‘Siapa sangka kan, dalam sibuk-sibuk aku
nak bertunang dengan Mail, engkau yang berkahwin dulu.’
Fiza berkata, dalam nada membebel ketika
sama membantu Aloyah menyediakan goodies perkahwinan dalam paperbag. Dia turut
sama berada di Raub untuk majlis besar Aloyah, membantu apa yang perlu. Dengan
pertolongan emak, Kak Muna, Fiza dan Nur Fathihah yang sudah seminggu sampai di
tanah air, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Aloyah langsung tak merasa
tertekan atau keletihan membuat itu dan ini. Segala persiapa dapat dibuat
dengan sempurna. Cuma biasalah, perasaan berdebar dan gementar kerap
menghambatnya saban waktu.
‘Nak buat macam mana Fiza, jodoh dah
sampai, dah takdirnya aku yang kahwin dulu.’
Ye lah, kita hanya mampu merancang. Tapi
sebaik-baik perancangan tentulah dari Allah Yang Maha Esa. Jadi Aloyah menerima
dengan rela.
‘Kak Fiza, kakak nak kahwin dengan jiran
sebelah rumah ya?’
‘Bukan akak aje tau, tu tuan empunya
badan tu pun sama.’
‘Wah, macam bagus je ni. Nanti balik
Rusia adik pun nak skodeng jugak la siapa jiran adik kot-kot boleh buat calon
suami.’
‘Jangan kau skodeng mat saleh pulak
Fathihah, biru mata hitam mak nanti.’
‘Mat saleh tak apa jugak Fiza oi, kalau
dapat awang hitam, baru pengsan mak kita tu.’
‘Kakak tak tidur lagi?’
Emak tiba-tiba muncul dari balik pintu.
Aloyah yang ketika itu sedang menyusun barang-barang hantaran berpaling.
‘Emak pun tak tidur lagi?’
‘Emak baru siapkan bahan-bahan di dapur.
Esok tak ada la kelam kabut nak buat persiapan. Macam mana, dah sedia?’
‘Kakak takut la mak...semua ni macam
cepat sangat je berlaku.’
Hanya 2 bulan 15 hari dari majlis
merisiknya, dan 3 bulan selepas mereka menyulam cinta. Terlalu cepat rasanya.
‘InsyaAllah, semuanya akan selamat. Kakak
jangan fikir yang bukan-bukan. Emak doakan segalanya berjalan lancar.’
‘Kakak minta maaf ya mak, kalau kakak ada
sakitkan hati mak. Lepas ni kakak dah ada tanggungjawab lain, kakak dah ada
hidup kakak sendiri. Kakak harap mak restuilah kehidupan kami ya.’
‘Mak sentiasa doakan anak-anak emak.
InsyaAllah Fareez akan membahagiakan kakak.’
Mereka berpelukan. Selama 26 tahun Aloyah
ditatang bagai minyak yang penuh, dijaga penuh kasih sayang oleh kedua orang
tuanya, tetapi akhirnya akan memulakan hidup dengan orang lain pula. Sedih, memang
sangat sedih... Emak cuba menyembunyikan air matanya...
Ruang tamu sudah bertukar wajah. Dengan
majlis akad nikah yang akan di adakan di situ, telah disediakan satu pelamin
kecil buat pengantin perempuan dan di satu sudut lain pula ada tempat untuk pengantin
lelaki dan Tok Kadi. Aloyah di dalam bilik kelihatan jelita di dalam persalinan
serba putih. Wajahnya dirias nipis oleh Nur Fathihah, bakal doktor yang gemar
bersolek. Fiza turut sama menemani.
Menurut perancangan, majlis itu di
buat secara ringkas sahaja. Apabila siap akad nikah dan membatalkan air
sembahyang, kedua pihak akan bertukar barang hantaran, menjamu selera dan
meramah mesra dengan tetamu. Untuk sesi penggambaran pula, hanya sanak saudara
yang terlibat, dibuat di dalam bilik yang telah dirias indah.
Tepat jam 11 pagi, rombongan pihak lelaki
akhirnya sampai. Ahmad Fareez yang mengenakan persalinan sepadan bersila di
tempat yang dikhaskan. Di kiri kanannya ada abah, Ahmad Faqihi, Mail dan
beberapa orang yang tidak dikenali. Mama dan saudara perempuannya pula berada
di belakang. Berhadapan dengan Tok Kadi, bakal keluarga baru dan insan-insan
yang tidak dikenali, sesungguhnya saat ini memang genting. Dia sebolehnya
mengawal perasaan. Berkali-kali lafaz zikir dan selawat di baca di dalam hati.
10 minit kemudian, Aloyah dibawa keluar bertemankan emak, Fiza dan Nur Fathihah
menuju ke pelamin khasnya. Aloyah perasan ada banyak mata yang memandang. Dia
menenangkan diri, tidak mahu terikut dengan emosi. Ahmad Fareez pula sekadar
merenung ke genggaman tangannya sendiri.
Tok kadi bertanyakan persetujuan dan
meminta tanda tangannya. Dan apabila akad nikah mahu dimulakan, suasana menjadi
senyap sunyi. Tak ada sesiapapun yang bersuara.
Bismillahirrahmanirrahim... Tok kadi
memandang kedua-dua belah pihak dan menganggukkan kepala.
‘Ahmad Fareez bin Fauzi, aku nikahkan
engkau dengan Nur Aliya bt Wahab dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua
ringgit tunai...’
Ahmad Fareez menarik nafas
sedalam-dalamnya.
‘Aku terima nikahnyah Nur Aloyah....
eh...’
Senyap. Lafaz akad Ahmad Fareez terhenti.
Nur Aloyah? Nur Aliya? Aloyah? Aliyah?
Aishhhh...
Mail menolong mengesat peluh yang
tiba-tiba bermanik di dahi. Encik Fauzi menghulurkan gelas berisi air masak kepadanya.
Tangannya mengusap belakang Ahmad Fareez. Berdebar sangat ni, sampai nama pun
silap sebut. Itulah masalahnya, selalu Aloyah... Aloyah... saja.
‘Ahmad Fareez, bawa bertenang ya.
Banyakkan selawat. Bila awak dah sedia baru kita teruskan.’
Kata Tok kadi, dia menenangkan Ahmad
Fareez, dia dah selalu melalui keadaan begini ketika mahu menikahkan pasangan.
Yang lebih teruk dari ini pun dia pernah jumpa.
Aloyah mendongakkan muka. Kasihan Fareez,
merona merah wajahnya. Dia yang sebenarnya turut cemas berusaha sedaya upaya
mempamerkan riak biasa.
Hampir beberapa ketika, Tok Kadi
menyambung akad nikah yang tegendala. Jangan gopoh, jawab perlahan-lahan
insyaAllah... pesannya.
‘Ahmad Fareez bin Fauzi, aku nikahkan
engkau dengan Nur Aliya bt Wahab dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua
ringgit tunai...’
Ahmad Fareez mengambil masa...
‘Aku terima nikahnyah Nur Aloyah bt
Wahab.........’
MasyaAllah, apa sudah jadi ni? Kali ini
Ahmad Fareez tersilap lagi. Aloyah, Aloyah, Aloyah...
Majlis ditangguhkan sebentar. Ahmad
Fareez dibawa masuk ke dalam bilik tamu rumah. Tok kadi pula sempat minum kopi.
Bertenang, mintanya kepada semua tetamu. Aloyah tidak keruan, bagaimana dia
boleh membantu? Emak, Kak Muna, Nur Fathihah dan Fiza semua membantunya
bertenang. Kerapkali emak membisikkan selawat ke telinganya. Pegangan tangannya
tidak sesekali dilepaskan. Ayah dan Encik Fauzi bercakap sesuatu dengan Ahmad
Fareez. Sebentar kemudian kelihatan dia menunaikan solat sunat..memohon
diberikan kesenangan oleh yang Esa untuk memudahkan perjalanan majlisnya.
‘Macam mana? Jadi kahwin ke tak ni?’
Usik Tok Kadi bila saja Ahmad Fareez
melabuhkan duduk didepannya. Masing-masing tertawa. Ahmad Fareez tersenyum
lebar. Eh tok kadi ni, nak tanya lagi. Hilang gementarnya mendengar lawak.
Ingatkan pandai nikahkan orang aje.
‘Boleh, boleh, insyaAllah.’
‘InsyaAllah...’
Ahmad Fareez memandang Aloyah di pelamin
indah. Awak jangan risau ya, kali ni confirm awak jadi milik saya...
‘Ahmad Fareez bin Fauzi, aku nikahkan
engkau dengan NUR ALIYA BT WAHAB dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua
ringgit tunai...’
Tang nama Nur Aliya bt Wahab tu tok kadi
tekankan sikit biar lebih jelas. Masing-masing berdoa agar Ahmad Fareez
tidak lagi tersalah kata. Semuanya mahu akad nikah ini sampai kepada
penamatnya.
‘Aku terima nikahnya... Nur Aliya bt
Wahab dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua ringgit tunai...’
Sah? Sah....
Sah? Sah....
Sah? Sah....
Alhamdulillah.
Syukur pada tuhan akhirnya akad itu sudah
sempurna dilafazkan. Tok kadi membacakan doa, memanjatkan kesyukuran kerana
sebuah masjid telah terbina. Selesai Ahmad Fareez membaca taklik, cincin dan
rantai tangan sebagai simbolik membatalkan air sembahyang disarungkan. Aloyah
bersalaman, mencium tangan Ahmad Fareez buat pertama kali, yang sudah halal
menjadi miliknya, suaminya abadi. Saat Ahmad Fareez mengucup dahinya, perbagai
perasaan datang bertandang. Yang pasti ada air mata bergenang.
‘Jangan menangis, tak cantik. Simpan air
mata awak tu untuk saat-saat bahagia bersama saya dalam kehidupan kita yang
baru bermula.’
Bisik Ahmad Fareez di telinganya.
Akhirnya setelah 5 bulan 15 hari, mereka
di satukan sebagai suami esteri. Kuasa Allah...
Emak dan ayah datang dan memeluk mereka
suami isteri. Mama pula menghadiahkan cincin sebentuk sebagai tanda menerima
anak perempuan pertama. Abah juga turut sama, datang bertemu mata dengan ahli
keluarga baru secara rasminya. Masing-masing menghela nafas lega apabila urusan
berakhir sudah. Dengan tiga kali lafaz, cipta sejarah jugak dia. Abang Syukri
tak habis-habis menyakat. Katanya, abang dulu sekali jalan aje!
Sanak saudara yang lain turut mengucapkan
tahniah. Teman-teman rapat, rakan sepejabat tidak melepas peluang untuk mengucap
sesuatu. Fiza apatah lagi, tersangatlah gembira sehingga mengalir air mata. Dia
kehilangan seorang lagi rakan serumahnya selepas ini.
‘Lepas ni rombongan kita ke Kelantan
pulak ya.’
Kata emak yang sudah maklum akan
hubungannya dengan Mail.
Ø Dh selamat ke? Sori x dpt dtg majlis kau,
Aisyah alahan teruk, tak dpt ke mana2. Smg berbahagia hgga ke akhir hayat.
Sms dari Mustaza di terima.
Setelah selesai majlis bergambar,
pengantin di rai pula di khemah sebelum menuju ke meja beradab. Berselera
sungguh Ahmad Fareez menjamu selera dengan nasi pengantin, disediakan khas oleh
mak usunya. Direquest bakal anak saudara. Katanya nak makan nasi dengan opor
daging seperti yang pernah dimasak Aloyah dulu. Katanya itulah menu yang
membuatkan dia jatuh cinta.
Aloyah mengamimkan doa yang dibaca Ahmad
Fareez. Maghrib itu mereka berjemaah bersama buat pertama kali. Lain rasanya
apabila ada yang membimbing solatnya. Selama ini bersolat sendiri, berdoa
sendiri, kali ini ianya dikongsi. Sungguh menakjubkan perasaan itu, indah
menusuk ke sanubari. Itulah nikmat yang Allah beri saat bergelar suami isteri.
Sakinah, mawaddah, warahmah.
Ahmad Fareez berpusing menghadap Aloyah.
Tangannya bersatu dengan jemari Aloyah.
‘Terima kasih sebab menerima kehadiran
saya dalam hidup awak.’
‘Sama-sama.’
‘Kalau saya ada kelemahan atau
kekurangan, awak kena bagitahu saya.’
‘Awak yang kena bimbing saya Fareez.
Awaklah Syurga saya sekarang. Saya ingn mencapai redha Allah bersama dengan
redha awak.’
‘InsyaAllah...kita akan bersama mencari
redhaNya.’
Ahmad Fareez mencium kedua kelopak mata
Aloyah, dan mengucup dahinya. Lama. Dia berjanji akan menjadi suami yang
terbaik buat isterinya itu, di dunia dan juga di Syurga...
‘Kenapa ya semua panggil awak Aloyah?’
Ahmad Fareez bertanya ketika mereka
sedang berbaring di katil. Bercinta sekejap sangat, tak sempat nak tanya.
‘Kenapa?’
‘Ye la, nasib baik saya tak terus
menyebut Nur Aloyah, kalau tak, tak kahwin la kita.’
‘J risau betul saya masa tu.’
‘Saya yang nak mengakadnya, langsung
terkedu. Agaknya kecil-kecil dulu awak ni kuat nangis tak?’
‘Mana ada...saya budak baik tau.’
‘Habis tu macam mana awak dapat nama tu?
Bukan ke nama Nur Aliya tu pun sedap juga. Kenapa tak panggil Nur ke, Aliya
ke...’
‘Ayah kata arwah atok yang mula-mula
panggil Aloyah, terus kekal sampai sekarang.’
‘Saya tak nak la panggil awak Aloyah
lagi, langsung tak special. Tak ada makna.’
‘Dah tu, awak nak panggil saya apa?’
‘Mmmmm, Nur.’
‘Nur?’
‘Ha ah.. Nur, Cahaya yang akan menerangi
hidup kita selamanya....’
[TAMAT]
6.36 ptg, 23 Disember 2012