Mak
Jah dan Pak Din, serta Puan Kamsiah dan Encik Daud adalah insan-insan yang
sangat teruja, sangat gembira dengan kehamilan Zainab. Meskipun sudah ada
Delaila selaku cucu sulung, Mak Jah tidak dapat menahan perasaan sukanya untuk
menjadi nenek semula. Lapan tahun dia menanti.
Puan Kamsiah apatah lagi. Kehamilan Zainab menandakan dia akan menjadi
nenek dan suaminya akan menjadi datuk buat pertama kali. Darlina belum ada
perancangan untuk menimang cahaya mata kerana masih sibuk menguruskan PHDnya.
Dayang pun sama, dia sudah menyediakan dirinya untuk bergelar Maksu.
Zainab
mengucapkan syukur kepada Tuhan. Rupanya hikmah yang ada di sebalik
kelewatannya berumahtangga adalah begitu besar. Dia sangat bahagia dengan Daus
walaupun hubungan mereka dibataskan dengan jarak jauh. Di usia 36 tahun, Tuhan
telah melengkapkan hidup dengan meniupkan nyawa ke dalam rahimnya. Dan hidupnya
bakal sempurna dengan kelahiran buah cintanya dan Daus. Dan apa yang lebih
istimewa, Doktor Janet memberitahu dia dan Daus bakal menimang anak kembar. Dia
teringat Daus pernah berkata ingin menimang anak kembar jika diizinkan. Dan
nampaknya Tuhan mengabulkan hasrat suci itu.
Subhanallah.
Maha Suci Allah. Begitu terancang apa yang diatur untuk hambaNya.
*****
Kini
usia kandungannya sudah menjangkau enam bulan. Daus tidak membenarkan dia
memandu ke pejabat. Nasib baik Azura yang kebetulan tinggal berdekatan sudi
menumpangkannya. Sekali sekala, emak datang meneman. Dan apabila emak sudah
resah meninggalkan rumah di Bentong terlalu lama, mentuanya akan datang mengambil
alih. Daus pula akan berpindah apabila urusan penjualan DD Auto selesai. Demi
isteri tersayang dia akan mencuba peluang di Kuala Lumpur pula.
Sesungguhnya
nikmat mengandung adalah sesuatu yang teramat indah. Sungguh menakjubkan apabila
difikir ada dua jasad bergerak-gerak di dalam perutnya. Dan terkadang apabila
tidur malamnya terjaga dek tendangan orang di dalam, Zainab lantas menenangkan
diri dengan bacaan ayat-ayat suci Al Quran.
Di
pejabat pula, teman-teman sentiasa memberikan sokongan kepadanya. Jauhari
datang dengan buku-buku panduan kehamilan yang dipinjam khas dari isterinya.
Azura pula sentiasa datang merasai pergerakan di perutnya. Dan Kamal
kadang-kadang tanpa disuruh membungkuskan nasi jika dia tidak larat untuk
keluar makan. Apa tidaknya, dengan umur kandungannya begitu, dan ada dua orang
di dalamnya, dia kelihatan seperti sudah sarat benar.
Cek
Mat pula senang berkongsi pengalaman semasa arwah isterinya mengandung dulu.
Menurutnya, sepanjang tiga bulan pertama, Alya mengidam bermacam-macam perkara.
Pernah sekali pukul 12 malam, dia meminta air kelapa muda. Mujur jugak jiran
sebelah rumahnya ada sebatang pokok kelapa. Dia menebalkan muka pergi meminta. Pernah
juga terjadi dia mengidam rambutan di luar musim, dan apabila Cek Mat bersusah
payah mencari, dengan selamba dia berkata tak mahu pula. Tetapi alhamdulillah,
berbaloi segala pengorbanannya setelah kembar tiga dilahirkan walaupun terpaksa
digalang ganti dengan nyawanya sendiri.
Zainab
dapat melihat bagaimana cerianya Cek Mat jika berbicara tentang arwah
isterinya. Sinar cinta di matanya tidap pernah malap, apatah lagi untuk padam.
Dan apabila Cek Mat menasihatinya tentang itu dan ini..dia percaya Cek Mat
ikhlas membantunya… Nasib baik lah dia tidak mengidam sebegitu rupa. Cuma bila
Daus ada datang, barulah dia meminta itu atau ini. Kalau Daus tiada, tidak pula
dia mengada-ngada.
*****
Daus
memandang barangan bayi dalam kedai yang baru dimasuki. Dia baru selesai
berjumpa dengan seorang pelanggan yang mahu mendapatkan sebut harga kenderaan.
Rupa-rupanya ada bermacam-macam kelengkapan bayi yang perlu disediakan.
Tangannya mencapai stroller…pun ada bermacam-macam juga. Dia hanya tersenyum
sendiri. Matanya memandang baju-baju yang tergantung. Semuanya comel-comel. Dia
mengambil sehelai yang berwarna biru dan sehelai yang berwarna pink. Kalau
boleh semuanya dia hendak beli.
Dalam
hatinya penuh dengan bunga-bunga bahagia. Dia tidak pernah merasa seteruja ini…
Perasaan untuk bergelar ayah sangatlah sempurna. Tidak mampu dia zahirkan
dengan kata-kata. Agaknya beginilah perasaan ayah semasa mahu menyambut
kelahirannya dia dan adik-adiknya.
Pun
begitu, Daus tidak mahu membeli berlebih-lebihan. Dia mahu berkongsi saat-saat
itu dengan isterinya. Dia mahu bersama-sama dengan Zainab memilih, mengambil
dan membeli segala kelengkapan untuk anak-anaknya. Tetapi, Daus mengambil juga
dua helai baju yang tadi…menghilangkan kempunannya sementara menunggu hujung
minggu ini..
*****
‘Besarnya
perut mak su.’ Kata Delaila sambil ketawa setelah Zainab turun dari kereta. Dia
dan abang Zami akan balik kampung bersama-sama kerana emak akan membuat kenduri
kesyukuran dan solat hajat untuk keselamatannya. Keluarga mentuanya tidak turut
serta kerana masalah kesihatan.
‘Dalam
perut mak su tu ada dua baby tau.’ Daus menyampuk.
‘Dua?
Kalau macam tu Delaila nak suruh umi ada baby jugaklah.’ Aishhh…Delaila ingat
macam beli ikan kat pasar agaknya.
‘Eh
Delaila…ajak mak su masuk. Masuk Nab..Daus. Kak Aisyah belum turun lagi.’
Zamani yang tiba-tiba muncul keluar bersalaman dengan adik dan adik iparnya.
‘Macam
mana ni bang? Delaila nak baby dalam perut umi.’ Kata Daus. Zamani tergelak terkekeh-kekeh.
‘Dah
sampai masa ni bang untuk tambah ahli keluarga. Nanti kalau Nab dah bersalin,
abang dah kalah.’ Zainab pula menyampuk dia tersenyum di sisi Daus.
‘Ha
ah la papa. Delaila nak adik. Boring la asyik main sorang-sorang je.’ Giliran
Delaila pula bersuara.
‘Kalau
macam tu Laila kena tanya umi. Papa no probem.’ Zamani tertawa besar. Begitu
juga Daus dan Zainab. Itu adalah cara yang terbaik untuk melepaskan diri.
‘Apa
yang nak tanya umi ni?’ Aisyah yang baru turun tertanya-tanya.
‘Umi…papa
suruh tanya umi sebab Laila nak baby dalam perut umi macam mak su tu.’ Lancar
saja Delaila bersuara.
‘Hah….’
Aisyah tergelak besar. Sejak kebelakangan ini Delaila sering mengungkitkan hal
baby kepadanya. Sememangnya sudah layak baginya bergelar kakak.
Tiga
yang lain tergelak besar.
‘Kena
buat perancangan ni bang. Baru boleh abang lawan Nab nanti. Macam mana ni kak?’
Zainab sengaja bersuara…memberi semangat kepada Delaila.
‘Hish
korang ni… Jom jom lah.’ Aisyah segera memutuskan kata. Kalau dibiarkan jenuh
dia terkena.
‘Boleh
ye umi?’ Delaila menarik hujung baju Aisyah.
‘Iya…iya.’
Letih melayan kerenah anak, akhirnya Aisyah mengalah. Zamani yang memandang
tersenyum lebar. Dia mengenyitkan mata kepada isterinya. Sebetulnya dia pun
sudah ada rancangan untuk menambah ahli keluarga.
‘Gatal!’
Bisik Aisyah kepada Zamani yang tersengih sejak tadi. Daus menggenggam jemari
Zainab dan mereka menuju ke kereta…
‘Nanti abang sama sembahyang hajat ye…’ Kata
Zainab sambil mengenakan butang baju melayu Daus.
Sempena
kenduri kesyukuran yang akan diadakan hari ini, sembahyang hajat dan tahlil
akan dibuat di rumah itu.
‘Mestilah
sayang. Abang akan selalu mendoakan keselamatan sayang dan anak-anak kita.’
Kata Daus sambil mengucup dahi Zainab.
‘Jom bang kita keluar, tetamu dah sampai ni
agaknya.’ Zainab menuju ke dapur manakala Daus ke ruang tamu menyertai para
tetamu yang mula tiba.
Di
dapur, masing-masing sibuk menyediakan hidangan. Emak apatah lagi, ke sana ke
mari menguruskan itu dan ini. Zainab hanya mampu membalas senyuman tetamu yang
ada. Dia tidak mampu menolong apa-apa. Emak lebih dulu memberi amaran
kepadanya. Mak ngah pula berkali-kali memberi nasihat dan meminta dia menjaga
diri.
Dan
di saat imam mula mengetuai makmum untuk solat hajat, perasaan Zainab bercampur
baur. Anak-anak di dalam perutnya tidak duduk diam. Dia dapat merasakan mereka
begitu aktif dan di dalam.
Sesungguhnya
dia mahu semuanya selamat dengan izin Tuhan.
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]