Monday, November 4, 2013

C@AC 5 : Moist Chocolate Cake

 
Aloyah agak lewat hari ini. Semalam dia tak dapat tidur. Sudah beberapa hari dia berfikir tentang kek coklat lembab. Tak tahu la kenapa, terasa sangat nak makan kek coklat dengan topping yang basah-basah gitu. Jadi hampir pukul 12 tengah malam dia bangun dan membuat kek tersebut. Dia sebenarnya tidak pernah bernasib baik bila membuat kek coklat. Ada saja yang tak kena. Kek bantat, merekah, terpahit dan bermacam lagi. Sebab itulah juga dia jarang menerima tempahan kek coklat. Kalau ada pun dia tak senang duduk nak menantikan kek tersebut siap. Pernah dulu dia buat, bila saja kek tu masak, keluar saja dari oven terjatuh ke lantai dengan loyangnya sekali. Retak seribu hatinya yang sangat-sangat ingin nak merasa kek coklat. Dia bukannya penggemar kek tetapi once dia dah rasa nak makan, dia mesti dapatkan. Itulah satu perangai buruknya. Selagi belum puas hati selagi itulah dia akan cari.

Dalam pada dia dok fikir tentang kek coklat, tangannya ligat membersihkan bilik Encik Paris. Hari ini kalau ada jodoh mereka akan bertentang mata juga. Harapnya semua baik-baik aje.

‘Aloyaa, saya mahu order muffin bole ka?’

‘Muffin? Kau nak buat Sanju? Ada birthday party ke?’

‘Bukan. Saya punya appa mahu makan. Bole ka?’

‘Boleh. Bila kau nak?’

‘Esok.’

‘Esok? Mmmm boleh la.’

Aloyah mencatat tempahan Sanju di dalam buku catatannya. Dia memang sentiasa membawa buku itu ke mana-mana sahaja. Senang dia nak update dan ingat. Minggu ini ada 3 tempahan yang perlu dibuat. Setakat muffin yang ditempah Sanju, dia boleh terima sebab tak ambil masa.

‘Aliyah, masuk bilik saya sekejap.’

Nampaknya bulan ni dapat la dia menambah tabungan hasil tempahan. Sudah terbayang-bayang di matanya akan KENWOOD Mixer 3 in 1 yang pastinya dapat mempercepatkan kerja. Walau bagai mana pun dengan harganya yang berjumlah 4 angka memaksa Aloyah untuk berusaha lebih gigih.

‘Aliyah, jumpa saya sekarang.’

Mixer mixer jugak… minit mesyuarat jabatan minggu lepas perlu di siapkan hari ini. Aloyah tenang menaip sambil melayan lagu Ombak Rindu. Eh…rasa-rasa ada orang lalu tadi. Ada orang panggil dia ke? Aloyah meneruskan kerja sambil membetulkan apa yang perlu.

‘Ada sesiapa tak tak sini bernama NUR  ALIYA BT WAHAB? Dah dua kali saya panggil ni dia pekak ke hape?’

Terdengar ada suara dari bilik bos menyergah. Tersentak. Aloyah mendongakkan kepala. Nur Aliya Bt Wahab? Itu dia. Bila pulak Encik Paris ni panggil? Dan yang paling penting bila pulak dia masuk? Aikkkk… Dengan tergopoh gapah Aloyah mengambil buku catatan pejabat dan melangkah masuk ke bilik En Paris. Kurang asam betul orang kat pejabat ni, bukannya nak bagitahu dia yang bos panggil. Kak Lin dan Kak Zetty tersenyum mengejek kepadanya. Mustaza yang baru masuk dijelingnya tajam.

Aloyah bukan apa, jarang-jarang sangat yang memanggil nama sebenarnya…tu yang dia tak perasan. Aduhhh, matilah kali ni!

‘Apa masalah awak ni sampai saya panggil dua kali pun tak boleh dengar?’

Encik Paris berkata tanpa memandang ke arahnya. Amboi, dah menunjuk bossy ye…

‘Maafkan saya Encik Paris…eh Encik Fareez. Jarang ada yang panggil nama sebenar saya.’

Alamak, macam mana boleh tersasul pulak ni…

‘Kenapa? Awak ada nama glemer yang saya tak tahu ke?’

‘Encik Fareez boleh panggil saya Aloyah saja.’

Aloyah? Ahmad Fareez yang sedang menulis sesuatu mengangkat dagu. Apa punya nama ni? Zaman millennium begini ada lagi nama old fashion. Orang kampung mana dia ni? Kesian…  Saat mata bertemu, Aloyah tidak mampu mengukirkan senyum pun. Masak…masak! Ibarat kata Kak Lin. Encik Fareez memandangnya serius tanpa senyuman. Suasana sunyi seketika.

Huh…pakai tudung macam Najwa Latif. Pengaruh tv betul budak-budak sekarang ni. Nasib baik lawa… 

‘Ada apa yang saya boleh buat untuk Encik Fareez?’

‘Lain kali tolong alert sikit ya. Jangan berkhayal aje memanjang. Buatkan saya kopi. Pekat tapi kurang gula.’

Buat kopi? Aisehman, biar betul Encik Paris ni. Aloyah ingatkan nak kena buat paperwork atau laporan. Pepagi ni kopi pulak yang dimintaknya. Banyak songeh pulak tu.

‘Kenapa? Tak tahu buat ke?’

Ewah…cakap siang pandang-pandang le bang. Dia belum kenal lagi siapa Aloyah ni.

‘Tak ada masalah Encik Fareez. Saya buat sekarang.’

‘Lepas ni tak perlu saya bagitahu la ya. Setiap pagi saya memang nak minum kopi. Jangan sampai 3 4 kali panggil baru awak nak terhegeh-hegeh.’

Buat kopi ni termasuk dalam agenda tugas hariannya ke? Seingat Aloyah dah 2 bos dia berkhidmat, belum ada satu pun yang mengarahnya supaya membuat kopi atau menyediakan minuman.

‘Baiklah Encik Fareez. InsyaAllah saya tak lupa. Saya keluar dulu.’

Ahmad Fareez memandang dengan ekor mata. Aloyah? Bibirnya mengukir senyuman. Tadi nak tergelak pun ada. Baru pertama kali bersua dah kena sergah. Kesian budak tu. Pucat je muka. Ha ha ha…

‘Apasal kau kena buat air pulak Loyah? Selalu bos mintak dengan akak je.’

‘Ye ke Kak Tipah? Asal harini dia mintak dengan saya pulak?’

‘Bos nak test kau la tu. Eh, kenapa kopi?’

‘Entah…dia yang mintak.’

‘Selalu akak buatkan dia milo suam.’

Hishhh…mesti ada apa-apa Encik Paris ni. Aloyah mula curiga. Pun begitu dia hanya menurut. Air kopi seperti yang diminta telah disiapkan. Pekat tapi kurang gula. Dia tidak tahu Aloyah memang terror membuat kopi. Kalau Abang Isa atau Anney yang minum memang bertambah. Dua biji apam nasi yang dibuatnya malam tadi turut dimasukkan ke dalam piring dan diletakkan bersama-sama ke dalam dulang lalu dibawanya masuk ke dalam bilik. Encik Paris tekun meneliti dokumen di meja.

‘Ada apa-apa lagi Encik Fareez?’

‘No thanks.’

‘Mmmmm sebelum saya lupa, petang nanti Encik Fareez ada perjumpaan dengan KJ Penilaian. Pukul 2 di bilik mesyuarat Delima.’

‘Ok ok. Sebelum tu tolong siapkan saya laporan cuti bulan lepas.’

Laporan cuti? Dah silap orang Encik Paris ni. Bab cuti Kak Zetty yang uruskan. Takpelah, dia boleh tolong ambilkan.

Mintak kopi siap dapat kuih lagi. Ni dah bagus. Ahmad Fareez segera mencicip kopi air yang disediakan. Dia memang penggemar kopi. Jarang yang dapat melepasi piawaian tahap kesedapan kopinya. Tapi yang ini nampaknya lain. Rasanya tidak seperti kopi yang biasa. Aromanya kuat. Pekat tapi kurang gula. Lulus QC! Sampai setengah cawan dihirupnya. Kuih yang ada digigit separuh. Kuih apa ni? Lembut. Satu kuning dan satu hijau. Orang Kedah ke dia ni. Tak sampai lima minit habis air kopi dan kuih yang disediakan Aloyah. Bukan sahaja dia lapar tapi ternyata kopi dan kuih tu memang sedap. Dah kenyang perut baru best nak buat kerja….

‘Macam mana hari pertama ni Loyah? Ok?’

Kak Lin yang melintasi mejanya berbisik. Oooooo tadi gelakkan aku, sekarang nak korek rahsia pulak ya.

‘Ok aje kak. Macam bos yang lain-lain jugak.’

Dia harus menjaga air muka bosnya. Kalau ikutkan hati mahu saja dia bercerita tentang apa yang berlaku tetapi tak baik, mengumpat tu namanya. Dia sedaya upaya mengunci mulut. Salah satu prinsip kerja yang baik adalah menjaga maruah dan air muka bos. Dia selalu ingat pesan ayahnya.

Menginjak saja ke pukul 5, tiba masa untuk pulang. Kek coklat! Aloyah mengemas meja kerja sekali lalu. Dia tidak suka meja yang berselerak. Semua orang tahu itu. Encik Paris masih dalam pejabat. Dia baru selesai perjumpaan dengan KJ Penilaian pukul 4 tadi dia. Dan lunch ke dia? Segera Aloyah mengetuk pintu. Kelihatan Encik Paris santai dengan kemeja tanpa tali leher atau kot.

‘Encik Fareez nak apa-apa tak sebelum saya balik?’

‘No, no thanks. Awak balik la dulu. Saya ada kerja yang nak disiapkan sikit lagi.’

‘Kalau macam tu ok lah saya balik dulu.’

‘By the way Aloyah... esok jangan lupa. Errrr, belikan saya kuih sekali ya. Kuih yang tadi tu sedap.’

Beli? Banyak cantik! Aku penat mengapam malam tadi dia cakap aku beli?

‘Yes bos.’

 



Sesampainya di rumah, Aloyah mendapati Syafiza dan Badariah masih belum pulang. Punya la dia semangat nak menjamah kek coklat yang diidamkan. Setelah tudung dibuka dia bergegas ke arah peti sejuk. Hish, macam pernah nampak je muka Encik Paris tadi. Kat mana ya… Walaupun masam mencuka, serius mengalahkan Dato’ Pengarah tapi tetap terserlah kehensemannya. Uikssss. Aloyah penat berfikir. Tangan yang memegang pembuka peti sejuk tetapi belum ditarik. Dia masih cuba mengingat riak wajah Encik Paris. Sesaat kemudian dia membuka laptopnya. Tangannya lincah menekan fail external hard disk. Fail cerita Korea dan drama Boys Over Flower ditekannya. Haaaaa…serupa wajah Gu Jun Pyo dalam drama tu. Betul betul… memang iras betul dengan pelakon Korea yang nama sebenarnya adalah Lee Min Hoo. Eh eh betul la…semuanya hampir sama kecuali rambut Encik Paris yang lebih kemas. Aloyah terduduk seketika di depan laptop. Dia tak minat sangat dengan Lee Min Hoo ni. Baginya Kang Geun Suk lagi cute! Kat dalam drama tu kemain berlagak, macam Encik Paris tu jugak la. Jangan kata nak ketawa, senyum pun tidak. 



Aloyah kemudiannya ke dapur semula. Daripada memikirkan Encik Paris ataupun Lee Min Hoo atau Kang Geun Suk, lagi sedap kalau dapat menyudu kek coklat lembab yang dibasahi topping coklat. Mmmmm tak dapat dibayangkan betapa syoknya menikmati kek sejuk dalam cuaca sedikit dingin tu. Dia menarik  pintu peti sejuk ke depan. Baru saja dia membongkokkan badan untuk mengambil kek yang diletakkan di dalam pinggan, berdesup pinggan itu meluncur jatuh ke lantai. Allahuakbar! Pecah berderai pinggan kaca bercorak bunga-bunga. Aloyah terkesima melihat kek  yang berterabur di lantai. Remuk redam hatinya. Sesak nafasnya seketika. Air matanya bergenang. Ya Allah…sesungguhnya dia sangat teringin untuk makan kek coklat. Walaupun dia tidak mengidam mengandung, tetapi sesungguhnya dia mahu. Airmatanya mengalir perlahan. Sedih sungguh dia dengan insiden yang baru berlaku. Dia mengambil kain buruk untuk membersihkan sisa tumpahan. Sedih…sedih sungguh. Sukar nak diceritakan…

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]