Sunday, April 6, 2014

C@AC 27 : Nasi Mandhy & The Gang



Selain Fiza, hubungan Aloyah dan Ahmad Fareez yang baru bermula tidak didedahkan kepada sesiapa. Itu permintaan Aloyah, dia tidak mahu dikata mengambil kesempatan. Sebagai PA, dia tidak mahu dikata sambil berkerja sambil mencari cinta. Lagi pula dia tidak mahu mengecilkan hati Mustaza yang menyimpan perasaan terhadapnya. Dia mahu mencari masa terbaik untuk memberitahu Mus. Dia dan Encik Paris tentunya. Seboleh-bolehnya dia tak mahu ada sesiapa yang akan terluka. Mustaza dia sayang, Encik Paris terlebih sayang la tentunya.
‘Korang tahu tak Mus dah bertunang?’
Kak Tipah datang membawa berita. Rata-rata yang berada di pejabat melihat kepadanya. Terkejut dengan apa yang disampaikan, mereka semua menagih penjelasan.
‘Iya, jiran akak kawan emak dia. Dia pergi la majlis tu. Ada gambarnya ditunjukkan pada akak.’
Angin tak ada, ribut tak ada, tetiba saja Mustaza bertunang.
Aloyah cuba mendail nombor Mustaza. Inginkan kepastian. Tetapi setelah berapa ketika panggilannya tidak bersambut. Kalau ikutkan cerita Kak Tipah ni boleh jadi jugak, tiba-tiba saja dia mengambil cuti 2 minggu. Pelik tapi benar.

Ø  Mus dh b’tunang btl ke?
o   Siapa bgthu awk
Ø  K.tipah
o   Sy pn x tahu apa2
Ø  Dh call dia tp x angkt
o   Nnti la sy cb tya plk

Pelik, takkanlah housemate sendiri pun tak tahu. Aloyah termenung di kerusi. Hilang semangatnya untuk menyiapkan laporan mesyuarat semalam.
‘Ada surat kau.’
Tiba-tiba Kak Zetty menghulurkan sekeping surat bersampul putih kepadanya. Dari setemnya, surat itu diposkan dari Ipoh. Aloyah pantas mengoyak bahagian hujungnya.

Assalamualaikum wbt.
Kepada Aloyah yang diingati, aku minta maaf atas segala yang terjadi. Semua ini berlaku di luar kemahuan aku. Sejujurnya aku katakan, aku tidak tahu bila aku mulai sukakan kau. Dengan tiba-tiba sahaja aku mengharapkan kau lebih dari seorang sahabat yang dapat berkongsi segala suka dan duka yang aku alami. Sudah lama aku ingin berterus terang tetapi waktu tidak pernah ada.
Akulah yang meletakkan segala benda di atas meja engkau. Betapa sedihnya waktu itu apabila engkau hanya membiarkan saja. Terluka tau bila melihat semuanya menjadi milik Sanju ataupun bila tong sampah menjadi destinasi terakhir. Aku mengharapkan engkau suka dan faham tetapi rupanya tidak begitu. Kau tak mengerti hati seorang lelaki.
Rupanya aku bersaing dengan temanku sendiri. Fareez punya segala-galanya yang aku tiada. Aku tahu dia sukakan engkau sejak peristiwa kita makan malam di hotel dulu. Bila dia tidak mengizinkan kau untuk duduk di sebelah aku, dan kemudian korang berdua bersama naik ke pentas untuk menerima Stars Of Tonight, aku sudah perasan bagaimana pandangan matanya pada kau. Dan yang lebih pedih lagi apabila aku melihat pandangan mata kau pada dia, penuh dengan bunga-bunga cinta yang tidak ada apabila kau memandang aku.
Aku bersalah Loyah, aku bersalah kerana menyukai engkau.  Dan hari semalam, aku telah pun bertunang dengan gadis pilihan keluargaku. Sebenarnya aku ingin membawa engkau sebagai calon isteriku tetapi oleh kerana aku tidak mampu, maka aku harus menerima calon pilihan ibuku seperti yang telah kami persetujui. Siti Aisyah namanya. Kau datanglah pada majlis walimah kami bulan depan. Aku mengharapkan aku dapat menerima dia seperti mana perasaanku pada kau. Dan aku mendoakan kau berbahagia dengan Fareez.
Untuk pengetahuan kau juga, permohonan perpindahan aku ke Ipoh juga telah diluluskan. Jadi, aku takkan berada di sana untuk terus menaruh harapan pada kau. Seandainya ini yang telah Allah tetapkan, aku terima dengan hati ikhlas dan redha. Dan yang pastinya aku akan merindui apa yang engkau masak.
Semoga selepas ini kita dapat menjernihkan apa yang keruh. Izinkan aku untuk terus bersahabat dengan engkau dan Fareez. Dan sekali lagi aku mendoakan perhubungan kau dengan Fareez berkekalan hingga ke akhir hayat. Dia lelaki yang baik, insyaAllah dapat membahagiakan kau dunia akhirat.

Salam seorang sahabat,
Mustaza

Aloyah tidak berkongsi surat itu dengan Encik Paris. Kebetulan juga lelaki itu sedang bermesyuarat di Bentong. Dia cuma menghantar sms dan memberitahu apa yang mahu Mustaza sampaikan. Agak sedih juga bila mengetahui perasaan sebenar Mustaza. Apa nak buat. Hal hati dan perasaan ni bukannya boleh dipaksa. Dia tidak boleh menyayangi Mustaza kerana kasihan. Sebenarnya, Allah telah menetapkan yang terbaik untuk hambaNya. Perancangannya adalah yang terbaik. Memang dia akui, sudah lama dia mengenali Mustaza, lelaki yang sering ditemui saban hari tetapi hatinya terbuka pada Encik Paris yang baru saja beberapa bulan berkerja di situ. Itulah jodoh namanya, ketentuan tuhan.

Ø  Sy terima surat Mus
o   Apa ktnya
Ø  Dia kt dia sukakn sy
o   Awk mcm mana?
Ø  Sy tk ada apa perasaan pd dia
o   Dh jodoh awk dgn sy
Ø  Sy rs b’slh
o   Tuhan dh atur yg tbaik utk kita. Sy akn bahagiakn awk, itu jnji sy. Dia pn dh dpt p’gnti awk, i’Allah semua akn ok
Ø  Sy doa kita bhgia
o   I’Allah, dgn izin Tuhan 

 
Malamnya Aloyah dan Fiza menyediakan nasi mandhy dan ayam bakar mandhy menggunakan resepi Puan Raidah sebagai menunaikan permintaan Mail. Dia sebenarnya tak ada mood nak ke dapur tapi mengenangkan janji dengan Fiza, diikutkan saja. Nak makan lagi la dia tak berselera. Nafsu makannya hilang serta merta bila memikirkan hal dia, Mustaza dan Encik Paris.
Sejak bercinta ni, banyak jugak resepi yang diajarkan kepada Fiza. Mail suka makan, kadang kala menyebut nak makan itu dan ini. Selamba sahaja disuruhnya Fiza memasak, nak test barangkali pandai ke tidak. Mereka memasak mengikut turutan resepi. Ada nasi, lauk dan pencicah. Aloyah sendiri gemarkan nasi sebegini. Cuma kalau masak takkan nak letak 1 pot, mesti la banyak sikit baru padan nak buat. Sudahnya orang sebelah la yang selalu tolong habiskan. Kalau Mustaza ada, dialah salah seorang tukang makannya. Tak sudah-sudah ingatannya terhadap Mustaza. Dah berkawan sejak lama la katakan, sukar jugak bila terpaksa melalui keadaan sebegini. Fiza seperti Aloyah memang terkejut membaca surat itu tadi. Siapa sangka ya dalam berengkau sana sini rupanya ada cinta di dalam hati. Mungkin tak semua lelaki mencari yang cantik saja, yang pandai dan rajin masak pun menjadi pilihan juga. Cantik kalau tak pandai masak apa maknanya. Kalau hari-hari kena makan di kedai baik kahwin dengan peniaga...begitulah selalu kata Mail kepadanya. Sebab itulah sekarang dia giat berguru dengan Aloyah.

‘Aku nak balik kampung minggu depan.’
‘Nanti tinggal aku sorang la kat sini. Aku ikut kau balik boleh?’
‘Aku balik dengan Mail, kalau kau nak ikut boleh je.’
Balik dengan Mail? Nampaknya Fiza mahu mengenalkan Mail dengan keluarganya. Alhamdulillah, selangkah lagi menuju ke alam rumah tangga.
‘Kalau macam tu tak jadi lah, aku dok rumah aje.’
‘Mail dah berapa kali ajak aku balik, katanya tak mahu terus menunggu, dia tak nak lewat-lewatkan apa yang wajib. Dia bukannya suka nak keluar sana sini tanpa ikatan apa-apa.’
‘Bagus la tu Fiza. Sekarang ni jarang nak jumpa lelaki macam tu. Dia serius la tu kawan dengan kau, bukan nak suka-suka je.’
‘Aku harap pun begitulah. Umi pun dah semangat nak jumpa dia. Ayah pulak kalau boleh nak kenduri lembu seekor, nak ajak semua keluarga datang.’
Mail anak sulung, Fiza anak bongsu. Keduanya pun punya keluarga yang besar. Adik beradik saja kalau dicampur hampir 20 orang juga.
‘Boleh la bertunang terus.’
‘Bertunang tu tidak la. Mail kata dia nak kenal dulu keluarga aku sebelum apa-apa. Lagipun cuti sekolah nanti aku nak dibawa balik, nak kenalkan secara rasmi dengan keluarga dia pulak.’
Tak sangka, dalam kecoh-kecoh Mail tu rupanya punya perancangan teratur dalam hidup.
‘Kau dengan Fareez macam mana pulak?’
‘Kami baru lagi, baru nak kenal hati budi masing-masing. Perjalanan masih jauh, langkah baru saja bermula.’
‘Aku doakan segalanya berjalan seperti yang kau harapkan. Tak sangka pulak kita kan, dua-dua pun berkenan dengan jiran sebelah. Mula-mula hantar makanan, lepas tu hantar cincin pulak.’
‘Dah jodoh, siapa nak sangka.’

No comments:

Post a Comment

[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]