‘Tahniah Mus...semoga berbahagia hingga ke akhir
hayat.’
Ahmad Fareez memeluk Mustaza di hari
persandingannya. Di hari walimah Mustaza dan Siti Aisyah hujung minggu lalu,
mereka 7 buah kereta berkonvoi dari Cameron ke Ipoh.
‘Aku dah selamat. Kau Mail, Fareez, bila lagi?’
‘Kawe tak lamo doh...’
‘Kawe pong...’
Semua yang ada tertawa. Masing-masing pun dah ada calon, hanya tunggu
masa sahaja.
‘Puok ni x belarok jauh Muh, sebeloh rumoh jah.
Tokde habis selawat.’
Sampuk Abang Leman pula. Amboi sedap dia pekena
aku aihh..
‘Dekat la molek abe, tok letih nak berule kelik,
belanjo pun jimak. Kalu kato rindu ko bini buleh kelih slalu.’
‘Huk aloo, kato ko abe ko tu?’
Manakan tidak, Abang Leman dah 3 tahun menjadi
suami hujung minggu. Pertukarannya ke Kelantan belum juga diluluskan.
‘Jom jom...korang silalah makan, aku nak jumpa
tetamu lain pulak.’
Mustaza kelihatan berseri-seri di hari bahagianya.
Wajahnya sentiasa berukir senyuman manis. Bergandingan dengan Siti Aisyah
bagaikan merpati dua sejoli. Tuhan Maha Adil, diberikan kedukaan sementara
kepada lelaki itu tetapi penawarnya bahagia yang berpanjangan. Aloyah
memanjatkan kesyukuran. Dia bahagia melihat Mus bahagia. Dari sudut hati dia
mendoakan hubungan kasih mereka berdua kekal hingga ke Syurga. Apa yang berlaku
antara dia Mustaza ibarat setitik air jauh ke laut, terus saja hilang tanpa
sedar.
‘Kenapa?’
Ahmad Fareez di sebelah menutur kata. Sejak tadi
dilihatnya Aloyah hanya perlahan menyuap nasi ke mulut.
‘Mus buat keputusan yang tepat.’
‘Alhamdulillah. Kita doakan dia bahagia.’
Aloyah akan sentiasa mendoakan itu, bukan sahaja
untuk Mus dan isteri, tetapi untuknya juga.
‘Awak tak ada rasa apa-apa ke?’
‘Apa?’
‘Saya rasa macam nak kahwin jugak bila tengok Mus
dan Aisyah tu...’
Lorrrr.... -___-
‘Eh, pasal apa pulak budak berdua ni?’
Kak Zetty membandingkan dua borang cuti di tangan.
Keduanya di isi pada tarikh yang sama, bercuti pada hari yang sama.
‘Kenapa kak?’
‘Bos dengan Aloyah ni, dua-dua pun cuti hari Isnin
depan. Kau curious tak?’
Kak Zetty dengan Kak Lin berpandangan sambil
tersenyum. Sah! Confirm!
Jam sudah menunjukkan ke pukul 6 ketika Aloyah dan
Ahmad Fareez sampai di Sungai Koyan. Habis saja waktu pejabat tadi mereka
memulakan perjalanan. Ahmad Fareez akan menghantar Aloyah dulu ke Raub sebelum
meneruskan perjalanan ke Kuantan.
‘Maaf lah ya, saya tak boleh ajak awak masuk, emak
dengan ayah tak ada.’
‘Tak apa, saya faham. Lagipun saya nak kena gerak
dah ni. Besok saya datang dengan mama dan abah. Awak bagitahu emak ayah awak
tau.’
‘Ha ah. Awak bawa kereta tu hati-hati, jangan
laju-laju macam tadi.’
‘Iya mak encik.’
Emak dan ayah tersenyum memandang Aloyah, anak
kedua mereka yang memberitahu ada kawan nak datang. Bila ditanya siapa, rahsia
katanya. Tengoklah bila sampai nanti. Dalam pukul 11 pagi, abang Syukri dan
keluarga pula sampai dari Kuala Lumpur, katanya nak turut serta melihat bakal
adik ipar. Aloyah berkira-kira mahu memasak nasi beriani Siam a.k.a kao mok gai
berserta pelengkapnya, istimewa untuk tetamu yang bakal bertandang. Kak Muna
yang mengalami alahan tidak dapat membantu, pening katanya dengan bau di dapur.
Nasib baik ada emak yang menolong.
Tepat jam 1 tengah hari, Ahmad Fareez dan
keluarganya tiba. Aloyah berdebar menyambut kedatangan mereka. Bukannya tak
pernah bersua muka, tetapi entahlah. Barangkali kedatangan kali ini ada sebab tujuannya,
itulah yang menyebabkan dia sedikit gementar. Setelah bersalaman, dia terus ke
dapur. Emak dan Puan Makalsum berpandangan.
‘Awak Zubaidah? Awak ingat saya lagi tak? Saya, Kesom.’
Puan Makalsum memegang tangan emaknya yang
berkerut di dahi. Rasa pernah nampak wajah ni tapi tak ingat di mana.
‘Dulu kita bersekolah di Kuala Tembeling, zaman
kecik-kecik dulu di sekolah atap. Ingat tak?’
Sekolah atap? Sekolah zaman Jepun kot tu.
Puan Makalsum sedaya upaya mengembalikan ingatan
Puan Zubaidah.
‘Awak Kesom?’
Puan Makalsum mengangguk. Dia ingat kini.
Rupa-rupanya kuasa Allah menemukan mereka semula setelah hampir 50 tahun
berpisah. Kesom dan Bedah dulu rakan karib semasa di sekolah atap, bila ibu
bapa Kesom terpaksa berpindah ke selatan, di situlah mereka mula terpisah.
Masing-masing berjurai air mata. Siapa sangka ya, dulu berkawan, sekarang bakal
berbesan.
Ayah membuat keputusan untuk sembahyang Zohor
berjemaah memandangkan azan sudah berkumandang. Dimintanya Ahmad Fareez menjadi
iman, ujian pertama calon menantu. Abang Syukri mengangkat ibu jari ke arah
Aloyah. Tanda bagus. Dah agak dah Ahmad Fareez cuma tak sure aje, katanya.
Selesai sembahyang berjemaah, mereka mula menjamu
selera. Aloyah awal-awal dah bersms Ahmad Fareez.
Ø
Jgn x mkn plk, sy msk special utk
awk!
o
Apa awk msk semua sy mkn, kan
Masing-masing nampaknya kusyuk dengan rezeki yang
terhidang. Ahmad Fareez makan sampai bertambah, begitu juga dengan Abang
Syukri. Afif dan Medina pula seronok meratah ayam. Yes...misi berjaya! Suka
rupanya orang Pahang dengan masakan dari Siam ni.
Kaum ibu dan bapa mengambil tempat di ruang tamu
utama. Ahmad Fareez dan Abang Syukri turut serta. Aloyah pula di dapur
menyediakan manisan puding sagu bersantan gula merah
sebagai pencuci mulut. Mereka berbual kosong sebelum ke agenda seterusnya.
‘Kita terus aje lah ya, nak berkias-kias saya tak
pandai.’
Encik Fauzi memula kata sambil tersenyum.
‘Kami sekeluarga berbesar hati menerima Aloyah
sebagai sebahagian keluarga kami.’
Kata Puan Makalsum. Dia duduk bersebelahan Puan
Zubaidah.
‘Saya tak ada anak perempuan Cik Bedah, jadi saya
harap sangat Aloyah dapat menjadi anak perempuan saya.’
Katanya lagi. Ahmad Fareez tersentuh dengan
kata-kata itu. Mama memang mengharapkan seorang anak perempuan, bukan sekadar
menantu baginya.
‘Kita kira mudah-mudah aje lah, kira jadi la ni.’
Ayah pula berkata. Dia tak ada pengalaman majlis
begini. Masa Abang Syukri dulu, dia tak dapat ikut sama kerana terpaksa ke
Sarawak.
‘Siapa pun yang kakak bawa, saya terima dengan
hati terbuka. Cuma satu yang saya harap, di mana kurangnya anak perempuan saya,
Cik Som didiklah dia seperti anak sendiri.’
Giliran Aloyah pula yang sebak. Emak memang santun
orangnya. Betapa sukarnya melepas anak kesayangan ke tangan orang lain.
‘Along ada apa nak cakap?’
Encik Fauzi membuka ruang untuk Ahmad Fareez
berkata sesuatu. Aloyah yang datang membawa dulang manisan melabuhkan punggung
di sisi ayahnya setelah diminta. Kalau ikutkan hati nak aje dia bersembunyi di
dapur.
‘InsyaAllah saya akan jaga Aloyah seperti mana
makcik jaga dia selama ini. Saya akan sayang dia seperti mana kasih sayang
makcik dan pakcik. Saya banyak kekurangan, saya ingin dia melengkapkan hidup
saya. Makcik dan pakcik izinkanlah saya untuk menyunting dia sebagai isteri.’
Sedih. Pilu. Sebak. Semuanya bercampur gaul ketika
Ahmad Fareez mengucapkan kata-kata itu. Abang Syukri menepuk bahu Ahmad Fareez,
memberi kekuatan barangkali. Aloyah pernah membacanya di sms tetapi amat
berbeza kali ini bila didengarnya sendiri. Dia dapat mendengar getar suara
Ahmad Fareez. Dia tahu lelaki itu juga berdebar hebat sepertinya.
‘Ni ayah nak tanya, kakak macam mana? Setuju atau
tidak?’
Ah ayah, mana mungkin dia tidak bersetuju. Tentu
aje dia mahu berkata, yes papa I do! Amboi...
‘Mana yang ayah rasa baik untuk kakak, kakak
terima.’
‘Alhamdulillah kalau macam tu. Di pihak saya tak
ada apa-apa halangan. Tuan punya badan pun dah bersetuju.’
‘Alhamdulillah. Kalau begitu kami akan datang
sekali lagi untuk majlis seterusnya.’
Ayah hanya mengangguk. Puan Makalsum kemudian
bergerak ke arahnya. Bahu Aloyah dirapatkan ke badan. Gadis itu dipeluk erat
dan dahinya dicium.
‘Terima kasih Aloyah. Terima kasih kerana sudi
jadi anak mama.’
Aloyah membalas pelukan erat Puan Makalsum. Dalam
hati dia memanjatkan syukur kerana Allah bakal memberikan dia seorang lagi ibu
yang akan membimbingnya ke Syurga.
‘Haa, jemput, jemput. Silalah makan.’
Emak pula bersuara. Masing-masing dah tenggelam
dalam emosi, dia harus bijak mengawal keadaan.
Ahmad Fareez memandang Aloyah. Dia tersenyum
sambil mengatakan TQ. Aloyah mengangguk dan membalas senyumannya.
Cheq sue, Jm snggah sini :-)
ReplyDeletelma x mkn ko mok nie..sdp plk tgok.
ReplyDelete