Pergimu tanpa pesan meninggalkan kesan mendalam di hati
ini…
Amjad
memandang pelajar 4 Ikhlas yang sedang tekun menyiapkan tugasan yang diberinya
sekejap tadi. Kekosongan itu telah membuatkan fikirannya melayang mengingatkan
Dayang Atikah yang telah hampir dua minggu meninggalkan sekolah itu. Sebenarnya
bukan hanya hari ini dia mengingati gadis itu, tetapi hampir saban hari, saban
masa yang dia ada. Kehilangan Dayang Atikah begitu dirasainya.
Walaupun
Tania selalu mengambil berat tentang dirinya namun hatinya telah di bawa pergi
menyebabkab dia sudah tidak seperti dulu lagi. Hidupnya suram, tiada lagi
keceriaan dalam dirinya. Dia cuba untuk mengawal diri tapi tiada kekuatan
bersamanya. Terlalu mendalam perasaan bersalahnya pada Dayang Atikah. Dia
begitu terpukul kerana gadis itu telah berjaya meruntuhkan tembok keegoaan yang
telah banyak memberikan kesengsaraan kepada dirinya.
Kalaulah
dia tahu bahawa kehilangan jam tangan pemberian Dayang Atikah dulu adalah tanda
dia akan kehilangan Dayang Atikah, sudah tentu dia akan berusaha untuk berbuat
sesuatu. Jika tidak dapat menghalang dayang Atikah pergi, paling tidak dia
dapat menyatakan perasaannya kepada gadis itu. Namun dia lebih tega membiarkan
segala keindahan itu berlalu dari dirinya. Hanya dengan sedikit kesilapan, dia
terpaksa menanggung akibatnya kini.
Kalau
boleh dia tidak ingin ada yang lain tahu tentang penderitaannya ini. Kalau dia
mampu biarlah dia yang menanggungnya sendirian. Namun, dia tidak dapat mengelak
kerana Syameer dan Chempaka juga telah maklum tentangnya. Dan dia bersyukur
kerana mereka berdua banyak memberikan sokongan moral kepadanya.
Kring…………
Deringan
loceng memutuskan lamunannya.
Astaghfirullahalazim…
Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah aku
sedikit ketabahan!
“Terima
kasih cikgu.”
“Jangan
lupa hantar buku latihan ni ke meja saya sebelum balik nanti. Sama-sama.”
Apa jua yang mampu aku lakukan untuk membahagiakanmu,
sahabatku?
Chempaka
memandang Amjad dari jauh. Pandangannya sayu melihat langkah lelaki itu yang
longlai, tidak seperti dulu yang sentiasa penuh dengan kegembiraan dan positif.
Dia tahu ketiadaan Dayang Atikah banyak mempengaruhi hidup Amjad kini namun dia
juga tahu kisah itu terlalu rumit untuk diselesaikan. Jalan ceritanya terlalu
berselirat untuk difahami. Dia bersyukur kerana laluan hidupnya ditentukan
Tuhan sedikit lurus dan tanpa rintangan hebat begini.
Chempaka
yang terlibat secara langsung dalam perhubungan itu turut merasa kasihan
melihat temannya. Sememangnya dia sentiasa mendoakan ada jodoh di antara mereka
namun apa daya Tuhan lebih berkuasa. Dalam usia
kandungannya yang menjangkau lapan bulan, kepalanya ligat memikirkan
apakah yang boleh di lakukan untuk membantu pasangan itu.
Bayi
di dalam kandungannya tiba-tiba bergerak. Chempaka mendapat satu idea…
Di antara tiga hati kita, biarlah aku yang memendam rasa
kerana aku juga sepertinya…
Amjad
memandang Tania yang berdiri di hadapannya. Gadis itu tampak manis dengan baju
kurung bercorak batik. Angin yang berpuput di pelabuhan petang itu
membelai-belai rambutnya yang ikal mayang. Sebenarnya dia yang mengajak Tania
ke situ untuk berterus-terang kerana dia tahu gadis itu menaruh harapan
padanya. Dia tidak mahu layanannya sebagai seorang kawan di salah ertikan oleh
Tania yang mendambakan kasihnya. Mungkin dulu dia menggunakan Tania untuk
menyakiti Dayang Atikah namun kini biarlah dia berterus-terang. Apa jua balasan
yang Tania berikan padanya, akan dia terima dengan rela hati. Dia tahu,
sikapnya bukan sahaja melukakan dia dan Dayang Atikah tapi juga turut
melibatkan Tania dan beberapa orang lain lagi.
Selepas
melepaskan satu keluhan dari bibirnya, Amjad memulakan kata…
“Tania,
sebenarnya Am nak minta maaf.”
Matanya
tidak memandang Tania tapi merenung jauh ke horizon laut.
“Kenapa
baru sekarang Am berterus-terang? Kenapa tak dari dulu Am halang Tania daripada
terus hanyut dibuai perasaan sendiri? Am bukannya tidak tahu Tania menyukai Am
namun kenapa Am lakukan ini semua? Tetapi kalau Tania tahu Dayang juga
menyimpan perasaan pada Am, Tania takkan sanggup memusnahkan sebuah
persahabatan semata-mata untuk kepentingan sendiri.”
Panjang
dan perlahan nada suara Tania. Ada getaran dalam suaranya. Adakah dia sedang
menahan sesuatu?
“Am
tahu. Sebab itulah Am minta maaf. Sebenarnya Am juga menyukai Dayang tapi
banyak perkara yang tidak kena dalam perhubungan kami. Segalanya tidak berjalan
lancar. Am tahu Am terlalu ego dan cemburu dan kini Am telah menerima
akibatnya.”
“Itu
semua boleh di atasi Am. Berfikirlah secara matang. Jangan jadi budak-budak.
Kadang kala kita perlu mengorbankan apa yang ada dalam hati kita untuk
mendapatkan kebahagiaan yang diimpikan. Masih belum terlewat untuk mencapai
bahagia. Am, carilah Dayang. Tania tahu dia masih mengharapkan Am dalam
hidupnya. Pengorbanan yang dilakukannya terlalu besar dan ikhlas. Tania tahu
tak ramai perempuan macam dia. Carilah dia Am. Tania memberi sokongan.”
“Terima
kasih Tania kerana memahami Am. Kalau boleh sekarang juga Am mahu ke Batu Pahat
mencari dia namun apa daya.”
“Am,
bertuah kalau sesiapa yang dapat memiliki Dayang. Bahagiakanlah dia dan dirimu
Am.”
Sesungguhnya
dia benar-benar ikhlas ketika menuturkan kata-kata itu. baginya, Dayang Atikah
adalah seorang gadis yang tiada duanya.
“Am
doakan agar Tania akan mendapat lelaki yang lebih baik dari Am.”
Mereka
berpisah di situ dan menuju ke kereta masing-masing. Itulah laluan mereka yang
sudah tidak sehala lagi, punyai laluan yang tersendiri. Tania memandang sekilas
ke arah Amjad yang berada dalam keretanya. Dia mengukirkan senyum terakhir. Dan
bila dia berpaling dari menatap wajah lelaki itu, ada air mata mengalir di
pipinya. Itulah tanda pengorbanan kecil yang dilakukannya. Kalau dibandingkan
dengan derita Dayang Atikah, tiada bandingnya air mata itu. Jauh di sudut
hatinya masih ada perasaan sayang untuk lelaki itu namun akan dia cuba untuk
menghindarinya. Dia tidak ingin membina bahagia di atas kelukaan orang lain…
Dan
dia percaya ada hikmahnya di sebalik apa yang telah berlaku!
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]