'Apakah benar berita ini andai engkau hanya menyepi? Wahai kasih hilangkanlah kekusutan di hati..'
Dayang Atikah memandang para pelajar yang memasuki pusat sumber. Agak ramai juga, maklumlah peperiksaan sudah hampir tiba. Dia tiada kelas sehingga waktu akhir. Oleh yang demikian dia lebih selesa menghabiskan masanya dalam perpustakaan daripada duduk di dalam bilik guru. Sekurang-kurangnya dapat mengelakkan diri daripada bertentangan dengan Amjad. Adakah dia cuba mengelakkan diri daripada sesuatu? Entahlah, dia sendiri tidak tahu apakah yang ada dalam hatinya kini.
“Cikgu, apa yang sedang cikgu fikirkan?” Kedengaran satu suara menyapa. Melenyapkan lamunannya.
“Oh Laila. Ada apa yang saya boleh bantu awak?” Dayang Atikah memandang pelajar tingkatan 5 Bersih yang berdiri di depannya.
“Saya nak pinjam buku ni.”
“Sekejap ya.”
“Cantik cikgu hari ni.” Laila memuji Dayang Atikah yang mengenakan kurung moden berwarna hijau serindit dan tudung hitam. Kena dengan kulitnya yang putih kuning.
“Awak puji-puji saya ni, ada apa-apa ke?”
“Taklah. Saya ikhlas. Kalau tak masakan Cikgu Amjad sukakan cikgu.”
Eh budak Laila ni. Itupun dia tahu. Nampaknya glamour juga dia di sini. Kencang sungguh khabar angin yang membawakan berita itu.
“Ye ke dia sukakan saya? Saya tak tahu pun. Macam mana awak tahu Laila?”
“Sebenarnya Cikgu Amjad tu abang sepupu saya. Saya selalu dengar dia bercakap dengan ayah yang dia sukakan cikgu. Katanya satu hari nanti dia minta ayah tolong pinangkan cikgu untuknya.”
Terkejut betul Dayang Atikah mendengar apa yang Laila katakan. Bolehkah dipercayai kata-kata pelajar tersebut atau sekadar untuk menambahkan perisa dalam ceritanya? Namun mindanya segera pula teringatkan perbualan dengan pemandu teksi yang mendakwa sebagai pakcik kepada Amjad. Banyak pulak sedara mara dia di sekolah ni…
“Laila… apa pun yang awak katakan ni saya tak tahu sejauh mana kebenarannya dan saya tak mahu awak sebarkan perkara ini kepada sesiapa yang lain. Saya harap awak dapat memenuhi permintaan ini. Apapun yang berlaku adalah antara saya dengan Cikgu Amjad sahaja. Kamu faham?”
“Faham cikgu. Tapi cikgu dan dia memang sepadan. Pasangan yang ideal.”
“Laila, kan saya dah cakap tadi!”
“Sebenarnya cikgu, Cikgu Amjad tu telah kehilangan ahli keluarganya dua bulan sebelum dia datang mengajar di sini. Ibu, ayah dan dua orang adiknya terkorban dalam nahas jalanraya sewaktu hendak menziarahinya di maktab dulu. Saya tak pernah melihat dia gembira sejak peristiwa itu sehinggalah dia berjumpa dengan cikgu…”
Dahi Dayang Atikah berkerut mendengar apa yang Laila katakan. Adakah betul apa yang didengarnya? Fikirannya tiba-tiba bercelaru. Kacau. Terlalu banyak yang cuba dihuraikan. Terlaku banyak simpulan yang ingin dirungkaikan.
Am… rupanya terlalu banyak yang tidak kutahu tentangmu…
“Saya balik ke kelas dulu cikgu. Minta maaf kalau apa yang saya katakan tadi mengguris hati cikgu namun saya harap cikgu dapat membahagiakan Cikgu Amjad. Dia sudah menjadi sebahagian dari keluarga saya. Sudah saya anggap sebagai abang sendiri.”
Dayang Atikah hanya memandang Laila keluar dari perpustakaan. Dia masih memikirkan apa yang disampaikan oleh gadis itu. Betul atau tidak, dia tidak tahu. Dia menuju ke bilik guru dan mencari Cikgu Kamarul. Guru tingkatan 5 Bersih itu diharap dapat memberikan jawapan kepadanya.
Geram sungguh Dayang Atikah dengan sindiran Cikgu Kamarul sebentar tadi. Kalau dia mampu sudah tentu dia membalasnya di situ juga. Rasanya tak patut Cikgu Kamarul meninggikan suara ketika dia bertanya seolah-olah mahu semua yang ada di bilik guru ketika itu mengetahui pertanyaannya. Nasib baiklah juga Amjad tiada di situ, kalau tidak sudah tentu dia tidak tahu ke mana hendak menyorokkan mukanya. Dia tidak ingin dikatakan menjilat kembali ludah yang diluahnya. Dia cuma ingin memastikan kebenaran, adakah itu menjadi satu kesalahan?
Nampaknya apa yang Laila katakan adalah benar namun masih sukar untuknya menerima kebenaran itu. Dia masih ingin memastikan kesahihannya. Apa kata jika ditanyakan sendiri kepada yang empunya diri.
Mana boleh! Malulah nanti kalau dia tahu.
Habis tu?
Entahlah.
Dayang Atikah hilang punca berbicara dengan dirinya sendiri.
“Saya tak pernah melihat dia gembira sejak peristiwa itu sehinggalah dia berjumpa dengan cikgu…”
Kata-kata Laila masih kedengaran di telinganya. Jelas sebutannya satu persatu. Lancar menunjukkan bahawa gadis itu bukanlah menghafalnya. Ikhlas dan jujur ingin menyatukan dua jiwa. Seandainya itu adalah satu kebenaran, maka dialah gadis yang paling kejam di dunia ini kerana bukan bahagia yang diberinya tapi ditambah lagi dengan rasa duka. Patutlah Amjad sejak kebelakangan ini asyik menjeruk rasa.
“Dayang!”
Dayang Atikah tersentak mendengarkan suara itu.
“Ya Am.” Katanya menahan getar dalam nada suara.
“Ini adalah senarai pengedar buku yang Dayang minta tu.”
Dayang Atikah menerima apa yang Amjad hulurkan. Dia merenung Amjad tajam. Ingin meluahkan sesuatu namun bagaikan ada yang menyekat di kerongkongnya. Mata mereka bagaikan berinteraksi namun tiada bicara yang terucap. Akhirnya dia melihat Amjad berlalu ke bilik guru.
Dayang Atikah masih di buru persoalan…
'Hanya hati yang mengerti sebenarnya kita saling merindui…'
Semalam bagaikan baru berlalu. Penuh dengan kehangatan dua perasaan yang saling menidakkan satu sama lain. Amjad begini… Dayang Atikah begitu. Masing-masing membawa hala walaupun ada tikanya bersua di laluan yang sama. Amjad sudah putus harap untuk menumpahkan kasihnya kepada Dayang Atikah. Dia sudah bingung memikirkan apakah silapnya sehingga gadis itu menghukumnya demikian. Apa yang mampu dia lakukan kini adalah menyemai kasihnya dalam diam. Sekali dia sayang takkan dia lepaskan. Namun biarlah dia ‘menyiksa’ gadis keras hati itu agak benar-benar terasa dengan kewujudannya…
Dia sebenarnya sudah dapat membaca apa yang ada di fikiran Dayang Atikah. Dari sinaran matanya dapat dilihat ada sesuatu yang ingin diketahuinya. Dari gerak gerinya ternyata dia menyimpan curiga terhadap sesuatu. Dan dari setiap langkahnya ternyata gadis itu terkeliru. Adakah ini menandakan perasaan Dayang Atikah terhadapnya sudah berubah? Amjad tidak mahu menunjukkan perasaannya. Biarlah kini Dayang Atikah merasai apa yang pernah terjadi kepadanya. Sakitnya bila dihina, pedihnya bila terluka. Walaupun tidak nampak di mata namun hanya yang merasainya akan tahu. Dan biarlah kini giliran Dayang Atikah pula. Barulah adil…
Cikgu Kamarul memberitahunya bahawa Dayang Atikah ada bertanyakan apakah hubungannya dengan Laila. Nampaknya gadis itu membuat siasatan sendiri. Biarlah. Mungkin itu akan memberikan kesan padanya. Amjad mengambil keputusan untuk tidak menghiraukan Dayang Atikah. Namun bukan kerana dia benci, tetapi memberi peluang kepada gadis itu untuk lebih menghargai orang lain.
Minggu hadapan akan bermula cuti sekolah penggal satu. Nampaknya akan bermulalah perpisahannya dengan Dayang Atikah. Amjad rela dan redha. Mungkin juga perpisahan sementara ini akan dapat meredakan perhubungannya dengan Dayang Atikah yang sentiasa hangat, memberikan kedinginan supaya segalanya berjalan lancar. Sebulan bukanlah satu tempoh yang lama. Pejam celik pejam celik akhirnya akan kembali ke sekolah semula. Biarlah, biarlah dia memberi peluang kepada Dayang Atikah untuk mencari dirinya…
Indahnya zaman rindu-merindu dendam!
ReplyDelete