‘Dukacita dimaklumkan bahawa permohonan saudari terpaksa ditolak.’
Iman merenung kosong surat yang baru selesai dibacanya. Masuk yang ini sudah empat kali permohonannya meminta kerja ditolak. Dia melepaskan keluhan…menenangkan perasaannya yang sedang kacau. Bukannya dia tidak layak mendapat pekerjaan itu tapi mungkin pengalaman kerja yang menghalangnya. Bekas graduan Pembangunan Manusia itu melemparkan pandangan ke luar.
Tak apalah…bukan rezeki aku agaknya!
Dia tersenyum lantas menyimpan surat itu ke dalam fail bersama-sama dengan surat-surat penolakan yang lain lalu keluar dari biliknya menuju ke dapur.
“Ha Iman, macam mana dengan permohonan kamu dulu tu?” Soal ibunya kelihatan tidak sabar.
“Tak dapatlah bu. Bukan rezeki Iman. Nak buat camana. Ibu tak kisah kan?” Dia menjawab perlahan sambil memandang ibunya menagih simpati.
“Tak apalah. Kamu boleh cuba lagi. Ibu tak kisah, yang penting kamu tu sentiasa dekat dengan ibu. Kalau kamu takde sunyilah kami.”
“Alah ibu ni. Amal kan ada. Dulu waktu Iman belajar kat KL tu ibu tak sunyi pun.”
“Kamu tak tahu perasaan ibu Iman. Nanti kalau kamu dah ada anak…pahamlah kamu”
“Tapi bu…Iman geramlah dengan Cik Timah tu. Dia asyik perli Iman aje. Bila nak kerja, bila nak kahwin…Mentang-mentanglah anak dia dah kerja.” Gumam Iman sambil meniru lagak Cik Timah menjuihkan mulutnya.
“Jangan kamu ambik kisah sangat Cik Timah tu. Ibu dan abah masih mampu nak menyara kamu. Dah…bawak kuih ni ke depan. Nanti tertunggu-tunggu pulak abah dengan Amal.”
“Ibu…kalau Iman kerja kilang boleh tak?”
“Ha…kerja kilang? Nantilah ibu bincangkan dengan abah. Jom.”
“Kenapa lama sangat awak di dapur tu Milah? Kesian si Amal ni.” Abahnya menyapa sebaik sahaja melihat dua beranak itu menuju ke arah mereka.
“Maaflah bang. Tadi saya berbincang sikit dengan Iman pasal kerja yang dia mintak dulu.”
“Ibu nak kuih tu!” Amal adiknya yang bongsu meminta dihulurkan kuih keria di hadapan Iman. Si nakal yang berumur 10 tahun itu memang makan banyak. Tak cukup dengan kuih yang ada di depannya.
“Amal jangan makan banyak sangat, nanti kalau gemuk takde pompuan nak.” Saja dia mengusik adiknya.
“Takde pompuan nak Amal boleh tinggal dengan ibu dan abah. Kan.”
Idris dan Jamilah hanya tersenyum memandang dua orang anak mereka yang memang tak boleh duduk dekat. Asyik nak bergaduh aje. Itulah pengarang jantung hati mereka. Sepatutnya sekarang ada lagi dua orang anak mereka bersama namun tragedi tiga belas tahun lalu telah meragut nyawa mereka. Anak kembar lelaki dan perempuan lebih dahulu dipanggil Tuhan. Mungkin dari sebab itulah Jamilah fobia hendak naik motor sampai sekarang.
“Baik-baik Amal…nanti jatuh kang!” Jerit Jamilah bila melihat Amal menaiki basikal di atas jalan yang berbatu.
“Tak payahlah dimanjakan sangat budak Amal tu. Susah dia nak berdikari bila kita dah takde nanti…” Pak Idris menegur penuh makna.
“Habis Iman nak buat apa sekarang? Abah tak mahu Iman goyang kaki aje kat rumah.” Tanya si ayah memandang tepat ke arah anaknya.
“Iman ingat nak kerja kilang abah. Lagipun bidang Iman berkaitan dengan pengurusan sumber manusia. Walaupun Iman kerja di peringkat bawahan, sekurang-kurangnya Iman dapat tengok macam mana orang atasan buat maintenance dan management ke atas pekerjanya. Itu pun kalau abah dan ibu benarkan.”
“Bagus jugak kata kamu tu. Abah tak kisah Iman. Abah tak harapkan duit gaji kamu. Cuma yang penting sekarang pengalaman yang akan kamu dapat. Lagupin, kalau hendak menjadi orang atasan kita kena tahu dulu benda-benda di peringkat bawahan ni. Awak camana Milah?”
“Kalau nak diikutkan saya memang saya nak dia kat rumah saja bang. Takdelah sunyi sangat kalau abang pergi ke ladang. Tapi kalau abang dah setuju saya ikut aje.” Jamilah menjawab walau dihatinya terasa ralat. Sebulan lebih bersama anaknya belum dapat menghilangkan kerinduannya.
“Terima kasih abah…ibu. Nanti Iman tanyakan dengan Siti kalau-kalau dia nak ikut sama.”
“Eloklah tu. Cuma abah harap kamu dapat menjaga nama baik keluarga kita. Ingat pesan yang selalu abah sebutkan pada kamu. Abah nak ke kebun ni. Tolong panggilkan Amal. Ajak dia sekali.”
Jamilah hanya mengangguk. Dia memandang ke arah Iman. Rasa sayu membuak di dadanya.
“Ibu janganlah sedih. Iman bukannya sesaja nak berjauhan dengan ibu. Iman kena bersedia untuk masa depan Iman bu!”
Iman memeluk ibunya tanda kasih yang tak pernah surut. Memang dia tahu kesengsaraan ibunya bila kehilangan dua adiknya tapi hakikat hidup ni tak selalunya selari dengan kehendak kita. Lagipun JB dengan Kota Tinggi takdelah jauh sangat. Weekend pun dia boleh balik…
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]