Saturday, July 14, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 21


 
 


 
Andainya perpisahan ini yang kau pinta, semoga kau bahagia dengan dirinya…

Dayang Atikah singgah di gerai Abang Mat. Dia tidak haus tapi terasa pulak ingin minum lai chi kang. Biar reda sedikit perasaannya yang bagaikan sudah membakar diri. Tidak sangka Amjad sanggup memperlakukan dirinya seperti itu. Biarlah, kali ini dia akan bersemuka dengan Amjad dan membuat perhitungan dengannya.
“Sorang aje cikgu?” Abang Mat menegur setelah dibawanya semangkuk lai chi kang yang dipesan oleh Dayang Atikah.
“Abang Mat ada nampak orang lain ke sebelah saya ni? Siapalah yang sudi nak temankan saya.” Balas Dayang Atikah. Dia cuba berseloroh.
“Abang Mat duduk di sini boleh?”
“Duduklah Abang Mat, tak kena bayar pun. Ini kan gerai Abang Mat. Saya yang tumpang minum kat sini.”
“Cikgu, Abang Mat ni bukannya nak jadi batu api tapi rasanya  Abang Mat kena bagi tahu cikgu.”
Ternyata Abang Mat juga telah nampak apa kehadiran Amjad bersama dengan Tania di Pelabuhan itu…
“Saya rasa saya pun dah tahu apa yang Abang Mat nak bagitahu saya. Terima kasihlah kerana mengambil berat hal saya tapi saya akan cuba selesaikannya sendiri. Antara saya dengan dia tak ada apa-apa, cuma ada sedikit salah faham.”
Abang Mat tersenyum, puas hati dengan jawapan yang diberikan Dayang Atikah. Kalau boleh dia tidak mahu Dayang Atikah terluka. Memang lelaki itu sudah dianggap sebagai abangnya sendiri. Peka,  kelakar dan berhati mulia.
Dayang Atikah akan menunggu Amjad sehingga pukul 6 petang. Kalau dia tidak datang bermakna selepas ini dia takkan ada teman yang bernama Hasrul Amjad lagi. Selepas ini episod
baru akan bermula pula.
            Hm… nasib baik dia sudi datang.
Dari jauh langkahnya lemah dan longlai bagaikan membawa satu bebanan yang berat dan tidak tertanggung.
            “Terima kasih Am kerana sudi datang.”
            “Apa yang mustahaknya Dayang nak jumpa saya?”
            Saya?
            Di manakah hilangnya gantinama ‘Am’ yang selalu digunakan dulu?
“Am sudah banyak berubah sekarang. Kenapa? Apa yang telah Dayang lakukan sehingga Am jadi macam ni?”
“Saya seperti biasa aje. Apa masalah awak sebenarnya ni?”
“Saya tahu kita tak ada hubungan apa-apa kecuali sebagai seorang kawan. Dan sekarang saya tahu awak bahagia dengan Tania tapi saya perlu tahu kenapa layanan awak terhadap saya sudah tidak seperti dulu, tidak seperti seorang kawan? Saya bagaikan seorang musuh pada awak. Kenapa Am?”
Amjad memandang Dayang Atikah. Dia tergamam memikirkan bagaimana Dayang Atikah mengetahui hubungannya dengan Tania sedangkan  dia dengan gadis itu biasa saja. Hatinya lebih kepada Dayang Atikah!
“Sudahlah Dayang. Saya tahu hubungan awak dengan Tengku Mukhlis. Sakit telinga saya ni mendengar kisah awak dengan dia. Awak tak perlu berbuat begitu untuk sakitkan hati saya.”
Ya Allah, bagaimanalah aku tergamak melafazkan kata-kata itu terhadap  Dayang?
“Kenapa Tengku Mukhlis yang awak timbulkan dalam masalah kita ni? Apa hubungan saya dengan dia? Dari mana awak dengar fitnah ni semua? Saya dan Tengku Mukhlis tak ada apa-apa Am. Dan saya tak pernah berkawan pun dengan dia. Kalaupun saya ada hubungan dengan dia, apa hak awak untuk cemburu? Bagaimana pula hubungan awak dengan Tania? Adakah saya mempunyai hak untuk cemburu juga?”
Memang aku terlalu cemburu kepadamu Dayang. Aku takut jika dia akan membawamu jauh dari pandanganku…
“Awak boleh cakap apa saja Dayang. Tak payahlah menafikan. Semua orang dah tahu.” Egonya masih tinggi untuk mempertahankan dirinya sebagai seorang lelaki.
“Baiklah. Kalau awak tetap hendak menuduh saya, saya terima. Hanya Tuhan dan saya saja yang tahu apakah yang terjadi di antara kita. Ingat Am, awak telah meletakkan nokhtah dalam perhubungan kita. Dan saya harap awak boleh mengawal perasaan cemburu awak itu kerana saya bimbang Tania tidak setabah saya untuk menghadapi dugaan yang akan awak berikan kepadanya.”
Amjad tidak bersuara. Benar apa yang Dayang Atikah katakan itu. Memang perasaan cemburunya yang menjadi penyebab semua ini walaupun dia tidak inginkannya. Mengapa dia harus percaya kepada cakap Cikgu Sudin sedangkan suatu ketika dulu dia telah terkena dengan lelaki itu?
“Saya tahu siapa saya pada awak Am. Apa yang ada dalam hati dan perasaan saya takkan sama dengan apa yang orang lain fikir. Mungkin Tuhan telah takdirkan bahawa kita tidak serasi untuk berjumpa. Mungkin ada di antara kita yang patut mengundurkan diri. Dan saya memilih untuk pergi. Semoga awak berbahagia dengan Tania. Maafkan segala silap salah yang telah saya lakukan dulu. Assalamualaikum.”
 Dayang Atikah bangun, melangkah pergi dan tidak berpaling lagi sedang Amjad masih di situ. Abang Mat yang memandang hampir menumpahkan air mata mengenangkan apa yang telah berlaku ke atas Dayang Atikah. Nampaknya Tuhan belum memperkenankan doanya agar disatukan dua jiwa milik Dayang Atikah dan Hasrul Amjad!


Dirimu menggangguku setiap ketika, resah di hati bilakah sudah?

Pak Ngah Deris memandang Amjad yang termenung di jendela.. Nampaknya anak saudaranya itu seperti dibelenggu masalah. Wajahnya keruh, tidak seperti selalu. Angin petang yang damaikan seisi keluarga nampaknya tidak mampu menenangkan hatinya. Bukannya dia tidak kenal dengan Amjad. Anak arwah abang longnya itu memang tidak pandai menyorokkan perasaannya. Sedih, gembira, takut dan apa jua perasaan ditunjukkan melalui ekspresi muka. Bukannya dia tidak tahu, semenjak kebelakangan ini Amjad jarang bersuara.
“Kamu ada masalah ke Am? Pak ngah tengok kamu macam menanggung bebanan yang berat aje.” Sebagai pengganti kedua ibu bapanya, Pak Ngah Deris merasakan dia bertanggungjawab untuk mengambil tahu masalah Amjad.
“Pak ngah! Tak adalah. Banyak kerja dekat sekolah. Sukan lagi. Mana satu nak difikirkan dulu. Am tak ada apa-apa.”
Bukannya dia tidak tahu bahawa Amjad adalah anak saudaranya yang paling sukar untuk berterus-terang, malah lebih suka memendamnya dalam diam. Seperti api di dalam sekam, lama kelamaan akan menjadi abu walaupun tiada bara yang kelihatan.
“Pak ngah tahu kamu ada masalah. Tak apalah. Kalau kamu dah bersedia nanti, cari pak ngah.”
“Apa yang dua beranak ni bualkan?” Mak ngah Idah tiba-tiba menyampuk dari balik daun pintu.
“Ni ha, anak saudara awak ni. Ada masalah bukannya nak dikongsikan dengan kita. Mana airnya Dah? Abang terasa haus pulak.” Pak Ngah Derisnya bermanja dengan Mak Ngah Idah. Usia perkahwinan yang menjangkau 25 tahun tambah mengeratkan lagi penyatuan jiwa mereka.
“Abang ni. Tunggulah kejap, Laila tengah buat kat dapur tu.”
Amjad hanya memandang pak ngah dan mak ngahnya yang telah banyak berbudi kepadanya.
“Am, bila nak kenalkan Dayang Atikah dengan mak ngah? Bawaklah datang sini. Dah lama mak ngah nak jumpa dia.”
Dayang Atikah?
Bagaimanakah harus dijawab kepada mak ngahnya tentang gadis itu?
“Kami ni semuanya sibuk dengan pelbagai urusan mak ngah. Tunggulah, nanti ada masa saya bawaklah dia datang jumpa mak ngah.”
“Kamu ni kalau berjanji tak pernah ditepati. Ingat, satu hari nanti kau mesti bawa dia datang ke sini.” Kata-kata mak ngah bagaikan satu arahan yang harus dipatuhi.
“InsyaAllah.” Itulah janjinya yang terbaik untuk mak ngah.
Amjad teringat kembali perjumpaannya dengan Dayang Atikah di Pelabuhan beberapa hari lalu. Gadis itu ternyata bersemangat waja dan tabah. Perkataannya lancar dan yakin.
“Saya tahu siapa saya pada awak Am. Apa yang ada dalam hati dan perasaan saya takkan sama dengan apa yang orang lain fikir. Mungkin Tuhan telah takdirkan bahawa kita tidak serasi untuk berjumpa. Mungkin ada di antara kita yang patut mengundurkan diri. Dan saya memilih untuk pergi. Semoga awak berbahagia dengan Tania. Maafkan segala silap salah yang telah saya lakukan dulu. Assalamualaikum.”
Itulah kata-kata terakhir Dayang Atikah yang takkan dilupakannya. Mungkin Dayang Atikah tidak tahu bahawa dialah segala-galanya dalam hidup lelaki yang bernama Amjad. Namun perasaan cemburu dan ego yang tinggi menghalangnya daripada berterus terang dengan gadis itu.
“Am, air kopi. Mengelamun lagi!”
Amjad tersentak dengan tepukan pak ngah di lututnya. Laila yang memandang tersenyum simpul. Dia bagaikan tahu apa yang tersenbunyi dalam hati abang sepupunya itu. Khabar angin yang bertiup kencang di sekolah turut menarik perhatiannya…

Andainya engkau kumiliki, terdahulu… sebelumnya

Dayang Atikah menutup Quran dan mengucupnya tiga kali. Ada ketenangan yang dikecapinya setelah selesai membaca ayat-ayat suci di dalamnya. Begitulah caranya dia membebaskan diri yang bermasalah. Kalau dulu Chempaka ada untuk memegang tangan dan mendengar luahan hatinya, kini dia belajar untuk merawat lukanya sendiri. Bukannya dia tidak boleh bercerita dengan Tania tetapi gadis itu dirasakan terlalu ceria untuk berkongsi rasa suka dan dukanya.
“Dayang, cepatlah. Aku dah lapar ni.” Laungan Tania mengajaknya keluar makan malam.
Dayang Atikah tidak membalas laungan itu tetapi terus mencapai tudung dan bersiap. Dua minit kemudian dia terpacul di hadapan Tania.
“Kau ni kalau bab makan tak pernah menyempat-nyempat. Cubalah bersabar sikit.” Bebelnya.
“Aku belum makan lagi hari ni tau tak. Jom!”
Mereka berdua memasuki kereta dan menuju ke medan selera. Tempat biasa yang dikunjungi dipenuhi ramai pelanggan. Makanannya sedap dan servisnya, nombor satu!
“Kenapa ni Dayang? Aku nampak kau macam ada masalah je?”
Dayang Atikah mengerutkan dahi. Pertanyaan Tania memeranjatkannya.
“Mana ada. Pandai-pandai je kau ni.”
Tania tidak perlu tahu masalahnya. Gadis itu tidak bersalah. Walapun masalah ini melibatkan Amjad. Memang dia mengesyaki bahawa Tania menyukai Amjad dan kini Amjad dimilikinya tanpa perlu bersaing dengan sesiapa sedangkan dia hanya memiliki Amjad dalam diam. Memang bukan prinsipnya untuk memburu lelaki dan kini dia redha dengan apa yang telah terjadi…
Dan sejak kebelakangan ini dia rela menjadi pendengar setia akan cerita yang Tania timbulkan tentang Amjad… tentang kebahagiaannya dan perasaannya terhadap lelaki itu.
Chem, andainya kau ada di sisiku ketika ini, pasti kau tahu bahawa hatiku sedang menanggung luka yang dalam dan pedihnya begitu terasa…


Stylish Thankyou

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]