Kupejamkan mata, namun bila ku buka kembali, dikau telah
tiada…
Tepat
jam 6.30 petang barulah Amjad sampai di rumah. Penat dan lenguhnya masih
terasa. Nasib baiklah esok hari minggu, dapat juga dia merehatkan diri.
“Assalamuaaikum
Mak Ngah, Laila. Pak Ngah mana?” Dia menyapa Mak Ngah Idah yang berada di ruang
tamu. Laila tidak membalas pertanyaannya malah tidak memandangnya pun. Dia
kehairanan. Mesti ada apa-apa ni. Kalau tak sudah tentu gadis itu ceria
menyambut kepulangannya.
“Pak
Ngah kamu ke kedai. Am, pergi tukar baju dan mandi. Mak Ngah ada sesuatu yang
hendak di bincangkan. Kita tunggu Pak Ngah balik.”
Ada
sesuatu yang hendak dibincangkan? Apa pulak hari ni? Nampaknya sepanjang
pemergian dia ke Seremban, ada sesuatu yang telah berlaku. Dia hanya mengangguk
dan berlalu ke biliknya.
Mak
Ngah Idah memandang Amjad dengan ekor matanya. Sebagai seorang yang telah lama
mengutip pengalaman dalam hidup ini, dia perlu berhati-hati menyelami perasaan
anak muda itu. Dia tidak mahu menangguk di air keruh. Bagai menarik rambut di
dalam tepung, yang penting rambut tidak putus dan tepung tidak berselerak.
Amjad
cuba
untuk tidak berfikir apa-apa. Dia mahu lapangkan dada dan kepalanya. Lima hari berkursus sudah
banyak tenaga luar dan dalam digunakannya. Namun dia bagai dapat mengagak apa
yang akan Mak Ngah Idah katakan padanya.
Hampir
15 minit dia bersiap itu dan ini, puas hati dengan penampilannya, dia segera
keluar. Perutnya juga menyanyikan irama kelaparan. Tiba di ruang depan, ada bau
goreng pisang dan air kopi. Aroma yang semerbak menyentak seleranya. Pak Ngah
Deris dan Mak Ngah Idah membiarkan dia menikmati hidangan petang itu. Mungkin
menunggu masa yang bersesuaian untuk membuka kata.
“Sebenarnya
Am, Pak Ngah nak tanya kamu? Bagaimana
hubungan kamu dengan Dayang?” Pak Ngah Deris memula bicara setelah dia melihat
Amjad sudah selesai menikmati makanannya.
Seperti
yang dia jangkakan, hal itu juga yang Pak Ngah timbulkan.
“Macam
mana Am nak cakap dengan Pak Ngah dan Mak Ngah? Hubungan kami macam biasa
saja.”
“Kamu
berdua jangan nak kelentong Mak Ngah tau.
Mak Ngah tahu ada sesuatu yang berlaku antara. Kalau tak masakan Dayang
meminta tukar balik ke kampungnya?”
“Tukar?
Am tak tahu pun?”
“Itulah
Mak Ngah cakap ada sesuatu antara kamu. Apa sebenarnya Am? Waktu dia datang ke
sini Mak Ngah tengok dia elok aje. Alih-alih dia telefon kata nak balik ke Batu
Pahat. Cuba
cakapkan pada Mak Ngah.”
Dayang
datang ke rumah? Bila? Bagaimana pula dia hendak menerangkan kepada Pak Ngah
dan Mak Ngah sedangkan dia tidak tahu hujung dan pangkalnya semua itu.
Fikirannya teringatkan Chempaka. Tentu dia ada jawapan terhadap segala
persoalan itu. Dia bingkas bangun dan mengambil kunci keretanya.
“Nak
ke mana pula Am? Pak Ngah belum habis cakap lagi ni.”
“Am
perlu tahu apa yang terjadi Pak Ngah.”
Pelbagai
persoalan timbul di kepalanya. Ternyata Dayang Atikah terlalu terasa dengan
perlakuannya. Gadis itu benar-benar terluka sehingga betul mengotakan katanya
untuk mengundurkan diri. Rasa bersalah merantai hatinya. Sedangkan dia hanya
berbuat demikian untuk mengendurkan rasa cemburunya terhadap Tengku Mukhlis.
Ya Allah, apa yang telah aku buat
ni…
“Assalamualaikum
Chem, Syameer.”
“Waalaikumussalam.
Bila kau balik Am?”
“Aku
baru aje sampai tadi. Syameer, kalau kau tak kisah aku nak bercakap dengan
isteri kau.”
“Aku
faham Am. Yang, abang masuk dulu ya. Berterus teranglah kepada Amjad.” Tanpa
segan, Syameer menghadiahkan satu kucupan di pipi Chempaka. Gadis yang telah
sah menjadi isterinya itu tersipu-sipu. Malu barangkali diperlakukan demikian.
Bimbang jika dikatakan mahu menunjuk-nunjuk kepada tetamunya.
“Sebenarnya
Am, aku sudah terlalu lama menyimpan penderitaan Dayang. Semenjak kita semua
berjumpa, banyak yang telah berlaku. Memang dia ada memberitahuku bahawa dia
menyenangi kau tapi dia malu untuk bersuara. Dia menanti kau mengatakannya Am.
Kau tahu perasaan kau tapi kenapa kau pendamkan saja? Kau berdendam dengan dia,
Am. Sedangkan dia telah mengaku kesalahannya. Kau menghukum dia atas kesalahan
yang telah di akuinya. Mengapa Am?”
“Aku
fikir aku nak berterus-terang dengan dia selepas aku balik dari Seremban tapi
dia dah pergi dulu. Adilkah dia meninggalkan aku macam ni je?”
“Aku
rasa kau yang lebih tahu adil atau tak apa yang Dayang lakukan ini. Aku tak
akan bagitahu kenapa dia bertukar kerana ini adalah permintaannya. Dan aku rasa
kau telah maklum mengenainya.. Am, kadang kala bila kita telah kehilangan
sesuatu barulah kita tahu betapa kita memerlukannya. Dan satu pesanannya untuk
kau, dia bawa bersama tulip yang kau berikan kerana hanya itulah kenangan yang
dia ada.”
Amjad
menekup muka. Terasa berbahang bagai ada air mata yang ingin keluar namun
ditahannya. Kelemahan jangan ditunjukkan.
“Am,
kalau kau betul-betul terhadap dia, berusahalah, masih ada masa untuk kau
membaiki diri dan mendapatkannya semula. Jangan biarkan ego kau memusnahkan
hidup kamu berdua.”
“Aku
cintakan dia Chem. Aku sayangkan dia sejak mula bertemu tapi entahlah. Memang
aku yang bersalah kerana membiarkan dia terluka. Dan aku akan menebusnya. Aku
akan menggembirakan dia selagi hayat aku masih ada. Terima kasih Chem. Aku
balik dulu.”
Chempaka
memandang Amjad dengan perasaan simpati. Itulah Qada’ dan Qadar Tuhan yang
harus diredhai…Dia memanjatkan doa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan dua
temannya itu.
Setelah lama berduka di rantau orang, aku kembali ke
daerahmu…
Dayang
Atikah memeluk ibunya dari belakang ketika ibunya sedang membersihkan cawan.
Dua beranak itu baru selesai minum pagi.
“Ibu,
dah lama Ika tak rasa masakan ibu. Boleh ibu masak sambal tempe untuk Ika?”
Puan
Khadijah tersenyum lebar mendengar permintaan anaknya itu. Dayang Atikah dan
sambal tempe memang tak boleh dipisahkan.
“Jangankan
kata sambal tempe, Ika sebutkan apa saja pasti ibu sediakan.”
“Ini
yang buat Ika sayang pada ibu. Ika masuk ke bilik dulu ibu. Banyak lagi
barang-barang yang perlu dikemaskan.” Satu ciuman sayang hinggap di pipi Puan
Khadijah.
Puan
Khadijah hanya mengangguk. Dia menghantar Ika ke bilik dengan pandangan
matanya. Tangannya lincah menyediakan ramuan untuk memasak sambal tempe yang
menjadi kegemaran Dayang Atikah. Hati perempuannya merasa gembira kerana
akhirnya anak kesayangannya itu kembali jua ke pangkuan keluarga.
Di
bilik, Dayang Atikah sebenarnya lebih banyak termenung dari membuat kerja.
Fikirannya masih melayang-layang ke Pulau Indah. Terasa baru semalam dia
melapor diri di SMKPI. Dan terasa baru semalam juga segala yang bernama duka
itu berlaku. Namun sebenarnya juga dia telah menerima takdir Ilahi yang
menggariskan hidupnya begini. Setiap percaturanNya tidak pernah salah dan dia
percaya akan ada kegembiraan di sebalik kelukaannya. Dia tersenyum, cuba
merawat hatinya.
Dari
tingkap bilik itu dapat dilihat panorama indah Gunung Soga yang tersegam.
Nampak dekat tetapi berbalam menunjukkan gahnya sebagai pemasak bumi. Kalau di
waktu pagi suasananya lebih cantik. Kabus yang menyelubungi bagaikan kepingan
kapas putih yang terapung-apung di langit. Kalau ada kesempatan memang dia
tidak melepaskan peluang untuk meyaksikan matahari terbit dari balik gunung.
Indah dan nian untuk jiwa yang halus sepertinya.
Menyoroti
bilik yang telah lama ditinggalkan, banyak kenangannya. Sesungguhnya dia senang
berada dalam bilik kecil itu. Susunan perabot dan reka letak menepati citarasa
mudanya. Dan apa yang paling disayanginya adalah katil kayu yang mempunyai
palang diatasnya dan dihiasi pula dengan kain sutera putih. Terasa begitu
mendamaikan dan tenang sekali. Jiwa romantisnya sentiasa menginginkan sesuatu
yang berbaur kelembutan dan kesyahduan.
Dayang
Atikah merebahkan diri ke katilnya. Tiada perubahan yang berlaku meskipun telah
agak lama bilik itu dibiarkan kosong. Ternyata ibu sentiasa memastikan bilik
itu terjaga seperti asalnya. Dalam keletihan itu, Dayang Atikah akhirnya
terlelap. Badannya terlalu lemah setelah membuat kerja itu dan ini untuk
berpindah selama beberapa hari lalu. Mudah saja dia terlena.
Dan
dalam tidurnya itu, ada bayangan Amjad yang menjelma…
Rindukah dia kepada lelaki itu?
Di mana bumi ku pijak di situ langit ku junjung…
Hari
baru, tempat baru, Dayang Atikah membuka buku baru untuk dirinya. Azamnya untuk
memulakan lembaran baru dalam hidupnya dengan bunga-bunga riang. Kalau boleh
dia tidak ingin mengenangkan kisah lalu lagi. Air matanya kini terlalu berharga
untuknya menangisi sebuah kelukaan.
Dayang
Atikah sebenarnya kembali ke sekolah lamanya iaitu Sekolah
Menengah Kebangsaan Senggarang. Dia bersekolah di situ sehingga tamat
tingkatan lima. Dan selepas melaporkan diri kepada Pengetua pagi tadi, dia
masih dapat mengingati beberapa wajah yang pernah dikenalinya dulu. Ada di
antara bekas guru yang mengajarnya dulu masih lagi setia mengajar di situ. Dan
ada juga di antara mereka yang masih mengenalinya sebagai bekas pelajar terbaik
SMKS enam tahun lalu. Dengan pengalaman yang dia semasa di SMKPI, mudah saja
baginya menyesuaikan diri dengan tempat baru. Ada juga yang dikenalinya semasa
mengikuti Program Integrasi semasa di maktab dulu.
Buat
permulaan ini, dia hanya berkenalan dengan pelajar di sekolah itu. Proses
pengajaran dan pembelajaran masih belum di mulakan kerana seboleh-bolehnya dia
mahu mengenali para pelajarnya terlebih dahulu. Jarak sekolah dengan rumahnya
hanya lima minit. Buat masa ini dia menumpang Kak
Julia yang menjadi kaunselor sekolah
itu. Rumah mereka bersebelahan. Oleh itu ibu menyuruhnya menumpang Kak Julia
supaya dia tidak perlu berjalan kaki ke sekolah. Sebenarnya dia tidak mahu
menyusahkan sesiapa tapi bila mengenangkan azam barunya, dia terima. Lagipun,
cikgu takkan nak berjalan kaki ke sekolah?
waaaa cheq sue karang sendiri ke ni :)
ReplyDelete