Saturday, May 5, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 15


 
 


 
Kujejak kembali jalan ke desa, kutinggalkan segala yang bernama luka namun rindu ini masih beraja!

Cuti sekolah telah pun bermula 3 hari yang lalu. Dayang Atikah masih belum kembali ke Batu Pahat. Dia masih berusaha menyelesaikan segala kerjanya supaya dia dapat bercuti dan kembali semula ke sekolah dengan senang hati. Memang dia tidak suka menangguhkan kerja. Begitu juga dengan Charlotta yang setia menemaninya. Nasib baik juga mereka tidak terlibat dengan kelas tambahan, kalau tidak tak dapatlah bercuti sepenuhnya.
Pada petang ini InsyaAllah dia akan bertolak ke Batu Pahat bersama Charlotta yang ingin berkunjung ke sana sebelum balik ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Senai. Mereka akan menaiki bas di Stesen Bas Klang pada pukul 5.30 petang.
“Dayang, aku nampak macam Amjad di sana tu.” Kata Charlotta sambil menyiku lengan Dayang Atikah ketika mereka sedang berjalan menuju ke arah bas yang telah sedia menanti.
“Mana?” Dayang Atikah ingin memastikan apa yang Charlotta katakan itu benar. Jika betul alangkah bahagianya dia. Adakah Amjad sudah mahu berdamai dan berhenti menyiksa dirinya?
“Entahlah. Tadi aku nampak macam muka dia.”
Alangkah kecewanya mendengar jawapan Charlotta. Sesungguhnya dia mengharapkan kata-kata itu tidak betul.
“Kau ni memang suka main-mainkan aku.” Balasnya kembali untuk menenangkan diri sendiri.
Charlotta tidak memberikan sebarang tindak balas tetapi terus menaiki bas. Seketika Dayang Atikah berpaling ke belakang. Dan matanya melihat ada wajah yang merenunginya. Sesungguhnya dia mengenali wajah itu. Amjad! Bersandar di tiang bersebelahan kedai buku, Amjad tersenyum membuatkan Dayang Atikah tergamam. Patutkah dia tersenyum juga? Bas perlahan-lahan  bergerak meninggalkan terminal. Namun Dayang Atikah lihat, Amjad masih berada di situ…

Perpisahan ini aku tangisi namun ada keliru di hati pintaku moga ada yang memahami…

“Ika, bangun sayang. Ibu ada sesuatu yang hendak diberitahu.”
Dayang Atikah menggeliat malas, memberi respon kepada ibunya.
“Ada apa ibu?”
“Pak Ngah Dolah telefon. Katanya ayah kamu tenat. Dia berada di hospital.”
“Habis tu? Apa kita nak buat?”
“Ika, apa pun yang dia dah lakukan, itu adalah kesilapannya. Ibu rasa kita patut pergi melawatnya buat kali terakhir. Dia ayah Ika. Tanpanya Ika takkan ada di dunia ini.”
“Yalah. Ika mandi dulu. Kak Sari?”
“Ibu dah maklumkan tadi. Sekejap lagi dia balik.”
Dayang Atikah menuju ke bilik air. Sisa kantuknya masih ada. Malam tadi dia tidur lewat kerana menonton siaran bola sepak di tv.
Ayah? Sejak ibu dan ayah berpisah 8 tahun lalu, belum pernah sekalipun dia melihat ayah. Segala-galanya dilakukan bersama emak. Tugas yang emak pikul untuk membesarkannya dan Kak Sari menjadi sanjungannya seumur hidup. Baginya ayah tidak lagi hadir dalam hidup mereka setelah berkahwin dengan isteri barunya. Seolah-olah ibu, dia dan Kak Sari tidak pernah wujud dalam hidupnya.
Namun, Dayang Atikah tidak faham kenapa ibu masih mahu melawat ayah sedangkan ayah tak pernah tunjuk muka sewaktu emak terlantar 5 bulan di hospital kerana menjalani pembedahan buah pinggangnya? Sebagai anak, dia merasakan tidak harus menghormati ayah yang begitu. Tetapi demi ibu, dia hanya turutkan sahaja untuk melawat ayah di Hospital Seremban. Betul juga katanya, kalau tiada ayah, takkan ada dia di dunia ini…
“Ayah sakit apa ibu?” Tanya Kak Sari ketika dalam perjalanan menuju ke Seremban. Kakaknya itu lebih lembut darinya dan masih menyanjungi ayah.
“Pak Ngah Dolah kata ayah kamu mengidap barah paru-paru.”
Barah paru-paru? Semua orang tahu ketika muda ayah sangat suka merokok dan boleh bertukar menjadi orang lain jika tidak dapat merokok. Agaknya itulah balasan Tuhan kerana mengecewakan orang yang semulia ibu.
“Ika, ibu tahu kamu masih mendendami ayah tapi kita maafkanlah dia. Ika takkan tahu betapa bermaknanya dia kepada ibu. Ika marah kerana dia menyebabkan fikiran Ika terganggu semasa PMR tapi Ika mesti ingat, banyak yang telah dia lakukan semasa bersama kita. Tuhan Maha Adil terhadap hambaNya Ika. Ada hikmahnya di sebalik semua ini. Ibu pernah hidup bersamanya tahu apa yang kamu tak tahu. Ini adalah tandanya kesetiaan seorang isteri. Apabila kamu kahwin nanti kamu akan  faham.”
Panjang kata-kata ibu apabila dia melihat Dayang Atikah hanya membuang pandang ke luar tingkap. Mungkin anaknya itu masih ingat detik-detik penceraiannya dan Daud yang mengganggu pembelajarannya semasa PMR dulu.
Sesungguhnya ibu takkan faham apa yang telah dirasainya. Tanpa ayah, hidupnya bagai tidak sempurna. Namun dia tabahkan diri dan menerima seadanya keadaan yang telah ditentukan. Dia sematkan dalam hati… tanpa ayah bukanlah berakhir dunianya tetapi bermula satu kehidupan baru untuknya tanpa perlu bergantung kepada orang lain.
“Maafkan Ika ibu.” Dayang Atikah mengucup tangan ibunya bimbang segala lakunya mengecilkan hati ibu.
Khadijah mengusap-usap perlahan kepala anaknya yang tersayang itu, permatanya di dunia ini, madu dan racun tiada gantinya!
Sampai di perkarangan Hospital Seremban, Dayang Atikah perasan bahawa kereta Amjad terparking di situ. BGD 5586. Wira sedan berwarna kuning. Memang tak salah lagi. Tapi, apa yang di buatnya di situ? Dayang Atikah kehairanan.
“Abang Daud dah meninggal Kak Jah. Baru sekejap tadi…” Pak Ngah Dolah menyambut kedatangan Dayang Atikah sekeluarga dengan berita sedih itu.
Dayang Atikah terasa ada sesuatu di hatinya mendengar kata-kata Pak Ngah Dolah. Matanya berkaca. Begitu juga dengan ibu dan Kak Sari. Entah mengapa dia harus menangisi pemergian ayah yang dibencinya selama ini…
“Ayah…  maafkan Ika! Maafkan segala perbuatan Ika.”
Khadijah memeluk Dayang Atikah dan Dayang Sariah, kekuatannya.
“Sabarlah Ika, Sari. Redhakan pemergiannya.”
Dayang Atikah teresak-esak. Dia terasa begitu bersalah terhadap arwah ayahnya. Terasa tidak terampun dosanya. Dia memandang ibu yang tenang di sisi mayat arwah ayah. Mengapakah dia tidak setabah ibu?
“Pak Ngah, segala urusan telah selesai. Kita dah boleh bawa mayat ni balik.”
Dayang Atikah amat mengenali suara itu. Dia berpaling ke belakang.
Amjad?
Dayang?
Kedua-duanya terkejut.
Apa yang dia buat di sini?
Apa kaitannya dengan kematian arwah ayah?
“Eh, cikgu pun ada di sini?” Pak Cik Deris menyapa Dayang Atikah.
Dayang Atikah tersentak. Pak Cik Deris pun ada. Dia semakin keliru.
“Pakcik… kenapa pakcik boleh berada di sini? Apa hubungan pakcik dengan ayah?’
“Pakcik dengan ayah kamu dulu adalah kawan karib sebelum dia bersara dalam Angkatan Tentera Malaysia dan kami masih berhubungan walaupun telah terpisah. Kalaulah pakcik tahu kamu ini anak arwah Daud… Hmm, inilah anak saudara pakcik, Amjad.”
Dayang Atikah sekadar tersenyum. Dia sedikit kecil hati dengan kata-kata Pak Cik Deris tadi yang menyatakan bahawa dia tidak mengetahui bahaha arwah ayahnya mempunyai anak. Jika ayahnya tidak beritahu, tiada siapa akan sangka kewujudannya. Ternyata ayah tidak bercerita. Biarlah, itu kisah silam yang sudah menjadi kenangannya.
Amjad yang melihat peristiwa itu hanya terdiam. Nampaknya pertalian ini sungguh rumit. Melihatkan air mata Dayang Atikah, dia bersimpati. Ternyata gadis itu memerlukan sokongan ketika ini. Amjad cuba untuk memahami! Dia teringatkan kembali saat-saat di mana dia kehilangan insan-insan yang tersayang dalam hidupnya dulu. Bukan seorang, malah empat orang sekaligus. Ada air mata mengalir di pipinya.
Sabarlah Dayang…

Hidup ini penuh rahsia, hanya hati yang tahu segalanya namun rasa terkilan tetap ada…

“Ika, ibu rasa sudah tiba untuk kamu mengetahui apa yang terjadi sebenarnya antara ibu dan arwah ayah.”
Ibu membuka bicara ketika sedang minum petang bersama-sama Kak Sari sekeluarga, pada tarikh genap 14 hari ayah menemui Tuhannya. Dayang Atikah memberikan tumpuan.
“Terlebih dahulu ibu mohon maaf kalau apa yang bakal ibu katakan ini akan melukakan hati kamu.”
Dayang Atikah kehairanan. Dia memandang Kak Sari kalau-kalau kakaknya itu boleh membantu tetapi suasana sunyi sahaja.
“Sebenarnya, ayah tidak berkahwin lain.”
Dayang Atikah memandang ibunya meminta pengertian. Patutlah dia lihat tiada wanita sewaktu di Hospital Seremban dulu. Yang ada cuma Pak Ngah Dolah dan Pak Cik Deris. Dan juga Amjad.
“Ibu dan ayah tidak bercerai. Ayah kamu sebenarnya mengidap penyakit misteri. Sebab itulah dia membawa diri ke Seremban kerana tidak mahu membawa kemudaratan kepada kita sekeluarga. Sepanjang hayatnya dia tidak pernah melupakan kita Ika… maafkan ibu Ika kerana terpaksa merahsiakan perkara ini. Ini adalah permintaan ayah Ika bagi mengelakkan Ika hilang arah dalam hidup. Sesungguhnya arwah ayah amat menyayangi kita semua. Percalah.”
“Tak baik mendendami ayah sendiri Ika. Biarlah rohnya bersemadi dengan tenang. Kak Sari pun dah lama memaafkan ayah. Tentunya ada sebab kenapa ayah berbuat demikian.”
Dayang Atikah memeluk ibunya dan juga Kak Sari. Dia tidak tahu mengapa jiwanya manjadi sensitif jika hal berkaitan ayah dibangkitkan. Dan kini dia berazam, demi keluarganya, dia akan menjadi anak yang baik. Perkara yang lepas tidak ingin dikenangnya. Masa hadapan akan dihadapi dengan tenang dan dia akan menikmati hidup yang telah Tuhan kurniakan ini, bersama-sama ibu, Kak Sari, Abang Saif dan Batrisyah.
Janjinya…

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]