Sunday, January 15, 2012

Misteri Cinta ~ ep. 4


 
 
"Merenung jauh ke dalam diri, adakah betul yang kuhadapi kini?"

Dayang Atikah memeriksa sekali lagi list yang telah disenaraikannya malam tadi. Hampir penuh sehelai kertas kajang itu ditulisnya dengan barang-barang yang akan di bawa ke Pulau Indah. Dia sebenarnya telah melakukan beberapa penyelidikan tentang tempat tersebut untuk memudahkan pergerakannya di sana nanti. Dari sumber maklumat yang diperolehinya, Pulau Indah sebenarnya bukanlah sebuah pulau dalam erti kata yang sebenarnya. Ia adalah satu kawasan berhampiran pinggir pantai dalam daerah Morib.  Bagaimana realitinya tidaklah dapat di gambarkan hanya mampu berdoa agar tempat itu sesempurna mungkin. Paling tidak pun ianya mempunyai rangkaian telefon untuk memudahkannya berhubungan dengan dunia luar.  Sekali lagi dia memanjatkan doanya pada Yang Esa moga dipermudahkan segala urusannya.
 
  
 
"Mata yang memandang tidakkan sama dengan hati yang merasa pedihnya…"

Dayang Atikah memandang jauh ke mata ibunya. Hari ini dia akan bertolak ke Pulau Indah. Paling sedih dan sayu apabila dia terpaksa ke sana bersendirian. Abang Saif dan Kak Sari tidak dapat menghantarnya. Ibu apatah lagi… Dia tidak biasa berjalan jauh. Tambahan pula Dayang Atikah tidak akan sanggup membiarkan ibunya kembali semula ke Batu Pahat seorang diri semata-mata mahu menghantarnya ke Pulau Indah. Lagipun, bukannya dia tidak biasa ke mana-mana sendirian. Hanya ke matrikulasi dahulu saja dia dihantar oleh Abang Saif. Itupun kerana dia dapat memasuki matrikulasi di Johor Baharu. Agaknya kalau jauh dari tempat tu memang dia terpaksa pergi seorang diri juga. Sejak ayah berpisah dengan ibu, Dayang Atikah berusaha menjadi seorang anak yang tabah dan berhati waja.
Kak Sari ada bersama-samanya pada hari ini. Menemani ibu dan menghantarnya ke Terminal Bas Batu Pahat untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur sebelum menaiki bas yang lain ke Klang. Sesungguhnya dia memahami masalah Kak Sari dan Abang Saif yang tidak dapat menghantarnya. Walaupun hanya sampai ke terminal, itu sudah cukup baik dan memadai baginya.
Dua beg besar dan satu beg sandang di bawa bersamanya pada hari itu. Selebihnya dia akan kembali semula ke Batu Pahat. Mungkin pada cuti hujng minggu untuk mengambil barang-barang yang lain. Hanya yang penting di dahulukan. Memanglah kalau boleh dia ingin membawa kesemuanya tapi memandangkan keadaan yang tidak mengizinkan, dia harus bersabar.
“Kak Sari… Ibu, Ika pergi dulu.”
“Ika, ingat apa yang ibu selalu pesankan. Jaga diri baik-baik dan pandai-pandailah bila berada di tempat orang. Ika di sana bukan untuk bersuka-suka tapi  untuk menunaikan amanah dan mendidik anak bangsa kita  menjadi insan yang berguna.”
“Ika faham ibu. InsyaAllah Ika akan ingat apa yang ibu pesankan. Janganlah ibu bimbangkan. Ibu tu, jangan lupa pula jaga kesihatan. Jangan buat  perkara berat-berat. Kak Sari pula selalulah datang menjenguk ibu. Jangan biarkan ibu keseorangan.”
“Kak Sari tahu itu Ika. Janganlah risau. Lagipun Abang Saif mungkin dapat ditukarkan ke Kluang. Kalau jadi InsyaAllah akak akan tinggal dengan ibu.”
“Alhamdulillah.”
Dayang Atikah meraih Batrisyah dalam pelukannya.
“Batrisyah jangan nakal-nakal tau. Jangan lupa pergi rumah nenek. Kasihan nenek duduk sorang-sorang. Makcik nak pergi jauh ni. Emm… sayang adik!”
Satu ciuman hinggap di pipi Batrisyah. Tanda kasih dan sayangnya.
“Sudahlah Ika. Bas dah nak jalan tu.”
Ingatan Kak Sari seperti satu arahan yang cukup kejam padanya. Saat perpisahan sudah tiba dan dia terpaksa rela. Tangan ibunya dicapai dan dikucupnya lembut. Ada air mata yang ingin mengalir tapi setabah mungkin ditahannya.
“Ika pergi dulu ibu. Kak Sari. Doakan Ika selamat.”
Khadijah tidak dapat menahan perasaannya. Ada juga air matanya yang gugur di saat melepaskan anaknya yang tersayang. Hanya doa dan restunya mengiringi perjalanan Dayang Atikah ke sana. Ciuman tanda kasih sentiasa ada di dahi Dayang Atikah. Itulah yang mengeratkan hubungan ibu dan anaknya itu.
Selepas ibunya, Kak Sari pula memeluknya. Memberikan dia kekuatan dan sokongan kala berjauhan. Selesai bersalaman dengan ibu dan kakaknya, dengan perlahan di menuju ke bas yang telah menunggu dari tadi. Sebaik berada di dalam perut bas yang akan membawanya ke Kuala Lumpur, dia menyedari bahawa dia sudah tidak punya kekuatan untuk menahan empangan matanya. Dan di saat bas itu mula bergerak meninggalkan bumi Batu Pahat, saat itulah air matanya mula mengalir. Dan apabila bayangan ibu dan kakaknya serta Batrisyah semakin menghilang, saat itulah dia menangis sepenuh perasaannya tanpa ada rasa segan dan malu kepada perempuan di sebelahnya. Biarlah… Sesungguhnya tiada orang tahu apakah yang ada di  dalam hatinya…bagaimanakah perasaannya…

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]