Saturday, September 29, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 32

 
 
 
Dalam hati ada debar memandang wajahnya, dalam jiwa ada rindu pada dirinya….

“Kau ni kenapa Irah? Aku tengok sejak dari tadi asyik senyum sorang-sorang aje.”
Syarifah Zuraidah, teman sebiliknya menyoal. Dayang Umairah tersentak. Dia mengangkat muka dan memandang wajah temannya yang sedang menggosok baju kurung, barangkali  untuk dipakai ke kuliah besok.
“Aku sebenarnya teringatkan Aqeef. Dia telefon aku tadi. Katanya malam ni nak ajak aku keluar makan.”
“La… bukannya selama ni kau tak pernah makan bersama dengan dia.”
“Kau tahu Zu? Sebenarnya aku rasa lain sangat bila dia ajak aku tadi. Dia tak macam selalu. Kali ni dia serius. Itu yang buat aku tak percaya.”
“Kau sukakan dia ke?”
“Setahun di sini, walaupun banyak kawan lelaki hanya dia yang betul-betul rapat dan memahami aku. Mungkin juga aku sukakan dia tapi rasanya masih terlalu awal untuk kami bercinta. Lagipun aku harus menunggu dia yang meluahkan perasaannya dulu. Perigi mana boleh cari timba Zu!”
“Sebagai coursemate, aku melihat dia mempunyai dua watak yang berbeza. Dalam kelas dia memang serius, menumpukan sepenuh perhatian pada setiap lecture. Tetapi kadang-kadang sikapnya di luar kelas membuatkan orang tidak menyangka dia mengambil law. Secara jujurnya aku melihat dia sebagai seorang teman yang boleh berkongsi suka duka dengan kita. Very nice person!”
“Zu, kadang-kadang aku rasa berdebar kalau bersama-sama dengan dia. Dan kadang-kadang aku rasa rindu kalau tidak berjumpa dengannya.” Dayang Umairah memintal hujung sarung bantalnya bagi mengurangkan gelisah di hati.
“Mana tahu malam ini dia akan meluahkan perasaannya pada kau?”
“Kau buat aku malu Zu.”
Pipi Dayang Umairah sudah kelihatan merona dengan warna merah. Mendengar Syarifah Zuraidah berkata begitu, dirinya benar-benar malu…
Dia tidak sabar menunggu malam menjelma untuk berjumpa dengan lelaki yang telah mengusik perasaannya. Di dadanya ada debar menantikan pertemuan malam nanti.


Kita mencuba mencari bahagia… meskipun tahu bermain api bisa membakar diriku sendiri….

“Aqeef, Irah dah fikirkan apa yang Aqeef cakapkan pada Irah minggu lalu. Sekarang Irah nak cakap apakah keputusan Irah.” Begitulah permulaan katanya ketika bertemu Aqeef di fakulti.
“Irah, Aqeef tak paksa Irah buat keputusan kalau Irah belum bersedia. Aqeef boleh tunggu.”
“Sebenarnya Irah pun tak tahu sejauh mana kita boleh menjaga perhubungan kita tapi Irah ingin mencuba. Kalau kita tak serasi, kita punya peluang untuk mendapatkan yang lebih baik tapi dengan syarat kita berterus-terang. Setuju?”  Itulah kata-kata yang telah dia dan Syarifah Zuraidah fikirkan sebagai jawapan yang paling sesuai untuk pertanyaan Hairul Aqeef.
“Aqeef akan memberikan yang terbaik untuk Irah. Sebenarnya Aqeef takut kalau tak dapat memiliki Irah kerana classmate Aqeef tu ramai yang sukakan Irah. Jadi baik Aqeef mulakan langkah dulu sebelum melepas tengok Irah berpasangan dengan orang lain.”
“Kalau macam tu Aqeef pilih Irah sebab mahu bersaing dengan classmate Aqeef lah ya?”
“Irah, sebenarnya dah lama Aqeef pendam perasaan pada Irah tapi mungkin masa itu belum sesuai untuk kita bercinta. Aqeef sukakan Irah bukan kerana mama dan papa berkawan rapat dengan umi dan ayah Irah tapi perasaan itu lahir sendiri dalam hati. Aqeef betul-betul terpikat dengan Irah.”
“Jangan memuji Irah sebegitu tinggi Aqeef. Irah malu.”
“Aqeef hanya menyatakan yang sebetulnya saja.”
“Eh, petang ni Abang Zack nak jumpa Irah. Aqeef nak ikut?”
“Petang ni Aqeef kena pergi court. Kenapa dia nak jumpa Irah?”
“Semalam mama datang melawat tapi Irah tak sempat jumpa dia. Dia ada tinggalkan sesuatu untuk Irah jadi Irah nak pergi ambil.”
“Aqeef tengok Irah baik dengan Abang Zack.”
“Aqeef… Abang Zack tu dah jadi macam abang kandung Irah tau. Umi pun selalu berpesan agar meminta pertolongan darinya kalau ada sebarang kesulitan.”
“Aqeef kan ada, jadi tak perlulah pertolongannya lagi.”
Nada suaranya itu berbaur cemburu.
“Kenapa Aqeef cakap macam tu? Irah sekadar menghormati dia dan menjaga perhubungan ibu bapa kami sahaja. Begitu juga dengan ibu bapa Aqeef. Aqeef dalam hati Irah adalah sesuatu yang lain daripada Abang Zack.”
“Kalau macam tu Irah jaga diri baik-baik ya. Aqeef kena pergi dulu. Dah janji dengan Farhan di LRT. Malam nanti Aqeef call. Bye.”
Bye.”
Dayang Umairah menghantar Hairul Aqeef dengan ekor matanya. Lelaki itu smart dengan t-shirt yang di tight-in. Budak law… imej mesti dijaga! Apapun dia gembira dengan lelaki itu. Haruskah dia memberitahu umi tentang perubahan perasaannya kini? Namun yang satu, seperti juga Uncle Am, begitulah anaknya yang masing-masing berkongsi perasaan yang sama – kuat cemburu!


Pertemuan ini menunjukkan pilihanmu, ternyata tepat dan sesuai…

Sedar tidak sedar sudah dua tahun berlalu. Ahmad Zikrullah kini sedang menyiapkan tesis tahun akhirnya untuk membolehkan dia mendapatkan sugulung ijazah sebagai tanda penat lelahnya selama hampir lima tahun menuntut di UM. Dia yang mengkhusus dalam bidang perubatan oncology sudah tentunya memerlukan perhatian dan tumpuan yang bukan sedikit. Sebab itulah dia tidak punya banyak masa untuk membuat hubungan sosial.
Sepanjang pengajian di UM, hanya beberapa orang sahaja yang rapat dengannya. Salah satunya sudah tentulah Dayang Umairah yang sudah dianggap seperti adik sendiri. Gadis manja itu memang memahami dirinya yang bukan selalu dapat bersua muka. Mujur juga dia tidak menjalinkan cinta dengan perempuan lain. Kalau tidak tiada yang tahan dengannya. Hanya Nik Sumayyah, gadis yang bersama-sama menjalani tutorial dengannya faham tentang kesibukannya. Mungkin juga kerana gadis yang berasal dari Kelantan itu sama aliran dengannya cuma dia mengkhusus di dalam bidang pergigian. Sebab itulah dia lebih senang berdampingan dengan Nik Sumayyah walaupun tidak pernah ada ungkapan cinta antara keduanya.
Pada malam ini, pada kelapangan yang dia ada sebenarnya, dia akan berjumpa dengan Dayang Umairah. Turut dibawanya bersama ialah Nik Sumayyah yang akan dikenalkan dengan Umairah. Sudah beberapa kali gadis itu merungut kerana Abang Zacknya mungkin janji. Perjumpaan dengan adiknya itu bagaikan menjadi agenda wajib dirinya. Paling kurang sekali sebulan. Dia sesungguhnya amat menghormati ibu dan ayah Dayang Umairah oleh sebab itulah dia sentiasa mengambil berat akan kebajikan dan masalah gadis itu. Dia tahu Hairul Aqeef juga menjalani pengajian di situ namun jarang juga berjumpa kerana anak Pak Cik Am itu lebih banyak menghabiskan masanya di mahkamah. Bakal peguamlah katakan….
Selepas mengambil Nik Sumayyah di Vista Angkasa, dia beralih pula ke kediaman Dayang Umairah. Malam itu Ahmad Zikrullah akan membawa dua perempuan yang bermakna dalam hidupnya itu menikmati makan malam di Bangsar. Walaupun kali pertama ditemukan, Dayang Umairah dan Nik Sumayyah seperti telah saling mengenali sebelum ini.
“Inilah bakal kakak ipar Irah.”
Begitulah Ahmad Zikrullah ketika memperkenalkan Nik Sumayyah kepada Dayang Umairah. Dayang Umairah yang memang suka mengusik tersenyum lebar. Suka dengan pilihan abangnya itu. Cantik, lemah lembut dan mesra dengannya. Bagaikan telah saling mengenali sebelum ini.
“Bila Kak Su nak bawa Abang Zack jumpa ibu bapa akak? Abang Zack ni dah lama nak ke Kelantan sebenarnya.” Begitulah dia mengusik sehingga Nik Sumayyah tidak lekang dengan senyuman di bibirnya yang basah itu.
Sementara menunggukan makanan di hidang, Nik Sumayyah meminta diri untuk ke tandas. Barangkali juga tidak tahan dengan gurauan dan usikan yang dilakukan Dayang Umairah.
“Irah ada sesuatu nak cakap dengan abang sebenarnya tapi Irah malu, Irah takut kalau abang ketawakan Irah.”
“Kenapa pulak abang mesti ketawa? Irah belum cakap, jadi abang belum tahu cerita Irah tu kelakar ke tak.”
“Abang ni… Sebenarnya Irah dengan Aqeef… sebenarnya kami…”
“Irah, please control yourself. Apa yang Irah cuba bagitahu abang? Dia ganggu Irah ke?”
Belum pun sempat Dayang Umairah menghabiskan ayatnya, terlebih dulu Ahmad Zikrullah memotong cakapnya.
“Sebenarnya kami…”
Dayang Umairah tidak tahu bagaimana untuk memberitahu Ahmad Zikrullah tentang hubungannya dengan Aqeef. Dia bimbang lelaki itu akan mentertawakannya setelah mendengar pengakuan itu.
“Agaknya Irah dan Aqeef bercinta kot?”
Ahmad Zikrullah membuat andaian. Dari pandangannya dapat dilihat itulah yang cuba di suarakan oleh Dayang Umairah tadi. Tiba-tiba dia meledakkan tawanya. Dayang Umairah tersipu-sipu.
Dan di anjung restoran sana, Hairul Aqeef yang kebetulan berada di sana memandang dengan hati yang bungkam. Dia cemburu dengan hubungan Irah dan Ahmad Zikrullah itu. Dia segera mencapai beg sandangnya. Makanan yang dipesan tidak sempat masuk ke perutnya. Dia tidak berselera untuk menjamah apatah lagi setelah matanya melihat kemesraan antara dua manusia yang berlainan jantina itu. Yang paling menyedihkannya ialah, perempuan itu adalah insan yang bertakhta di hatinya saat ini. Sesungguhnya dia cemburu!
Sedang elok Aqeef membawa dirinya, Nik Sumayyah kembali ke meja makan dan mengambil tempat di sisi Ahmad Zikrullah tetapi sayangnya Aqeef tidak memandang itu. Langkahnya ke depan dan tidak berpaling lagi…

Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]