'Dalam hati merasa keliru, aku berperang dengan diriku…'
Pertemuan semula dengan kawan-kawan yang sama menuntut di IB membangkitkan nostalgia kembali. Banyak cerita yang keluar. Cerita panas dan gosip pastinya lebih mendapat perhatian. Karmilla nampaknya lebih comel dan cute berbanding dulu. Agaknya memang betul kata orang bahawa negeri Kelantan adalah syurga makanan yang paling ekonomi untuk dikunjungi.
Bekas ketua opsyen KPLI Bahasa di IB dulu Abang Kamarul telahpun bertunang dengan guru yang sama sekolah dengan tempatnya. Munirah pula sedang mengandungkan anak sulungnya. Maklumlah dulu di IB mereka dilarang untuk mengandung kerana bimbangkan risiko menangguhkan pengajian. Lelaki paling kacau sekali dalam opsyen mereka, Bakhtiar telah pun berkahwin dua minggu lepas. Dan agak mengejutkan juga apabila dia turut sama membawakan isterinya ke Desaru. Pandai sungguh Bakhtiar mengambil kesempatan. Sambil berkursus, sambil berbulan madu.
Save budget!
Semua cerita-cerita ini Dayang Atikah dengar ketika rehat siang tadi. Pada hari pertama agenda penuh dengan bengkel dan ceramah. Kebanyakan dengan peserta dari Sabah dan Sarawak belum sampai kerana penerbangan terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk. Oleh yang demikian Dayang Atikah belum pun dapat bersua muka kembali dengan Najhan dan Amar mendengar apakah pula khabar dari Sarawak.
Amjad pula sibuk ke sana sini bersama-sama dengan temannya dari Maktab Perguruan Raja Melewar dulu. Begitulah mereka semua, sudah lama tidak bersua muka. Nampaknya kursus itu mempunyai matlamat yang lain juga!
Selesai acara pembentangan oleh GAPENA pada hari kedua, barulah peserta dari Sabah dan Sarawak sampai. Ada lima orang semuanya. Ketika peserta lain sedang minum pagi, lima orang peserta yang baru itu sampai berurusan di kaunter. Dayang Atikah mengintai jika dia dapat melihat kelibat Najhan. Memang Najhan ada bersama. Tetapi Dayang Atikah sedikit musykil kerana terdapat perempuan yang sentiasa berada di sisinya… siapakah perempuan itu?
“Hai sorang je? Mana yang lain.”
Terdengar satu suara menyapa. Dayang Atikah memalingkan muka. Amjad rupanya. Lelaki itu smartkhakis dan T-shirt berkolar V. dalam pakaian ringkas, hanya ber
“Ada awak nampak orang lain kat sini? Ke mata awak tu dah rabun.”
Amjad mengeluh. Bukanlah jawapan itu yang dia harapkan darinya. Dia cuba bergurau, cuba mengendurkan ketegangan hubungannya dengan Dayang. Dia ingin hubungan itu berjalan seperti hubungan Dayang dengan Charlotta ataupun kawan-kawannya yang lain. Sesungguhnya dia tidak tahu mengapa Dayang Atikah tidak pernah cuba memahami hatinya. Dayang Atikah tidak pernah memberikan peluang kepadanya untuk membuktikan ketulusan hati. Dan dia benar-benar tidak tahu apakah sebab perhubungannya dengan gadis itu bermula dengan suasana yang tidak baik bukannya dengan senyuman.
Memang hatimu belum mengerti perasaanku Dayang…
Dia hanya memandang Dayang Atikah berlalu meninggalkan lobi resort. Mungkin ke pantai. Selepas pembentangan oleh GAPENA pagi tadi mereka tiada aktiviti sehingga malamnya. Kebanyakan peserta menggunakan peluang itu untuk meneroka sekitar pantai dan kawasan berdekatan. Hanya dia yang sejak dari tadi melayan perasaannya yang tidak pernah tenang semanjak dua menjak ini. Tidak tenang kerana asyik memikirkan Dayang Atikah!
Sedang dia melayan perasaannya, dia terpandangkan Karmilla, peserta yang dilihat paling rapat dengan Dayang Atikah. Dia memanggil dan menggamit Karmilla ke arahnya.
“Ada apa Am? Dari tadi lagi aku tengok kau kat sini. Orang dah bagi peluang rehat ni tak nak pulak.”
“Aku ada sesuatu nak tanyakan pada kau. Tentang Dayang Atikah. Aku nampak kau rapat dengan dia.”
“Dia tu best friend aku semasa di maktab dulu. Hal apa?”
“Kau rasa Dayang tu ada boyfriend tak?”
“Boyfriend? Aku minta maaf. Hal macam ni aku tak tahu. Dia memang tak pernah ceritakan pada aku. Kalau hal lain semuanya ada dalam poket aku. Kenapa? Kau sukakan dia ke?”
“Aku cuma nak tahu. Perhubungan aku dengan dia tak lancar. Dia bagaikan tidak dapat menerima aku, walaupun sebagai kawannya. Terima kasih Karmilla.”
Karmilla meneruskan langkahnya semula. Dia menuju ke pantai juga. Matanya mencari Dayang Atikah. Di atas batu di hujung sana dia nampak Dayang Atikah merenung ke laut lepas.
“Jauh termenung. Ingatkan sesiapa ke?”
“Kau ni Mila, kalau tak kejutkan aku tak boleh ke?”
“Kau tu, langsung tak sedar kehadiran aku. Kau ingatkan siapa? Amjad ya!”
“Apa ni Mila. Kau jangan nak buat cerita. Apa faedahnya aku nak ingat pada dia?”
“Kau jangan Ika. Dia tu nice. Baik. Belum cuba belum tahu.”
“Tak payahlah Mila. Aku tak ada apa-apa perasaan pada dia. Dahlah. Cukuplah di Pulau Indah aje kisah aku dan dia. Aku dan bosan dengan semua ni.”
“Tapi kalau tak ada sebab kau takkan membenci dia sampai ke tahap ni Ika. Aku kenal kau. Cuba kau ceritakan pada aku kenapa. Kenapa kau tak boleh terima dia, walaupun hanya untuk menjadi kawan kau?”
“Aku menyampah dengan dia Mila. Dia sengaja buat cerita yang tak betul antara aku dan dia di Pulau Indah. Heboh satu sekolah. Aku tak sukalah macam ni.”
“Apa ceritanya. Mana kau tahu dia yang buat?”
“Aku tahulah. Aku kenal dia tu. Kau bayangkan dia boleh cakap yang kami ni ada hubungan cinta. Pengetua pun tahu. Dia sampai perli-perli aku lagi.”
“Kalau betul pun apa salahnya. Kau single, dia pun single. Apa masalahnya?”
“Banyak masalahnya Mila. Kau tahu kan. Kalau aku dah bencikan seseorang tu, jangankan hendak memandang mukanya, nak menyebut namanya pun aku tak lalu tau.”
“Kau jangan melawan takdir. Mungkin kini kau cakap macam ni tapi kuasa Tuhan siapa yang tahu kalau satu hari nanti kau tak akan dapat tenang kalau tidak menyebut namanya, apatah lagi jika tidak melihat wajahnya. Jangan terlalu ego Ika.”
Dayang Atikah terdiam mendengarkan kata-kata Karmilla itu.