Engkau membuat hidupku bercelaru, entah bila badai resah
ini akan berlalu…
Amjad
menggaru kepalanya yang tidak gatal. Fikirannya resah mengingat kembali di
manakah dia meletakkan jam tangan pemberian Dayang Atikah pada hari jadinya
yang lalu. Seingatnya, balik dari Sabak Bernam semalam dia meletakkan jam
tersebut di dalam laci almarinya. Melihat jam di dinding, sudah 7.10 pagi.
Rasanya sudah tidak sempat untuk dia terus mencari. Bimbang pula punch cardnya bertukar merah. Tak
mengapalah. Kuat naluri hatinya mengatakan bahawa jam itu masih ada dalam
simpanannya cuma dia tidak tahu di mana letaknya. Segera dia mencapai kunci
kereta.
Balik
dari sekolah petang nanti dia akan mencari semula di manakah jam tersebut. Dia
bimbang jika Dayang Atikah ternampak dia tidak memakai jam itu sebagai satu
tanda bahawa dia sudah melupakan gadis itu. Melupakannya tidak sekali-kali. Tak
akan berlaku dalam hidupnya.
“Pak
ngah, Mak Ngah, Am pergi dulu.”
“Minum
dulu Am. Nanti kosong perut tu.”
“Tak
apalah Mak Ngah. Am dah lambat dah ni.”
Mak
Ngah Idah mengelengkan kepala melihat kelakuan Amjad yang agak janggal
kebelakangan ini. Dia memandang
suaminya. Mata mereka berkata-kata…
Bagaimana harus aku katakan agar kau mengerti?
Sewaktu
sedang mengemaskan barang untuk dibawa pulang dalam bilik guru, Dayang Atikah
didatangi oleh Laila. Gadis itu berwajah muram dan hanya tersenyum hambar bila
disapa olehnya.
“Ada apa yang cikgu boleh
bantu kamu Laila?”
“Cikgu
bergaduh dengan Abang Amjad?”
Tergamam
Dayang Atikah seketika bila disoal begitu. Dia memandang Laila dan menjawab.
“Laila,
cikgu rasa kamu tak patut tanya soalan macam tu pada cikgu. Kan tak lama lagi kamu nak SPM. Hal cikgu
dan abang sepupu kamu tu tak termasuk dalam silibus tau.”
“Tapi
cikgu, saya rasa ada sesuatu yang tak kena antara Abang Amjad dan cikgu. Saya
cuma ingin membantu. Kasihan Abang Amjad. Dia dah lain sekarang. Saya tahu dia
ada masalah.”
Macam
mana dia hendak menjelaskan situasinya sekarang kepada Laila? Dia buntu.
Tangannya melingkari bahu Laila dan mereka bergandingan keluar dari bilik guru.
“Kalau
macam tu kenapa kamu tak tanyakan dia sendiri. Tentu dia ada jawapan kepada apa
yang kamu rasakan.”
Laila
memandangnya bagai meminta pengertian yang lebih.
“Laila,
hal ni biarlah kami yang selesaikan sendiri. Cikgu berterima kasih kepada Laila
kerana mengambil berat tapi cikgu nasihatkan Laila agar menumpukan perhatian
dalam pelajaran dulu. Laila masih mentah untuk mengetahui hal-hal orang dewasa
ni. Ok?”
Anggukan
Laila membuatkan Dayang Atikah lega. Dia memeluk Laila tanda sokongan.
“Saya
sayangkan cikgu.”
Dayang
Atikah tersenyum lebar. Nasib baik ketika itu kebanyakan guru telahpun balik.
Kalau tidak boleh bikin gossip lagi.
“Cikgu
pun sayangkan kamu. Cikgu sayangkan semua pelajar-pelajar cikgu.”
“Kalau
macam tu apa kata hari ni cikgu ke rumah saya. Ayah akan ambil saya hari ni.
Mak dah lama nak jumpa cikgu.”
Ke rumah?
Dahi
Dayang Atikah berkerut. Bermacam-macam kerenah aje budak Laila ni. Macam mana
dia hendak memberikan jawapannya?
“Laila…
mana boleh macam ni? Cikgu banyak kerja yang mesti diselesaikan. Lain kali
cikgu ke rumah Laila. Boleh?”
“Tak
nak. Dah banyak kali cikgu janji dengan Laila.”
Gadis
itu merajuk nampaknya. Dayang Atikah akhirnya mengangguk. Memikirkan minggu
depan dia akan meninggalkan sekolah ini, dia bersetuju. Biarlah pemergiannya
ini meninggalkan satu memori manis yang takkan dilupakannya. Lagipun dia tahu
Amjad tiada di rumah kerana sedang berkursus di Seremban. Biarlah dia memenuhi
permintaan Laila yang selalu saja dimungkirinya.
“Tapi
sebelum tu Laila kena janji dengan cikgu jangan ungkit lagi hal cikgu dengan
Abang Amjad, tak kira pada sesiapa saja pun.”
Laila
mempamerkan senyumannya tanda bersetuju. Nun di sana kelihatan teksi milik ayahnya. Dalam
kepala Dayang Atikah berserabut dengan pelbagai persoalan…
Kenangan,
usahlah kau datang mengusik perasaanku lagi!
“Ayah, hari ni Laila bawa cikgu
balik ke rumah.”
“Betul ke cikgu? Pakcik berbesar
hati cikgu sudi ke rumah. Isteri pakcik dah lama sangat nak jumpa cikgu.
Tercapai juga hasratnya itu.”
“Si Laila ni pakcik, beria-ia
mengajak saya. Tak sampai hati pula saya nak tolak permintaannya.”
“Laila ni memang cikgu. Anak
manjalah katakan. Tapi tak mengapa. Kalau nak harapkan Amjad yang membawa cikgu
ke rumah, entah bila akan tiba masanya. Hari ni dia tak ada pulak di rumah kalau tak boleh kita kejutkan
dia. Tak begitu cikgu?”
Dia hanya tersenyum.
“Dah, Dah? Cuba tengok siapa yang
datang ni!”
“Siapa bang?”
“Inilah Dayang Atikah yang awak
teringin sangat nak jumpa tu.”
Tergambar keceriaan di wajah emak
saudara Amjad. Dayang Atikah dapat merasakan satu perasaan yang halus tatkala
memandangkan wajah itu.
Dia menyalami Mak Ngah Idah dan
mengucup tangannya.
“Akhirnya dapat jugak Mak Ngah
jumpa Dayang. Dah berbuih mulut Mak Ngah ni suruh Amjad bawa Dayang ke sini
tapi ada aje alasannya.”
“Kami masing-masing sibuk Mak Ngah.
Banyak kerja yang perlu diselesaikan.”
“Hari ni Dayang makan nasi di sini
ya. Kita masak bersama-sama nanti. Kalau Mak Ngah tahu Dayang nak datang dah
lama Mak Ngah masak.”
“Sebenarnya cikgu tak nak datang
mak tapi Laila yang paksa dia.”
“Ish tak baik Laila buat cikgu
macam tu!”
“Tak apalah Mak Ngah. Kalau saya
tak datang sekarang ni tak tahulah bila lagi saya akan ke sini.”
Dia
memasak bersama-sama dengan Mak Ngah Idah dan Laila. Mereka juga makan bersama
tengah hari itu. Gembira dan seronok bagaikan satu keluarga. Mereka begitu baik
dan mesra, agaknya sebab Pak Ngah Deris telah lama berkawan dengan arwah ayah,
sebab itulah dia langsung tidak merasa janggal. Daripada perbualan mereka,
banyak yang diketahuinya tentang Amjad. Dan banyak juga perkara yang mengganggu
fikirannya.
Dan
dia juga tidak dapat melupakan bila Mak Ngah Idah menghulurkan satu bungkusan
berbalut cantik kepadanya.
“Dah
lama Mak Ngah bernazar nak berikan pada Dayang bila kita berjumpa. Terimalah,
tak seberapa pemberian ini.”
Dayang
Atikah memeluk kain sutera pemberian Mak Ngah Idah. Mengenang kembali
kunjungannya ke rumah Mak Ngah Idah minggu lalu, hatinya diburu resah.
Sesungguhnya dia tidak tahu adakah betul kehadirannya ke sana? Bagaimana pula dengan perasaan Amjad
nanti? Bagaimana pula dengan keluarga itu jika mereka tahu sebenarnya dia hanya
berselindung tentang hubungannya dengan Amjad. Otaknya tidak dapat membuat
kesimpulan. Memikirkan itu ini, dia jadi pening.
Sampai
sekarang dia masih tidak dapat berterus terang tentang perpindahannya. Hatinya
berat untuk bersuara bimbang akan ada hati yang terluka. Dia faham harapan Mak
Ngah Idah dan Pak Ngah Deris serta Laila terhadapnya…Air matanya mengalir lagi.
Namun dia harus tabah kerana nekadnya telah bulat untuk mengundurkan diri…
Aku pergi bukan bermakna aku kalah tetapi memberi ruang
kepadamu untuk mencari diriku…
Chempaka
memandang Dayang Atikah yang sedang tersenyum memandangnya. Di dadanya ada rasa
sebak kerana hari ini adalah hari terakhir sahabatnya itu di SMK Pulau Indah.
Pertukarannya ke Batu Pahat telah berjaya dan dia akan memulakan tugas di
sekolah barunya minggu hadapan.
Sebenarnya
tidak ramai yang mengetahui pertukarannya itu kecuali pelajar tingkatan 4
Ikhlas di mana dia adalah guru tingkatan kelas tersebut, Kak Musalmah yang
menguruskan pertukarannya dan juga teman baiknya Chempaka. Semalam kelas
jagaannya itu mengadakan jamuan perpisahan untuknya. Dan hari ini Kelab Guru
pula mengadakan majlis ringkas untuknya di Bilik ERT. Perjumpaan tidak rasmi
itu sebagai tanda terima kasih warga SMKPI yang selama ini banyak menyimpan
suka-dukanya.
“Saya
berterima kasih kepada teman-teman semua
yang banyak membantu semasa saya di sini. Segala budi baik kalian tak akan saya
lupakan. Hanya Tuhan yang mampu membalasnya. Semoga silaturrahim kita akan
tetap berkekalan.” Itulah ucapan ringkasnya tatkala diminta memberikan sepatah
dua kata oleh pengerusi Kelab Guru, Cikgu Hasmida.
Guru-guru
yang hadir bersalaman dengan Dayang Atikah setelah majlis itu tamat Tania yang
tidak mengetahui akan pertukarannya itu kelihatan sugul. Dia memeluk Dayang
Atikah sebagai tanda kasih, mungkin belum sepenuhnya mengenali wanita itu.
Tengku
Mukhlis yang turut sama di majlis itu kelihatan tenang. Lelaki itu turut
menghulurkan tangan dan meminta maaf di atas segala apa yang telah di lakukannya
terhadap Dayang Atikah satu masa dulu. Kini semua orang tahu dia sedang
berbahagia dengan Cikgu Maizatul. Dayang Atikah dengan senang hati menerima
huluran tangan Tengku Mukhlis dan tidak menyimpan dendam kepada lelaki itu.
Cuma dalam hatinya masih belum mampu memaafkan Cikgu Sudin yang telah banyak
mengharu-birukan hidupnya semenjak dia mengajar di situ. Biarlah perasaan
marahnya itu berlalu bersama masa.
Buat
sekalian kali mata bundar miliknya menyoroti ke persekitaran SMKPI yang
ternyata banyak memberikan kenangan pahit manis padanya. Memandang ke wajah
teman-teman, hatinya agak terusik kerana Amjad masih belum balik dari Seremban.
Lelaki itu tiada di sini untuk menyaksikan pengundurannya…
Balik
dari sekolah, dia menelefon ke rumah Pak Ngah Deris untuk memberitahu akan
kepulangannya ke Batu Pahat. Bimbang juga seandainya dia berlalu begitu saja,
nanti kecil hati pula Mak Ngah Idah. Perasaan Laila yang akan menduduki
peperiksaan perlu juga di jaga. Jika dijelaskan dengan baik tentu mereka akan faham
kenapa dia bertukar. Bukannya dia mahu membuka pekung di dada, tetapi nampaknya
dia perlu berbohong sunat untuk menjaga hati semua orang yang disayanginya…
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]