Saturday, April 26, 2014

C@AC 31 : Nasi Minyak & The Gang [TAMAT]


 

‘Siapa sangka kan, dalam sibuk-sibuk aku nak bertunang dengan Mail, engkau yang berkahwin dulu.’
Fiza berkata, dalam nada membebel ketika sama membantu Aloyah menyediakan goodies perkahwinan dalam paperbag. Dia turut sama berada di Raub untuk majlis besar Aloyah, membantu apa yang perlu. Dengan pertolongan emak, Kak Muna, Fiza dan Nur Fathihah yang sudah seminggu sampai di tanah air, Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Aloyah langsung tak merasa tertekan atau keletihan membuat itu dan ini. Segala persiapa dapat dibuat dengan sempurna. Cuma biasalah, perasaan berdebar dan gementar kerap menghambatnya saban waktu.
‘Nak buat macam mana Fiza, jodoh dah sampai, dah takdirnya aku yang kahwin dulu.’
Ye lah, kita hanya mampu merancang. Tapi sebaik-baik perancangan tentulah dari Allah Yang Maha Esa. Jadi Aloyah menerima dengan rela.
‘Kak Fiza, kakak nak kahwin dengan jiran sebelah rumah ya?’
‘Bukan akak aje tau, tu tuan empunya badan tu pun sama.’
‘Wah, macam bagus je ni. Nanti balik Rusia adik pun nak skodeng jugak la siapa jiran adik kot-kot boleh buat calon suami.’
‘Jangan kau skodeng mat saleh pulak Fathihah, biru mata hitam mak nanti.’
‘Mat saleh tak apa jugak Fiza oi, kalau dapat awang hitam, baru pengsan mak kita tu.’




‘Kakak tak tidur lagi?’
Emak tiba-tiba muncul dari balik pintu. Aloyah yang ketika itu sedang menyusun barang-barang hantaran berpaling.
‘Emak pun tak tidur lagi?’
‘Emak baru siapkan bahan-bahan di dapur. Esok tak ada la kelam kabut nak buat persiapan. Macam mana, dah sedia?’
‘Kakak takut la mak...semua ni macam cepat sangat je berlaku.’
Hanya 2 bulan 15 hari dari majlis merisiknya, dan 3 bulan selepas mereka menyulam cinta. Terlalu cepat rasanya.
‘InsyaAllah, semuanya akan selamat. Kakak jangan fikir yang bukan-bukan. Emak doakan segalanya berjalan lancar.’
‘Kakak minta maaf ya mak, kalau kakak ada sakitkan hati mak. Lepas ni kakak dah ada tanggungjawab lain, kakak dah ada hidup kakak sendiri. Kakak harap mak restuilah kehidupan kami ya.’
‘Mak sentiasa doakan anak-anak emak. InsyaAllah Fareez akan membahagiakan kakak.’
Mereka berpelukan. Selama 26 tahun Aloyah ditatang bagai minyak yang penuh, dijaga penuh kasih sayang oleh kedua orang tuanya, tetapi akhirnya akan memulakan hidup dengan orang lain pula. Sedih, memang sangat sedih... Emak cuba menyembunyikan air matanya...

Ruang tamu sudah bertukar wajah. Dengan majlis akad nikah yang akan di adakan di situ, telah disediakan satu pelamin kecil buat pengantin perempuan dan di satu sudut lain pula ada tempat untuk pengantin lelaki dan Tok Kadi. Aloyah di dalam bilik kelihatan jelita di dalam persalinan serba putih. Wajahnya dirias nipis oleh Nur Fathihah, bakal doktor yang gemar bersolek. Fiza turut sama menemani.
Menurut perancangan, majlis itu  di buat secara ringkas sahaja. Apabila siap akad nikah dan membatalkan air sembahyang, kedua pihak akan bertukar barang hantaran, menjamu selera dan meramah mesra dengan tetamu. Untuk sesi penggambaran pula, hanya sanak saudara yang terlibat, dibuat di dalam bilik yang telah dirias indah.
Tepat jam 11 pagi, rombongan pihak lelaki akhirnya sampai. Ahmad Fareez yang mengenakan persalinan sepadan bersila di tempat yang dikhaskan. Di kiri kanannya ada abah, Ahmad Faqihi, Mail dan beberapa orang yang tidak dikenali. Mama dan saudara perempuannya pula berada di belakang. Berhadapan dengan Tok Kadi, bakal keluarga baru dan insan-insan yang tidak dikenali, sesungguhnya saat ini memang genting. Dia sebolehnya mengawal perasaan. Berkali-kali lafaz zikir dan selawat di baca di dalam hati. 10 minit kemudian, Aloyah dibawa keluar bertemankan emak, Fiza dan Nur Fathihah menuju ke pelamin khasnya. Aloyah perasan ada banyak mata yang memandang. Dia menenangkan diri, tidak mahu terikut dengan emosi. Ahmad Fareez pula sekadar merenung ke genggaman tangannya sendiri.

Tok kadi bertanyakan persetujuan dan meminta tanda tangannya. Dan apabila akad nikah mahu dimulakan, suasana menjadi senyap sunyi. Tak ada sesiapapun yang bersuara.

Bismillahirrahmanirrahim... Tok kadi memandang kedua-dua belah pihak dan menganggukkan kepala.

‘Ahmad Fareez bin Fauzi, aku nikahkan engkau dengan Nur Aliya bt Wahab dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua ringgit tunai...’

Ahmad Fareez menarik nafas sedalam-dalamnya.

‘Aku terima nikahnyah Nur Aloyah.... eh...’

Senyap. Lafaz akad Ahmad Fareez terhenti.

Nur Aloyah? Nur Aliya? Aloyah? Aliyah? Aishhhh...

Mail menolong mengesat peluh yang tiba-tiba bermanik di dahi. Encik Fauzi menghulurkan gelas berisi air masak kepadanya. Tangannya mengusap belakang Ahmad Fareez. Berdebar sangat ni, sampai nama pun silap sebut. Itulah masalahnya, selalu Aloyah... Aloyah... saja.

‘Ahmad Fareez, bawa bertenang ya. Banyakkan selawat. Bila awak dah sedia baru kita teruskan.’
Kata Tok kadi, dia menenangkan Ahmad Fareez, dia dah selalu melalui keadaan begini ketika mahu menikahkan pasangan. Yang lebih teruk dari ini pun dia pernah jumpa.

Aloyah mendongakkan muka. Kasihan Fareez, merona merah wajahnya. Dia yang sebenarnya turut cemas berusaha sedaya upaya mempamerkan riak biasa.

Hampir beberapa ketika, Tok Kadi menyambung akad nikah yang tegendala. Jangan gopoh, jawab perlahan-lahan insyaAllah... pesannya.

‘Ahmad Fareez bin Fauzi, aku nikahkan engkau dengan Nur Aliya bt Wahab dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua ringgit tunai...’

Ahmad Fareez mengambil masa...

‘Aku terima nikahnyah Nur Aloyah bt Wahab.........’

MasyaAllah, apa sudah jadi ni? Kali ini Ahmad Fareez tersilap lagi. Aloyah, Aloyah, Aloyah...

Majlis ditangguhkan sebentar. Ahmad Fareez dibawa masuk ke dalam bilik tamu rumah. Tok kadi pula sempat minum kopi. Bertenang, mintanya kepada semua tetamu. Aloyah tidak keruan, bagaimana dia boleh membantu? Emak, Kak Muna, Nur Fathihah dan Fiza semua membantunya bertenang. Kerapkali emak membisikkan selawat ke telinganya. Pegangan tangannya tidak sesekali dilepaskan. Ayah dan Encik Fauzi bercakap sesuatu dengan Ahmad Fareez. Sebentar kemudian kelihatan dia menunaikan solat sunat..memohon diberikan kesenangan oleh yang Esa untuk memudahkan perjalanan majlisnya.

‘Macam mana? Jadi kahwin ke tak ni?’
Usik Tok Kadi bila saja Ahmad Fareez melabuhkan duduk didepannya. Masing-masing tertawa. Ahmad Fareez tersenyum lebar. Eh tok kadi ni, nak tanya lagi. Hilang gementarnya mendengar lawak. Ingatkan pandai nikahkan orang aje.
‘Boleh, boleh, insyaAllah.’
‘InsyaAllah...’

Ahmad Fareez memandang Aloyah di pelamin indah. Awak jangan risau ya, kali ni confirm awak jadi milik saya...

‘Ahmad Fareez bin Fauzi, aku nikahkan engkau dengan NUR ALIYA BT WAHAB dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua ringgit tunai...’

Tang nama Nur Aliya bt Wahab tu tok kadi tekankan sikit biar lebih jelas. Masing-masing  berdoa agar Ahmad Fareez tidak lagi tersalah kata. Semuanya mahu akad nikah ini sampai kepada penamatnya.

‘Aku terima nikahnya... Nur Aliya bt Wahab dengan maskahwin sebanyak dua puluh dua ringgit tunai...’

Sah? Sah....
Sah? Sah....
Sah? Sah....

Alhamdulillah.

Syukur pada tuhan akhirnya akad itu sudah sempurna dilafazkan. Tok kadi membacakan doa, memanjatkan kesyukuran kerana sebuah masjid telah terbina. Selesai Ahmad Fareez membaca taklik, cincin dan rantai tangan sebagai simbolik membatalkan air sembahyang disarungkan. Aloyah bersalaman, mencium tangan Ahmad Fareez buat pertama kali, yang sudah halal menjadi miliknya, suaminya abadi. Saat Ahmad Fareez mengucup dahinya, perbagai perasaan datang bertandang. Yang pasti ada air mata bergenang.
‘Jangan menangis, tak cantik. Simpan air mata awak tu untuk saat-saat bahagia bersama saya dalam kehidupan kita yang baru bermula.’
Bisik Ahmad Fareez di telinganya.
Akhirnya setelah 5 bulan 15 hari, mereka di satukan sebagai suami esteri. Kuasa Allah...
Emak dan ayah datang dan memeluk mereka suami isteri. Mama pula menghadiahkan cincin sebentuk sebagai tanda menerima anak perempuan pertama. Abah juga turut sama, datang bertemu mata dengan ahli keluarga baru secara rasminya. Masing-masing menghela nafas lega apabila urusan berakhir sudah. Dengan tiga kali lafaz, cipta sejarah jugak dia. Abang Syukri tak habis-habis menyakat. Katanya, abang dulu sekali jalan aje!

Sanak saudara yang lain turut mengucapkan tahniah. Teman-teman rapat, rakan sepejabat tidak melepas peluang untuk mengucap sesuatu. Fiza apatah lagi, tersangatlah gembira sehingga mengalir air mata. Dia kehilangan seorang lagi rakan serumahnya selepas ini.
‘Lepas ni rombongan kita ke Kelantan pulak ya.’
Kata emak yang sudah maklum akan hubungannya dengan Mail.

Ø  Dh selamat ke? Sori x dpt dtg majlis kau, Aisyah alahan teruk, tak dpt ke mana2. Smg berbahagia hgga ke akhir hayat.

Sms dari Mustaza di terima.

Setelah selesai majlis bergambar, pengantin di rai pula di khemah sebelum menuju ke meja beradab. Berselera sungguh Ahmad Fareez menjamu selera dengan nasi pengantin, disediakan khas oleh mak usunya. Direquest bakal anak saudara. Katanya nak makan nasi dengan opor daging seperti yang pernah dimasak Aloyah dulu. Katanya itulah menu yang membuatkan dia jatuh cinta.

Aloyah mengamimkan doa yang dibaca Ahmad Fareez. Maghrib itu mereka berjemaah bersama buat pertama kali. Lain rasanya apabila ada yang membimbing solatnya. Selama ini bersolat sendiri, berdoa sendiri, kali ini ianya dikongsi. Sungguh menakjubkan perasaan itu, indah menusuk ke sanubari. Itulah nikmat yang Allah beri saat bergelar suami isteri. Sakinah, mawaddah, warahmah.

Ahmad Fareez berpusing menghadap Aloyah. Tangannya bersatu dengan jemari Aloyah.
‘Terima kasih sebab menerima kehadiran saya dalam hidup awak.’
‘Sama-sama.’
‘Kalau saya ada kelemahan atau kekurangan, awak kena bagitahu saya.’
‘Awak yang kena bimbing saya Fareez. Awaklah Syurga saya sekarang. Saya ingn mencapai redha Allah bersama dengan redha awak.’
‘InsyaAllah...kita akan bersama mencari redhaNya.’
Ahmad Fareez mencium kedua kelopak mata Aloyah, dan mengucup dahinya. Lama. Dia berjanji akan menjadi suami yang terbaik buat isterinya itu, di dunia dan juga di Syurga...

‘Kenapa ya semua panggil awak Aloyah?’
Ahmad Fareez bertanya ketika mereka sedang berbaring di katil. Bercinta sekejap sangat, tak sempat nak tanya.
‘Kenapa?’
‘Ye la, nasib baik saya tak terus menyebut Nur Aloyah, kalau tak, tak kahwin la kita.’
‘J risau betul saya masa tu.’
‘Saya yang nak mengakadnya, langsung terkedu. Agaknya kecil-kecil dulu awak ni kuat nangis tak?’
‘Mana ada...saya budak baik tau.’
‘Habis tu macam mana awak dapat nama tu? Bukan ke nama Nur Aliya tu pun sedap juga. Kenapa tak panggil Nur ke, Aliya ke...’
‘Ayah kata arwah atok yang mula-mula panggil Aloyah, terus kekal sampai sekarang.’
‘Saya tak nak la panggil awak Aloyah lagi, langsung tak special. Tak ada makna.’
‘Dah tu, awak nak panggil saya apa?’
‘Mmmmm, Nur.’
‘Nur?’
‘Ha ah.. Nur, Cahaya yang akan menerangi hidup kita selamanya....’

 [TAMAT]

6.36 ptg, 23 Disember 2012

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]