Firdaus memandang ke laut lepas. Sayup pandangannya melihat sebahagian dari bandaraya Singapura yang tersergam. Kalau dulu dia bersama dengan Iman menyusuri tepian pantai ini, kini dia hanya bersendirian. Duduk di tempat biasanya dengan Iman, mengenang kembali kenangan manis mereka. Bukan mudah baginya melupakan Iman. Pada zahirnya dia hanya selamba tapi di hatinya tiada siapa yang tahu. Sedang dia berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku. Menipu perasaannya sendiri.
Bukannya dia tidak mahu mempertahankan cintanya pada Iman tapi dia tidak berani. Mengenangkan dia hanya seorang pekerja kilang dan dibandingkan dengan Iman, dia memang tidak setaraf.
Dia tidak tahu mengapa pada zaman millenium ini masih ada lagi yang memandang kepada darjat. Jika dia yang hendak hidup bersama Iman, pandai-pandailah dia menguruskan segalanya.
Namun dia akan pastikan Iman akan menjadi miliknya juga satu hari nanti. Jika tidak dia rela tidak berpasangan dengan sesiapa pun!
*****
Kelam malam
Sepi melamar kerinduan
Tak terbatas ingatanku terhadapmu…
Dan pada siapa
Harus ku adukan
Resah ini kian menghimpit perasaan…
Firdaus meninggalkan tempat yang penuh kenangan itu. Walau ke mana dia pergi, bayangan Iman setia mengekori. Tetap berada dalam hatinya. Wajah ayu itu selalu terbayang dimatanya.
Kadang-kadang dia mengharapkan keajaiban berlaku dalam hidupnya dimana dia dan Iman boleh kembali seperti dulu. Namun itu mustahil untuk terjadi…hilang segala semangatnya memikirkan perkara ini.
Dia bukanlah Firdaus Maliki yang dulu lagi…
Ya Tuhan, kembalikanlah kebahagianku…
*****
“Macam mana dengan Firdaus bang?” Tanya Siti ketika dia berjumpa dengan Azali yang kini telah menjadi tunangannya.
“Susah abang nak cakap. Kesian dia.”
“Dia yang tak nak berterus terang dengan Iman. Lepaskan aje Iman macam tu. Mestilah Iman kecewa.” Siti masih tak puas hati. Dia bagaikan menyalahkan Firdaus atas apa yang berlaku.
“Honey…kita tak boleh tuduh dia macam tu. Kita tak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku. Mungkin kejadian ni memberi tamparan hebat pada dia. Lagipun ini bukan kali pertama dia mengalami peristiwa sebegini. Dia dah terlalu banyak menderita.” Azali membela Firdaus. Adakalanya perempuan lebih senang melemparkan tuduhan berbanding cuba untuk memahami keadaan.
“Sepatutnya dia kena berusaha untuk mendapatkan kebahagiaan dia.”
“Biarkanlah dia. Kita doakan aje agar dia beroleh apa yang dia nak dan bahagia dengan apa yang dia buat.”
Sebagai seorang sahabat, dia sentiasa mendoakan Firdaus. Mungkin nasibnya lebih baik kerana hubungannya dengan Siti tiada halangan. Namun dia tetap mendoakan agar Iman dan Firdaus dapat bersama satu hari nanti.
*****
Hari yang bersejarah bagi Iman. Dia anggun di pelamin, sepadan dengan Rezal pada hari bahagia mereka. Setahun bertunang, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyatukan mereka, menghalang dari berlakunya perkara-perkara yang tidak elok. Namun alasan yang paling biasa, ibu dan bapa mereka sudah tidak sabar untuk menimang cucu.
Di majlis yang meriah itu, Iman tidak tahu adakah dia benar-benar gembira atau hanya tersenyum di sebalik duka. Walau pun dia sudah lama tidak mengetahui bagaimanakah keadaan Firdaus namun jauh di sudut hatinya dia tetap mengingati lelaki itu. Bukannya tiada rasa bersalah pada Rezal yang kini menjadi suaminya namun dia tapi itulah hakikat kehidupannya. Menipu diri, dia senyum dalam kepayahan.
Siti hadir ke majlis itu bersama Azali. Pasangan yang bakal berkahwin setahun lagi itu sedondon, membangkitkan sedikit rasa cemburu di hati Iman. Firdaus tidak hadir. Tidak sanggup rasanya menyaksikan orang yang dicintai bersanding dengan lelaki lain. Biarlah dia hanya mendoakan kebahagiaan Iman dari jauh saja. Pelamin angannya telah musnah!
“Abah harap kamu dapat menjadi seorang isteri yang solehah Iman. Abah doakan kebahagiaan kamu. Rezal, abah serahkan Iman pada kamu untuk kamu bimbing dia, tunjukkan jalan kehidupan padanya.” Sayu kata-kata En. Idris ketika menepung tawar anak menantunya.
“InsyaAllah abah.”
Iman hampir menitiskan airmata mendengar jawapan ikhlas Rezal. Terserlah ketulusan lelaki pilihan abahnya itu!
“Iman, abang ada sesuatu nak cakap dengan Iman.” Rezal memulakan kata disaat mereka berdua saja dalam bilik yang dihias indah, selepas selesai acara kenduri mereka.
Matanya memandang ke wajah Iman, menikmati keindahannya.
Iman membalas pandangan Rezal. Mata mereka bertentangan. Seketika Iman merasakan kelainan padanya, penuh kelembutan dan kasih sayang.
“Sekarang kita dah jadi suami isteri yang sah. Abang tahu kisah silam Iman dan abang harap Iman dapat melupakannya.”
Iman pun berharap begitu.
Namun dia perlukan masa.
“Abang, biarlah Iman berterus terang. Sebenarnya Iman masih belum dapat melupakan dia. Namun Iman akan cuba, demi abang dan keluarga kita. Dan Iman harap abang dapat membantu.”
Dia menggenggam tangan Rezal dan mengucupnya lembut. Rezal mengucup dahinya…memberikan kekuatan. InsyaAllah dia akan cuba membuat yang terbaik untuk perhubungan yang baru terjalin. Biarlah kenangannya dengan Firdaus menjadi satu kisah yang mematangkan diri.
Biarlah…
*****
Firdaus masih lagi mengemaskan barang-barang yang yang tidak terlalu banyak. Dia sudah nekad hendak kembali ke Kuala Lumpur. Notis berhenti kerja pun sudah diserahkan pagi tadi. Tidak sanggup lagi dia berada di tempat yang penuh dengan kenangannya bersama Iman, yang merantai setiap langkahnya dan menerjah ke mindanya. Membangkitkan kembali ingatannya terhadap Iman yang tak pernah surut.
Namun begitu, perkahwinan Iman pada minggu lepas memberikan tamparan yang paling hebat padanya. Dia tidak menyalahkan sesiapa. Iman, Rezal ataupun dirinya sendiri. Jika itu pilihan Iman dia tidak mampu menghalang. Cuma kini dia akan mengotakan janjinya. Dia akan tunggu Iman sampai bila-bila. Bukannya dia mendoakan kegagalan rumah tangga Iman tapi dia percaya Tuhan itu Maha Adil atas segala yang telah ditentukan terhadap hambaNya.
“Betul ke kau nak balik ke KL ni Jem?” Rakan serumahnya Azim, bertanya. Rahim yang juga berada di situ memasang telinga. Mahu mendengar jawapan Firdaus.
“Tempat ni dah tak memberikan ketenangan pada aku Zim. Aku tak boleh hidup dalam keadaan macam ni. Lagipun pak usu aku kat sana dah beria-ia sangat mahukan aku bantu dia.”
“Dah lama kau kat sini takkan kau nak blah macam tu je? Kau kena kuat Jem. Takkan sebab seorang perempuan je kau dah nak mengalah.” Rahim menyampuk. Azim mengangguk setuju.
“Kau tak tahu apa yang aku alami. Tak tahu macam mana peritnya luka yang aku hadapi. Tapi korang jangan takut…aku tahu apa yang aku buat. Okey!”
- wahhh pandai menulis ye...
ReplyDelete- boleh terbitkan nanti...
saje2 je al... berkoya2...
ReplyDelete