Sunday, February 16, 2014

C@AC 21 : Karipap Pusing




Aloyah sedang cuba menyediakan karipap pusing ketika penyewa yang baru, datang membawa barang-barangnya. Setelah berbual lebih kurang, dia meneruskan aktiviti. Tinggal Syafiza yang menyambung kata dan bersembang dengan Kiki, nama glemernya. Nama tak glemer Kamsiah. Baru empat bulan berkerja di perpustakaan daerah. Boleh tahan jugak budaknya. Walaupun bertudung tapi agak stylo. Tudung ala-ala Fareeda gitu, baju kemeja dengan seluar jeans ketat. Cerah la mata mamat sebelah lepas ni.
Untuk menyediakan karipap pusing ni rupanya agak rumit jugak jika dibandingkan dengan penyediaan karipap biasa. Ada bahan A dan bahan B. Dia cuba memahamkan gambar yang dicetak dari blogKak An (Periuk Tanah). Sekali imbas memang dia tak faham walaupun sudah ditunjukkan step by step. Sebab itulah Fiza selalu kata padanya, baik beli, dua ringgit dapat 4 biji. Memang la, apa-apa pun kat dunia ni memang senang dibeli aje, bagi je duit dapat la apa yang dikehendaki. Tapi dia kena tahu juga, bila buat sendiri ni banyak untungnya. Selain dapat dikongsikan dengan orang lain, dapat pengalaman yang tak boleh dibeli di mana-mana. Buat tu samada jadi atau tak jadi, semuanya meninggalkan memori di masa depan.
Selesai menyediakan adunan A, Aloyah  membuat pula adunan B. Gandum dan marjerin aje pun. Aloyah menengok step by step sekali lagi. Tak faham. Tak faham. Nak kena buat dulu baru tahu. Macam mana nak gabungkan kedua adunan ni supaya at the end kulitnya jadi berlapis-lapis gitu. Bahagi doh A kepada 4, 6 atau 8 bahagian. Sudah, Aloyah membahagikannya kepada 8 bahagian. Doh B pun sama. Dibahagikan juga kepada 8 bahagian sama besar. Eh, pasal apa macam banyak je doh B ni, dalam gambar doh B sepatutnya lebih kecil. Aloyah melihat semula resepi. Alamak...dah silap sukatan rupanya. Sepatutnya 1.5 cawan gandum + 0.5 cawan marjerin. Rasa-rasa Aloyah, dia dah termasukkan 1.5 cawan marjerin ke dalam adunan. Aiseymannn, macam mana ni. Baru ingat nak bagi kat rumah sebelah, ataupun menghidangkannya kepada teman baru tetapi nampaknya tak boleh. Tak jadi ni... Aloyah meneruskannya dengan cara-cara menggulung. Silap adunan tak apa...yang penting dia nak tahu cara menggulung. Antara kaedahnya begini :

        i.            Doh A dicanai nipis dan di isi dengan bebola doh B. Bungkus doh A dengan doh B hingga menjadi bebola
      ii.            Doh yang telah digabungkan tadi dicanai nipis dan digulung dengan kemas. Masa ni dah jadi bentuk memanjang. Canaikan doh tersebut
    iii.            Kemudian doh yang dicanai tadi dugulung sekali lagi dan dipotong kecil-kecil dalam 1 cm. Pada masa ni adunan tu kelihatan seperti laksam yang telah dipotong.
     iv.            Daripada acuan yang dipotong kecil-kecil tadi, ianya dicanai sekali sebelum dimasukkan inti dan dikelim
       v.            Lepas tu boleh la di buat sampai habis


Mmmm camana, faham tak? Kalau tak faham boleh la google sendiri, insyaAllah banyak gambar yang akan membantu. Sakit pinggang Aloyah nak menghabiskan adunan. Satu adunan tu banyak jugak dapat. Silap adunan punya pasal, dah tak dapat nak dikongsikan dengan orang lain. Walaupun agak kecewa sekurang-kurangnya Aloyah telah mencuba dan mengetahui teknik-teknik membuatnya.

‘Assalamualaikum kakak.’
Emak menelefon Aloyah yang sedang termenung melihat karipap lapisnya. Walaupun silap haribulan, ada juga lapisnya. Bila makan rasa agak berminyak kerana dah lebih marjerin. Geram sungguh. Careless sangat.
‘Waalaikumussalam. Kenapa mak?’
‘Kakak buat apa tu? Fiza sihat?’
‘Kakak baru lepas buat karipap pusing, tapi tak jadi la mak. Fiza ada kat dalam bilik bersembang dengan kawan baru masuk.’
‘Macam mana pulak tak jadi, tak tengok resepi ke?’
‘Tengok sangat, tapi kakak terlebih masukkan marjerin. Ayah buat apa mak?’
‘Ayah pergi masjid tadi, belum balik lagi. Mak ada hal nak bagitahu kakak ni.’
‘Hal apa mak?’
‘Petang tadi ada orang datang tanyakan kakak.’
Tanya? Kenapa tanya mak? Kenapa tak terus menelefonnya?
‘Siapa? Dia tanya apa?’
‘Dia tanya la kakak dah ada kawan ke belum.’
‘Eh kakak kan ramai kawan mak. Sana sini kawan kakak.’
‘Bukan kawan tu la kakak. Dia tanya kakak dah berpunya ke belum.’
Hah...siapa pulak yang bertanya tu. Jarang-jarang dia balik ke Raub, ada jugak yang perasan akan kewujudan anak dara di rumah itu.
‘Kawan mak dari Bentong.’
‘Habis tu mak kata apa.’
‘Mak tak la bagi keputusan, mak mana tahu kakak dah ada sesiapa atau belum. Ni mak nak tanya la.’
Kalaulah mak ada di depan, tentu dia dapat lihat rona-rona merah di pipinya.
‘Kakak ada la suka pada seseorang.’
Seseorang? Terlintas wajah seseorang itu di layar mata.
‘Suka macam mana tu?’
‘Suka la mak, macam mak sukakan abah dulu.’
‘Mak dengan abah dulu lain kakak. Kami sampai saat nak kahwin pun saling tak kenal lagi.’
‘Ye ke mak?’
‘Habis, mak kena bagitahu kakak dah ada la ni.’
‘Tak apa ke mak?’
‘Dia kan baru tanya aje, bukan datang bawak cincin. Nantilah mak cakap dengan dia.’
‘Kakak minta maaf ya mak.’
‘Emak tak memaksa, mana yang baik untuk kakak emak ikut aje. Janganlah kakak risau.’

Aloyah termenung lagi setelah selesai bercakap dengan emaknya. Kali ni dia termenung bukan memikirkan tentang karipap pusing yang tidak menjadi, tetapi tentang apa yang dikatakan emak tadi. Pada umur 26 tahun, ini kali pertama dia diintai orang. Perasaannya berdebar-debar. Fuhhh...dalam kedinginan keluar jugak peluh jantan. Begini agaknya rupa saat awal untuk berumah tangga. Aloyah sebolehnya tidak mahu jodoh yang di atur, dia mahu jodoh itu datang sendiri. Dia ingin merasai saat mata bertentang dan saat hati berkata, dia yang aku mahu! Dia akui, katanya tentang seseorang itu benar. Jauh di sudut hati memang ada seseorang yang dia suka. Di saat dia melihat senyumannya, Aloyah dapat merasakan betapa getar hatinya semakin laju, bagai memberi tanda hadirnya sebuah cinta. Cuma dia tidak pasti adakah hanya dia yang bertepuk tangan sendiri.
‘Hoi, kenapa kau ni senyum sensorang?’
Sergahan Fiza mengejutkannya. Gambaran seseorang yang baru nak datang bertandang segera terbang. Kacau daun sungguh perempuan ni.
‘Ingat orang sebelah ke?’
Fiza berbisik. Bukan aku, kau tu yang sah-sah dok ingat sokmo.
‘Tak kuasa lah.’
Dia beralih ke depan tv. Nak tengok apa cerita di channel 391. Sejak dah jumpa tv Korea ni langsung dia lupa pada tv Bollywoodnya.
‘Eh, bagi cadangan sikit, minggu depan ada annual dinner. Nak pakai apa?’
‘Pakai la kebaya, mekap-mekap sikit tentu vouge. Ada tema apa-apa tak?’
‘Tema kut suka. Aku mana ada kebaya.’
‘Haaa kalau tak pun pakai je abaya yang mak beli di Mekah tu.’
Abaya? Itu adalah salah satu pakaian yang paling cantik ada dalam almarinya. Bukan macam Fiza, bermacam fesyen pakaian dia ada.
‘Ok ke?’
‘Lepas tu kau pakaila shawl macam mak arab, yang belit-belit tu.’
Nasib baik Aloyah ada sehelai shawl yang sepadan. Dihadiahkan oleh Abang Syukri semasa melancong ke Dubai.
‘Mekap biar aku sponser.’
Aloyah tak sempat meminta, Fiza dah setuju. Dia jangankan nak bermekap, bedak pun tak ada. Camana tu? Kalau ada pun tak tahan lama, sekejap aje dia semangat nak berdandan, lepas tu dia selesa tanpa mencalit apa-apa.

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]