"Hadirnya tanpa diundang, perpisahan kini datang kembali…"
Hampir dua bulan merehatkan diri di rumah, Dayang Atikah menerima sepucuk surat yang dikirim oleh Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, berdasarkan alamat yang tertera di luar sampulnya. Membaca bait-bait ayat yang tertera, dia di minta untuk melapor diri di SMK Pulau Indah.
Pulau Indah?
Di manakah letaknya sekolah tersebut? Seumur hidupnya inilah baru pertama kali dia mendengar nama sekolah itu. Tambahan pula dia bukanlah anak jati yang asalnya dari Selangor, tapi jauh di selatan tanah air iaitu dari Johor. Di Batu Pahat. Atau dengan perkataan yang lebih tepat lagi di Parit Bugis.
Dia membaca surat itu sekali lagi untuk memastikan isi kandungannya. Memang sah! Ini adalah surat yang ditunggu-tunggu setelah menamatkan Kursus Perguruan Lepasan Ijazahnya di Institut Bahasa, Kuala Lumpur pada penghujung tahun lepas. Dalam hatinya tertanya-tanya di manakah kawan-kawannya yang lain ditempatkan. Dalam borang penempatan yang diisi pada bulan Jun tahun lalu, memang dia menuliskan Johor sebagai negeri pilihan kerana tidak mahu berjauhan dengan ibu dan keluarganya. Baginya cukuplah berjauhan selama hampir empat tahun di negeri orang dan hanya waktu-waktu yang tertentu dan sekejap sahaja berada di kampung halamannya. Berlainan dengan teman karibnya Karmilla yang meletakkan Sabah di kedudukan yang teratas. Dengan segera dia menelefon Karmilla untuk mengetahui di manakah temannya itu ditempatkan.
“Hello, Karmilla ada?”
“Kejap ya.”
Adik bongsu Karmilla, Kamalia menyambut panggilannya. Tersusun suaranya terlontar satu persatu. Gadis yang pendiam dan tak banyak cakap itu cukup lemah lembut orangnya. Berbeza sungguh dengan kakaknya yang sangat peramah hinggakan ada teman-teman yang lain memanggilnya Mila Murai.
“Hello, Ika. Kau dapat kat mana?”
“Eh…aku yang telefon, kau yang sibuk-sibuk. Aku tanya kau dulu.”
“Aku tak dapat ke Sabah tapi beralih arah ke timur pulak. Ke Kelantan. Apa ke namanya sekolah tu. Kejap ye aku tengok… SMK Pak Badol. Nak tergelak pun ada aku dengar nama sekolah tu. Entah macam mana nanti. Kau dapat kat mana pulak?”
“Nampaknya kita terpaksa berpisah lagilah. Aku dapat di Selangor. SMK Pulau Indah. Aku pun tak tau kat mana-mana.”
“Sedih pulak rasanya tak dapat ke Sabah. Tak dapatlah aku mengumpul duit.”
“Kau ni Mila, asyik fikirkan pasal duit aje. Aku gerenti kau dekat Kelantan nanti mesti best sampai kau dah tak nak tukar lagi dah. Aku doakan kau dapat orang sana nanti.”
“Amboi…sedapnya dia mendoakan kita. Aku pulak harap kau dapat jodoh dengan orang kat pulau sana tu.”
“Oklah Mila. Ibu aku dah baliklah. Aku nak bagitahu dia. Nanti aku telefon kau balik.”
Begitulah Dayang Atikah dan Karmilla. Persahabatan tanpa rahsia dan sempadan yang membawa mereka sama mengharungi hidup ketika suka dan duka dengan penuh harmoni dan kasih sayang. Dan kerana itu jugalah mereka sudah pun bagaikan sepasang kembar yang saling melengkapi yang lain. Sejak dari sekolah rendah hingga ke Institut Bahasa mereka bersama, tetapi mungkin penempatan kali ini bakal memisahkan mereka.
Dayang Atikah menuju ke arah ibunya dengan langkah yang longlai. Lesu jiwanya mengenangkan ibu tercinta yang bakal ditinggalkan untuk membina masa hadapan di tempat orang. Untuk kesekian kalinya dia akan meninggalkan Parit Bugis. Memang masin mulut Kak Sari yang mengatakan dia tidak akan dapat mengajar di Johor.
Muka ibunya dipandang penuh kasih. Penuh kedamaian dan keindahan bila memandang wajah yang satu ini. Dari kecil Dayang Atikah memang rapat dengan ibunya. Setelah ayah meninggalkan ibu kerana berkahwin lain, ibulah yang menjadi tempatnya meluah perasaan. Ibunya menjadi selimutnya ketika dalam kesejukan, menjadi ubatnya ketika dalam kesakitan, menjadi payungnya ketika kepanasan malah menjadi segala-gala baginya.
“Ibu, Ika dah dapat surat panggilan lapor diri.”
Suara Dayang Atikah perlahan menusuk ke gegendang telinganya. Ada sedikit debar di hatinya.
“Alhamdulillah. Di mana?”
“Selangor? SMK Pulau Indah.”
“Jauhnya…Dekat mana tu?”
Dalam diam sebenarnya Dayang Atikah tahu bahawa ibunya sedang mengawal perasaan. Ibu mana yang tidak sedih jika terpaksa melepaskan anaknya sekali lagi…
“Ibu… ibu tak kisah kan?”
Dayang Atikah menduga hati ibunya.
“Ika, tidaklah dinamakan guru jika tidak sanggup menerima cabaran dan dugaan. Ini baru dugaan yang sedikit Ika. Masih banyak yang perlu Ika tempuhi. Di mana pun Ika ditempatkan, doa ibu tetap bersama-sama Ika untuk kebahagiaan Ika dunia dan akhirat.”
Dayang Atikah memeluk ibunya erat. Dengan perasaan yang berbaur, dia menetapkan azam untuk melakukan yang terbaik agar berbaloi dengan pengorbanan kecil yang akan dilakukannya.
ayu nak minta izin save dalam draf ya..
ReplyDeletehope time tak ada pelangan ayu dapat baca
menarik cerita ni ya:)
ReplyDelete