Janji diikat sehidup semati, semoga bahagia kekal abadi…
Chempaka
dan Syameer mengadakan majlis perkahwinan mereka sempena cuti hujung minggu.
Pasangan itu memilih warna biru laut sebagai tema majlis mereka. Dayang Atikah
dan Amjad akan menjadi pengapit semasa majlis persandingan itu nanti. Mereka
diminta mengenakan kebaya dan baju Melayu dalam warna putih susu. Atas
permintaan Chempaka dan Syameer, mereka terpaksa akur walaupun pada mulanya
Amjad kurang bersetuju. Ternyata dia masih jauh hati dengan Dayang Atikah yang
menjadi tumpuan orang lain selain dirinya.
Dan
atas sebab cemburu itu juga mereka sudah tidak bertegur sapa hampir dua minggu.
Amjad kembali dingin dengan Dayang Atikah kerana jambangan bunga yang
diterimanya sedangkan dia tidak pernah menunjukkan perasaan cemburunya kerana
Amjad menerima kiriman nota ringkas satu masa dulu. Kalau adapun di antara
mereka bagaikan orang asing yang tidak saling mengenali. Dayang Atikah mengawal
perasaannya yang didera secara halus oleh Amjad. Dia tahu perasaan lelaki itu
namun bukan salahnya. Kalau Amjad memulakan perang terhadapnya, dia akan
membalas biar lelaki itu tahu dia bukannya barang yang boleh digunakan dan
dibiarkan sesuka hati.
Dayang
Atikah mencapai kebaya yang telah ditempahnya untuk ke majlis petang nanti.
Tudung putih digandingkan bersama. Wajahnya kelihatan ayu dan manis. Agaknya
seri pengantin turut terbias ke arahnya. Ibu yang turut datang dari Batu Pahat
juga sedang bersiap. Chempaka teringin benar untuk bertemu ibu sempena
majlisnya itu. Bukannya apa, mama dan papanya tidak dapat datang, maka sudah
tentulah dia memerlukan pengganti untuk menghilangkan debar di hatinya hari
ini. Memanglah kehadiran Dayang Atikah dapat meredakan perasaannya namun dengan
adanya ibu, Chempaka rasakan hidupnya semakin lengkap dan sempurna. Lagipun ibu
Dayang Atikah sudah dianggapnya seperti ibunya sendiri.
Malam
tadi, dengan dua kali lafaz, sahlah Chempaka menjadi permaisuri dalam hidup
Syameer. Dayang Atikah bahagia, begitu juga dengan ibunya dan beberapa teman
lain yang turut sama dalam majlis itu. Amjad yang hadir berada di belakang
Syameer dan hanya memandang sekali sekala ke arahnya yang berada di sebelah
Chempaka. Nampaknya sampai begitu sekali dia memendam rasa terhadap Dayang
Atikah. Susahkah baginya untuk berlagak selamba seperti biasa? Minta-mintalah
tiada yang perasan, Chempaka, Syameer ataupun ibunya.
Ketika
acara menepung tawar, barulah Dayang Atikah dapat melihat ada senyuman di bibir
basah Amjad. Dia tahu Amjad cuba
menyesuaikan emosinya dengan keadaan dan tidak ingin merosakkan majlis
sahabatnya itu.
Entahlah Am, aku pun tidak tahu
apakah yang akan terjadi dalam perhubungan kita ini… Andai kau berterusan
menyalahkan aku, di manakah hak aku sebagai seorang perempuan untuk cemburu
terhadapmu?
“Tahniah
Chem, Syameer. Aku doakan kebahagiaan korang berdua. Nampaknya lepas ni terpaksalah
aku tinggal sorang-sorang kat rumah tu. Maklumlah Syameer dah rampas kau dari
aku. Sedihnya.”
“Janganlah
cakap macam tu. Amjad kan
ada. Korang bila lagi? Aku doakan cepat-cepat sikit sampai jodoh korang ni. Tak
begitu ibu?”
“Kau
jangan tunggu lama-lama lagi Am. Nanti kehilangan dia, menyesal!”
Puan
Khadijah tersenyum mendengar usikan Chempaka dan suaminya.
Amjad
tersenyum mendengar apa yang dikatakan oleh Syameer itu. Kalau boleh sekarang
juga dia ingin melamar Dayang Atikah namun apakan daya…
Aku sudahpun kehilangannya Syameer!
Puan
Khadijah memandang Amjad dan Ika, anaknya. Dari firasatnya sebagai seorang ibu,
dia dapat merasakan ada yang tidak kena di antara pasangan itu. Chempaka ada
memberitahunya bahawa sejak kebelakangan ini mereka berdua telah berkawan baik
namun pada hari ini keduanya tidak ceria malah saling mengelakkan satu sama
lain. Dia cuba
mencari-cari jawapan namun fikirannya buntu…
Setelah kau pergi, aku sendiri di dalam sepi.. Bisakah yang
hilang berganti kembali?
Dayang
Atikah memandang bilik yang kosong di hadapannya. Sudah dua minggu dia
bersendirian. Chempaka meninggalkan dia dan tempat yang penuh kenangan itu dan
kini membina hidup baru bersama suaminya di Taman Morib. Pertemuan mereka hanya
di sekolah. Ternyata keadaan sekarang sudah berubah. Sesungguhnya dia amat
rindukan kehidupan yang lalu di mana dia dan Chempaka saling berkongsi suka dan
duka bersama.
Kini
Tania yang akan menyewa di rumah itu bersamanya. Sebelum ini Tania tinggal di
Kuarters SMKPI, tapi dia meminta keluar dari situ kerana tidak mahu terlalu
terikat dengan peraturan. Maklumlah gadis bandar…
Dayang
Atikah tidak kisah, mungkin dia belum kenal Tania sepenuhnya. Dia bergaul
dengan sesiapa sahaja.
Mendung hitam mengarak mega, bilakah mentari akan bersinar?
“Am,
Dayang ada sesuatu yang hendak dibicarakan dengan Am. Boleh balik dengan Dayang
petang ni?” Dayang Atikah menegur Amjad ketika lelaki itu menghulurkan senarai
peserta untuk pertandingan melakonkan drama klasik yang akan di anjurkan oleh
Kelab Bahasa.
“Kalau
cakap sekarang tak boleh ke?” Amjad menjawab. Matanya tidak memandang Dayang
Atikah.
“Dayang
perlukan suasana yang lebih privacy
daripada di sini.”
“Petang
ni Am berjanji dengan Kamarul hendak ke Kuala Lumpur.”
Dayang
Atikah mengeluh. Sesungguhnya dia tidak percaya dengan kata-kata Amjad itu. Dia
pasti bahawa lelaki itu mengelak daripada berbicara dengannya.
“Kamarul
dah bagitahu Dayang tadi, dia akan ke
PPD untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pertandingan Debat Negeri bulan
depan. Itu bukanlah alasan yang baik untuk Am mengelak dari Dayang. Kita perlu
lakukan sesuatu untuk memperbaiki hubungan kita ini.”
“Apa
yang Dayang maksudkan ni?”
“Jangan
berpura-pura Am. Hipokrit. Dayang tunggu Am di Pelabuhan pukul 5 petang nanti.”
Dayang
Atikah berlalu selepas melafazkan kata-kata itu kepada Amjad. Sedih hatinya
dengan perlakuan Amjad yang langsung tidak menghargainya. Langsung tidak
memberi peluang kepada dirinya. Di manakah Amjad yang dikenalinya dulu?
Ada
sesuatu di mejanya ketika dia sampai di bilik guru. Sejambak bunga tulip
pelbagai warna. Memang kegemarannya. Ada
putih, kuning, merah, dan merah jambu. Manarik sekali. Namun dari siapa pula
kali ini? Seperti dulu, tiada nama atau pengenalan pada kad yang disertakan
bersama jambangan itu. Sekadar coretan ringkas untuk berkenalan dengannya.
Masakan Amjad yang memberi jambangan itu? Mungkin sebagai tanda maaf? Tetapi
tiada sepatah kata yang keluar dari bibirnya tentang jambangan tersebut. Dayang
Atikah buntu dan bercelaru. Tania yang berada di mejanya dipandang.
“Tania,
kau tahu siapa yang meletakkan bunga ni di sini?”
“Tadi
aku nampak Adha yang letakkannya kat situ.”
Adha
lagi! Malas dia hendak bertanya siapa yang menghantar bunga tersebut. Dia
percaya bukan Amjad. Mungkin lelaki lain. Sayang, dia tidak berminat. Dalam
hatinya cuma ada Amjad, sama ada lelaki itu tahu atau tidak.
Jambangan
itu segera dicampakkan ke dalam tong sampah. Walaupun tulip amat digemarinya,
namun misteri begini membuatkan dia tidak suka.
Hatinya segera dibersihkan dari sebarang rasa marah dan keliru. Bibirnya
mengukir senyum. Dia memandang Tania yang sedang membungkus sesuatu dalam kotak
sebesar saiz pizza sederhana.
“Kenapa
kau buang bunga tu Dayang? Jangan kau cakap kau tak sukakan tulip jugak.”
“Malas
aku nak layan orang yang macam tu. Nak berkenalan buatlah betul-betul. Ini
tidak, hantar bunga je. Bukannya boleh makan. Hadiah untuk siapa ni?”
“Untuk
seorang teman baru.”
“Kau
tak kisah kalau aku nak tahu?”
“Mana
boleh? Tunggulah kalau dah confirm
nanti. Petang ni kau balik dengan apa?”
“Kenapa?”
“Lepas
sekolah ni aku terus nak ke Pelabuhan.”
“Teksi
kan banyak.
Aku balik dengan teksilah. Kau nak buat apa di sana?”
“Adalah,
rahsia.”
“Kau
ni tak pernah tak ada rahsia dengan aku.”
Tania
hanya tersenyum dan mengemaskan barang-barangnya. Sudah pukul 1.30 petang.
“Aku
pergi dulu.”
Dayang
Atikah hanya tersenyum memberi tindak balas kepada Tania. Teman serumahnya itu
sentiasa ceria. Tak pernah ada awan mendung dalam hidupnya.
Barang-barang
yang hendak di bawa balik dimasukkan ke dalam beg bimbitnya yang dihasilkan
daripada mengkuang, pemberian badan pengawas perpustakaan pada sambutan hari
guru yang lepas. Setelah itu dia keluar dari bilik guru. Teman-teman lain yang
ingin balik dihadiahkannya dengan senyuman. Dia segera ke tempat menunggu
teksi. Hampir 20 minit menunggu, teksi yang dinantinya tiba. Segera dia naik
dan memberitahu arah tujunya.
Namun
baru saja teksi itu bergerak, dia menukar arah untuk ke Pelabuhan. Hatinya
tergerak untuk melihat apakah yang Tania lakukan di sana. Bagaikan ada sesuatu yang menggamitnya.
Turun
dari teksi, dia mencari-cari kereta Satria GTI milik Tania. Matanya melilau ke
kiri dan kanan. Dan nun di bawah pokok ru sana,
dia ternampak kereta itu bergandingan dengan Wira Kuning. Milik siapa? Dadanya
berdebar. Dan matanya tidak pernah menipu apabila kelibat Amjad sedang tertawa
bersama Tania dilihatnya. Perasaannya menjadi tak tentu. Bagaimana pula dia
tidak tahu perhubungan Tania dengan Amjad? Patutlah semanjak dua menjak ni Amjad
tersangat-sangatlah lain, rupa-rupanya perasaan itu telah dimiliki oleh Tania.
Agaknya hadiah tadi pun untuk Amjad. Dayang Atikah terfikirkan kad yang
diterima oleh Amjad dulu.
Tania?
Sungguh dia tidak percaya perempuan itu lebih cepat memulakan langkah
berbanding dirinya…. Dayang Atikah terasa ingin menangis…
salam gan ...
ReplyDeletemenghadiahkan Pujian kepada orang di sekitar adalah awal investasi Kebahagiaan Anda...
di tunggu kunjungan balik.nya gan !