Firdaus mencapai helmet dari lokernya. Tak sabar untuk balik dan menghilangkan penat badan. Hari ni tetiba pulak dia kena buat OT. Walaupun jam baru menunjukkan pukul 11 malam tapi matanya terasa sangat mengantuk. Dengan segera dia menghidupkan enjin motor dan keluar dari kawasan kilang. Arahnya dituju dulu ke kedai makan di mana dia dan Iman selalu makan bersama di situ. Mengimbas kenangannya bersama… mendamaikan perasaannya…menenangkan jiwanya yang kacau. Sudah lama dia tidak dapat berbicara dengan Iman. Kadang-kadang dia telefon Iman tak dapat dan kadang-kadang dia tak tak sempat nak jawab bila gadis itu telefon. Kalau beginilah selalu boleh sasau dia. Sebelum balik ke rumah sempat lagi dia singgah di public. Mendail nombor Iman, perasaannya sungguh kecewa kerana panggilannya tidak bersambut tapi minta ditinggalkan mesej.
Abang betul-betul rindu nak dengar suara manja Iman…
*****
Iman memeriksa semua barangannya. Tiket, dompet dan handsetnya ada. Melihat jam di dinding bilik, dia ada 20 minit lagi sebelum menaiki bas ke JB. Cuti dua hari pada minggu ni dia sengaja balik ke JB untuk menghilangkan rindunya pada keluarga dan Firdaus. Maklumlah, hampir 2 bulan di Butterworth tak pernah sekalipun dia balik ke Kota Tinggi. Namun kali ini dia ada rancangan. Dia mahu bersama dengan Firdaus dahulu sebelum balik menemui keluarganya. Memang itulah yang telah dijanjikan dengan Firdaus. Lagipun minggu ni Siti ada di rumah Kak Mimi. Bolehlah dia tumpang kat situ.
Menyedari yang dia sudah agak lewat, Iman segera mengambil begnya dan melangkah keluar.
“Dah siap Iman?” Pak Longnya bertanya. Dia yang akan menghantar Iman ke stesen bas.
“Dah Pak Long. Mak Long ikut sekali?” Malas dia nak melibatkan Mak Longnya tapi sengaja dia mengambil hati orang tua itu.
“Katanya nak ikut tadi. Tengah bersiap lah tu. Jah…ooo Jah. Dah lewat ni. Jom kita pergi sekarang.”
Mendengar jeritan Pak Long, Mak Longnya terkocoh-kocoh membawa badan ke arah mereka.
“Abang ni tak menyempat-nyempat lah. Jom kita pergi.”
Iman hanya tersenyum melihat gelagat pasangan yang telah berkahwin hampir 24 tahun itu. Anak-anak yang telah besar dan berjauhan dari mereka telah digantikan dengan Iman yang menumpang di situ sementara dia mencari tapak yang lebih kukuh.
Dalm perjalanan, Iman tidak banyak bercakap. Dia hanya membuang pandangan ke luar tingkap WAJA Pak Longnya. Jiwanya sudah sampai ke JB. Hanya badan yang masih tertinggal di sini. Di matanya terbayang-bayang wajah Firdaus.
Argh…jiwa kacau sungguh.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Iman berlalu jauh sedikit untuk menjawab panggilan dari Firdaus. Kalau Mak Longnya dengar susah pulak.
“Mak Long, Pak Long, Iman balik dulu ya.”
“A...ah. Baik-baik tau. Jangan lupa kirim salam dengan mak dan ayah kamu. Dah sampai dekat sana nanti telefon Mak Long.”
Iman mengangguk. Setelah bersalaman dengan Pak Long dan Mak Longnya dia segera menaiki bas yang sememangnya telah lama menunggu. Nasib baik dia tidak tertinggal…
Masa seakan begitu lambat berlalu. Jarum jam bagai tidak bergerak langsung. Walaupun bas yang Iman naiki sudah pun memasuki JB tapi dia sudah tidak sabar lagi untuk turun dan menemui Firdaus.
Masa yang ditunggu sudah tiba. Melangkah turun dari bas dan berjalan ke tempat yang dijanjikan, dia membawa debar dihati. Dari jauh dia sudah dapat melihat Firdaus walaupun orang di terminal itu ramai. Cepat saja naluri hatinya mengesan Firdaus.
Berdepan dengan lelaki yang sangat dirindui dia seakan ingin menangis namun dia malu. Segera dia mengucup tangan Firdaus dan mereka bergandingan menuju ke motor. Pun begitu Iman tidak sedar segala perlakuannya diperhatikan oleh CNN kampungnya iaitu Cik Timah yang kebetulan berada di situ untuk balik ke Kota Tinggi. Cik Timah tersenyum. Ada modalnya kali ini untuk diberitakan…
“Macam mana dengan kerja? Seronok?” Firdaus memula bicara.
“Seronok tu memang seronok tapi sibuk sikit. Banyak yang perlu Iman belajar.”
Rasanya terlalu banyak yang ingin diceritakan tapi tak terluah segala kata-kata. Memandang dengan mata yang berkaca dia tidak tahu bagaimana untuk menyatakan kepada Firdaus bahawa dia sangat rindukannya.
“Kenapa ni? Tak suka jumpa abang ke?”
“Tak…Bukan macam tu. Sebenarnya Iman rindu sangat pada abang tapi Iman tak tahu bagaimana untuk menyatakannya.”
“Ha…kan Iman dah cakap tu. Abang faham. Abang pun rindu pada Iman. Kan sekarang ni kita dah bertemu.” Firdaus merenung Iman. Lama… Perlahan dia mengucup dahi Iman. Bukan kerana nafsu tapi kerana sayangnya yang tulus pada gadis itu.
Sedang pasangan itu melayan perasaan mereka, telefon Iman berbunyi.
Abah!
Dalam pelukan Firdaus dia menjawab panggilan tersebut.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam. Kamu dekat mana ni Iman?”
“Dekat JB abah. Di rumah Kak Mimi ni. Siti pun ada. Kenapa?” Entah kali yang keberapa dia menipu ayahnya.
“Abah nak Iman balik sekarang juga.”
Seketika dia terkejut dengan permintaan itu.
“Balik sekarang? Kenapa bah?”
“Abah ada hal penting nak dibicarakan dengan kamu. Kalau kamu tak balik abah akan pergi jemput kamu kat sana.”
Iman pelik dengan kelakuan abahnya. Tak mampu dia hendak mengingkari kata abahnya.
“Baiklah bah. Nanti dah sampai dekat Kota Iman telefon.”
Kecewa! Tersangat kecewa hatinya. Belum puas bersama Firdaus, dia sudah diminta balik ke Kota Tinggi sedangkan dia sudah memberitahu yang dia akan bermalam di rumah Kak Mimi. Agaknya abah dah dapat baca rancangannya kot…
“Kenapa Yang?”
“Abah suruh Iman balik sekarang jugak.”
Muka Firdaus sedikit berubah. Seperti jugak Iman, ada kekecewaan di wajahnya.
“Abang rasa Iman patut balik. Lagipun abah Iman yang suruh kan.”
“Tapi Iman belum puas bersama abang.”
“Iman, abang pun tak ingin berjauhan dengan Iman tapi kita masih ada masa. Mungkin ada perkara penting yang perlu abah Iman cakapkan. Jom abang hantar pergi Larkin.”
“Abang ni memang nak Iman balik ‘ek.”
Merajuk pulak dia…
“Bukan macam tu. Kalau boleh abang tak mahu Iman balik. Abang nak bersama dengan Iman je. Tapi sekarang ni abang tak boleh buat macam tu sebab Iman bukan hak abang sepenuhnya. Tak patut ingkar kata-kata orang tua tau. Nanti kita boleh jumpa lagi. Okey…”
“Okeylah. Janji tau!”
Firdaus tersenyum, kemudian mengucup tangan Iman. Memujuk.
*****
“Kenapa abah suruh Iman balik?” Terus Iman bertanya sebaik sahaja selesai menyalami ibu dan abahnya. Keinginannya nak tahu amat kuat.
“Iman dah pandai tipu abah dan ibu ya sekarang.”
Tipu?
“Apa maksud abah?”
“Iman dekat JB tu bukannya berjumpa dengan Siti tapi Iman jumpa lelaki. Siapa lelaki tu? Cakap dengan abah.”
Lelaki?Firdaus pastinya. Siapalah pula yang membawa cerita ini?
“Itu kawan Iman.”
“Kawan apa namanya kalau sampai bercium-cium tangan.”
Iman terdiam.
Bagaimana abahnya tahu?
“Iman jangan ingat abah tak tahu dan tak nampak apa yang Iman buat. Mulai hari ni abah tak mahu Iman jumpa dan berhubung lagi dengan lelaki tu, faham.”
Dia ingin membantah tapi tidak mahu berkurang ajar. Memandang ibunya minta dilindungi tapi hampa.
“Tapi abah tak ada sebab untuk menghalang Iman buat macam tu. Iman ada hak untuk berkawan dengan siapa saja.” Dia tidak puas hati kerana tidak tahu atas alasan apakah dia diperlakukan begitu.
“Memang Iman ada hak untuk berkawan dengan siapa saja tapi bukan dengan dia. Ini perintah abah. Iman jangan cuba-cuba mencabar abah.”
Iman membawa diri ke bilik. Mengalir air matanya memikirkan perintah abah yang memang sukar diubah. Cutinya tiba-tiba terasa kosong dan tidak bermakna…
Bagaimana hendak melupakan lelaki yang telah bertakhta di hatinya? Yang memberikan kebahagian padanya! Yang banyak berkongsi suka duka dengannya!
Firdaus…I Love You!
No comments:
Post a Comment
[Terima kasih kerana sudi menitipkan komen. Maaf seandainya saya tidak dapat membalas atau berkunjung ke blog anda...]