tercinta, ada air
mata yang ingin menitis.
Dan
di satu tempat di Pulau Indah itu juga, Chempaka dan Syameer sedang bersiap-siap
untuk melawat anaknya Ahmad Zikrullah yang kini berada dalam tahun tiga bidang
perubatan, juga menuntut di Universiti Malaya. Turut di bawa bersama-samanya
adalah Maria Melati dan Mirza Putri.
Begitulah
halnya suatu kebetulan yang telah Tuhan tentukan…
Lambaian menara gading menggamitku datang menerokai ilmumu…
Walaupun
berlainan bidang kursus, Dayang Umairah dan Hairul Aqeef masih dapat bersahabat
dan berhubung kerana mereka tinggal di kolej yang agak dekat. Kalau berkesempatan
mereka akan ke kuliah bersama-sama. Sebenarnya dia juga tidak tahu Aqeef
mendapat tawaran ke UM. Setelah beberapa minggu umi menelefonnya dan
memberitahu malah terus memberikan nombor telefon Aqeef kepadanya. Oleh kerana
sudah lama juga mereka tidak berjumpa, maka Dayang Umairah mengambil kesempatan
itu untuk menghubunginya. Ternyata Aqeef terkejut dengan panggilannya dan
daripada itu mereka terus menjadi kawan baik. Maklumlah persahabatan mereka
telah bermula daripada kecil lagi. Apabila memasuki matrikulasi masing-masing
terpisah seketika kerana Umairah berada di Negeri Sembilan dan Aqeef di Gombak.
Malah
di situ juga Dayang Umairah bertemu
dengan Ahmad Zikrullah yang sudah dianggap seperti abangnya sendiri. Tambahan
pula umi dan emak Abang Zack (panggilannya)
berkawan baik sejak dulu. Malah dia turut memanggil emak Abang Zack dengan
panggilan mama. Ini bermakna di bumi universiti itu terjalin semula perhubungan
generasi ke dua yang disulamkan perasaan kasih sayang yang erat.
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]