"Laluan berliku di depan mata, cabaran di rantau kini bermula, restu ibunda mengiringi langkahnya…"
Nazirah sedang menyediakan sarapan pagi ketika Dayang Atikah keluar dari bilik. Baru pukul 7.20 pagi. Nampaknya Nazirah pergi awal ke sekolah. Dayang Atikah tersenyum. Nazirah membalas senyumannya dan mengajaknya minum sekali.
“Hari ni ada 3 orang lagi guru yang akan melapor diri bersama-sama dengan Ika. Kalau tak silap, hanya seorang lelaki sahaja.”
“Akak tahu diorang tu dari maktab mana?”
“Akak tak uruskan perkara ni. Tahu sikit-sikit aje. Ika nak jalan sekali dengan akak ke sekolah?”
“Boleh juga.”
Sebenarnya jarak rumah Nazirah ke sekolah hanya mengambil masa kurang 5 minit. Boleh juga kalau Dayang Atikah hendak ke sekolah bersendirian namun untuk pertama kali ini biarlah dia mengikut Nazirah ke sekolah. Boleh juga berkenal-kenalan dengan staf-staf pejabat dan mengenali persekitaran SMK Pulau Indah itu…dia masih ingat kata-kata ibunya. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung!
Sampai di sekolah, jam masih belum menunjukkan pukul 7.30 pagi. Masih tidak ramai guru yang hadir. Namun di ruang pejabat ada seorang guru perempuan muda yang barangkali akan melapor diri sepertinya juga. Dayang Atikah menghampiri dan senyum kepadanya.
“Dayang Atikah.”
“Charlotta Chan.”
“Melapor diri juga? Daripada mana?”
“Saya daripada Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa. Dayang?”
Buat pertama kalinya ada insan yang memanggilnya dengan nama itu. Kalau sebelum ini hanya Najhan yang menggunakan nama itu.
“Saya daripada Institut Bahasa. Charlotta, awak boleh panggil saya Ika. Formal sangat rasanya kalau dipanggil Dayang.”
“Apa salahnya. Kalau di tempat saya Dayang itu bermaksud panggilan manja kepada seseorang. Saya kira awak tentu tidak kisah dipanggil begitu.”
Dayang Atikah tersenyum lebar. Panggillah nama apapun dia tidak kisah, cuma dia tidak ingin mengimbas kembali dirinya kepada Najhan.
Seketika kemudian, sampai pula seorang perempuan yang lain, kali ini agak berusia sedikit, mungkin telah berkahwin. Mereka saling bertukar salam. Perempuan itu mengenalkan dirinya sebagai Maisarah, daripada Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu. Seperti yang dijangka, Kak Maisarah telah pun berkahwin dan memiliki dua orang anak. Katanya lagi dia menetap di perumahan yang berdekatan dengan sekolah sahaja. Jadi mudahlah baginya. Satu lagi kelebihan baginya adalah kerana tidak perlu berjauhan dengan keluarganya kerana dia memang berasal daripada Klang.
Mereka bertiga saling bertukar-tukar pandangan dan pendapat tentang pelbagai perkara. Maklumlah mereka akan melapor diri pada hari ini, maka sudah tentulah banyak perkara yang perlu di ambil kira. Sedang asyik bercakap-cakap, mereka di sapa oleh pengetua sekolah, Puan Jamaliah. Bersama-samanya adalah PK Pentadbiran, Puan Jannatun Naimah yang akan menguruskan urusan melapor diri mereka di SMK Pulau Indah.
Nazirah kata ada 4 orang. Mana lagi seorang?
“Sebelum saya mula, saya harap cikgu-cikgu semua dapat mengisikan buku rekod guru ini. Ada seorang lagi yang belum sampai. Kita tunggu dia dahulu.”
Betul seperti yang Nazirah katakan. Siapa pula dia yang hari pertama ini sudah membuat perangai?
Ketika jarum jam menunjukkan ke angka 7.55 pagi barulah gerangan yang dinanti menunjukkan diri. Saat berpandangan, Dayang Atikah menyedari bahawa lelaki itu seperti pernah dilihatnya sebelum ini. Dan ketika lelaki itu menguntumkan senyum kepadanya, barulah dia teringat. Lelaki itulah yang tersenyum padanya semasa terperangkap dalam kesesakan lalu lintas untuk ke Klang dua hari lalu. Dayang Atikah melirik tag nama lelaki itu.
Amjad…
Dia tersenyum membalas.
Keempat-empat guru yang baru melaporkan diri itu diperkenalkan kepada seluruh warga SMK Pulau Indah dan ditunjukkan tempat masing-masing di dalam bilik guru. Dayang Atikah ditempatkan di sebelah Kak Maisarah. Charlotta pula selang dua meja darinya. Amjad pula ditempatkan di bahagian meja guru lelaki. Lucu hatinya bila mengenangkan Puan Jannatun Naimah ‘membasuh’ Amjad seketika tadi.
Hasrul Amjad Bin Ibrahim. Itulah nama yang sebenarnya. Kalaulah diikutkan, memang dia telah bertolak awal ke sekolah untuk melapor diri tapi mana tahu di pertengahan jalan tadi tiba-tiba pula keretanya buat hal. Tayar belakang tiba-tiba pula pancit. Terpaksalah dia meminta pak ngah menghantarkan motor untuknya ke sekolah. Tapi Penolong Kanan sesedap aje mem’basuh’nya di depan guru-guru baru yang lain. Perempuan pula tu. Jatuh sahamnya. Terdiam pula seketika. Tambah lagi bila memikirkan ada pula perempuan yang pernah cuba diusharnya tadi…
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]